SDI 1344: Hukum Sembelihan Ahli Kitab

Soalan:

Saya sedang menuntut di Amerika Syarikat. Boleh atau tidak makan sembelihan yahudi walaupun mereka tidak sebut perkataan Allah tapi sebut perkataan lain yang bererti tuhan bagi mereka ketika menyembelih?

 

Jawapan: 

Sembelihan yang disebut perkataan lain selain dari nama Allah, maka sembelihan tersebut adalah HARAM dimakan. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: 

وَلَا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ

Mafhumnya: “Dan jangan kamu semua makan apa-apa yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya.” (al-Anaam: 121)

 

DI BAWAH INI DISERTAKAN PENJELASAN TAMBAHAN

Boleh memakan sembelihan Ahli Kitab dari kalangan Yahudi dan Kristian dengan dua syarat:

  1. Penyembelihan dilakukan seperti sembelihan muslim, diputuskan urat halqum dan muri’ sehingga menumpahkan darah. Jika binatang tersebut mati kerana dijerut atau dikenakan kejutan elektrik, dibenam ke dalam air atau seumpamanya, maka binatang tersebut tidak halal dimakan.
  1. Tidak disebut nama selain dari Allah ketika penyembelihan, seperti nama al-Masih dan seumpamanya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ

Mafhumnya: “Dan jangan kamu semua makan apa-apa yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya.” (al-Anaam: 121)

Di dalam surah lain, Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ

Mafhumnya: “Hanyasanya yang diharamkan ke atas kamu semua (umat Islam) adalah bangkai, darah dan daging babi, demikian juga yang disembelih kerana selain Allah.” (al-Baqarah: 173)

Yang disembelih kerana selain Allah memaksudkan apa-apa sembelihan yang disebut nama selain Allah ketika penyembelihan seperti menyebut: “Dengan nama al-Masih” atau: “Dengan nama Muhammad” atau: “Dengan nama Jibril" atau seumpamanya. 

Termasuk juga pengharaman memakan apa-apa sembelihan bertujuan mendekatkan diri kepada selain Allah, sama ada kepada al-Masih atau seumpamanya. (Iqtidha al-Sirat al-Mustaqim 1/251)

Jika tidak diketahui sesuatu sembelihan yang disembelih oleh seseorang muslim atau ahli kita itu disebut nama Allah ataupun tidak, maka harus memakannya dengan membaca bismillah sebelum makan, berdasarkan hadis daripada ‘Aisyah RA yang berkata: “Pernah sekumpulan orang berkata kepada Nabi SAW:

يَا رَسُولَ اللَّهِ ، إِنَّ قَوْمًا يَأْتُونَنَا بِاللَّحْمِ ، لَا نَدْرِي أَذَكَرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ أَمْ لَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: سَمُّوا اللَّهَ عَلَيْهِ وَكُلُوهُ

Mafhumnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya satu kaum memberi daging kepada kami. Tetapi kami tidak tahu, apakah mereka membaca bismillah ketika menyembelih atau tidak. Sabda Nabi SAW: Bacalah bismillah dan makanlah.”  (HR al-Bukhari)

Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata:

“Tidak semestinya perlu ditanya sembelihan yang disembelih oleh seorang muslim atau ahli kitab, bagaimana penyembelihannya. Apakah dibaca bismillah ataupun tidak. Bahkan soalan seumpama ini tidak wajar, kerana ia termasuk melampau di dalam agama. Sedangkan Nabi SAW pernah memakan sembelihan Yahudi dan baginda tidak bertanya apa-apa kepada mereka. Di dalam Sahih al-Bukhari dan selainnya pula, hadis daripada ‘Aisyah RA menyatakan: Ada satu kaum bertanya kepada Nabi SAW: Ada satu kaum memberi daging kepada kami, kami tidak tahu apakah mereka membaca bismillah ataupun tidak ketika menyembelihnya.” Sabda Nabi SAW: “Kamu sendirilah yang membacanya kemudian makan.” Kata ‘Aisyah RA: “Kaum yang memberi daging itu baru memeluk Islam. Baginda menyuruh yang menerima daging memakan daging tersebut, tanpa perlu bertanya apa-apa, sedangkan yang memberi daging kadang-kalanya tidak tahu beberapa hukum-hakam Islam disebabkan mereka baru memeluk Islam.” (Risalah Fi Ahkam al-Udhiyyah wa al-Zakah oleh al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin RH)

            Berdasarkan penjelasan di atas, maka sesiapa yang berada di Negara bukan Islam, kebanyakan yang melakukan penyembelihan pula adalah orang kristian atau Yahudi, maka halal memakan sembelihan mereka. Melainkan jika diketahui mereka melakukan perkara yang menjadi sembelihan itu haram seperti menyebut nama selain Allah ketika melakukan sembelihan seperti yang telah dijelaskan di atas. Jika yang menyembelih itu penyembah berhala, maka HARAM memakan sembelihan mereka.


Cetak  
Wallahu a'lam