Hutang Wajib Dibayar

Tazkirah Jumlah paparan: 667

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ وَحْدَهُ وَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَ أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آلِهِ وَ صَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ، أَمَّا بَعْدُ،

 Islam tidak menggalakkan umatnya untuk berhutang. Ini adalah kerana hutang merupakan satu beban yang perlu ditanggung oleh kedua-dua pihak, iaitu penghutang dan pemiutang. Hutang juga merupakan satu bebanan yang akan dipikul oleh seseorang walaupun setelah seseorang itu menemui ajal. Baginda Nabi SAW enggan menunaikan solat jenazah kepada orang yang tidak membayar hutang. Di dalam sepotong hadis, baginda Nabi SAW mendatangi jenazah seseorang, lalu baginda nabi SAW bertanya: ”Adakah beliau (si mati) mempunyai hutang?”. Setelah diberitahukan oleh para sahabat RA bahawa si mati ada meninggalkan hutang, (lalu) Nabi SAW bersabda:

"صَلُّوْا عَلَى صَاحِبِكُمْ فَإِنَّ عَلَيْهِ دَيْنًا"

Yang bermaksud:Solatlah kamu ke atas sahabat kamu, sesungguhnya dia mempunyai hutang”. (Hadis Sahih, Riwayat At-tirmizi)

Tindakan Nabi SAW itu sebagai pengajaran kepada mereka yang enggan membayar hutang, tanpa alasan.

Baginda Nabi SAW pernah menggadaikan baju besinya untuk berhutang, ketika di hujung hayatnya, bagi mendapatkan perbelanjaan makan dan minum  ahli keluarganya, sepertimana yang diberitahu oleh Aisyah RA;

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اشْتَرَى طَعَامًا مِنْ يَهُودِيٍّ إِلَى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعًا مِنْ حَدِيدٍ

Ertinya:”Bahawasanya Nabi SAW telah membeli makanan dari seorang Yahudi dengan (wang yang dihutangnya) sehingga satu tempoh (bayaran yang ditetapkan, dari sumber) gadaian baju besinya. (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Hal ini menunjukkan, bahawa Nabi SAW tidak suka meminta-minta, walaupun daripada sahabat baginda RA. Baginda SAW lebih rela berusaha sendiri bagi mendapatkan makanan untuk ahli keluarga baginda SAW, walaupun terpaksa berhutang dengan menggadaikan baju besi baginda SAW. Perbuatan baginda Nabi SAW ini menjadi pengajaran buat kita semua supaya jangan jadi orang yang suka meminta-minta.

Islam telah menggariskan beberapa tanggungjawab yang perlu difahami oleh para penghutang, antaranya ialah;

Pertama; Hutang adalah satu bentuk amanah dan amanah tersebut adalah sesuatu yang wajib dipulangkan kepada pemilik asalnya. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Nisa, ayat 58:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya  (yang berhak menerimanya), dan apabila mejalankan hukum di antara manusia (Allah menyuruh)kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat”.

Di penghujung  ayat ini Allah SWT telah memberitahu kepada kita semua, bahawa dia sentiasa mendengar akan ungkapan kita untuk memenuhi sesuatu amanah dan Allah juga sentiasa memerhatikan kita, adakah kita telah bertindak dengan cara yang betul untuk memulangkan sesuatu amanah.

Kedua;. Berdosa besar bagi sesiapa berhutang dengan berniat serta merancang dengan tipu helah untuk tidak membayar hutangnya buat selama-lamanya, demi mendapatkan keuntungan dan lari daripada tanggungjawab untuk membayar hutang. Allah SWT memberi khabar ancaman melalui lisan baginda Nabi SAW, dengan balasan seksaan di dunia dan di akhirat:

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلاَفَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengambil harta orang lain (secara berhutang) dengan niat untuk membayarnya, maka Allah akan (memudahkan untuk dia) membayarnya. Dan barangsiapa yang mengambilnya (secara berhutang) dengan tujuan (tidak) mahu membayarnya maka Allah akan membinasakannya. (Hadis Riwayat Al-Bukhari).

Kesimpulannya, berhutang merupakan jalan keluar yang dibenarkan oleh syarak, bagi sesiapa yang berada di dalam kesempitan dan kesusahan hidup. Barang siapa berhutang dengan niat akan berusaha melangsaikan hutang tersebut, maka mudah-mudahan Allah SWT akan membantu untuk melangsaikannya, dan barangsiapa dengan sengaja tidak membayar hutang tersebut dalam keadaan mempunyai kemampauan untuk melunaskannya, maka dia telah melakukan satu dosa yang besar disisi Allah SWT, oleh itu hendaklah dia bertaubat dengan cara berusaha melangsaikan hutang tersebut dan memohon ampun kepada Allah SWT.

Cetak
Wallahu a'lam