Zikir Harian

Zikir dan Doa Jumlah paparan: 1263

 

ZIKIR HARIAN

Oleh: Ustaz Mohamad Abdul Kadir binSahak

 

بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ، ولاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ

Maksudnya:  “Dengan nama Allah, daku bertawakal kepada Allah[1], tiada keupayaan dan kekuatan melainkan dengan Allah.” Dikatakan kepadanya pada ketika itu[2]: “Kamu telah diberi hidayah[3], diberi kecukupan[4] dan diberi perlindungan[5].” Lalu syaitan yang bersama dengannya segera menjauhkan dirinya dan syaitan lain akan berkata kepada syaitan yang menjauhkan dirinya itu, apa yang kamu boleh buat terhadap seorang yang telah diberi hidayah, kecukupan dan perlindungan?” (Riwayat Abu Daud di dalam Sunannya dan dinilai Sahih oleh al-Albani)

اللَّهُمَّ أَعُوذُ بِكَ أَنْ أَضِلَّ، أَوْ أُضَلَّ، أَوْ أَزِلَّ، أَوْ أُزَلَّ، أَوْ أَظْلِمَ، أَوْ أُظْلَمَ، أَوْ أَجْهَلَ، أَوْ يُجْهَلَ عَلَيَّ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya daku berlindung kepada-Mu dari menjadi sesat[7] atau aku disesatkan oleh seseorang, dari daku tergelincir[8] (atau menjadikan orang lain tergelincir) atau aku digelincirkan oleh seseorang, dari aku berlaku zalim[9] terhadap diriku sendiri atau orang lain atau aku dizalimi oleh seseorang, dari aku bertindak bodoh atau diperbodohkan.” (Riwayat Abu Daud di dalam Sunannya dan dinilai Sahih oleh al-Albani)

Daripada Abu Malik al-As’ariy أبو مالك الأشعري katanya: “Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu akan masuk ke dalam rumahnya, bacalah:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَ الْمَوْلَجِ، وَخَيْرَ الْمَخْرَجِ، بِسْمِ اللَّهِ وَلَجْنَا، وَبِسْمِ اللَّهِ خَرَجْنَا، وَعَلَى اللَّهِ رَبِّنَا تَوَكَّلْنَا

Maksudnya: Ya Allah sesungguhnya daku memohon kepada-Mu sebaik-baik tempat masuk dan sebaik-baik tempat keluar. Dengan nama Allah, kami masuk dan ke atas Allah, tuhan kami, kami bertawakal.” Kemudian berilah salam kepada ahli keluarga kamu.”  (Riwayat Abu Daud)

Para ulama berbeza pandangan berkaitan darjat hadis ini. Ibn Muflih[10] menilainya sebagai Hasan di dalam al-Adab al-Syar’iyyah 1/299. al-Albani di peringkat awal menilai hadis ini sebagai Sahih di dalam al-Silsilah al-Sahihah, namun menarik semula penilaian ini kepada dhaief (lemah).[11]  

Seseorang muslim boleh mengambil mana-mana pandangan ulama di atas, kerana persoalan penilaian hadis sahih dan dhaief adalah persoalan ijtihad yang tidak boleh diperbalahkan. Selain itu, jika dhoief sekalipun hadis ini, ia bukan dhoief yang bersangatan. Demikian juga asal menyebut nama Allah ketika hendak masuk ke dalam rumah dinyatakan di dalam hadis yang sahih dan dipersetujui oleh kebanyakan para ulama.

Kata al-Imam al-Nawawi RH:

يُستحبّ أن يقول إذا دخلَ بيتَه: باسم الله، وأن يكثرَ من ذكر الله تعالى، وأن يسلّمَ سواء كان في البيت آدميّ أم لا، لقول الله تعالى: (فإذَا دَخَلْتُمْ بُيُوتاً فَسَلِّمُوا على أنْفُسِكُمُ تَحِيَّةً مِنْ عِنْدِ اللَّهِ مُبَارَكَةً طَيِّبَةً)

Maksudnya: “Digalakkan dibaca ketika hendak memasuki rumah: “bismilLah”, membanyakkan zikirullah, membari salam sama ada terdapat orang di dalam rumah atau tidak berdasarkan firman Allah SWT: “Apabila kamu akan memasuki rumah-rumah, maka berilah salam (kepada penghuninya, yang bererti memberi salam) kepada dirimu sendiri, dengan salam yang penuh barakah dan baik di sisi Allah.” (al-Nur: 61)”[12]

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 8/92 dinyatakan:  

اتَّفَقَ أَكْثَرُ الْفُقَهَاءِ عَلَى أَنَّ التَّسْمِيَةَ مَشْرُوعَةٌ لِكُل أَمْرٍ ذِي بَالٍ، عِبَادَةٍ أَوْ غَيْرِهَا

Maksudnya: “Telah bersepakat kebanyakan fuqaha bahawa membaca basmalah disyari’atkan pada setiap perkara yang memiliki nilai, sama ada perkara yang memiliki nilai itu satu ibadah atau selain ibadah.”

اللهُمَّ اجْعَلْ فِي قَلْبِي نُورًا، وَفِي لِسَانِي نُورًا، وَاجْعَلْ فِي سَمْعِي نُورًا، وَاجْعَلْ فِي بَصَرِي نُورًا، وَاجْعَلْ مِنْ خَلْفِي نُورًا، وَمِنْ أَمَامِي نُورًا، وَاجْعَلْ مِنْ فَوْقِي نُورًا، وَمِنْ تَحْتِي نُورًا، اللهُمَّ أَعْطِنِي نُورًا

Maksudnya: “Ya Allah jadikanlah cahaya di dalam hatiku, jadikanlah cahaya pada lidahku, jadikanlah cahaya pada pendengaranku, jadikanlah cahaya pada penglihatanku, jadikanlah cahaya dari belakangku dan cahaya dari hadapanku, jadikanlah cahaya dari atasku, cahaya dari bawahku. Ya Allah kurniakanlah cahaya kepadaku.”[13]

Kata Ibn Hajar al-‘Asqalani RH: “Hadis ini Sahih.” Berdasarkan riwayat Muslim daripada Wasil bin ‘Abd al-A’la واصل بن عبد الأعلى:

اللهُمَّ اجْعَلْ فِي قَلْبِي نُورًا، وَفِي لِسَانِي نُورًا، وَاجْعَلْ فِي سَمْعِي نُورًا، وَاجْعَلْ فِي بَصَرِي نُورًا، وَاجْعَلْ مِنْ خَلْفِي نُورًا، وَمِنْ أَمَامِي نُورًا، وَاجْعَلْ عَنْ يَمِيْنِيْ نُورًا وَعَنْ يَسَارِيْ نُورًا، اَللَّهُمَّ أَعْظِمْ لِيْ نُورًا

Maksudnya: “Ya Allah jadikanlah cahaya di dalam hatiku, jadikanlah cahaya pada lidahku, jadikanlah cahaya pada pendengaranku, jadikanlah cahaya pada penglihatanku, jadikanlah cahaya dari belakangku dan cahaya dari hadapanku, jadikanlah cahaya dari kananku dan cahaya dari kiriku. Ya Allah besarkanlah cahaya untukku.”[14]

            al-Imam al-Qurtubi RH menyatakan cahaya-cahaya yang dipohon oleh Nabi SAW di dalam doa ini boleh difahami secara zahirnya. Iaitulah ia memaksudkan agar dijadikan cahaya pada setiap yang diminta terdiri dari anggota-anggota dan arah-arah yang disebutkan di dalam doa, agar berperanan meneranginya dari kegelapan hari kiamat. 

Namun al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani berpandangan lebih utama ia difahami memaksudkan ilmu dan hidayah sepertimana firman Allah SWT:  وَجَعَلۡنَا لَهُۥ نُورٗا يَمۡشِي بِهِۦ فِي ٱلنَّاسِ  yang bermaksud: “…dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang (ilmu dan hidayah), yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia…” (al-An’am: 122). Justeru meminta cahaya pada pendengaran memaksudkan perkara-perkara yang didengar terdiri dari ilmu dan hidayah. Cahaya pada penglihatan memaksudkan penyingkap kepada ilmu dan hidayah terdapat apa-apa yang dilihat. Cahaya pada hati memaksudkan penyiingkap segala maklumat. Cahaya pada anggota-anggota memaksudkan anggota yang digunakan untuk melakukan ketaatan. Demikian juga bermaksud anggota yang dihiasi dengan cahaya ilmu dan ketaatan bebas dari selainnya. Permohonan dikurniakan cahaya dari arah yang enam adalah kerana syaitan mendatangkan keraguan kepada manusia dari enam arah tersebut. Justeru dipohon agar dikurniakan cahaya ilmu dan hidayah dari enam arah tersebut agar bebas dari tipu-daya dan hasutan syaitan.[15]   

Masuk ke dalam masjid dengan mendahulukan kaki sebelah kanan[16], dan membaca doa seperti:  

أَعُوذُ بِاللَّهِ الْعَظِيمِ، وَبِوَجْهِهِ الْكَرِيمِ، وَسُلْطَانِهِ الْقَدِيمِ، مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya:  “Aku berlindung dengan Allah yang Maha Agung dan dengan wajahnya yang Maha Mulia[17] dan dengan kesultanannya yang qadim daripada syaitan yang direjam.” Apabila dibacakan sedemikian, syaitan akan berkata: “Kamu terpelihara daripadaku sepanjang hari ini.” (HR Abu Daud. Kata Ibn Hajar: “Hadis ini gharib dan semua periwayatnya muwatthaqun, mereka terdiri dari para perawi al-Sahih melainkan Ismail dan ‘Uqbah. Al-Nawawi di dalam al-Azkar berkata: “Hadis Hasan, diriwayatkan oleh Abu Daud dengan Isnad yang baik (jayyid)”)

بِسْمِ اللـهِ، وَالصَّلاةُ وَالسَّلامُ عَلَى رَسُولِ الله، اللَّهُمَّ افْتَحْ لِي أبْوَابَ رَحْمَتِكَ

Maksudnya: “Dengan nama Allah (daku masuk ke dalam masjid ini), selawat[18] dan salam ke atas Rasulillah, Ya Allah bukakanlah untukku pintu-pintu rahmat-Mu.”[19]

            Keluar dari masjid dengan mendahulukan kaki sebelah kiri[20] dan membaca doa:

بِسْـمِ اللَّـهِ وَالصَّلاةُ وَالسَّلامُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ إنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ، اللَّهُمَّ اعْصِمْنِي مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيم

Maksudnya: “Dengan nama Allah, selawat dan salam ke atas Rasulillah SAW. Ya Allah sesungguhnya daku memohon kepada-Mu (dikurniakan) kelebihan-kelebihan-Mu.[21] Ya Allah peliharalah daku dari syaitan yang direjam[22].”

Kata al-Tibi RH:

Maksudnya:  “Rahsia mengkhususkan (permohonan dikurniakan) rahmah ketika masuk (ke dalam masjid) dan (permohonan dikurniakan) kelebihan ketika keluar (dari masjid), iaitulah sesiapa yang masuk (ke dalam masjid) akan menyibukkan diri dengan apa-apa yang dapat menjadikan dia memperolehi pahala dan syurga. Maka sesuai permohonan rahmat. Apabila keluar (dari masjid) dia menyebukkan diri dengan perkara-perkara mendatangkan rezeki yang halal. Maka sesuai permohonan kelebihan sepertimana firman Allah Taala (setelah perintah menunaikan solat Jumaat): “Maka bertebaranlah di atas muka bumi Allah dan carilah kelebiahan-kelebihan (kurniaan) Allah.”

------------------------------------------- 

[1] “Daku bertawakal kepada Allah” bermaksud: “Daku menyerahkan semua urusanku kepada Allah.”

[2] Yang berkata itu mungkin Allah atau malaikat.

[3] Iaitulah hidayah kepada kebenaran dan kebaikan seperti diberikan taufiq agar berada dalam keadaan sentiasa mengingati Allah, direzekikan petunjuk dalam setiap perbuatan, perkataan dan keadaan.

[4] Iaitulah semua keburukan dijauhkan darinya.

[5] Iaitulah dipelihara dari setiap yang tersembunyi terdiri dari keburukan dan sesuatu yang menyakit dan memudharatkan.

[6] Nama sebenarnya Hind binti Abi Umayyah al-Makhzumiyyah هند بنت أبي أمية المخزومية. Beliau juga merupakan salah seorang isteri Nabi SAW.

[7] Sesat atau kesesatan ialah berlawanan dengan petunjuk atau hidayah. Orang ‘Arab apabila mereka berkata: ضل الشيء “sesuatu itu telah tersesat” maksudnya “sesuatu itu telah hilang.” Apabila mereka berkata: ضل عن الطريق “Dia telah tersesat dari jalan itu” bermaksud: “telah berjauhan dari jalan sebenarnya.”   

[8] “tergelincir” adalah terjemahan yang dipilih untuk kalimah: أزلّ yang berasal dari kalimah al-Zallah الزلّة yang memaksudkan kesalahan.  

[9] Zalim ialah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.

[10] Beliau ialah al-Imam Shams al-Din, Abu Abd Allah, Muhammad bin Muflih al-Maqdisi al-Hanbali شمس الدين أبو عبد الله، محمد بن مفلح المقدسي الحنبلي (W763H)

[11] Lihat al-Silsilah al-Da’iefah 12/731-732, al-Qism al-Awwal 5501-5769. Cetakan pertama 1425H/2004M, Maktabah al-Ma’arif li al-Nasyr wa al-Tauzi’, Riyadh Saudi

[12] al-Azkar, halaman 23

[13] Lihat Nata-ij al-Afkar fi Takhrij Ahadith al-Azkar oleh al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani (773H-852H), Cetakan Dar Ibn Kathir, Beirut Lebanon. Tahkik Hamdi ‘Abd al-Majid al-Salafi 1/266.

[14] Ibid

[15] Lihat Fath al-Bari oleh al-Hafidz Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqalani 11/122, tahkik ‘Abd al-Qadir Syaibah al-Hamd, Riyadh Saudi, kos percetakan oleh Sahib al-Sumuw al-Malaki al-Amir Sultan bin ‘Abd al-‘Aziz Aali Sa’ud. Cetakan pertama 1421H/2001M

[16] Berdasarkan perkataan Anas bin Malik: “Termasuk di dalam sunnah, apabila kamu masuk ke dalam masjid untuk memulakan dengan kaki kanan. Apabila keluar memulakan kaki kiri.” Diriwayatkan oleh al-Hakim 1/218 dan beliau menilainya sebagai sahih berdasarkan syarat Muslim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Dinilai Hasan oleh al-Albani. Lihat al-Silsilah al-Ahadith al-Sahihah oleh al-Albani 5/624, hadis bilangan 2478.

[17] Orang ‘Arab mengungkapkan kalimah al-Karim kepada sesuatu yang memberi manfaat berterusan dan mudah memperolehinya. Setiap sesuatu yang mengungguli berbanding yang lainnya dalam kumpulannya, maka orang ‘Arab akan menyifatkannya sebagai al-Karam الكرم kemuliaan. Tidak diungkapan al-Karam الكرم untuk menyifatkan sesuatu melainkan pada yang memiliki kebaikan yang amat banyak. Orang ‘Arab juga berkata: كرّم الله وجهك bermaksud: “Semoga Allah memuliakan kamu.” Digunakan kalimah wajah pada yang paling mulia yang dimaksudkan dan yang paling agung apa-apa yang diharapkan. Maka wajah Allah yang maha mulia adalah yang paling mulia untuk dihadapkan dan yang paling agung untuk dijadikan perantara dalam permintaan. Wajah Allah pula ialah yang layak dengan keagungan-Nya. Ia adalah salah satu dari sifat zatiyyah yang tiada persamaan dengan makhluknya. Dialah tuhan yang tiada sesuatupun menyerupainya, Dialah tuhan yang maha mendengar lagi maha memerhati.” Mengkhususkan sebutan wajah Allah yang Maha Mulia dan kesultanan/kekuasaan-Nya yang Maha Hebat ketika memohon perlindungan adalah kerana permohonan perlindungan layak dengan sesuatu yang menggambarkan kemuncak kemuliaan dan ketinggian lagi penguasaan yang sempurna yang tidak akan mensia-siakan sesiapapun yang memohon perlindungan dan tidak akan menyerahkan mereka kepada yang lain, juga tidak akan mensia-siakan harapan sesiapa yang mengharap. Semua ini tidak akan diperolehi melainkan dari Allah SWT.        

[18] Berdasarkan hadis Anas bin Malik RA yang berkata: “Dahulunya Rasulullah SAW apabila masuk ke dalam masjid membaca: بِسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ bermaksud: “Dengan nama Allah (daku masuk ke dalam masjid ini), ya Allah berselawatlah ke atas (nabi) Muhammad.” Apabila keluar, baginda membaca: بِسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ bermaksud: “Dengan nama Allah (daku masuk ke dalam masjid ini), ya Allah berselawatlah ke atas (nabi) Muhammad.” Riwayat Ibn al-Sunniy, Ahmad bin Muhammad bin Ishak bin Ibrahim (364H) di dalam ‘Amal al-Yaum wa al-lailah 1/80, Dinilai Hasan oleh al-Albani.

[19] Berdasarkan hadis Abu Humaid atau Abu Usaid al-Ansari yang berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu memasuki masjid, maka ucapkanlah salam ke atas Nabi SAW, kemudian membaca: اللَّهُمَّ افْتَحْ لِي أبْوَابَ رَحْمَتِكَ. Apabila keluar, membaca: اللَّهُمَّ إنِّي أسألُكَ من فَضْلِك bermaksud: “Ya Allah, daku memohon kepada-Mu (dibukakan) pintu-pintu kelebihan-Mu.” Hadis dinilai Sahih oleh al-Syeikh Syu’aib al-Arna-outh, Sunan Abi Daud dengan tahkik oleh al-Syeikh Syu’aib, cetakan pertama 1430H/2009M Dar al-Risalah al-‘Alamiyyah 1/232.

[20] Berdasarkan riwayat Anas bin Malik RA seperti di atas.

[21] Lihat nota kaki 18 dan 19 di atas.

[22] Tambahan bacaan: “Ya Allah peliharalah daku dari syaitan yang direjam” berdasarkan riwayat Ibn Majah. Lihat Sahih Ibn Majah 1/129.

Cetak
Wallahu a'lam