Tahun 39, Bulan Syawal Sebelum Hijrah Bersamaan 585 Masihi

Sirah dan Kisah Umat Terdahulu Jumlah paparan: 172

Peperangan al-Fijar

Ketika Nabi SAW mencecah usia 14 atau 15 tahun, ada pendapat yang mengatakan ketika baginda Nabi SAW berusia 20 tahun, berlaku peperangan Fijar sesama orang Qurasy, iaitulah antara Kinanah dan Qais bin ‘Ailan (قَيسِ عَيلانَ). Peristiwa ini termasuk dalam peristiwa besar dalam sejarah Arab.

Sebab peperangan ini berlaku apabila al-Nukman bin al-Munzir, Raja di al-Hirah (ملك الحيرة), pada setiap tahun akan mengutus Latimah (لطيمةً) iaitulah rombongan perniagaan berunta membawa sutera dan wangian termasuk Kasturi ke pasar ‘Ukadh (عكاظ).

Satu hari, dalam majlis beliau, terdapat dua orang lelaki, salah seorangnya bernama al-Barradh bin Qais bin Rafi’ al-Kinaniy (البراض بن قيس بن رافع الكناني), dari kabilah Kinanah, seorang yang dibuang oleh kaumnya disebabkan banyak kejahatannya. Manakala yang seorang lagi bernama ‘Urwah bin ‘Utbah bin Ja’far (عروة بن عتبة بن جعفر) yang terkenal dengan gelaran al-Rahhalah (الرحَّالة) dari kabilah Qais. Beliau digelar sebagai al-Rahhal disebabkan banyak perpindahannya bersama para raja.

Kata al-Nukman: “Siapa yang dapat menjaga rombongan perniagaan ku dari perompak sehingga ke pasar ‘Ukazh?”

Kata al-Barradh: “Aku akan menjaganya dari kabilah Kinanah.”

Kata al-Nukman: “Aku mahukan orang yang dapat menjaga rombonganku dari kabilah Kinanah dan Qais.”

Kata ‘Urwah: “celakahlah kamu, apakah anjing yang dibuang dari kaumnya (beliau maksudkan al-Barradh) akan mejaga rombongan kamu? Bahkan aku yang akan menjaga rombongan perniagaan kamu dari rompakan ahli al-Syih (الشِّيح) dan Qaisum (القيصوم)[1]."

Beliau memaksudkan dengan ungkapannya ini ialah beliau akan memelihari dan menjaga rombongan al-Nukman dari kejahatan semua Arab Badwi. Lalu rombongan itu diserahkan pengawasannya kepada ‘Urwah dengan upah yang dipersetujui bersama. Ketika rombongan hampir sampai di pasar ‘Ukazh dan ketika ‘Urwah dalam keadaan lalai, al-Barradh membunuh ‘Urwah dan membawa rombongan tersebut ke pasar ‘Ukadz. Pembunuhan ini berlaku dalam bulan haram (bulan yang dimuliakan). Dengan sebab pencerobohan nyawa yang dilakukan dalam bulan haram ini, dinamakan peperangan ini dengan nama al-Fijar.

Lalu bertempik seorang lelaki dengan berkata: “Sesungguhnya al-Barradh telah membunuh ‘Urwah dalam bulan haram di ‘Ukadz.” berlakulah peperangan antara kaum Arab dengan sebab ini.

------------------------------------------------------------------------- 

[1] al-Syih dan al-Qaisum adalah dua jenis tumbuhan yang hampir sama dan berbau wangi yang tumbuh dari padang pasir. Ahli al-Syih dan al-Qaisum memaksudkan semua orang arab Badwi.

Cetak
Wallahu a'lam