SDI 0042: Hukum lelaki menggunakan wangian wanita

Tuesday, July 1, 2008

Kaum wanita dilarang mengenakan wangian yang boleh dicium baunya ketika berada di luar rumah. Namun larangan ini tidak bermakna mereka sama sekali dihalang dari megenakan wangian ketika mereka bersama suami dan mahram mereka.

Wangian yang digalakkan kepada wanita adalah yang bersifat berwarna dan kurang baunya. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi, al-Nasa-ie dan Abu Daud daripada ‘Imran bin Husain R.A. katanya, sabda Nabi S.A.W.:

إِنَّ خَيْرَ طِيبِ الرَّجُلِ مَا ظَهَرَ رِيحُهُ وَخَفِيَ لَوْنُهُ ، وَخَيْرَ طِيبِ النِّسَاءِ مَا ظَهَرَ لَوْنُهُ وَخَفِيَ رِيحُهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik wangian untuk lelaki ialah apa yang zahir baunya dan tersembunyi warnanya (kurang berwarna), manakala sebaik-baik wangian untuk wanita ialah apa yang zahir warnanya dan tersembunyi baunya.” (Hadith ini disahihkan oleh al-Albani di dalam sahih al-Tirmizi)

Hadith ini menunjukkan adanya perbezaan anjuran sifat wangian untuk kegunaan lelaki dan wanita. Namun ia tidak pula bermakna adanya larangan orang lelaki menggunakan wangian wanita jika ada keperluan ke arah itu. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya daripada Abi Sa’id al-Khudriy R.A. bahawasanya Nabi S.A.W. bersabda:

غُسْلُ يَوْمِ الْجُمُعَةِ عَلَى كُلِّ مُحْتَلِمٍ وَسِوَاكٌ ، وَيَمَسُّ مِنْ الطِّيبِ مَا قَدَرَ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Mandi dan siwak pada hari Jumaat bagi setiap orang yang sudah baligh, dan mengenakan wangian apa yang semampunya.”

Dalam riwayat yang lain Nabi menyebut: وَلَوْ مِنْ طِيبِ الْمَرْأَةِ

Maksudnya: “Walaupun dengan wangian isterinya.”

Al-Imam al-Nawawi di dalam Syarh Sahih Muslim menyebut: “Perkataan Nabi: “Walaupun dengan wangian isterinya.” Ianya (Wangian wanita (isteri)) makruh untuk orang lelaki, iaitulah apa yang zahir warnanya dan tersembunyi baunya, maka keharusan untuk lelaki di sini kerana adanya keperluan disebabkan tidak ada yang lain…”

Kesimpulannya: Jika sesuatu wangian dikenali dikalangan manusia yang ianya khas untuk wanita, maka ia dimakruhkan kepada lelaki menggunakannya. Jika wangian itu tidak dikhususkan kepada wanita maka tidak ada sebarang larangan orang lelaki menggunakannya.


Cetak  
Wallahu a'lam