SDI 1660: Hukum Menyediakan Papan-papan Sutrah Di Masjid

Soalan:

Kebelakangan ini ada masjid yang menyediakan papan-papan sutrah setinggi lebih kurang sehasta. Apakah papan-papan sutrah seperti ini ada contohnya dari sunnah Nabi SAW?

Jawapan:

Solat menghadap ke sutrah termasuk dalam sunnah Nabi SAW berdasarkan antaranya sabda baginda SAW:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ إِلَى سُتْرَةٍ فَلْيَدْنُ مِنْهَا لَا يَقْطَعَ الشَّيْطَانُ عَلَيْهِ صَلَاتَهُ

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu menunaikan solat, maka hadaplah ke sutrah dan hampiri sutrah tersebut, syaitan tidak akan dapat menggangu solatnya itu.” (al-Nasai’e. dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Nasai’e)

Selain itu, memuliakan sunnah Nabi SAW dan bersungguh-sungguh berusaha mengamalkannya juga termasuk dalam amalan yang diberi pahala.

Namun tindakan menyediakan papan-papan sutrah di masjid-masjid, tidak terdapat contoh dari Nabi SAW. Tindakan seperti itu dibimbangi termasuk dalam kumpulan tindakan berlebih-lebihan dan melampau atas nama mengikut sunnah, sehingga mewujudkan gambaran baharu ketika melakukan ibadah solat.  

               Menyediakan papan-papan sutrah di masjid termasuk dalam perkara yang tidak perlu, disebabkan sunnah sutrah dapat dilaksanakan dengan solat berhampiran dinding atau tiang-tiang masjid, atau solat di belakang jemaah lain yang sedang solat atau duduk. Tidak perlu menyediakan papan-papan sutrah yang hanya akan memenuhkan ruang masjid dan mewujudkan wasilah beribadah yang tidak disuruh oleh Syara’. Sedangkan arahan kepada umat Islam ialah melaksanakan perintah syara’ menurut kemampuan mereka, tanpa perlu mewujudkan wasilah yang tidak disuruh dalam beribadat. Anas bin Malik RA berkata:

دَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَإِذَا حَبْلٌ مَمْدُودٌ بَيْنَ السَّارِيَتَيْنِ، فَقَالَ: مَا هَذَا الْحَبْلُ؟ قَالُوا: هَذَا حَبْلٌ لِزَيْنَبَ، فَإِذَا فَتَرَتْ تَعَلَّقَتْ - يعني استندت إليه في صلاتها - فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا، حُلُّوهُ، لِيُصَلِّ أَحَدُكُمْ نَشَاطَهُ، فَإِذَا فَتَرَ فَلْيَقْعُدْ

Maksudnya: “(Pernah satu hari) Nabi SAW masuk ke dalam masjid dan terdapat seutas tali yang direntangkan antara dua tiang masjid. Baginda bertanya: “Tali apakah ini?” Para sahabat menjawab: “Tali untuk Zainab. Apabila dia berasa lelah untuk berdiri, dia akan memegang tali tersebut ketika solat.” Sabda Nabi SAW: “Tanggalkan tali ini, hendaklah seseorang daripada kamu tunaikan solat (solat sunat secara berdiri) ketika dia cergas. Apabila dia  berasa lelah, maka duduklah.” (al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan Nabi SAW melarang direntang tali agar dapat terus berdiri menunaikan solat sunat, kerana tindakan tersebut memiliki unsur memberat-beratkan diri untuk perkara yang tidak diperintahkan. Demikianlah tindakan menyediakan papan-papan sutrah yang akan memenuhi ruang masjid sedangkan ia tidak diperintahkan oleh syara’. Tindakan itu juga tidak mustahil boleh mendatangkan bahaya kepada jemaah terutamanya kanak-kanak. Sedangkan anjuran solat menghadap ke sutrah adalah menurut apa yang mudah.


Cetak  
Wallahu a'lam