al-Albani RH Dan Isu Palestin

Isu dan Pemikiran Semasa Jumlah paparan: 1036

Isu Palestin adalah Isu umat Islam. Menukilkan sebarang fatwa tentangnya perlu terlebih dahulu berhati-hati agar gambaran sebenar fatwa tidak dirosakkan. Al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani antara tokoh yang begitu kontroversi dalam isu ini. Fatwa beliau mengarahkan rakyat Palestin keluar dari Palestin membangkitkan rasa marah umat Islam kepadanya, fatwa ini pula dimainkan oleh para musuh beliau sehingga pandangan sebenar beliau terhadap persoalan Palestin diburukkan dengan disembunyikan penjelasan-penjelasan lain dari beliau.

Justeru tidak wajar bagi para pencinta al-Albani menyebarkan fatwa tersebut tanpa menyebut penjelasan-penjelasan lain dari beliau. Alhamdulillah tugas ini telah dipikul oleh al-Syeikh Abu Malik Muhammad Ibrahim Syaqrah, yang telah melakukan saringan kepada pandangan-pandangan al-Albani RH tentang Palestin dari sumber yang berbagai. Saya terjemahkan kandungan surat pengakuan tulisan tangan Al-Albani terhadap point-point penting yang disimpulkan oleh al-Syeikh Syaqrah di bawah ini:

al-Albani menulis: “Sesungguhnya apa yang disaring oleh al-Akh al-Fadhil al-Syeikh Muhammad Syaqrah dalam risalahnya ini terdiri dari fatwa-fatwa dan perkataanku adalah rumusan apa yang aku yakini dan apa yang dikehendaki oleh Allah dalam persoalan ini. Dan setiap nukilan dariku, yang berbeza dengan apa yang ada di dalam saringan ini, ianya sama ada tersilap atau suatu yang wajar diabaikan.”

Di bawah ini nuktah-nuktah yang disusun oleh al-Syeikh Syaqrah dan telah diperakui oleh al-Albani. Saya terjemahkan rangkap-rangkap yang dirasakan penting sahaja. Selamat membaca dan membuat penilaian. Nuktah-nuktah yang telah diperakui oleh al-Syeikh al-Albani tersebut ialah:

1. Hijrah dan jihad kekal sehinggalah hari kiamat.

2. Fatwa tersebut tidak ditujukan kepada Negara tertentu atau bangsa tertentu.

3 Insan yang termulia Nabi Muhammad SAW telah berhijrah dari negeri yang paling mulia Makkah al-Mukarramah. Maka setiap insan – semenjak manusia diciptakan sehingga hari kiamat berada di bawah kedudukan Nabi Muhammad SAW. Setiap negeri lain pula berada di bawah dari kemuliaan dan kesucian Makkah al-Mukarramah.

4. Wajib hijrah ketika seseorg muslim tidak mendapati tempat yang kukuh untuk agamanya di buminya, dia diuji agamanya dan dia tiada kemampuan untuk menzahirkan kewajipan-kewajipan Allah terdiri dari hukum-hakam agama. Bimbang ditimpa fitnah pada diri atau terkena musibah pada badan sehingga menyebabkan dia berpaling kepada kekufuran.

Inilah dia Manath al-Hukm dalam fatwa al-Syeikh al-Albani. Terfokus asas-asas fatwa beliau padanya – kalaulah mereka mahu berfikir - dengannya kewujudan dan ketiadaan hukum diikat.

5. Ketikamana seseorang muslim mendapati ada sesuatu tempat dalam negaranya untuk didiami, yang aman untuk diri, agama dan keluarganya, dia boleh berselindung dari fitnah yang berlaku di kampung halamannya, maka dia hendaklah berhijrah ke tempat tersebut di dalam negaranya yang sama jika dia mampu. Hijrah ke tempat tersebut adalah lebih utama dari hijrah keluar dari negaranya. Kerana ia lebih hampir dengan tempatnya, Bila hilang fitnah dia boleh segera pulang ke kampung halamannya.

6. Oleh itu, hijrah sepertimana ia disyariatkan dari Negara ke Negara lain, dia juga disyariatkan dari Bandar ke Bandar lain dan dari kampung ke kampung lain dalam Negara yg sama. Maka orang yang berhijrah mengetahui tentang dirinya berbanding orang lain.

7 Hijrah dari Negara ke Negara lain tidak disyariatkan melainkan dengan ada tuntutan-tuntutannya dan sebab-sebabnya, antaranya seperti yang telah dinyatakan sebelum ini. Dan sebab yang paling besar ialah hijrah itu bertujuan mempersiapkan persediaan (kekuatan) seperti yang diarahkan oleh Allah dalam al-Quran:

وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدْوَّ اللّهِ وَعَدُوَّكُمْ

Mafhumnya: “Dan persiapkanlah apa yang kamu semua mampu terdiri dari kekuatan dan tentera berkuda yang dapat menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu semua…” (al-Anfal: 60) bertujuan mengeluarkan musuh-musuh dari bumi umat Islam dan membebaskan tanah air dari kekuasaan mereka, untuk Hukum Islam kembali seperti sebelumnya.

8. Termasuk dalam perkara yang tidak diragukan lagi bahawa – namun disembunyikan oleh orang-orang yang menukilkan fatwa ini – semua ini terikat dengan kekuatan dan kemampuan berdasarkan firman Allah:

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Mafhumnya: “Allah tidak membebankan sesuatu jiwa melainkan apa yang termampu olehnya sahaja.” Dan:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Mafhumnya: “Bertaqwalah kepada Allah sekadar yang kamu mampu.”

Jika seseorang muslim tidak mendapati sesuatu tempat yang dia boleh berlindung selain dari buminya (tanah airnya), agamanya selamat dan dia boleh bebas dari fitnah yang berlaku atau ada sebab-sebab yang memaksa, menghalang dia dari berhijrah, atau semua bumi mengalami sebab-sebab dan tuntutan-tuntutan yang sama untuk berhijrah, atau dia tahu kekalnya di buminya selamat untuk agama, jiwa dan keluarganya. Atau tiada tempat untuk berhijrah melainkan ke negeri yang berhukum dengan hukuman kufur dengan jelas, atau kekalnya dia di buminya yang dia boleh berhijrah darinya, namun kekalnya di situ dapat merealisasikan maslahah agama, sama ada maslahah itu untuk ummah atau dengan keluarnya orang-orang kafir, sedang dia tidak bimbangkan fitnah terhadap agamanya, maka dia dalam keadaan seumpama ini dan keadaan-keadaan yang dinyatakan, tidak termasuk dalam kemampuannya melainkan untuk dia kekal di buminya, dan dia hendaklah berharap memperolehi pahala orang yang berhijrah kerana menyelamatkan agamanya dan mengharapkan keredhaan Tuhannya.

9. Perkara ini sama dengan penduduk Palestin. Pernah ditanya kepada al-Syeikh berkaitan penduduk beberapa negeri yang dijajah oleh Yahudi pada tahun 1948M, lalu dilaksanakan hukum-hakam Yahudi secara keseluruhannya, sehingga menjadikan penduduk negeri tersebut asing dan jauh dari agama mereka, jadilah mereka di bumi mereka sendiri para hamba yang hina? Lalu al-Albani menjawab: “Apakah di Palestin terdapat kampung atau Bandar yang mereka boleh mengamalkan agama mereka? Sehingga mereka boleh menjadikannya tempat untuk berlindung dari fitnah orang-orang Yahudi? Jika ada, maka mereka semua hendaklah berhijrah ke kampung atau Bandar tersebut, dan jangan mereka keluar dari bumi Palestin, jika mereka mampu berhijrah ke Bandar lain di dalam Palestin itu sendiri, dan terlaksananya tujuan hijrah.

10. Dan hendaklah diketahui oleh seseorang muslim bahawa memelihara tanah air dan nyawa bukanlah lebih utama dari memelihara agama dan akidah, bahkan perampasan tanah - dari orang-orang yang menetap di dalamnya kerana harap dapat memeliharanya, tidak boleh dikira sebagai memelihara agama ataupun tidak – kadang-kala ia lebih mudah dan lebih mendatangkan mudharat dan fitnah yang lebih besar.

Di akhir bab ini, al-Syeikh Syaqrah menyebut:

“Dan termasuk perkara yang tersembunyi dari kebanyakan para pencinta al-Albani dan orang yang mengikuti beritanya iaitulah jihad beliau di Palestin. Kata al-Syeikh Zuhair al-Syawisy hafizahullah dalam artikelnya bertajuk Nuqath Yasirah Min Sirah ‘Atirah Li al-Syeikh al-Albani Maa al-Hadis al-Nabawi al-Syarif, selepas menyebut: “Sehinggakan dalam persiapan untuk berjihad di Palestin, sesungguhnya al-Syeikh Nasir (al-Albani) telah mempersiapkan dirinya untuk menentang penempatan Zionis di Palestin, hampir sahaja beliau sampai ke Palestin, melainkan disebabkan halangan dari pihak berkuasa kerajaan dari para mujahidin masuk ke Palestin.” Aku (al-Syeikh Zuhair al-Syawisy) katakan: “al-Syeikh al-Albani telah sampai ke Palestin pada tahun 1948M, beliau juga telah menunaikan solat di masjid al-Aqsa, dan beliau kembali sebagai pembimbing agama untuk para tentera Saudi setelah mereka menyebut beliau dengan orang yang sedang kecewa, dan mereka semua telah tersesat jalan ketika ke sana. Beliau (al-ALbani) ada menjelaskan perkara ini dalam buku Rehlati Ila Najd.”

Sekian, sila rujuk:

- ماذا ينقمون من الشيخ الألباني
- السلفيون وقضية فلسطين في واقعنا المعاصر

Cetak
Wallahu a'lam