SDI 0609: Buat Kenduri Sempena Pindah Rumah Baharu Siap

Soalan: 
 
Biasanya bila pindah rumah kita yang baru, kita akan buat kenduri. Boleh ker ustaz? 
 
Jawapan: 
 
TAK MENGAPA jika kenduri tersebut dengan maksud bersyukur atas nikmat dikurniakan rumah baharu. Ini kerana buat kenduri dengan menjamu orang ramai makan adalah termasuk dalam amalan soleh. Ia boleh dilakukan bagi tujuan bersyukur. Demikian juga TAK MENGAPA jika kenduri itu bermaksud mewujudkan kegembiraan dan keseronokan dengan berhimpunnya rakan taulan, jiran tetangga dan sanak saudara untuk menjamu selera. Terutamanya bagi tujuan saling berkenalan sesama jiran baharu. 
 
Di dalam alMausu'ah alFiqhiyyah 8/207 dinyatakan: 
 
"Kenduri kerana sesuatu bangunan siap dibina adalah digalakkan (kerana bersyukur), sama seperti kenduri-kenduri lain yang diadakan kerana berlaku sesuatu kegembiraan atau diselamatkan dari sesuatu keburukan." 
 
Namun kenduri jamuan makan ini, BUKAN menjadi sebab tuan rumah memperolehi keselamatan atau keberkatan. Sebaliknya kenduri jamuan makan ini adalah kerana bersyukur kepada Allah yang telah mengurniakan nikmat dimudahkan memperolehi kediaman baharu tersebut. Pernah ditanya kepada alSyeikh Abdul Aziz Abdillah bin Baz RH tentang hukum menyembelih haiwan untuk dibuat kendiri setelah rumah siap dibina atau sedang dibina, beliau menjawab: 
 
"Jika maksud dari sembelihan tersebut adalah untuk terlindung dari (kejahatan) jin atau maksud lain dari tuan rumah bahawa sembelihan ini (kenduri ini) akan menyebabkan berhasilnya perkara itu dan ini seperti rumah akan terselamat atau penghuni rumah akan selamat, maka tujuan yang seperti ini TIDAK BOLEH. Ia termasuk di dalam bidaah. Jika sembelihan (kenduri) itu dilakukan kerana Jin (kerana bimbangkan kejahatan atau gangguan jin) maka ia termasuk SYIRIK BESAR kerana ia termasuk di dalam kategori ibadah kepada selain Allah. Adapun jika ia kerana bersyukur atas apa yang Allah kurniakan kepadanya, rumahnya telah berjaya dinaikkan bumbung atau telah berjaya disempurnakan binaannya, lalu dia menghimpunkan sanak saudara dan jiran tetangga untuk kenduri yang dia adakan itu, maka tidak mengapa. Hal ini dilakukan oleh ramai orang sebagai bersyukur dengan nikmat Allah yang telah menganugerahkan kepada mereka kemampuan membina rumah dan tempat tinggal dari perlu menyewa. Umpamanya apa yang dilakukan oleh sebahagian orang ketika sampai dari perjalanan jauh, dia menjemput sanak-saudara dan jiran tetangga (menghadiri kenduri makan) sebagai bersyukur kepada Allah yang telah menganugerahkan keselamatan kepadanya. Kerana sesungguhnya Nabi SAW dahulunya apabila sampai dari perjalanan yang jauh, baginda akan menyembelih kambing dan menjemput orang ramai makan." (Majmu' Fatawa Ibn Baz 5/388)

Cetak  
Wallahu a'lam