SDI 1830: Hukum Menindik Telinga, Hidung dan Anggota Lain Untuk Tujuan Perhiasan di Sisi Mazhab Syafi'e

Pakaian dan Perhiasan Jumlah paparan: 120

Soalan:

Memandangkan masyarakat kita bermazhab Syafi‘e, apakah hukum tindik hidung dan anggota lain untuk perhiasan di sisi mazhab Syafi‘e.

Jawapan:

Haram menindik hidung budak lelaki atau perempuan menurut mazhab al-Syafi‘i. Disebut dalam Tuhfah al-Muhtāj 9/195-196:

وَيَظْهَرُ فِي خَرْقِ الْأَنْفِ بِحَلْقَةٍ تُعْمَلُ فِيهِ مِنْ فِضَّةٍ أَوْ ذَهَبٍ أَنَّهُ حَرَامٌ مُطْلَقًا؛ لِأَنَّهُ لَا زِينَةَ فِي ذَلِكَ يُغْتَفَرُ لِأَجْلِهَا إلَّا عِنْدَ فِرْقَةٍ قَلِيلَةٍ وَلَا عِبْرَةَ بِهَا مَعَ الْعُرْفِ الْعَامِّ

“Dan terzahir pada hukum menindik hidung untuk diletakkan cincin perhiasan dari perak atau emas adalah haram secara mutlak, kerana padanya tiada unsur perhiasan yang boleh ditoleransi kecuali di sisi segolongan kecil, yang mana pandangan mereka tidak diambil kira dalam keadaan terdapat uruf umum (yang beranggapan ia bukan perhiasaan yang diiktiraf). — Tamat.

Dari ungkapan: “kerana padanya tiada unsur perhiasan…”, Dr. Labib Abdullah Najib menyatakan dapat difahami darinya dilarang juga menindik lidah dan pusat, sekalipun bagi wanita dewasa, terutamanya jika terbukti memberi mudarat.

Demikian juga bagi lelaki, diharamkan berhias selain cincin, seperti memakai anting-anting perak dan seumpamanya di telinga atau tempat lain, kerana perbuatan tersebut menunjukkan keperempuanan (خنوثة) yang tidak sesuai dengan ciri keperwiraan lelaki. Disebut dalam Fat al-Jawād (2/159):

وخرج "بالخاتم" غيرُهُ فلا يحلُّ للرجل لبسه؛ لأن فيه خنوثة لا تليق بشهامة الرجل

“Dan terkeluar dengan “cincin” selain dari cincin, maka tidak halal bagi seorang lelaki memakainya (selain dari cincin) kerana padanya terdapat ciri-ciri keperempuanan yang tidak sepatutnya bagi kewibawaan lelaki.” — Tamat.

Dalam al-Tuhfah dan al-Nihāyah menyatakan harus menindik telinga budak perempuan. Namun pandangan ini berbeza dengan al-Khaīb yang memilih hukum haram kerana mengikut pandangan al-Imam al-Ghazālī.

Pandangan harus menindik telinga kanak-kanak perempuan juga merupakan pandangan mazhab Hanafi, Māliki dan anbali.

Sebab keharusannya adalah kerana kanak-kanak perempuan mempunyai keperluan perhiasan untuknya, maka kesakitan yang berlaku dimaafkan untuk mendapatkan tujuan tersebut, di samping penyembuhannya juga cepat dan segera.

Manakala bagi pandangan yang mengatakan haram seperti al-Imam al-Ghazali dan diikuti oleh al-Khatib, adalah kerana unsur mendatangkan sakit tanpa ada manfaat, sebagaimana yang disebut dalam al-Mughnī.

Cetak
Wallahu a'lam