Pada tahun 466H, alImam alSyarkhasi telah menfatwakan perkahwinan alKhaqan dengan hambanya sebelum habis iddah adalah haram. Akibatnya beliau dihukum penjara selama 15 tahun. Di dalam penjara, beliau memanggil anak-anak muridnya dan meng"imlak"kan (beliau sebut dan anak murid tuliskan) kepada mereka ilmu yang ada pada beliau sehingga terhasilnya kitab alMabsut sebanyak 15 jilid dan 2 jilid lagi Syarh kepada al-Sair al-Kabir oleh alSyaibani.
Kerana itu bagi sesiapa yang membaca kita alMabsut akan menemui perkataan beliau:
"Inilah penutup syarah (bab) ibadat dengan sejelas-jelas makna dan seringkas-ringkas ibarat, diimlakkan oleh seorang yang terkurung (terpenjara) dari menunaikan solat Jumaat dan solat jemaah."
Di hujung syarahnya kepada bab nikah, beliau berkata:
"(Inilah) yang telah diimlakkan oleh seorang yang sedang menunggu pembebasan dan kejayaan."
Di hujung bab Talak, beliau berkata:
"Inilah penghabisan syarah kitab alTalaq terdiri dari makna-makna yang terperinci yang diimlakkan oleh seorang yang terkurung dari bebas keluar lagi diuji dengan pemisahan. Dalam keadaan berselawat ke atas Nabi yang menaiki Buraq SAW dan para sahabat baginda ahli kebaikan dan berlumba melakukannya, dalam bentuk selawat yang dilipat-gandakan lagi berterusan hingga ke hari kiamat. Ia ditulis oleh seorang hamba yang bebas dari nifaq."
Di hujung bab 'Ataq beliau berkata:
"Telah tamat syarah bab al'Ataq dari permasalahan khilaf dan sepakat. Diimlakkan oleh seorang terdedah kepada mehnah dengan terkurung lagi terpenjara, dalam keadaan memuji kepada tuhan yang maha pemberi rezeki, mengharapkan bertemu denganNya tuhan yang maha gagah perkasa. Berselawat ke atas kekasih para makhluk, keluarga dan para sahabat baginda."
Di hujung bab alMakatib beliau berkata:
"Telah selesai syarah kitab alMakatib dengan imlak seorang yang dilingkungi lagi dihina, seorang yang terkurung dan dihukum, dan dia semanjak 2 tahun ini dalam keadaan terus sabar, menunggu kehalusan Allah, segala pujian milik Allah yang esa, selawat dan salam ke atas sayyidina Muhammad, ahli keluarga dan para sahabat baginda."