Soalan:
Adakah betul Jin penghuni bumi sebelum Allah ciptakan Nabi Adam AS?
Jawapan:
Kisah² penghuni bumi sebelum Adam disebut dalam kitab² Tafsir tanpa sebarang dalil. Bahkan ada juga pandangan yang mengatakan sebelum Jin ada pula makhluk lain bernama Hin (الحن) Bin (البن) yang saling berbunuhan lalu mereka dimusnahkan oleh Jin. Seterunya Jin menghuni bumi. Ada juga yang mengatakan sebelum Jin, bumi dihuni oleh makhluk bernama Tham (الطم) dan Ram (الرم).
Perkara-perkara seumpama ini termasuk dalam perkara yang tidak ada keperluan untuk seorang muslim menyibukkan diri mengetahuinya. Apatah lagi semua kisah seumpamana ini hanya sekadar dakwaan dan cerita tanpa ada sebarang sandaran dalil. Kerana itu ada juga dalam kalangan ulama yang berpandangan sebaliknya. Ibn Jarir al-Tabari RH tafsirnya menukilkan juga pandangan yang berbeza dengan katanya:
عن عبد الرحمن بن زيد قال : قال الله تعالى ذكره للملائكة : إني أريد أن أخلق في الأرض خلقا ، وأجعل فيها خليفة ، وليس لله يومئذ خلق إلا الملائكة، والأرض ليس فيها خلق
Daripada Abdul Rahman bin Zaid berkata: "Firman Allah Taala kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menciptakan makhluk di bumi dan Aku menjadikan di bumi itu khalifah. Dan ketika itu makhluk yang ada hanyalah malaikat dan di bumi ketika itu tiada makhluk."
Kata Ibn 'Ashur dalam al-Tahrir wa al-Tanwir 1/228 ketika menceritakan tentang makhluk yang kononya mendiami bumi sebelum Jin, iaitulah Hin, Bin, Tham dan Ram menyatakan semua perkara ini termasuk kumpulan kisah yang disebut sebagai kisah Hayyan bin Bayyan (هيّان بن بيّان), merujuk kepada kisah rekaan yang tidak pernah berlaku sama-sekali. Ia hanyalah kisah yang diterima oleh para pencerita dari cerita-cerita khurafat Parsi dan Yunan. Ini kerana terdapat dalam kepercayaan masyarakat Parsi, bumi ini didiami oleh Tham dan Ram sebelum manusia. Manakala masyarakat Yunan pula percaya sebelum manusia, bumi ini telah dimakmurkan oleh makhluk yang digelar Titan (التيتان), manakala Zufas (زفس) atau Zeus pula ialah Musytari, tuhan yang utama dalam keyakinan mereka yang zahir untuk memusnahkan Titan.