Soalan:
Bilakah seseorang lelaki boleh memakai emas di sisi mazhab Syafi‘e?
Jawapan:
Terdapat tiga keadaan dibolehkan seseorang memakai emas di sisi ulama Syafie, iaitu;
Gigi – iaitu apabila salah satu gigi tercabut atau rosak sehingga tidak dapat digunakan, maka dibolehkan menggantikannya dengan gigi emas.
Ruas jari – iaitu satu ruas sahaja pada setiap jari kecuali ruas-ruas ibu jari.
Hidung – iaitu apabila hidung terpotong, maka dibolehkan membuat hidung gantian daripada emas.
Al-Imam al-Nawawi berkata:
يجوز لمن ذهب أنفه أو سنه أو أنملته أن يتخذ مكانها ذهبا، سواء أمكنه فضة وغيرها أم لا ؟ وهذا متفق عليه
“Dibolehkan bagi seseorang yang hilang hidung, gigi, atau ruas jarinya untuk menggantikannya dengan emas, sama ada dia mampu menggunakan perak atau selainnya ataupun tidak. Dan ini disepakati oleh para ulama.” (Syarh al-Muhazzab 4/327)
Dinyatakan juga dalam mazhab Syafi‘e:
وَيَحْرُمُ عَلَى الرَّجُلِ حُلِيُّ الذَّهَبِ إلَّا الْأَنْفَ وَالْأُنْمُلَةَ وَالسِّنَّ، لَا الْأُصْبُعَ
“Dan haram bagi lelaki memakai perhiasan emas kecuali pada hidung, ruas jari, dan gigi, bukan pada jari keseluruhannya.” (Lihat Syarah-syarah kepada al-Minhaj)