Tahun Hijrah: 11
Tahun Masihi: 632
Perincian Peristiwa:
Malik bin Nuwayrah (مالِكُ بنُ نُوَيرةَ) pernah bersekongkol dengan Sajah ketika dia datang dari wilayah Jazirah. Setelah Sajah bertemu dengan Musaylimah al-Kadhdhab (مُسَيلِمةَ الكَذَّابِ), setelah itu kembali ke negerinya, Malik menyesal atas tindakannya itu. Dia tinggal di sebuah tempat bernama al-Biṭāḥ البِطاحُ di Najd.
Khalid bin al-Walid menuju ke sana bersama tenteranya. Namun kaum Ansar tidak mengikuti beliau dan berkata:
إنَّا قد قَضَينا ما أمَرَنا به الصِّدِّيقُ
“Kami telah menyelesaikan apa yang diperintahkan as-Ṣiddiq kepada kami.”
Khalid berkata kepada mereka:
إنَّ هذا أمرٌ لا بدَّ مِن فِعْلِه، وإنَّه لم يأتِني فيها كتابٌ، وأنا الأميرُ وإليَّ تَرِدُ الأخبارُ، ولستُ بالذي أجبُرُكم على المسيرِ، وأنا قاصِدٌ البِطاحَ
“Ini perkara yang mesti dilakukan, dan belum datang kepadaku surat mengenainya. Aku adalah pemimpin, dan kepadaku sampai segala berita. Aku tidak akan memaksa kalian untuk turut serta, tetapi aku tetap menuju al-Biṭāḥ.”
Lalu Khalid bergerak, setelah dua hari pergerakan beliau ke Biṭāḥ, datang utusan kaum Ansar meminta dia menunggu mereka, maka mereka pun menyusulnya. Sesampainya Khalid di al-Biṭāḥ, yang ketika itu dikuasai oleh Malik bin Nuwayrah, Khalid menyebarkan pasukan-pasukannya menyeru manusia kepada Islam.
Para pemimpin Bani Tamim menyambut dengan ketaatan dan menyerahkan zakat kepada Khalid, kecuali Malik bin Nuwayrah; dia masih dalam kebingungan terhadap apa yang berlaku terhadap dirinya dan mengambil sikap menjauhkan dari dari manusia. Pasukan Khalid pun menawannya bersama sahabat-sahabatnya.
Pasukan itu berselisih pendapat tentang mereka: Abu Qatadah al-Ḥārith bin Rib‘ī al-Anṣārī الحارثُ بنُ ربعيٍّ الأنصاريُّ bersaksi bahawa mereka mendirikan solat, sedangkan yang lain berkata: mereka tidak melaungkan azan dan tidak solat.
Dikatakan juga bahawa para tawanan itu bermalam dalam keadaan terikat pada malam yang sangat dingin. Lalu penyeru Khalid berseru:
أنْ أَدْفِئوا أَسْراكم
“Hangatkanlah tawanan-tawanan kalian.”
Namun pasukan menyangka bahawa yang dimaksud ialah membunuh para tawanan, lalu mereka pun membunuh semua tawanan, termasuk Malik bin Nuwayrah yang dibunuh oleh Ḍirār bin al-Azwar ضرارُ بنُ الأزوَرِ.
Ketika Khalid mendapati mereka, semua tawanan telahpun dibunuh. Maka beliau berkata: “Apabila Allah menghendaki sesuatu, pasti ia terjadi.”
Khalid kemudian kembali kepada Abu Bakar dan mengemukakan alasan kepadanya. Abu Bakar menerima alasan itu dan memaafkan atas apa yang berlaku, dan membayar diyat (ganti rugi) bagi Malik bin Nuwayrah (ووَدَى مالِكَ بنَ نُوَيرةَ).