Golongan Yang Tidak Boleh Sujud di Padang Mahsyar

Soalan bertanya; ada Ustaz di YouTube mengajar, di padang mahsyar nanti ada satu kaum yang tak boleh sujud kepada Allah disebabkan kaum ini tidak pernah solat berjemaah walaupun mereka tidak abaikan salat fardu. Ustaz ini berdalilkan dengan hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam bagi warning akan bakar rumah bagi mereka yang tak berjemaah betul ke ustaz?

Jawapan:

Sememangnya ada hadis yang menyatakan Nabi sallallahu alaihi wasallam berhasrat ataupun bercita-cita hendak membakar rumah orang yang tidak hadir menunaikan solat berjemaah. Ya, sememangnya ada hadis itu dan hadis itu adalah hadis yang Sahih.

Tetapi para ulama, majoriti ulama yang berpandangan solat jemaah itu bukan suatu yang wajib, seperti pandangan di kalangan ulamak mazhab Syafi'i. Mereka beralasan Nabi SAW bercita-cita, tetapi Nabi tidak melakukan hal tersebut. Kerana itu, wallahu a’lam, saya cenderung memegang pandangan ulamak mazhab Syafie yang mengatakan salat jamaah itu adalah fardhu kifayah. Jika ada orang yang laksanakan, maka telah tiada lagi tuntutan fardu tersebut, dia (hukumnya) pergi kepada sunat muakkad, sunat yang ditekankan. Itu tentang Nabi pernah warning ataupun Nabi pernah berhasrat nak bakar rumah orang yang tidak hadir solat berjemaah, tetapi Nabi tak buat. Nabi tidak pernah bakar walaupun satu rumah. Itu Tentang hadis yang ditanya.

Adapun tentang kaum yang tidak boleh sujud kepada Allah, sememangnya ada hadith yang menyebut tentang perkara itu. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari di dalam Kitab Sahih beliau. Iaitulah hadis daripada Abi Said al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, yang mana Nabi sallallahu alaihi wasallam menceritakan tentang keadaan mahsyar. Di mana setiap orang kafir akan mengikut berhala mereka, sembahan mereka ke dalam neraka. Akhirnya yang tinggal di Padang Mahsyar, sebelum dibentangkan titian sirat, yang tinggal di Padang Mahsyar adalah orang-orang yang mentauhidkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala di bumi, di dunia dahulu, di mana orang-orang yang beriman yang menunaikan solat yang mentauhidkan Allah sama ada dia ikhlas ataupun tidak, mereka akan kekal di Padang Mahsyar, belum lagi masuk ke dalam syurga ataupun neraka. Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda:

فَيَبْقَى كُلُّ مَن كانَ يَسْجُدُ في الدُّنْيا رِياءً وسُمْعَةً، فَيَذْهَبُ لِيَسْجُدَ، فَيَعُودُ ظَهْرُهُ طَبَقًا واحِدًا

Maksudnya: “… maka akan tinggal (di padang Mahsyar) setiap orang yang dahulunya sujud kepada Allah ketika di dunia sama ada kerana riya’ mahupun kerana hendakkan pujian. Mereka (yang dahulunya sujud kerana riya’ dan hendakkan pujian) hendak melakukan sujud, namun mereka tidak dapat melakukannya kerana tulang belakang mereka menjadi satu (tidak memiliki sendi lagi untuk sujud).”

Jadi mereka tidak lagi mampu bersujud. Hadis ini hadis Bukhari demikian juga ada di dalam muslim. Menunjukkan sememangnya ada golongan yang tidak mampu sujud kepada Allah di akhirat kelak. Akan tetapi hadis ini jika kita tengok kepada huraian para ulamak, ia bukan merujuk kepada golongan yang tidak hadir menunaikan solat berjemaah, akan tetapi yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah golongan-golongan munafik yang menzahirkan keislaman mereka, namun di dalam hati mereka penuh dengan kekufuran dan tidak beriman kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Jadi, kalau ustaz tu kata: “orang yang tidak pernah solat berjemaah walaupun mereka tak abaikan,” barangkali dia maksudkan kepada golongan munafik yang tidak hadir solat jemaah kerana kemunafikan mereka. Jika ini yang dimaksudkan, maka benarlah kenyataan ustaz tersebut, iaitulah sememangnya ada golongan yang tidak dapat sujud kepada Allah di Padang Mahsyar kelak, Itulah golongan munafik.


Cetak  
Wallahu a'lam