Soalan:
Ustaz, halalkah makan geliga landak atau batu landak?
Jawapan:
Landak BOLEH atau HALAL dimakan dagingnya. Demikianlah hukum bahagian lain dari anggotanya. Inilah pandangan yang lebih rajih menurut penilaian beberapa ulama termasuk fatwa alSyeikh 'Abd al'Aziz Abdullah Bin Baz RH (Mufti Saudi yang lalu) dan Lajnah Daimah Arab Saudi. Inilah juga pandangan dalam mazhab alSyafi'ie (alFiqh ' 'Ala Mazahib alArba'ah).
Sebahagian ulama ada yang mengharamkan Landak, terutamanya ulama dari mazhab Hanafi dan Hambali. Mereka mendatangkan hadis antaranya yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa Nabi SAW bersabda:
إنها خبيثة من الخبائث
Maksudnya: "Landak itu adalah termasuk haiwan yang keji."
Namun hadis ini Lemah di sisi para ulama. (Lihat fatwa Lajnah Daimah bil: 3178, tarikh 18/8/1400H)
Demikian juga hadis yang diriwayatkan daripada 'Abdullah bin 'Umar yang pernah ditanya tentang Landak, lalu beliau membaca ayat alQuran dari surah alAn'am: 145. Setelah itu seseorang berkata kepadanya yang Abu Hurairah pernah ditanya soalan yang sama lalu menjawab:
"Sesungguhnya Nabi SAW telah mengharamkan memakan daging Landak (القنفذ)." Kata Ibn 'Umar:
"Sesungguhnya Nabi telah bersabda tentangnya, maka hukumnya sepertimana yang baginda nyatakan."
Namun hadis ini Lemah. (Lihat alSunan alKubra oleh alBaihaqi 9/326). Kedua-dua hadis ini lemah, justeru ia tidak boleh dijadikan hujah pengharaman Landak. Oleh itu kekallah hukum memakan landak sebagai hukum Harus.
Soalan: Perlu sembelih ker ustaz kalau nak makan landak?
Jawapan:
Ya, landak yang hendak dimakan dagingnya perlu disembelih. Beberapa fuqaha' menyebut cara sembelihan landak, direbus air terlebih dahulu sehingga suam, kemudian masukkan landak ke dalam air tersebut. Bila landak berasa panas, dia akan keluarkan kepalanya. Ketika itu disembelih.