Benarkah Tak Basuh Pinggan Di Sinki Mewarisi Papa?

Makanan dan Minuman Jumlah paparan: 120

 

Wa’alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh.

Ustaz nak tanya adakah amalan tidak membiarkan sisi makanan pada pinggan mangkuk tanpa dibasuh semalaman dan biarkan sampah tak dibuang  keluar rumah mempunyai nas seperti dalam caption di atas…

“Bahkan ia juga bertepatan dengan ajaran Islam: “Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak dibasuh. Makruh dan mewarisi kepapaan. Pastikan semua pinggan mangkuk, periuk belanga, cawan dan bekas makanan dicucu sebaik sahaja digunakan. Sisa-sisa makanan yang dibiarkan di dalam bekas makanan semalaman tanpa dibersihkan adalah menjadi habuah syaitan, kerana syaitan suka kepada makanan yang kotor dan busuk.”

Jawapan:

Wallahu taala a’lam.

Beberapa perkara yang disebut di dalam caption ini bertepatan dengan agama. Antaranya dia sebut: “Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak dibasuh.”

Ya, agama menganjurkan kebersihan dan menjaga kebersihan itu merupakan salah satu ajaran dalam agama Islam. Adakah ada hadis dalam perkara ini? Wallahu a’lam, saya tidak pernah jumpa, saya tak berani kata tidak ada, kalau adapun, dhoief atau tidak, saya tidak tahu juga tentang perkara itu.

Tetapi asas untuk perkara ini ada di dalam Islam. iaitulah berkaitang dengan menjaga kebersihan.

Demikian juga sisa makanan yang dibiarkan di dalam bekas makanan semalaman tanpa dibersihkan adalah menjadi habuan syaitan. Wallahu taala a’lam juga, saya tidak tahu juga dalam perkara ini.

Cuma secara asasnya, sememangnya perbuatan membiarkan bekas makanan semalaman tanpa dibersihkan itu tidak akan diterima oleh fitrah manusia yang bersih., demikian juga  tidak bertepatan dengan ajaran islam, iaitulah kita membiarkan makanan sedangkan agama melarang kita membazir dalam perkara yang berkaitan dengan makanan.

Yang boleh saya sebut untuk soalan ini iaitulah asas maklumat itu kita boleh terima. Bahkan ada di dalam hadis yang mana Nabi SAW pernah bersabda tentang makanan yang jatuh ke tempat makanan kita, di mana Nabi SAW suruh kita ambil semula makanan tersebut dan buang kotoran ataupun habuk yang ada pada makanan tersebut, kemudian di dalam hadis Nabi SAW sebut: ولا يدعها للشيطان “dan jangan kamu tinggalkan (makanan yang jatuh itu) untuk syaitan.”

Perkara ini menunjukkan, kalau kita biarkan makanan itu, maka dia akan menjadi makanan syaitan, boleh faham sedemikian.

Demikian juga Nabi SAW memerintahkan kita untuk menjilat sisa-sisa makanan yang ada pada jari, demikian juga mengambil sisa pada bekas makanan kita kerana Nabi SAW, bersabda: فإنكم لا تدرون في أي طعامكم تكون بركة “kerana sesungguhnya kamu semua tidak mengetahui, makanan kamu yang mana ada berkat pada makanan tersebut.” Kerana itu Nabi SAW suruh kita menghabiskan makanan.

Atas dasar ini, ada kebenarannya dakwaan tersebut. tetapi berkaitan mewarisi kepapaan, wallahu a’lam, saya tidak ada maklumat tentang perkara ini, maknanya tentang hadis khusus berkaitan perkara ini saya tidak tahu.

Tetapi secara umum kefahamannya tidak ada masalah, kerana secara umum orang yang membiarkan makanannya terbuang begitu sahaja, tanda orang itu tidak bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan kepada dia. Di dalam al-Quran ALlah SWT berfirman: لئن شكرتم لأزيدنكم ولئن كفرتم إن عذابي لشديد “jika kamu bersyukur maka sudah tentu Allah akan menambah nikmat-Nya kepada kita, akan tetapi jika kita kufur, maka azab Allah amatlah pedih.”

Perkara ini menunjukkan siapa yang bersyukur, akan ditambahkan nikmat kepadanya oleh ALlah, siapa yang tidak bersyukur, antaranya dengan membuang makanan begitu sahaja, kita boleh faham rezekinya akan dikurangkan oleh Allah SWT. Boleh faham sedemikian. Jika atas dasar kefahaman umum ini kita boleh kata, betullah kenyataan yang ditanya tersebut.

Kemudian disebut di sini syaitan suka kepada makanan yang kotor dan busuk. Memang tabiat syaitan ini dia suka kepada perkara benda kotor dan busuk. Kerana itu tempat tinggal syaitan adalah di dalam tandas. Jadi atas keumuman kefahaman ini, kita boleh kata kenyataan di dalam caption ini, secara asasnya kita boleh terima. Cumanya adakah hadis secara khusus ada menyebut secara detail berkaitan perkara ini, saya wallahu a’lam tidak tahu.

Cetak
Wallahu a'lam