Zikir Pagi Dan Petang

ZIKIR PAGI DAN PETANG

Yang dimaksudkan dengan zikir pagi hari iaitulah zikir yang dibaca selepas solat Subuh sehinggalah sebelum terbitnya matahari. Manakala zikir petang pula adalah zikir yang dibaca selepas solat ‘Asar sehinggalah sebelum tenggelam matahari. Dalam masa yang sama sekiranya seseorang terlepas dari membaca zikir-zikir ini dalam waktu yang ditetapkan disebabkan halangan, maka tidak mengapa jika dibaca luar dari waktunya.[1] Antara doa-doa tersebut ialah:

  • Daripada ‘Uthman bin ‘Affan RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Tiada seorang hambapun pada setiap pagi dan petang yang mengucapkan:

بِسْمِ اللهِ الَّذِيْ لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي اْلأَرْضِ وَلاَ فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ

Mafhumnya: Dengan nama Allah yang sesiapa berlindung dengannya, tiada sesuatupun yang dapat memberi mudharat kepadanya di langit mahupun di bumi, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. sebanyak tiga kali, tidak akan memudharatkanya sesuatupun.” (HR Abu Daud dan al-Tirmizi. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)

Al-Imam al-Qurtubi berkata tentang hadis ini: “Ia merupakan satu perkhabaran yang sahih dan perkataan yang benar, terbukti kebenarannya melalui dalil dan pengalaman. Daku sendiri semenjak mendengar hadis ini terus mengamalkannya, tiada suatupun mendatangkan mudharat kepadaku sehinggalah daku meninggalkan amalan ini, lalu aku disengat seekor kala jengking di Madinah pada malam hari, lalu aku berfikir, rupanya aku telah terlupa membaca kalimah zikir ini.” (Lihat al-Futuhaat al-Rabbaniyyah oleh Ibn ‘Allan: 3/100)

  • Al-Imam al-Tirmizi meriwayatkan: “Sesiapa yang pada petang hari mengucapkan tiga (3) kali:

أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Mafhumnya: Aku berlindung dengan kalimah Allah[2] yang sempurna[3], dari setiap kejahatan yang ada[4]” dia tidak akan disengat[5] pada malam tersebut.” (HR al-Tirmizi. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)

  • Daripada ‘Abdullah bin Khubaib RA katanya: “Kami pernah keluar pada suatu malam ketika hujan dan sangat gelap mencari Rasulullah SAW untuk baginda menunaikan solat bersama kami, lalu kami menemui baginda, baginda bersabda: “Katakan!” namun aku tidak mengucapkan sesuatupun. Kemudian baginda bersabda lagi: “Katakan!” namun aku tidak mengucapkan sesuatupun. Kemudian baginda bersabda lagi: “Katakan!” lalu aku bertanya: “Wahai Rasulullah, apa yang perlu aku ucapkan?” Baginda bersabda: “Bacalah قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ dan dua surah pelindung (قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّ اْلَفَلَقِ dan قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّ النَّاسِ) ketika petang dan pagi tiga kali, perkara itu memadai untukmu dari setiap perkara.” (HR Abu Daud dan al-Tirmizi. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Targhib)
  • Daripada Syaddad bin Aus RA, Nabi SAW bersabda: “Penghulu al-Istighfar ialah dengan mengucapkan:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّيْ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنِيْ وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوْءُ بِذَنْبِيْ فَاغْفِرْ لِيْ فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ.

Mafhumnya: Ya Allah! Engkau adalah Tuhanku[6], tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan aku. Aku adalah hambaMu. Aku sentiasa setia pada perjanjianku[7] denganMu semampuku. Aku berlindung denganMu dari kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui kepadaMu banyaknya nikmatMu kepadaku dan aku mengakui juga banyaknya dosaku, oleh karena itu, ampunilah daku. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau. Sesiapa yang mengucapkan istighfar ini pada siang hari (pagi hari), membenarkan dan berkeyakinan dengan isi kandungannya, jika dia mati pada hari tersebut sebelum petang, maka dia termasuk dari kalangan penghuni Syurga. Dan sesiapa yang mengucapkannya pada malam hari, membenarkan dan berkeyakinan dengan isi kandungannya, jika dia mati sebelum pagi hari, maka dia termasuk dari kalangan penghuni Syurga” (HR al-Bukhari)

  • Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud RA katanya: “Dahulunya Nabi Allah SAW ketika petang hari akan mengucapkan:

أَمْسَيْنَا وَأَمْسَى الْمُلْكُ لِلَّهِ، وَاْلحَمْدُ لِلَّهِ، لَاإِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ، رَبِّ أَسْأَلُكَ خَيْرَ مَا فِيْ هَذَهِ اللَّيْلَةِ وَخَيْرَ مَا بَعْدَهَا، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا فِيْ هَذَهِ اللَّيْلَةِ وَشَرِّ مَا بَعْدَهَا، رَبِّ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْكَسَلِ وَسُوْءِ الْكِبَرِ، رَبِّ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَذَابٍ فِي النَّارِ وَعَذَابٍ فِي الْقَبْرِ

Mafhumnya: “Kami telah memasuki waktu petang dan kerajaan hanya milik Allah, segala puji bagi Allah. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya. BagiNya kerajaan dan bagiNya pujian. Dialah Yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Wahai Tuhan, aku mohon kepadaMu kebaikan di malam ini dan kebaikan sesudahnya. Aku berlindung kepadaMu dari kejahatan malam ini dan kejahatan sesudahnya. Wahai Tuhan, aku berlindung kepadaMu dari kemalasan dan dari kejelekan di hari tua. Wahai Tuhan! Aku berlindung kepadaMu dari siksaan Neraka dan kubur.”

Jika doa ini dibaca pada waktu pagi, lafaznya adalah seperti berikut:

أَصْبَحْنَا وَأَصْبَحَ الْمُلْكُ للهِ، وَاْلحَمْدُ لِلَّهِ، لَاإِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ، رَبِّ أَسْأَلُكَ خَيْرَ مَا فِيْ هَذَا الْيَوْمِ وَخَيْرَ مَا بَعْدَهُ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا فِيْ هَذَا الْيَوْمِ وَشَرِّ مَا بَعْدَهُ، رَبِّ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْكَسَلِ وَسُوْءِ الْكِبَرِ، رَبِّ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَذَابٍ فِي النَّارِ وَعَذَابٍ فِي الْقَبْرِ

Mafhumnya: “Kami telah memasuki waktu pagi dan kerajaan hanya milik Allah, segala puji bagi Allah. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya. BagiNya kerajaan dan bagiNya pujian. Dialah Yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Wahai Tuhan, daku mohon kepadaMu kebaikan hari ini dan kebaikan sesudahnya. Aku berlindung kepadaMu dari kejahatan hari ini dan kejahatan sesudahnya. Wahai Tuhan, daku berlindung kepadaMu dari kemalasan[8] dan dari kejelekan di hari tua[9]. Wahai Tuhan! Aku berlindung kepadaMu dari siksaan Neraka dan kubur.” (HR Muslim)

  • Diriwayatkan oleh Ibn al-Sunniy daripada Abu Darda’ RA, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang setiap pagi dan petang mengucapkan:

حَسْبِيَ اللهُ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ.

Mafhumnya: “Memadailah bagiku dengan Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, kepadaNya aku bertawakal. Dialah Tuhan yang menguasai ‘Arsy yang agung,” dibaca sebanyak tujuh kali, Allah akan mencukupkan apa yang dikehendakinya dari urusan dunia dan akhirat.”[10]

  • Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang pada pagi dan petang hari mengucapkan:

سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ

Mafhumnya: Maha Suci Allah[11] dan dengan segala pujian[12] untukNya, seratus kali (100 kali)tatacara[13], tidak akan datang pada hari kiamat seseorang lain membawa sesuatu yang lebih utama berbanding dengan apa yang dia bawa, melainkan seseorang lain yang datang dengan membawa ganjaran seperti yang dia baca atau orang itu membaca lebih daripadanya.”[14] (HR Muslim)

  • Di dalam Sunan al-Tirmizi, Abu Daud dan yang lainnya, Nabi SAW mengajar para sahabat baginda dengan berkata: “Apabila seseorang daripada kamu berada pada pagi hari hendaklah dia mengucapkan:

اَللَّهُمَّ بِكَ أَصْبَحْنَا، وَبِكَ أَمْسَيْنَا، وَبِكَ نَحْيَا، وَبِكَ نَمُوْتُ وَإِلَيْكَ النُّشُوْرُ.

Mafhumnya: “Ya Allah, dengan nikmat dan pertolonganMu kami dapat memasuki waktu pagi, dan dengan nikmat dan pertolonganMu kami memasuki waktu petang. Dengan nikmat dan pertolonganMu kami hidup dan dengan kehendakMu kami mati. Dan kepadaMu kebangkitan (bagi semua makhluk pada hari kiamat).” Apabila petang hari hendaklah dia ucapkan:

اَللَّهُمَّ بِكَ أَمْسَيْنَا، وَبِكَ أَصْبَحْنَا، وَبِكَ نَحْيَا، وَبِكَ نَمُوْتُ وَإِلَيْكَ الْمَصِيْرُ.

Mafhumnya: “Ya Allah, dengan nikmat dan pertolonganMu kami dapat memasuki waktu petang, dan dengan nikmat dan pertolonganMu kami memasuki waktu pagi. Dengan nikmat dan pertolonganMu kami hidup dan dengan kehendakMu kami mati. Dan kepadaMu kebangkitan (bagi semua makhluk pada hari kiamat).” (HR al-Tirmizi dan Abu Daud. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)

  • Abu Hurairah meriwayatkan, Abu Bakr RA pernah bertanya kepada Nabi SAW: "Wahai Rasulullah ajarkan kepada saya bacaan yang perlu saya baca pada pagi dan petang hari, sabda Nabi SAW, bacalah:

اللَهُمَّ فَاطِرَ السَّمَوَاتِ وَاْلأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، رَبَّ كُلِّ شَيْءٍ وَمَلِيْكَهُ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ نَفْسِيْ وَشَرِّ الشَّيْطَانِ وَشِرْكِهِ.

Mafhumnya: ”Ya Allah, Tuhan Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib dan nyata, Tuhan dan Raja (pemilik) setiap sesuatu. Aku bersaksikan bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Dikau,[15] daku memohon perlindungan denganMu dari kejahatan diriku dan dari kejahatan syaitan dan kesyirikannya.”[16] Di dalam riwayat lain ada tambahan:

وَأَنْ أَقْتَرِفَ عَلَى نَفْسِيْ سُوْءًا، أَوْ أَجُرَّهُ إِلَى مُسْلِمٍ

Mafhumnya: ”dan aku (berlindung denganMu) dari berbuat kejahatan terhadap diriku sendiri atau mengenakannya kepada muslim lain.” Seterusnya baginda bersabda: “bacakan bacaan ini ketika waktu pagi dan waktu petang dan apabila engkau mendatangi tempat tidur.” (HR al-Tirmizi dan Abu Daud. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Tirmizi)

Hadis ini menghimpunkan permohonan perlindungan kepada Allah SWT dari empat perkara yang berhubung-kait dengan kejahatan, iaitulah:

Pertama: Kejahatan diri yang boleh melahirkan amal-perbuatan yang jahat, dosa dan maksiat kepada Allah SWT.

Kedua: Kejahatan syaitan, berpunca dari permusuhannya yang bersangatan kepada manusia. Hasilnya ia sentiasa berusaha untuk menggerakkan manusia untuk melakukan kemaksiatan dan dosa, juga merangsangkan kebatilan ke dalam diri manusia.

Ketiga: Seseorang melakukan keburukan untuk dirinya sendiri. Ia termasuk dalam akibat sesuatu kejahatan yang diantaranya akan kembali kepada dirinya sendiri.

Keempat: Kesan kejahatan yang dilakukan oleh seseorang sehingga merebak kepada orang lain.

  • Daripada Abdullah bin ‘Umar RA katanya: “Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan ungkapan-ungkapan doa ini ketika petang dan pagi:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي ، وَآمِنْ رَوْعَاتِي، اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ، وَمِنْ خَلْفِي، وَعَنْ يَمِيْنِيْ، وَعَنْ شِمَالِي، وَمِنْ فَوْقِيْ، وَأَعُوْذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِيْ

Mafhumnya: “Ya Allah sesungguhnya aku memohon keselamatan di dunia dan di akhirat,[17] Ya Allah sesungguhnya aku memohon keampunan dan keselamatan agama[18], dunia[19], akhirat[20], ahli keluarga[21] dan harta bendaku[22]. Ya Allah tutupilah keaibanku[23], amankan daku dari semua ketakutan dan krisis. Ya Allah peliharalah daku dari kemerbahayaan dari hadapan, dari belakang, dari sebelah kanan, dari sebelah kiri, dan dari arah atasku. Aku juga memohon perlindungan dengan keagunganMu dari bala bencana dari bawahku.[24] (HR Abu Daud dan Ibn Majah. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Ibn Majah)

Doa ini menghimpunkan semua permohonan perlindungan dari Allah dari setiap perkara yang mendatangkan keburukan kepada manusia dan dari setiap arah tipu daya syaitan. Allah SWT berfirman:

  • Mafhumnya: "Kemudian Aku (syaitan) akan datangi mereka, dari hadapan serta dari belakang, dari kanan serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur". (al-A’raf: 17)
  • Di dalam Musnad Ahmad, hadis dari Abu Hurairah RA katanya: “Rasulullah SAW bersabda, siapa yang mengucapkan:

لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ

Mafhumnya: “Tiada Tuhan (yang berhak disembah) kecuali Allah, Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya. BagiNya kerajaan dan pujian. Dia Mahakuasa atas segala sesuatu, siapa yang membacanya sepuluh (10) kali pada pagi hari, Allah catitkan untuknya seratus (100) kebaikan, dan dihapuskan darinya seratus (100) kejahatan, dan untuknya pahala seumpama memerdekakan seorang hamba, dan dia dipelihara pada hari tersebut sehingga ke petang hari. Sesiapa yang membacanya pada petang hari, ia akan memperolehi kelebihan seperti itu jua.” (HR Ahmad di dalam al-Musnad. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam al-Sahihah)

Zikir ini juga boleh dibaca 100  kali setiap pagi[25] seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah RA yang bermaksud:

“Sesiapa yang mengucapkan:

لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ

100 kali dalam sehari, baginya pahala seperti memerdekakan 10 orang hamba, dicatitkan untuknya seratus kebaikan, dihapuskan seratus kejahatan dan dipelihara dari syaitan pada hari itu sehingga petang, dan tidak ada seseorang lain yang melakukan sesuatu yang lebih baik dari apa yang dilakukannya (dengan zikir tersebut), melainkan seorang lelaki yang melakukan (mengucapkan zikir tersebut) lebih banyak  dari apa yang diucapkannya. Dan sesiapa yang mengucapkan:

سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ

Mafhumnya: “Maha Suci Allah dan dengan segala pujianNya” dalam sehari seratus kali, dihapuskan kesalahan-kesalahannya, sekalipun sebanyak buih di lautan. (HR al-Bukhari dan Muslim)

  • Daripada Abdul Rahman bin Abza (عبد الرحمن بن أبزى) RA yang berkata: “Dahulunya Nabi SAW apabila pagi hari akan mengucapkan:

أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ اْلإِسْلاَمِ، وَكَلِمَةِ اْلإِخْلاَصِ، وَعَلَى دِيْنِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِيْنَا إِبْرَاهِيْمَ حَنِيْفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِيْنَ.

Mafhumnya: “Kami berada pada pagi hari dalam keadaan berpegang dengan fitrah (agama) Islam, dan kalimah al-Ikhlas[26], dan di atas agama Nabi kami Muhammad SAW, dan agama datuk kami Ibrahim, yang berdiri di atas jalan yang lurus, Muslim dan beliau bukanlah tergolong dari orang-orang musyrik.” (HR Musnad Ahmad. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)

Seseorang muslim yang memulakan harinya dengan zikir ini bermakna dia membuka lembaran harinya dengan menyebut kalimah-kalimah yang mengandungi maksud memperbaharukan iman, pengistiharan ketauhidan dan penegasan darinya untuk berpegang teguh dengan agama Nabi Muhammad SAW yang sama dengan agama Nabi Ibrahim AS yang bersih akidahnya kepada Allah SWT, dan menjauhi sebarang bentuk kesyirikan sama ada yang besar mahupun yang kecil.

  • Dari Ummu Salamah, Isteri Nabi SAW katanya: “bahawa Nabi SAW selepas solat Subuh, sebaik sahaja memberi salam akan mengucapkan:

اللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا

Mafhumnya: “Ya Allah daku memohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat[27], rezeki yang baik[28] dan amalan yang diterima[29].” (HR Musnad Ahmad dan Ibn Majah. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Ibn Majah)

Sesiapa yang memerhatikan doa ini, dia akan dapati doa ini amat bersesuaian dibaca pada tempatnya, iaitulah sebaik sahaja selesai menunaikan solat Subuh. Seorang muslim yang sebenarnya tiada apa yang benar-benar ingin dicapai dalam setiap harinya melainkan memperolehi tiga perkara ini iaitulah ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima oleh Allah SWT. Lalu dia bersegera memohon bantuan dari Allah agar memudahkan perkara yang sukar dan membantunya untuk memperolehi ketiga-tiga perkara tersebut. Ia sekaligus berperanan sebagai perangsang agar berusaha untuk memperolehinya.

            Setelah kita tahu semua perkara tersebut tidak ada dapat diperolehi melainkan keizinan Allah SWT, maka kita bersegera memohon, kembali dan berserah diri kepadaNya. Hal ini kerana tiada daya, upaya dan kekuatan untuk memperolehi sebarang kebaikan atau untuk menolak sebarang kemudharatan melainkan dengan keizinan dari Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

            Perkara lain yang perlu diperhatikan dari doa ini iaitulah permohonan dikurniakan ilmu yang bermanfaat didahulukan berbanding yang lain. Ia menggambarkan akan kepentingan ilmu yang bermanfaat mengatasi perkara lain. Dengan ilmu yang bermanfaat seserorang dapat membezakan antara rezeki yang baik dan sebaliknya, antara amalan soleh dan sebaliknya. Allah SWT berfirman:

Mafhumnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang Yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang Yang telah sia-sia amal usahanya Dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka Bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja Yang mereka lakukan". (al-Kahf: 103-104)

Kerana itu kadang-kala ada yang beranggapan mereka telah berusaha untuk memperolehi rezeki dan harta yang baik. Sedang pada hakikatnya harta mereka itu umpama najis yang memudharatkan. Tiada cara lain untuk mengenali antara perkara ini melainkan dengan ilmu yang bermanfaat. Kerana ini juga kita dapati terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW untuk berusaha memperolehi ilmu yang bermanfaat. Allah SWT berfirman:

Mafhumnya: "Katakanlah: "Adakah sama orang-orang Yang mengetahui Dengan orang-orang Yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang Yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang Yang berakal sempurna.” (al-Zumar: 9)

  • Dari Juwairiah (salah seorang isteri Nabi SAW) RA, Nabi SAW pernah keluar dari sisinya pada awal pagi waktu Subuh pergi ke masjid, ketika itu Juwairiah berada di tempat solatnya. Kemudian baginda pulang setelah masuk waktu Dhuha, Juwairiah ketika itu masih duduk di tempat solatnya, lalu baginda bersabda: “Kamu masih berada seperti keadaan ketika aku meninggalkan mu tadi?” Beliau menjawab: “Ya”. Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya tadi aku telah ucapkan empat kalimat sebanyak tiga kali |3x|, sekiranya kalimat itu ditimbang dengan apa yang kamu baca dari tadi, sudah tentu kalimat yang aku baca itu lebih berat”, iaitulah:

سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ، وَرِضَا نَفْسِهِ، وَزِنَةَ عَرْشِهِ، وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ 

Mafhumnya: “Maha Suci Allah dan dengan segala pujianNya sebanyak bilangan makhlukNya[30], seperti keredhaanNya[31], seberat timbangan arasyNya[32] dan sebanyak tinta tulisan kalimatNya.”  (HR Muslim)

-------------------------------- 

[1] Sila lihat Fiqh al-Ad’iyah wa al-Azkar oleh al-Syeikh ‘Abd al-Razzaq bin ‘Abd al-Muhsin al-Badr

[2] Sebahagian ulama berkata yang dimaksudkan dengan Kalimat Allah adalah al-Quran al-Karim. Ada juga yang berkata Kalimat Allah al-Kauniyyah al-Qadariah.

[3] Iaitulah yang sempurna dan tidak disertai sebarang kekurangan dan keaiban seperti perkataan manusia.

[4] Iaitulah dari setiap kejahatan yang ada pada makhluk terdiri dari haiwan atau lainnya, sama ada insan, jin, angin, petir dan seumpamanya terdiri dari setiap jenis bala’ di dunia mahupun akhirat. (Sila lihat Taisir al-‘Aziz al-Hamid oleh al-Syeikh Sulaiman bin ‘Abdullah, halaman: 213-214)

[5] Asal lafaz hadis menyebut: حُمَةٌ iaitulah patukan setiap binatang berbisa seperti Kalajengking dan seumpamanya.

[6] Kalimah رَبٌّ yang diterjemahkan sebagai Tuhan membawa maksud Tuhan Yang Mencipta, Yang Memiliki, Yang Mentadbir dan Yang Memberi Rezki.

[7] Sentiasa setia dengan janji untuk beriman, melaksanakan ketaatan dan mematuhi perintahMu.

[8] Dimaksudkan dengan “kemalasan” di sini iaitulah tiada dorongan diri untuk melakukan amalan kebaikan dalam keadaan ada kemampuan melakukannya, ia berbeza dengan orang yang tiada kemampuan, dimana mereka dianggap memiliki keuzuran.

[9] Dimaksudkan dengan “kejelekan hari tua”, iaitulah perkara yang menyusul apabila tua seperti nyanyuk, banyak kekeliruan dan seumpamanya terdiri dari perkara-perkara yang buruk.

[10] ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah, bil: 71. al-Albani menilai riwayat ini Sahih kepada Abu Darda’, dan perkara seumpama ini tidak akan dinyatakan oleh Abu Darda’ dari semata-mata pandangannya, melainkan ia datang dari Nabi SAW.

[11] Ungkapan سبحان الله yang bermaksud Maha Suci Allah dinamakan sebagai kalimah Tasbih iaitulah mensucikan Allah dari sebarang kekurangan dan keaiban.

[12] Ungkapan الحمد لله yang bermaksud segala pujian milik Allah dinamakan sebagai kalimah Tahmid iaitulah menetapkan kesempurnaan kepada Allah SWT.

[13] Penetapan bilangan 100 kali datang dari Allah dan Rasul berdasarkan hikmah yang dikehendaki oleh Allah, tidak diketahui tujuannya melainkan Allah SWT sahaja.

[14] Zikir seumpama ini dianjurkan dihitung dengan jari-jemari berdasarkan perbuatan Nabi SAW dan ia lebih memurnikan niat. ‘Abdullah bin ‘Amr berkata: رَأَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَعْقِدُ التَّسْبِيْحَ بِيَمِيْنِهِ bermaksud: “Aku melihat Rasulullah SAW menghitung ketika bertasbih dengan jari-jemari tangan kanan baginda.” (Abu Daud, bil: 1502. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Abu Daud, bil: 1330)

[15] Semua ungkapan permulaan ini merupakan pendahuluan doa yang indah. Di dalamnya terdapat pernyataan seorang hamba di hadapan Tuhannya akan kefakiran dan keperluannya terhadap Tuhannya. Juga pengakuan dari seorang hamba akan keagungan dan kebesaran Tuhannya.  Menetapkan sifat-sifat yang agung dan mulia kepada Allah SWT, setelah itu baru disusuli dengan permohonan kepadaNya.

[16] Doa ini  mengandungi permohonan dilindungi dari semua asal-usul kejahatan. Al-Imam Ibn al-Qayyim ketika memberi komentar kepada hadis ini berkata: “Baginda SAW menyebut dua sumber kejahatan iaitulah diri sendiri(nafsu)  dan syaitan. Baginda juga menyebut kesudahan atau natijah kejahatan tersebut iaitulah kembali kepada diri sendiri ataupun kepada saudara semuslim. Maka hadis ini telah menghimpunkan asal-usul kejahatan beserta kesan dan natijahnya dalam lafaz yang amat ringkas dan jelas.” (Lihat Badaai’ al-Fawa’id: 2/209) Kalimah وَشِرْكِهِ yang diterjemahkan sebagai “Dan kesyirikannya” ialah apa-apa yang diseru kepadanya terdiri dari perkara-perkara syirik. Diriwayatkan juga dengan dibaca وَشَرَكِهِ iaitulah perangkap dan jerat syaitan.

[17] Alangkah indah ungkapan doa ini. Sesungguhnya sesiapa yang dikurniakan keafiatan di dunia dan akhirat bermakna dia telah memperolehi seluruh kebaikan. Al-Imam al-Tirmizi meriwayatkan di dalam kitab Sunan daripada al-‘Abbas bin ‘Abdul Muttalib RA, bapa saudara Nabi SAW yang bertanya: “Wahai Rasulullah, ajarkan kepadaku sesuatu untuk aku memohon kepada Allah SWT.” Baginda bersabda: “Mintalah kepada Allah akan ‘Afiah (keselamatan).” Kata al-‘Abbas: “Berlalu beberapa hari, aku datang lagi dan bertanya: “Wahai Rasulullah, ajarkan kepadaku sesuatu untuk aku memohon kepada Allah SWT.” Lalu baginda bersabda kepadaku: “Wahai ‘Abbas, bapa saudara pesuruh Allah, mintalah kepada Allah akan ‘afiah di dunia dan akhirat.” (HR al-TIrmizi. Dinilah Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Tirmizi)

Di dalam al-Musnad dan Sunan al-Tirmizi, daripada Abu Bakr al-Siddiq RA, Nabi SAW bersabda:

سلوا الله العَفْوَ والعافية، فإن أحدا لم يعطَ بعد اليقين خيرا من العافية

Mafhumnya: “Mintalah kepada Allah kemaafan dan keafiatan, kerana sesungguhnya seseorang tidak dikurniakan suatu yang lebih baik setelah dia dikurniakan keyakinan berbanding dikurniakan keafiatan.” (Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)

Al-‘Afwa (العَفْوَ) yang diterjemahkan sebagai kemaafan iaitulah penutupan dosa. Manakala al-‘Afiah (العافية) pula ialah Allah memberi keamanan dari setiap balasan dan pancaroba, dengan dipalingkan keburukan dan dilindungi dari bala-bala dan penyakit-penyakit, dipelihara juga dari keburukan dan kejahatan.

[18] Memohon keselamatan agama membawa maksud memohon perlindungan dari setiap perkara yang boleh merosak dan mencacatkan agama.

[19] Memohon keselamatan dunia pula bermaksud memohon perlindungan dari setiap perkara yang boleh mendatangkan mudharat seperti musibah, bala, kemudharatan dan seumpamanya.

[20] Memohon keselamatan akhirat iaitulah memohon perlindungan dari keadaan-keadaan sukar dan perit, demikian juga dari semua kepayahan yang berupa balasan di sana.

[21] Keselamatan ahli keluarga merangkumi perlindungan dari fitnah, bala dan mihnah.

[22] Merangkumi perlindungan dari sesuatu yang memusnahkannya seperti terbakar, ditenggelami air, dicuri dan seumpamanya.

[23] Merangkumi maksud penutupan keburukan dan kekurangan diri. Juga semua yang mendatangkan keburukan jika disingkapkan. Termasuk juga pemeliharaan dari tersingkapnya aurat yang wajib ditutup.

[24] Menggambarkan kemerbahayaan dari arah bawah yang berupa balasan dari Allah SWT di atas maksiat yang dilakukan oleh manusia. Allah SWT berfirman:

Mafhumnya: “maka masing-masing Kami binasakan Dengan sebab dosanya, Iaitu di antaranya ada Yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya Dengan batu; dan ada Yang dibinasakan Dengan letusan suara Yang menggempakan bumi; dan ada Yang Kami timbuskan Dia di bumi; dan ada pula Yang Kami tenggelamkan di laut. dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah Yang menganiaya diri sendiri.” (al-Ankabut: 40)

[25] Kata al-Syeikh ‘Abdul Razaq bin ‘Abdul Muhsin al-Badr: “zikir ini bukanlah dikhususkan pada waktu pagi sahaja, akan tetapi memelihara zikir ini pada pagi hari adalah lebih afdhal, kerana padanya ada unsur bersegera melakukan kebaikan, dan memperoleh pahala dan dipelihara dari syaitan pada permulaan hari, kerana itu para ulama memasukkannya di dalam zikir pada pagi hari.”

[26] Kalimah al-Ikhlas adalah Kalimah Tauhid لاإله إلا الله

[27] Ungkapan ini menunjukkan ilmu itu terbahagi kepada dua, iaitulah ilmu yang bermanfaat dan yang tidak bermanfaat. Ilmu bermanfaat yang paling mulia ialah ilmu yang dapat menjadikan seseorang hampir kepada Tuhannya, mengenali agamanya berdasarkan bukti jelas (bukan berdasarkan khayalan, dogengan dan seumapamnya) yang dapat membimbing dia menuju kepada kebenaran. Allah SWT berfirman:

Mafhumnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) Yang jelas nyata keterangannya. Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa Yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) Yang terang-benderang, Dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan Yang lurus.” (al-Maidah: 15-16)

[28] Satu isyarat, rezeki terbahagi kepada dua, iaitulah yang baik dan tidak baik. Rezeki yang baik ialah rezeki yang diperolehi dengan cara yang halal, bukan dengan cara yang haram. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menerima melainkan yang baik sahaja. Dia mengarahkan kepada orang-orang beriman sama seperti arahanNya kepada para Rasul di dalam firmanNya:

Mafhumnya: “Wahai para rasul, makanlah dari benda-benda Yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; Sesungguhnya Aku Maha mengetahui akan apa Yang kamu kerjakan.” (al-Mukminun: 51) firmanNya lagi:

Mafhumnya: “Wahai orang-orang Yang beriman! makanlah dari benda-benda Yang baik (yang halal) Yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.” (al-Baqarah: 172)

[29] Dalam riwayat lain dinyatakan عَمَلًا صَالِحًا iaitulah amalan yang soleh. Ungkapan ini menunjukkan bukan semua amalan yang dilakukan seseorang diterima oleh Allah SWT. Sebaliknya yang hanya diterima hanyalah yang soleh sahaja. Amalan Soleh adalah AMALAN YANG DILAKUKAN HANYA KERANA ALLAH SEMATA-MATA, DAN YANG BERPANDUKAN KEPADA SUNNAH NABI MUHAMMAD SAW. Berkaitan hal ini, Allah SWT berfirman:

Mafhumnya: “Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat)” (al-Mulk: 2).

Ketika menerangkan maksud ayat ini, al-Fudhail bin ‘Iyadh berkata: “(Yang lebih baik amalannya) iaitulah: Yang lebih ikhlas dan lebih benar.” Lalu seseorang bertanya kepada beliau: “Bagaimanakah amalan yang lebih ikhlas dan lebih benar itu?” Jawab beliau: “Sesungguhnya sesuatu amalan jika dilakukan dengan ikhlas tetapi belum benar ia tidak akan diterima. Demikian juga jika benar tetapi tidak ikhlas, tidak akan diterima juga, sehinggalah sesuatu amalan itu dilakukan dengan ikhlas dan benar. Yang Ikhlas itu apa-apa yang dilakukan kerana Allah, manaka Yang Benar itu adalah apa-apa yang dilakukan berdasarkan sunnah.” (Riwayat Ibn Abi al-Dunya di dalam kitabnya al-Ikhlas wa al-Niyyah. Juga oleh Abu Nu’aim di dalam al-Hilyah)

[30] Tasbih dan Pujian yang layak kepada Allah SWT, yang tidak mampu dihitung dan dikira.

[31] Tasbih dan Pujian yang menandakan keagungan dan kemuliaan Allah yang menyamai keredhaanNya SWT, iaitulah yang tidak ada penghujungnya

[32] Hadis ini menetapkan adanya ‘Arasy. Ia juga mengisyaratkan ‘Arasy merupakan makhluk yang paling berat diciptakan oleh Allah SWT.  Hal ini kerana jika ada makhluk lain yang lebih berat sudah tentu ia akan dijadikan timbangan tasbih di sini.


Cetak  
Wallahu a'lam