Kisah TIDAK BENAR yang ada di dalam "Kitab"

Kata alKhatib alSyarbini di dalam Mughniy alMuhtaj 1/358:

"Ada diceritakan satu kisah yang ganjil di Madinah pada zaman Imam Malik, bahawa seorang perempuan sedang memandikan jenazah seorang perempuan yang meninggal dunia. Tiba-tiba tangannya melekat pada kemaluan jenazah perempuan tersebut. Orang ramai menjadi hairan, apakah perlu dilakukan, dikerat tangan tukang mandi atau dipotong kemaluan jenazah wanita? Lalu orang ramai meminta fatwa dari Imam Malik. Jawab Imam Malik: "Tanyakan kepada perempuam tukang mandi tersebut, apa yang dikatakannya ketika dia meletakkan tangan pada kemaluan jenazah perempuan itu?" Orang ramai lalu bertanya, dan tukang mandi itu menjawab: "

"Aku berkata: "seringkali kemaluan ini bermaksiat kepada tuhannya (melakukan zina)."

Kata Imam Malik: "perempuan tukang mandi ini telah melakukan qazaf (tuduhan zina). Sebat wanita ini sebanyak 80 kali sebatan, agar tangannya terlepas."

Lalu orang ramai melaksanakan sebatan ke atas perempuan tukang mandi itu, maka terlepaslah tangannya dari kemaluan mayat tersebut. Dari itu dikatakan:

"Tidak ada seorangpun yang memberi fatwa di Madinah, selagi Imam Malik ada."

Kata alSyeikh Masyhur Hasan di dalam Qishas La Tathbut 2/78-79: "Kisah ini adalah satu pendustaan dan rekaan terhadap Imam Malik. Dalam sanadnya ada Ya'kub bin Ishak al'Asqalani. alZahabi ketika memperkenalkannya di dalam alMizan 4/449 berkata: "seorang pendusta."

alKhatib alSyarbini juga menyebutkan kisah ini dalam bentuk sighah tamridh "ada diceritakan" sebelum itu pula beliau berkata: "kisah yang ganjil." Ia sebenarnya satu bukti lemahnya kisah ini di sisi beliau.


Cetak  
Wallahu a'lam