Hikmah Pensyariatan Istikharah

Zikir dan Doa Jumlah paparan: 564

SOLAT ISTIKHARAH

Allah SWT Maha Tahu, manusia itu lemah… lalu Dia syariatkan solat al-Istikharah sebagai ubat dan penawar kepada tidak tahu, perungkai kepada kemusykilan… agar keraguan dapat berubah menjadi keteguhan dan keyakinan, kebimbangan menemui jalan keluar,  kegelisahan bertukar  ketenangan.

Bukankah dengan istikharah, bermakna seseorang telah mengadu kepada Tuhannya, meminta pilihan terbaik dari Tuhannya Yang Maha Mengetahui perkara tersembunyi dan nyata, mudharat dan manfaat. Dia jugalah Yang Maha Berkuasa untuk memalingkan semua keburukan dari seseorang hamba dan mendatangkan semua kebaikan kepadanya? FirmanNya:

Maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai Tuhan Yang mempunyai Kuasa pemerintahan! Engkaulah Yang memberi Kuasa pemerintahan kepada sesiapa Yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah Yang mencabut Kuasa pemerintahan dari sesiapa Yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga Yang memuliakan sesiapa Yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah Yang menghina sesiapa Yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya Segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Ali Imran: 26)

Ketikamana kandungan ayat ini telah bertapak kukuh di dalam jiwa seseorang hamba yang melakukan istikharah, maka sudah pasti dia akan tenang untuk menempuh apa yang akan berlaku di dalam hidupnya. Firman Allah:

Maksudnya: “katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa Yang dikehendaki Allah. dan kalau Aku mengetahui perkara-perkara Yang ghaib, tentulah Aku akan mengumpulkan Dengan banyaknya benda-benda Yang mendatangkan faedah dan (tentulah) Aku tidak ditimpa kesusahan.". (al-A’raf: 188)

Jika demikian kesedaran dan keyakinan seseorang, jadilah kehidupannya penuh dengan ketenangan, redha dengan setiap ketentuan sekalipun pada pandangan zahir manusia kelihatan ketentuan yang menimpanya itu buruk, tidak seperti yang didambakan.

            Setiap kita tidak dapat mengetahui hakikat setiap perkara seperti yang diketahui oleh Allah Yang Maha Agung. Kita tidak tahu secara pasti setiap perkara yang berlaku bagaimana kesudahannya… apa yang dikehendaki oleh Allah SWT, kita tidak tahu juga apa maksud dan hakikat setiap perkara yang menimpa. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Allah jualah Yang Maha Mengetahui, sedang kamu semua tidak mengetahuinya.” (al-Baqarah: 216)

            Jika demikian… maka seorang yang berakal semestinya bersegera melakukan istikharah kepada Tuhannya terlebih dahulu sebelum dia melakukan sesuatu. Dia tidak akan gopoh melakukan sesuatu melainkan setelah dia mengadu dan bertanya kepada Tuhannya terlebih dahulu. Seorang yang beriman sudah tentu meyakini bahawa Allah SWT tidak akan mentaqdirkan sesuatu melainkan kebaikan untuknya. Kerana Allah SWT tuhan yang tidak menzalimi hambaNya dan amat sayang lagi lunak dengannya.

Cetak
Wallahu a'lam