Perbalahan Antara Salafi dan Asy'ari Merugikan Umat Islam

Isu dan Pemikiran Semasa Jumlah paparan: 731

 

Tuan-tuan sekelian, saya tidak cakap banyaklah, masapun dah suntuk. Cumanya saya nak kongsi dengan tuan-tuan satu perkara, seperti yang telah disebut oleh dua orang panel tadi. Kita jangan cepat menghukum dan saya nak ingatkan tuan-tuan semua pada satu hadis, iaitulah tentang bagaimana Abu Dzar al-Ghifari radiallahuanhu, pernah satu ketika, saya tak ingat, sama ada dia kata kepada Bilal ataupun orang lain. Katakan dia kata kepada Bilal, Abu Dzar panggil Bilal dengan perkataan: يا ابن السوداء “wahai anak wanita orang hitam,” satu gelaran yang tak elok. Perbuatan Abu Dzar tak betul tuan-tuan. Tak betul dengan sunnah Nabi, tak bertepatan dengan sunnah nabi, bahkan menyalahi sunnah nabi, al-Quran pun larang menggelar orang lain dengan gelaran-gelaran yang tak elok.

Tetapi adakah Nabi sallallahu alaihi wasallam terus mencela Abu Dzar? Tidak!. Sebaliknya Nabi SAW sebut satu perkataan yang kita kena ambil perkataan ini dalam kita berinteraksi dengan orang-orang yang berbeza dengan kita. Apa kata Nabi? Kata Nabi:

إنك امرؤ فيك جاهلية

"Wahai Abu Dzar, dalam diri engkau ini, ada lagi sifat jahiliyyah.”  Bukan Nabi kafirkan Abu Dzar. Tetapi Nabi kaka kamu ni seorang yang ada lagi sikit perangai jahiliyyah.

Maka, kita dalam berinteraksi dengan orang yang berbeza dengan kita, pada fahaman kita amalan yang dilakukannya itu adalah bid'ah. Jangan kita katakan kepada dia “woi ahli bida’ah,” terus dihukum orang itu sebagai ahli bidaah. Jangan kita kata begitu. Sebaliknya katakan: “Perbuatan yang kamu buat itu, sebahagian ulama kata bidaah.” Kenapa kita tak guna perkataan sebegini? Apakah kita lebih baik dari Nabi SAW? Ini ketika kita hendak menghukum orang. Tetapi ketika kita nak buat penerangan tentang bidaah, tak ada masalah. Ia berbeza ketika kita hendak menghukum. Jangan seperti kita rasa seolah-oleh kita ni seorang mufti. Ini bidaah, itu bidaah! Akhirnya, ada orang bagitahu kepada saya, ada individu yang kata Dato’ Mufti pun bidaah jugak. Sampai begitu sekali. Kita tanya siapa dia yang cakap begitu? Rupa-rupanya orang yang basic pengajian Islampun tiada. Apapun tak tahu. Tapi hukum semuanya bidaah. Dato’ Mufti bidaah, ustaz-ustaz bidaah. Kalau Dato’ Muftipun bidaah, siapalah ustaz Mat Rizal, saya dan ustaz-ustaz lain? Semua ahli bidaah dan ahli neraka semua. 

Itu bahayanya ekstrim. Sebab itu saya sampaikan hadis ini sebagai panduan kepada tuan-tuan, kalau kita tak bersetuju dengan seseorang, kita rasa orang itu buat bidaah, sedangkan orang itu pula mengaku sebagai ahli sunnah dengan dia kata: “Aku nak ahli sunnah.” Namun dalam beberapa tindakan, dia tersilap. Kenapa kita kata dia ahli bidaah? Kenapa kita tak kata: “Pada dia masih ada lagi perbuatan-perbuatan bidaah yang dia belum tinggalkan lagi.” Kenapa kita tak guna perkataan itu? Bukankah itulah contoh yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW? Jadi tuan-tuan ingat perkataan Nabi:

إنك امرؤ فيك جاهلية

“Pada diri kamu ini masih ada lagi perangai jahiliyyah.” Bukan Nabi mengkafirkan Abu Dzar. Tetapi Nabi nak bagi tahu  kepada Abu Dzar, perbuatan yang dia buat itu tidak bertepatan dengan al-Quran dan al-Sunnah.

Kedua, saya nak sebut pada kali ini, iaitulah tuan-tuan sekelian bahayanya apabila kita cepat menghukum. Tabdi’, takfir terutamanya. Terlampau bahaya. Terutamanya apabila kita gopoh menghukum aliran yang berbeza dengan kita, kecenderongan yang berbeza dengan kita. Ia bahaya.

Wallahu a’lam, ini pandangan saya dan tak ada kaitan dengan siapa, ini pandangan saya. Jika setuju alhamdulillah. Jika tak setuju, ia pandangan saya. Setakat pembacaan dan semakan saya, perkelahian dalam masyarakat antara Salafi, Asy’ari apa semua ni, perkelahian yang merugikan, kalau dalam bentuk apa yang berlaku pada hari ini.  Kita telah menghukum, ini group “A”, apa yang mereka cakap semua tak betul. Yang group “A” pula kata: ini group “B”, apa yang group “B” cakap semua tak betul. Suasana ini terlampau bahaya. 

Tuan-tuan sekelian, kenapa saya kata bahaya? Tuan-tuan sekelian, kalau kita belajar al-Quran, qiraat, kita belajar al-Quran sama ada kita ambil ijazah bacaan al-Quran. Dalam ijazah al-Quran itu, kita akan jumpa nama-nama seperti al-Syatibi, al-Jazari, orang mengaji al-Quran guna kitab Matn al-Jazariyyah, ada al-Imam al-Syatibi, ada Abu ‘Amr al-Daniy. Tuan-tuan, semua mereka ini memiliki perkataan-perkataan yang menyokong al-Asy’ariy. Abu ‘Amr al-Daniy[1], saya tak jumpa perkataan beliau yang saya nak, yang menunjukkan beliau menyebut perkataan al-Asy’ari dan beliau menyatakan itu akidah kita (Ahli Sunnah wal Jamaah)[2].

Kalau kita mengkafirkan Asy’ari, apakah kita nak kata, kita mengambil bacaan al-Quran dari seorang kafir dan ahli bidaah? Ini satu tuduhan yang terlampau dahsyat dan terlampau bahaya. Saya tak jumpa perkataan beliau yang saya nak dari kitab al-Risalah al-Wafiah Li Mazhab Ahl al-Sunnah Fi al-I’tiqadat wa Usul al-Diyanat, tetapi saya jumpa perkataan beliau yang lain iaitulah:

[فصل: (في نزوله سبحانه إلى السماء الدنيا)]

17- ومن قولهم: إن الله جل جلاله وتقدست أسماؤه: ينزل في كل ليلة إلى السماء الدنيا في الثلث الباقي من الليل، فيقول: ((هل من داع يدعوني فأستجيب له، وهل من سائل يسألني فأعطيه، وهل من مستغفر يستغفرني فأغفر له؟)) حتى ينفجر الصبح، على ما صحت به الأخبار، وتواترت به الآثار عن رسول الله صلى الله عليه وسلم، ونزوله تبارك وتعالى كيف شاء، بلا حد، ولا تكييف، ولا وصف بانتقال، ولا زوال.

18- وقال بعض أصحابنا: ينزل أمره تبارك وتعالى.

واحتج بقوله عز وجل: {الذي خلق سبع سموات ومن الأرض مثلهن يتنزل الأمر بينهن} .

وكذا روى حبيب عن مالك بن أنس رحمه الله.

"Fasal pada membicarakan tentang turunnya Allah ke Langit Dunia.

17. dan termasuk dalam pandangan mereka (Ahl al-Sunnah): Sesungguhnya Allah Jalla Jalaluh dan taqaddasat asmaauh, akan turun pada setiap malam ke langit dunia pada 1/3 yang berbaki (akhir malam) dan berfirman: “Apakah ada sesiapa yang berdoa untuk Daku perkenankan doanya? Apakah ada juga sesiapa yang meminta, untuk daku memberikan permintaannya itu? Apakah ada sesiapa yang memohon ampun, untuk Daku berikan keampunan kepadanya?”[3] sehinggalah terbit fajar, berdasarkan apa yang telah sahih dari perkhabaran-perkhabaran tentangnya, dan yang telah tawatur athar dari Rasulullah SAW. Turunnya Allah tabaraka wa taala adalah sepertimana yang dia kehendaki, tanpa Batasan, tanpa takyif, tanpa disifatkan dengan perpindahan dan peninggalan.

18. telah berkata pula sebahagian sahabat kami (mutakallimin): “akan turun perintah-Nya tabaraka wa taala.” Mereka berhujah dengan firman Allah azza wa jalla: “Dan tuhan yang menciptakan tujuh lapis langit dan bumi seumpama itu juga, akan terus-menerus perintahnya turun di antara keduanya (langit dan bumi).” (al-Talaq: 12) dan demikianlah yang diriwayatkan oleh Habib daripada Malik bin Anas RH." (Halaman 134)

Kata dia (Abu ‘Amr al-Daniy): “Berkata sebahagian sahabat kami”, siapa dia? Ulama Asya‘rah atau ulama kalam! Apa kata mereka? ينزل أمره تبارك وتعالى iaitulah: "turun perintah Allah", bukan turunnya Allah. Bukan saya nak suruh tuan-tuan jadi Asy‘ariy pula. Tapi saya nak bagitahu betapa isu-isu ni kalau kita cepat mengkafirkan, mentabdi’kan, kita akan menghukum kafir dan bid’ah terhadap tokoh-tokoh yang kita ambil al-Quran daripada mereka.

Persoalannya, apakah kita sanggup nak kata, kita ambil al-Quran, bacaan al-Quran, penulisan al-Quran dari seorang kafir? Sanggup kita nak kata begitu? Apakah kita mengambil bacaan al-Quran dari seorang mubtadi’, dari seorang ahli bid’ah?  Apakah begitu kita sanggup kata? Kerana itu bahaya, perkara ini kesan dia terlampau bahaya. Kalau tidak segera, dalam jangka masa yang panjang amat bahaya.

Kita akan meruntuhkan semua ilmu, bahkan al-Quran. Dia akan beri ruang kepada golongan-golongan ateis yang tak percaya kepada agama akan menolak agama Islam. Mereka akan meragukan orang Islam kepada al-Quran itu sendiri.

Banyak lagi tuan-tuan. Kalau kita ekstrem nak sesatkan orang, nak kafirkan orang, hatta sahabat juga tak selamat. Ada riwayat daripada Abdullah Ibnu Mas'ud yang menafikan mu'awwidzatain iaitulah قل أعوذ برب الفلق dengan قل أعوذ برب الناس sebagai dua surah dari al-Qur'an.  Ada  riwayat dari Ibn Mas‘ud yang menafikan dua surah ini dari al-Qur'an. Kecil ke besar kesalahan ini?

Bukankah ahli Sunnah beriktikad siapa yang tolak satu ayat al-Quran, kufur! Ibn Mas‘ud kata dua surah, bukan dua ayat, tetapi dua surah iaitulah; قل أعوذ برب الفلق dengan قل أعوذ برب الناس bukan surah al-Quran. Ternyata pandangan ini salah, semua ulama memperbetulkannya dan beri alasan kenapa Ibnu Mas'ud sebut sedemikian. Terdapat keuzurah dari pihak beliau.

Saya sebut perkara ini ada beberapa tujuan. Pertama supaya tuan-tuan perlu tahu, ilmu ini terlampau luas. Jangan kita rasa bila kita boleh mengaji, kita rasa macam kita telah menguasai ilmu segala-galanya. Bila kita jumpa orang lain kita rasa kita kemas. Siapa yang nak berhujah dan berdebat, mari! Kita tak nak begitu. Kerana itu, tinggalkan perkelahian dan perdebatan ini sesama orang agama sahaja. Orang agama, mereka tidak berkelahi. Biar sesama ustaz. Adapun yang bukan ustaz ni, dia ambil manfaat.

Demikian juga satu perkara yang saya nak sebut.  Kita sekarang ni, banyak berinteraksi dengan kitab. Kitab ini bahan di dalam lembaran sahaja, dia tidak hidup. Bila kita baca kitab akidah yang membahagikan jenis-jenis perkataan. Ada perkataan yang masuk di dalam ungkapan-ungkapan kufur. Jangan kita hukum dengan cepat sesiapa sahaja yang sebut ungkapan itu terus kufur. Sedangkan para ulama itu sebut dari sudut teori pembahagian. Cuba lihat ada beberapa perkataan yang Nabi SAW tegah, tetapi baginda sebut juga.

Sebagai contoh perkataan law atau “kalau”, dalam hadis فإن لو تفتحُ عملَ الشيطانِ yang bermaksud: “Sesungguhnya kalau itu akan membuka tipu-daya syaitan.” Dalam hadis lain, Nabi SAW juga yang sebut: لو لا أن أشق على أمتي لأمرتهم بالسواك عند كل صلاة yang bermaksud Kalaulah tidak kerana akan membebankan umatku, sudah pasti aku akan mengarahkan mereka untuk bersiwak ketika setiap kali hendak menunaikan solat.” Nabi SAW guna perkataan “kalau” sedangkan di tempat lain baginda melarangnya. Jadi semua perkara ini memerlukan pemerhatian mendalam sebelum membuat sesuatu kesimpulan. Ringkasnya, biarlah ilmu ini dibahas dan disampaikan oleh ahlinya. Adapun orang ramai mengambil perkara-perkara yang bermanfaat untuk mereka sahaja.  

---------------------------------------------------------------- 

[1] Beliau ialah al-Imam al-Hafidz, al-‘Allamah, Syeikh al-Islam ‘Uthman bin Sa‘id bin Uthman bin Sa‘id, Ibn ‘Amr al-Daniy, al-Umawi Maulahum, al-Qurtubi, al-Muqri’. Wafat pada tahun 444H ketika berumur 72 tahun. Beliaulah yang dimaksudkan dalam periwayatan mushaf al-Quran:

“…diambil (penulisan) hija-uhu (huruf-huruf hija-iyyah) berdasarkan riwayat para ulama resam (penulisan) daripada mushaf-mushaf yang diutus oleh Khalifah Rasyid, ‘Uthman bin ‘Affan RA ke Mekah, Basrah, Kufah dan Sham. Demikian juga mushaf yang dijadikan oleh beliau untuk penduduk Madinah, juga berdasarkan mushaf yang digunakan oleh beliau sendiri. Juga berdasarkan mushaf yang disalin semula daripadanya dengan mengambil kira apa-apa yang dinukilkan oleh dua syeikh iaitulah Abu ‘Amr al-Daniy (أبو عمرو الداني) dan Abu Daud Sulaiman bin Najah dan jika berlaku perbezaan antara mereka berdua akan ditarjihkan yang kedua (Abu Daud Sulaiman bin Najah) pada kebiasaannya. Dan kadang-kala diambil juga pandangan dari selain mereka berdua. Dan sandaran dalam bilangan ayat-ayat al-Quran berdasarkan apa yang terdapat di dalam kitab al-Bayan oleh al-Imam Abu ‘Amr al-Daniy…”   

[2] Perkataan beliau yang sama dengan golongan Asya 'irah yang dimaksudkan, antaranya:

فصل: أول واجب على المكلف

2- اعلموا أيدكم الله بتوفيقه، وأمدكم بعونه وتسديده، أن من قول أهل السنة والجماعة من المسلمين المتقدمين، والمتأخرين، من أصحاب الحديث، والفقهاء والمتكلمين: أن أول ما افترضه الله تعالى على جميع العباد إذا بلغوا حد التكليف النظر في آياته

Maksudnya:  “Fasal pada menyatakan perkara wajib pertama ke atas seorang mukallaf. (2) Ketahuilah, semoga Allah memberi pengukuhan kepada kamu semua dengan taufiq dan memanjangakan usia kamu semua beserta bantuan dan tasdid-Nya. Bahawa termasuk dari perkataan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dari kalangan umat Islam yang awal dan kemudian termasuk ahli hadis, para fuqaha dan ahli kalam, bahawa perkara pertama yang diwajibkan oleh Allah taala ke atas seluruh hamba-Nya apabila mereka telah baligh adalah memerhatikan tanda-tanda kebesaran-Nya.” (Halaman 117)

Jelas di sini, beliau  memasukkan ahli kalam dalam kumpulan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Dalam perkataan beliau ini juga menunjukkan beliau faham seperti kefahaman kumpulan Asya'irah. Adapun kefahaman salaf yang sebenarnya di sisi Ibn Taimiyyah, kewajipan pertama adalah bersyahadah. Kerana memperakui adanya pencipta atau Allah, adalah suatu yang sedia dianugerahkan oleh Allah kepada makhluk-Nya. Mereka tidak perlu lagi mencari-cari bukti kewujudan Allah.

Demikian juga ungkapan beliau:

فصل: في ذكر بعض الصفات لله

9-: ومن قولهم: إن الله تعالى لم يزل مريداً، وشائياً، ومحباً، ومبغضاً، وراضياً، وساخطاً، وموالياً، ومعادياً، ورحيماً، ورحماناً، وأن جميع هذه الصفات راجعة إلى إرادته في عباده، ومشيئته في خلقه

Maksudnya: “Fasal pada menyatakan tentang sebahagian sifat Allah. Dan termasuk dari perkataan mereka (Ahli Sunnah), sesungguhnya Allah taala sentiasa dalam keadaan berkemahuan dan berkehendak, suka dan murka, redha dan marah, menjadi wali dan memusuhi, pengasih dan penyayang. Dan sesungguhnya seluruh sifat-sifat ini merujuk kepada kemahuan-Nya pada makhluk-Nya dan kehendak-Nya pada ciptaan-Nya.”  (Halaman 124)

Sekali lagi beliau memasukkan kefahaman Asya'irah sebagai kefahaman Ahli Sunnah wal Jama'ah, iaitulah memahami sifat-sifat Allah sebagai merujuk kepada iradah. Sedangkan memahami sifat-sifat Allah dengan merujuk kepada iradah atau azaliyyah adalah cara faham golongan Asya'irah. Jika menurut huraian Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, semua sifat Allah wajib diisbatkan tanpa perlu kepada ta'wil, tasybih, ta'thil, takyif dan tamthil.  

[3] al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa’ie dan Ibn Majah. Kata al-Tirmizi: “Dan telah diriwayatkan hadis ini dari awjuh kathirah daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW.” Kata al-Zahabi: “Dan kepada Abu ‘Amr al-Dani adalah rujukan dalam tahrir ilmu qiraat dan ilmu masahif. Dalam masa yang sama beliau mendalam dalam ilmu hadis, tafsir, nahu dan selainnya.”

 

Cetak
Wallahu a'lam