Soalan:
Ustaz, seperti yang sedia dimaklumi, Nabi Ibrahim AS ialah datuk kepada Nabi Muhammad ﷺ. Apa yang saya ingin tahu ialah adakah baginda datuk daripada sebelah bapa atau sebelah ibu?
Jawapan:
Imam Muslim bin al-Hajjaj مسلم بن الحجاج dalam Sahih beliau riwayat bilangan (2315) daripada Anas bin Malik yang berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda ketika Mariah Qibtiyyah melahirkan anak baginda:
وُلِدَ لِي اللَّيْلَةَ غُلَامٌ، فَسَمَّيْتُهُ بِاسْمِ أَبِي إِبْرَاهِيمَ
“Telah dilahirkan untukku malam ini seorang anak lelaki, lalu aku menamakannya dengan nama bapaku Ibrahim.”
Para ulama telah sepakat bahawa Nabi ﷺ berasal daripada keturunan nabi Ismail bin Ibrahim عليهما السلام, dan Nabi Ibrahim عليه السلام adalah datuk kepada Nabi Muhammad ﷺ daripada sebelah bapa dan ibu baginda sekali gus.
Bapa baginda ialah: عَبْد اللَّه بْن عَبْدِ الْمُطَّلِبِ بْنِ هَاشِمِ بْنِ عَبْدِ مَنَافِ بْنِ قُصَيِّ بْنِ كِلاَبِ...
Ibu baginda ialah: آمِنَة بنت وَهْب بن عبد مناف بن زهرة بن كلاب...
Ini menunjukkan keturunan bapa dan ibu baginda bertemu pada datuk mereka iaitu Kilab bin Murrah كلاب بن مرة.
Salasilah Kilab adalah seperti berikut:
كِلاَب بْن مُرَّةَ بْنِ كَعْبِ بْنِ لُؤَيِّ بْنِ غَالِبِ بْنِ فِهْرِ بْنِ مَالِكِ بْنِ النَّضْرِ بْنِ كِنَانَةَ بْنِ خُزَيْمَةَ بْنِ مُدْرِكَةَ بْنِ إِلْيَاسَ بْنِ مُضَرَ بْنِ نِزَارِ بْنِ مَعَدِّ بْنِ عَدْنَانَ.
Moyang baginda yang bernama Adnan (عَدْنَانَ) pula adalah daripada keturunan Nabi Ismail bin Ibrahim dengan kesepakatan ulama.
Al-Imam al-Bukhari berkata dalam Ṣaḥīḥ al-Bukhārī (5/44) menyebut: بَابُ مَبْعَثِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ ..... “Bab: Permulaan kerasulan Nabi ﷺ Muhammad bin ‘Abdullah …” Lalu beliau menyebut baki keturunan baginda hingga kepada ‘Adnān.
Ibn Qayyim al-Jauziyyah RH menyebut salasilah keturunan Nabi ﷺ hingga kepada ‘Adnān lalu berkata:
إِلَى هَاهُنَا مَعْلُومُ الصِّحَّةِ مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ بَيْنَ النَّسَّابِينَ، وَلَا خِلَافَ فِيهِ الْبَتَّةَ، وَمَا فَوْقَ "عدنان" مُخْتَلَفٌ فِيهِ. وَلَا خِلَافَ بَيْنِهِمْ أَنَّ "عدنان" مِنْ وَلَدِ إِسْمَاعِيلَ عليه السلام
“Sampai di sini (yakni hingga kepada ‘Adnān) adalah diketahui dengan pasti, disepakati oleh para ahli nasab, dan tidak ada perselisihan padanya sama sekali. Adapun keturunan selepas ‘Adnān terdapat perselisihan. Tidak ada perbezaan pendapat bahawa ‘Adnān adalah daripada keturunan Ismail AS.” (Zād al-Ma‘ād 1/70).
Ibn Hazm (ابن حزم) berkata:
وفي كلاب يجتمع معه: بنو زهرة، وأمه منهم، وهى آمنة بنت وهب بن عبد مناف بن زهرة
“Pada Kilab berkumpul Bani Zuhrah, dan ibu baginda (آمنة) adalah daripada mereka; iaitu Aminah binti Wahb bin Abd Manaf bin Zuhrah.” Jawāmi’ al-Sīrah (hlm. 4).
Al-Zahabi berkata:
وأمه: آمنة بنت وهب بن عَبْدِ مَنَافٍ بنِ زُهْرَةَ بنِ كِلاَبِ، فهي أقرب نسبا إلى كلاب من زوجها عبد الله برجل
“Ibu baginda: Aminah binti Wahb bin Abd Manaf bin Zuhrah bin Kilab, beliau (Aminah) dia lebih dekat nasabnya kepada Kilab berbanding suaminya Abdullah (Bapa Nabi Muhammad SAW) dengan seorang lelaki.” (Siyar A‘lām al-Nubalā’ 1/146).
Ibn Kathir berkata:
قصي: أَخُو زُهْرَةَ، كِلَاهُمَا ابْنَا كِلَابٍ
“Qusyai adalah saudara kepada Zuhrah, kedua-duanya anak kepada Kilab.” (al-Bidāyah wa al-Nihāyah 2/254).
Kesimpulannya; Nabi Ibrahim AS adalah datuk Nabi Muhammad ﷺ daripada sebelah bapa dan ibu kerana nasab kedua-duanya bertemu pada Kilab bin Murrah (كلاب بن مرة), dan baginda SAW berasal daripada keturunan Nabi Ismail bin Ibrahim عليهما السلام.