Kisah Pemindahan Dua Makam Sahabat Nabi SAW Di Iraq

Soalan: 

Kawan saya kongsikan kisah Pemindahan Dua Makam Sahabat Nabi Muhammad SAW yg penuh dgn peristiwa menakjubkan. Panjang kisahnya.

Intipatinya RAJA SHAH FAISAL 1 (Raja Iraq) memindahkan makam JABIR AL-ANSARI dan makam HUZAIFAH AL-YAMANI, di Iraq, kedua-duanya adalah sahabat junjungan mulia NABI MUHAMMAD SAW.

:red_circle: Soalan saya, benarkan kisah ini ustaz?
 
Jawapan: 
 
Kisah tersebut tidak benar. Antara sebabnya ialah sahabat Nabi SAW yang bernama Jabir bin Abdillah al-Ansari RA kuburnya di Madinah bukan di Iraq. Ramai di kalangan ulama yang menyatakan hal ini antara mereka: 
 
1. Kata Abu 'Ubaid al-Qasim bin Salam RH: 
 
سنة ثمان وسبعين : فيها توفي جابر بن عبد الله بالمدينة، وصلى عليه أبان بن عثمان
 
Maksudnya: "Pada tahun 78(H) Jabir bin Abdillah meninggal dunia di Madinah, dan Aban bin 'Uthman menunaikan solat (jenazah) ke atasnya." (Tarikh Dimasyq 11/239)
 
2. Kata Ibn Sa'ad di dalam al-Tabaqat al-Kubra 5/115:
 
كَانَتْ وِلايَةُ أَبَانَ عَلَى الْمَدِينَةِ سَبْعَ سِنِينَ. وَحَجَّ بِالنَّاسِ فِيهَا سَنَتَيْنِ ، وَتُوُفِّيَ فِي ولايته جابر بن عبد الله ومحمد ابن الحنفية، فصلى عليهما بالمدينة وهو وال
 
maksudnya: "Pemerintahan Aban ke atas Madinah selama 7 tahun, beliau telah menunaikan haji bersama orang ramai dalam dua tahun pemerintahannya. Telah meninggal dunia ketika pemerintahannya (di Madinah) Jabir bin Abdillah dan Muhammad ibn al-Hanafiyyah. Beliau menunaikan solat (jenazah) ke atas mereka berdua di Madinah." 
 
3. Ibn Kathir di dalam al-Bidayah wa al-Nihayan 12/281 berkata:
 
تُوُفِّيَ جَابِرٌ بِالْمَدِينَةِ، وَعُمْرُهُ أَرْبَعٌ وَتِسْعُونَ سَنَةً
 
maksudnya: "Jabir meninggal di Madinah, umurnya ketika itu 94 tahun." 
 
4. Ibn al-Athir pula berkata: 
 
توفي جابر سنة أربع وسبعين ، وقيل: سنة سبع وسبعين ، وصلى عليه أبان بْن عثمان ، وكان أمير المدينة
 
maksudnya: "Jabir meninggal dunia pada tahun 74H. Pandangan lain mengatakan pada tahun 77H. Solat jenazah untuknya Aban bin 'Uthman yang merupakan pemimpin Madinah ketika itu." (Lihat Mu'jam al-Sahabah oleh al-Baghawi 1/448 dan Tahzib al-Asmaa' wa al-Lughaat oleh al-Nawawi 1/143) 
 
Selain itu ramai juga di kalangan ulama yang mengatakan Jabir bin Abdillah merupakan sahabat yang terakhir meninggal dunia di Madinah, antara mereka: 
 
1. Kata Qatadah RH: 
 
كان آخر أصحاب رسول اللَّه صلّى اللَّه عليه وسلم موتا بالمدينة: جابر
 
Maksudnya: "Yang terakhir dari kalangan sahabat Rasulullah SAW meninggal dunia di Madinah adalah Jabir (bin Abdillah)." (Lihat al-Isabah 1/546) 
 
2. Kata Ibn Taimiyyah RH: 
 
وَجَابِرُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ مَاتَ سَنَةَ ثَمَانٍ وَسَبْعِينَ بِالْمَدِينَةِ ، وَهُوَ آخِرُ مَنْ مَاتَ بِهَا
 
maksudnya: "Dan Jabir bin Abdillah meninggal dunia pada tahun 78H di Madinah. Beliau merupakan sahabat yang terakhir meninggal di sana." (Majmu' al-Fatawa: 27/419) 
 
Adapun Huzaifah bin al-Yaman sememangnya meninggal dunia di Mada-in, Iraq dan dikebumikan di sana. antara yang menyatakan perkara ini: 
 
1. al-'Ijliy RH berkata: 
 
استعمله عمر على المدائن ، فلم يزل بها حتى مات بعد قتل عثمان ، وبعد بيعة علي بأربعين يوما
 
maksudnya: "(Huzaifah ibn al-Yaman) dilantik oleh 'Umar menjadi pemimpin di al-Mada-in. Beliau kekal di sana sehinggalah meninggal dunia selepas berlaku peristiwa pembunuhan 'Uthman (bin 'Affan) dan selepas 40 hari dibai'ah 'Ali (bin Abi Talib)" (al-Isabah: 2/39)
 
2. Kata al-Zahabi RH:
 
ولي حذيفة إمرة المدائن لعمر، فبقي عليها إلى بعد مقتل عثمان، وتوفي بعد عثمان بأربعين ليلة
 
maksudnya: "Huzaifah menjadi pemimpin di Mada-in bagi pihak 'Umar. Beliau kekal di sana sehingga terbunuhnya 'Uthman dan beliau meninggal dunia 40 malam setelah terbunuhnya 'Uthman." (al-Siyar: 4/29)

Cetak  
Wallahu a'lam