Hukum wanita potong anak rambut

Pakaian dan Perhiasan Jumlah paparan: 215

 

Waalakumussalam warahmatullah wabarakatuh.

Soalan yang bertanya bolehkah kalau nak cukur atau cabut anak rambut sebab selalu terkeluar ketika pakai tudung?

Jawapan:

Pertama sekali saya jelaskan bahawasanya, hukum asal untuk wanita adalah sama dengan hukum lelaki. Asalnya wanita dibenarkan untuk menggunting rambut jika ada keperluan atau para wanita boleh dan dibenarkan memotong rambut jika perbuatannya itu tiada unsur tasyabbuh (menyerupai) orang lelaki atau tasyabbuh dengan wanita yang jahat. Jika tidak ada unsur ini, maka orang wanita dibenarkan untuk menggunting rambut dan mencukur bahagian-bahagian yang diperlukan. Apatah lagi jika membiarkan kawasan-kawasan tertentu akan mendatangkan kesukaran kepada dia.

Maka asalnya boleh, bahkan sebenarnya terdapat bukti daripada hadis yang menunjukkan para Isteri Rasulullah SAW menggunting rambut dan memendekkan rambut mereka. Antara buktinya berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahih beliau daripada Abi Salamah bin Abdil Rahman yang berkata:

دخلت على عائشة رضي الله عنها، أنا وأخوها من الرضاعة، فسألها عن غسل النبي صلى الله عليه وسلم

Maksudnya:  “Aku pernah masuk bertemu dengan Aisyah RA bersama dengan saudara susuan beliau. Lalu saudara susuan ‘Aisyah RA bertanyakan berkaitan mandi Nabi SAW..”

Di hujung hadis ada dinyatakan:

وكان أزواج النبي صلى الله عليه وسلم يأخذن من رؤوسهن حتى تكون كالوفرة

Maksudnya: “Adalah para isteri Rasulullah SAW, akan memotong rambut mereka sehingga seperti wafrah.”

Wafrah ialah rambut yang melepasi cuping telinga dan tidak mencecah bahu. Hadis ini menunjukkan para isteri Rasulullah menggunting rambut mereka. Ini menunjukkan para wanita dibenarkan menggunting rambut jika ada keperluan. Apatah lagi dengan membiarkan rambut panjang yang perlu kepada pemeliharaan dan penjagaan yang menyusahkan. Kerana itu jika mereka hendak memudahkan urusan, maka mereka dibenarkan memotong pendek rambut, selagi bukan untuk menyerupai lelaki dan wanita yang jahat. Perkara ini kembali kepada hukum asal iaitulah dibenarkan.

Cetak
Wallahu a'lam