Sahabat Nabi SAW Menurut Pengkhususan

Sirah dan Kisah Umat Terdahulu Jumlah paparan: 180

Wa’alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh.

Berkaitan dengan soalan dari Hafiz yang bertanya berapakah bilangan sahabat Nabi SAW yang bukan dari kalangan ulama? maksudnya sahabat yang biasa-biasa sahaja.

Jawapan:

Wallahu taala a’lam, saya tidak pasti berapa jumlah sahabat yang bukan dari kalangan ulama. Saya juga tidak pasti adakah mana-mana ulama ada menyebut perkara itu, juga saya tidak pasti.

Cumanya secara umum para ulama tidak melihat siapa di kalangan sahabat yang bukan ulama. Tetapi para ulama melihat siapa di kalangan sahabat yang tertonjol dalam bidang-bidang tertentu. Sebagai contoh, mana di kalangan para sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis dari Nabi SAW? Maka kita akan dapati ulama membuat nazam untuk ingat nama-nama sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis, iaitulah tujuh orang kesemuanya, dengan kata mereka dalam menyusun nama tujuh orang sahabat tersebut dalam bentuk nazam:

سبع من الصحب فوق الألف قد نقلوا, من الحديث عن المختار خير مضر ; أبو هريرة، وسعد، وجابر، وأنس, وصدًيقة، وابن عباس، كذا ابن عمر

 “Ada tujuh orang sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis lebih dari 1000 buah hadis, yang mereka telah nukilkan dari Rasulullah SAW, iaitulah Abu Hurairah, Sa’ad, Jabir, Anas, Siddiqah – iaitulah merujuk kepada ‘Aisyah RA – Ibn ‘Abbas dan Ibn ‘Umar.”

Jadi tujuh orang ini adalah sahabat yang paling terkehadapan dalam bab meriwayatkan hadis-hadis dari Nabi SAW.

Demikian juga para ulama menyebut beberapa nama sahabat yang terkehadapan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan fatwa, antaranya Mu’az bin Jabal, antaranya Abdullah bin Mas’ud, antaranya ‘Ali bin Abi Tolib dan seumpamanya.

Demikian juga para ulama menyebut, kalau dalam bab al-Quran ada sahabat tertentu yang pengkhususan mereka dalam bab al-Quran, seperti Zaid bin Thabit, Ubai bin Ka’ab dan seumpamanya.

Begitulah tulisan para ulama setakat pemerhatian dan pembacaan saya, di mana para ulama lebih memberi tumpuan kepada sesuatu yang lebih dapat memberi manfaat, iaitulah mengenal pasti atau memperkenalkan para sahabat yang terkehadapan dalam bidang-bidang yang berbeza.

Demikian juga dalam bab fara-id sebagai contoh, al-Imam al-Syafie sendiri mendahulukan pandangan Zaid bin Thabit RA, berbanding sahabat lainnya, kerana Nabi SAW pernah menyebut: وأفرضهم زيد بن ثابت “Sahabat aku yang paling tahu bab fara-id adalah Zaid bin Thabit,”

Hadis ini menjadikan al-Imam al-Syafie dalam bab fara-id, jika berlaku perbezaan pandangan antara sahabat-sahabat yang mahir bab fara-id iaitulah ‘Ali bin Abi Talib, Ibn ‘Abbas, Zaid bin Thabit dan Ibn Mas’ud, maka al-Imam al-Syafie akan memilih pandangan Zaid bin Thabit dan kemudiankan pandangan sahabat lain, kerana adanya hadis Nabi yang menyatakan “orang yang paling alim dalam kalangan umat baginda dalam bab fara-id" adalah Zaid bin Thabit. Inilah yang dilakukan oleh para ulama. Adapun siapa sahabat yang bukan dari kalangan ulama, saya tidak ada maklumat tentang perkara itu.   

Cetak
Wallahu a'lam