Abdullah bin ‘Umar bin al-Khattab RA

Abu ‘Abd al-Rahman, Abd Allah bin ‘Umar bin al-Khattab RA. al-Imam al-Zahabi memperkenalkan beliau di dalam Siyar A’lam al-Nubala sebagai:

عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ بْنِ نُفَيْلِ بْنِ عَبْدِ الْعُزَّى بْنِ رِيَاحِ بْنِ قُرْطِ بْنِ رَزَاحِ، بْنِ عَدِيّ، بْنِ كَعْبِ بْنِ لُؤَيِّ بْنِ غَالِبٍ، الْإِمَامُ الْقُدْوَةُ شَيْخُ الْإِسْلَامِ أَبُو عَبْدِ الرَّحْمَنِ الْقُرَشِيُّ الْعَدَوِيُّ الْمَكِّيُّ، ثُمَّ الْمَدَنِيُّ 

Tergolong dalam kalangan Sighar al-Sahabah, kerana beliau dilahirkan dua tahun selepas baginda Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Nabi. Beliau memeluk Islam bersama bapanya ‘Umar bin al-Khattab di Mekah dan berhijrah bersamanya. Ibn al-Athir menyatakan ketika memeluk Islam Ibn ‘Umar berumur 4 tahun, berdasarkan peristiwa pengislaman ‘Umar yang berlaku pada tahun ke-6 kenabian. Sebahagian ahli sejarah (antaranya Ibn al-Athir) berpandangan beliau berhijrah sebelum bapanya ‘Umar al-Khattab. Namun pandangan yang masyhur adalah yang pertama.

Selain itu terdapat bukti yang menunjukkan mereka berhijrah bersama bapanya 'Umar, iaitulah ketika ‘Umar sebagai Amirul Mukminin, antara perkara al-Awa-il yang dilakukan oleh beliau ialah memberi wang seperti gaji kepada golongan-golongan awal memeluk Islam dari kalangan Muhajirin dan berjuang bersama Nabi SAW. Namun ‘Umar RA telah mengurangkan pemberian kepada anaknya ‘Abd Allah ini, sehingga ‘Abd Allah tidak mendapat pemberian yang sama seperti yang diperolehi oleh golongan Muhajirin yang lain. Apabila ditanya kenapa 'Umar, mengapa engkau mengurangkan pemberian kepada anakmu ‘Abd Allah sedangkan beliau juga termasuk dalam kumpulan Muhajirin? ‘Umar menjawab: “Kerana dia dibawa berhijrah oleh kedua orang tuanya.”   

Ketika Nabi SAW wafat, 'Abdullah bin 'Umar berumur 21 tahun. (Asad al-Ghayah oleh Ibn al-Athir 3/236)

Beliau tidak sempat turut serta dalam peperangan Badr dan Uhud disebabkan masih belum dewasa, sekalipun beliau cuba menyertainya, namun beliau tidak diterima oleh Nabi SAW untuk menyertai peperangan disebabkan usia yang masih terlalu muda. Peperangan pertama yang disertainya ialah peperangan Khandaq. Beliau diterima dan diizinkan oleh Nabi SAW menyertai para sahabat lainnya dalam peperangan Khandaq, kerana ketika itu umur beliau telah mencecah 15 tahun. Tindakan Nabi SAW menerima seseorang yang berumur 15 tahun untuk turut serta dalam peperangan dijadikan bukti oleh para ulama sebagai tanda seseorang itu telah dianggap dewasa dan baligh sekalipun tiada sebarang tanda baligh apabila berumur 15 tahun. Beliau juga menyertai peristiwa Bai’ah al-Ridhwan.

Beliau adik beradik satu ibu dengan salah seorang isteri Nabi SAW, Hafsah binti ‘Umar bin al-Khattab. Ibunya bernama Zainab binti Maz’un (زَيْنَبُ بِنْتُ مَظْعُونٍ), saudara perempuan kepada ‘Uthman bin Maz’un al-Jumahi (الجمحي), saudara susuan Nabi SAW. (Lihat Asad al-Ghayah oleh Ibn al-Athir 3/235)

Beliau memiliki dua orang isteri dan empat hamba sahaya (ملك يمين), memiliki 16 orang anak. 12 daripadanya lelaki dan bakinya perempuan. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala 3/238)

‘Abd Allah bin ‘Umar adalah salah seorang Fuqaha’ al-Sahabah (seorang faqih dalam kalangan sahabat) dan ahli ibadah sejak dari usia kecil. Beliau seringkali tidur di masjid. Nabi SAW pula, antara kebiasaan yang baginda lakukan selepas menunaikan solat Subuh, ialah bertanyakan kepada para sahabat, sesiapa di antara mereka yang ada bermimpi pada malam tersebut dan baginda akan menghuraikan maksud mimpi yang dilihatnya tersebut. Hal ini menjadikan Ibn ‘Umar berangan melihat sesuatu di dalam mimpinya, lalu diceritakan kepada Nabi untuk baginda menafsirkannya.

Pada satu malam, sebelum tidur, Ibn ‘Umar bercita-cita diperlihatkan sesuatu mimpi kepadanya. Ternyata Allah mengizinkan dia melihat sesuatu di dalam tidurnya pada malam tersebut. Apa yang dilihat oleh beliau? Beliau dilihatkan di dalam mimpi dengan sebuah telaga bertebing (مَطْوِيَّةٌ كَطَيِّ البِئْرِ) yang terdapat api membuak-buak di dalamnya dalam pemandangan yang amat menggerunkan. Tiba-tiba datang dua malaikat dan membawanya pergi menghampiri telaga tersebut. Ibn ‘Umar menyatakan telaga itu mempunyai dua tiang, di dalam telaga yang terdapat api yang membuak-buak itu, aku melihat terdapat beberapa orang yang aku mengenali mereka, sehingga menyebabkan aku berkata: أَعُوذُ باللَّهِ مِنَ النَّارِ، أَعُوذُ باللَّهِ مِنَ النَّارِ، أَعُوذُ باللَّهِ مِنَ النَّارِ. Lalu datang satu malikat lagi dan berkata kepadanya: لمْ تُرَعْ، لمْ تُرَعْ  yang bermaksud: “Jangan takut, jangan takut.” Lalu Ibn ‘Umar terjaga di tidurnya. Namun beliau membatalkan hasrat menceritakan mimpi itu kepada Nabi SAW selepas solat Subuh untuk baginda tafsirkan di hadapan orang ramai, kerana mimpi yang dilihatnya tidak seperti yang beliau harapkan. Lalu melalui kakaknya, Hafsah yang merupakan salah seorang Isteri Nabi SAW, Ibn ‘Umar menceritakan mimpi tersebut agar disampaikan kepada baginda SAW, seterusnya menafsirkannya kepada beliau. Setelah Hafsah menceritakan kepada baginda SAW mimpi adiknya ‘Abd Allah, Nabi SAW bersabda:

نعم الرجل عبد الله، لو كان يصلي من الليل

Maksudnya:  “Sebaik-baik lelaki adalah ‘Abd Allah, jika ia menunaikan solat pada malam hari (qiyamullail).” Kata Salim (bin ‘Abdillah bin ‘Umar bin al-Khattab): “Abdullah, selepas peristiwa tersebut, tidak tidur pada malam hari melainkan sedikit sahaja.” (olahan semula dari hadis al-Bukhari dan Muslim)

Apabila sabda Nabi ini disampaikan kepada beliau, ‘Abd Allah bin ‘Umar sentiasa bangun solat malam dan tidak pernah meninggalkannya sehinggalah beliau meninggal dunia. Seorang bekas hambanya (Maulanya) bernama Nafi’ (نافع) berkata. Setiap malam beliau akan bertanya: أسحرنا apakah telah masuk waktu sahur?. Jika dijawab oleh bekas hambanya itu: “belum.” Beliau akan menyambung solatnya sehinggalah apabila masuk waktu sahur beliau akan duduk, beristighfar dan berdoa sehingga masuk Subuh. (Hilyah al-Awliyaa’ oleh Abi Nu’aim al-Asfahani 1/3030-304) Demikianlah jadual malam beliau sehinggalah meninggal dunia.

Sepanjang usianya, beliau telah melaksanakan ibadah haji sebanyak 60 kali dengan menaiki untuk, dalam suasana dahulu yang penuh dengan kesusahan dan kepayahan untuk melaksanakan haji. Beliau seorang yang kuat beribadah. Kata Tawus bin Kaisan (طاوس بن كيسان):

ما رأيت مصليًا كهيئة عبدالله بن عمر، ولا أشد استقبالًا للكعبة بوجهه وكفَّيه وقدميه منه

Maksudnya: “Tidak pernah aku melihat seseorang yang menunaikan solat seperti keadaan ‘Abdullah bin ‘Umar. Tidak pernah juga ada seseorang yang bersungguh-sungguh menghadap dirinya ke Kaabah (ketika solat) lebih dari beliau.” (Hilyah al-Awliyaa’ oleh Abi Nu’aim al-Asfahani 1/304)

Muhammad bin Zaid berkata, bapanya pernah menceritakan kepadanya bahawa Ibn ‘Umar dahulunya memiliki Mihras[1] مهراس yang ada air di dalamnya. Dia menunaikan solat pada malam hari menurut kemampuannya, kemudian apabila mengantuk, beliau pergi ke tempat tidur untuk tidur seketika, kemudian bangun berwudhu dan menunaikan solat. Sehingga apabila mengantuk beliau kembali seketika ke tempat tidur untuk tidur sejenak sahaja. Beliau melakukan perkara yang sama pada satu malam sebanyak empat atau lima kali. (al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani 4/108, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1853M, Beirut, Lebanon)

Kata Habib bin al-Syahid: “Pernah ditanya kepada Nafi’ (bekas hamba Ibn ‘Umar): “Apa yang dilakukan oleh Ibn ‘Umar di rumahnya?” beliau menjawab: “Kamu tidak akan mampu melakukannya iaitulah berwudhu bagi setiap kali hendak menunaikan solat dan sentiasa bersama mushaf al-Quran ketika waktu antara solat.” (al-Tabaqat al-Kubra oleh Ibn Sa’ad 4/170)

Kata Nafi’ lagi:

كان ابن عمر لا يصوم في السفر، ولا يكاد يفطر في الحضر

Maksudnya:  “Dahulunya Ibn ‘Umar tidak berpuasa ketika bermusafir, dan hampir-hampir beliau tidak pernah berbuka (tidak berpuasa) ketika tidak bermusafir.” (al-Siyar oleh al-Zahabi 3/215)

Kata Nafi’:

مرض ابن عمر، فاشتهى عنبًا أول ما جاء، فأرسلت امرأته بدرهم، فاشترت به عنقودًا، فاتَّبع الرسولَ سائلٌ، فلما دخل، قال: السائل، السائل، فقال ابن عمر: أعطوه إيَّاه، ثم بعثت بدرهم آخر، قال: فاتَّبعه السائل، فلما دخل، قال: السائل، السائل، فقال ابن عمر: أعطوه إيَّاه، فأعطوه، وأرسلت صفية إلى السائل تقول: والله لئن عُدْت لا تصيب مني خيرًا، ثم أرسلت بدرهم آخر، فاشترت به

Maksudnya: “Ketika Ibn ‘Umar jatuh sakit, perkara pertama yang beliau teringinkan ialah buah anggur. Lalu isterinya (Safiyyah) memberikan satu dirham kepada seseorang untuk membelikan anggur sebanyak penuh dua telapak tangan. Setelah dibelikan buah anggur tersebut, seorang peminta sedekah mengekori utusan itu. Apabila utusan itu masuk ke rumah. Peminta sedekah bertempik dari luar rumah: “peminta sedekah! peminta sedekah!” Kata Ibn ‘Umar: “Berikan anggur itu kepada peminta tersebut.” setelah itu isteri Ibn ‘Umar menyerahkan lagi satu dirham kepada utusan untuk membelikan anggur yang lain. Hal yang sama berlaku pada kali kedua. Lalu Safiyyah berkata kepada peminta sedekah tersebut: “Demi Allah, jika kamu datang sekali lagi, kamu tidak akan mendapatkan apa-apa kebaikan lagi dari aku.” Lalu Safiyyah menyuruh dibelikan anggur lain untuk Ibn ‘Umar.” (al-Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi 4/311. Tahkik Muhammad ‘Abd al-Qadir ‘Atha, cetakan ketiga Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah 1424H/2003M, Beirut, Lebanon)

Kata Maimun bin Mihran (ميمون بن مهران):

دخلت على بن عمر، فقومت كل شيء في بيته من فراش أو لحاف أو بساط وكل شيء عليه، فما وجدته يساوي مائة درهم

Maksudnya:  “Aku masuk ke dalam rumah Ibn ‘Umar. Aku nilaikan semua yang ada di dalam rumahnya dari perkakas tikar dan seumpamanya. tidak sampai bernilai seratus dirham.” (al-Tabaqat al-Kubra oleh Ibn Sa’ad 4/165)   

Kata Nafi’:

كان ابن عمر ليقسم في المجلس الواحد ثلاثين ألف درهم، ثم يأتي عليه شهر ما يأكل فيه مـزعة (قطعة) لحم

Maksudnya: “Dahulunya Ibn ‘Umar pernah membahagi-bahagikan (menyedekahkan hartanya) sebanyak 30,000 dirham dalam satu majlis. Kemudian bulan berikutnya beliau tidak dapat menjamah walau sepotong daging.” (Hilyah al-Awliya’ oleh Ibn Nu’aim al-Asfahani 1/296)    

Beliau termasuk dalam salah seorang sahabat yang banyak meriwayatkan hadis kepada kita. Terdadat sya’ir yang disebut oleh ulama, bagi menghimpunkan tujuh nama sahabat yang meriwayatkan hadis lebih dari 1000 hadis dengan kata mereka:

سَبْعٌ مِن الصَّحبِ فَوقَ الأَلفِ قد نَقَلُوا *** مِن الحَدِيثِ عن المُختَارِ خَير مُضَر
أَبُو هُرَيرَةَ وسَعْدٌ وجَابِرٌ وأَنَسٌ *** وصِدِّيقَةٌ وابْنُ عَبَّاسٍ كَذَا ابنُ عُمَر

Maksudnya:   “Tujuh orang dari kalangan sahabat, lebih dari 1000 telah mereka nukilkan. Terdiri hadis dari sebaik-baik orang dari Mudhar (SAW), (iaitulah): Abu Hurairah, Sa’ad (Abu Sa’ied al-Khudriy, Sa’ad bin Malik bin Sinan al-Ansoriy سعد بن مالك بن سينان الأنصاري), Jabir (bin ‘Abdillah bin Haram), Anas (bin Malik), Siddiqah (‘Aisyah, Isteri Rasulullah SAW), Ibn ‘Abbas (‘Abdullah bin ‘Abbas RA), demikian juga Ibn ‘Umar (‘Abd Allah bin ‘Umar bin al-Khattab RA).

Jika menurut periwayat yang paling banyak, disusun oleh al-Suyuti di dalam al-Fiyyahnya yang menyebut:

والمكثرون في رواية الأثرْ *** أبو هريرة يليه ابن عمرْ
وأنس والبحر كالخدريّ **** وجابرٌ وزوجة النبي

Maksudnya: “Dan yang paling banyak dalam meriwayatkan athar (hadis): “ Abu Hurairah, seterusnya Ibn ‘Umar, Anas, al-Bahr (‘Abdullah bin ‘Abbas), (Abu Sa’ied) al-Khudriy, Jabir dan Isteri Nabi (‘Aisyah RA).”

Ibn ‘Umar seorang yang amat bersungguh mengikut sunnah Nabi SAW sehinggakan di dalam permusafiran beliau akan berhenti singgah di tempat yang pernah disinggah oleh Nabi SAW. Beliau juga akan menunaikan solat di tempat pernah ditunaikan solat oleh Rasulullah SAW. Sehinggakan terdapat sebatang pokok yang menjadi tempat persinggahan Nabi SAW ketika hayat baginda, Ibn ‘Umar menjaga dan menyiram pokok tersebut agar tidak kering dan mati. (Asad al-Ghayah 3/236)

Abu Daud meriwayatkan dari Nafi’ daripada Ibn ‘Umar, di mana Nabi SAW pernah bersabda: لو تركنا هذا الباب للنساء

“Amat bagus jika kita biarkan pintu ini (salah satu pintu di masjid Nabawi) untuk golongan wanita masuk melaluinya.” Kata Nafi’: فلم يدخل منه ابن عمر حتى مات, Ibn ‘Umar tidak lagi masuk ke masjid melalui pintu itu (selepas mendengar ucapan Nabi tersebut) sehinggalah beliau meninggal dunia.”   (Abu Daud dan dinilai Sahih oleh al-Albani)

Beliau juga suka mewarnakan janggutnya dengan warna kuning (dengan Za’faran). Apabila ditanya, beliau berkata: “Kerana aku pernah melihat Nabi SAW melakukannya.”

Beliau meninggal dunia di Mekah pada tahun 74 Hijriyyah ketika berumur 86 tahun. (al-Bidayah wa al-Nihayah  oleh Ibn Kathir)  

----------------------------- 

[1] Sebuah bekas berlubang sama ada dibuat dari besi atau kayu


Cetak  
Wallahu a'lam