SDI 0627: Baca Yasin Sebelum Pergi Haji Atau Umrah

Soalan:
Ust, saya orang perlis... baru2 ni saya ikut kursus asas ibadah haji dan umrah. Salah seorg peserta berasal dr negeri lain, tetapi menetap di perlis beetanya kpd saya... kat perlis hampa tak buat baca yasin bila nak p umrah. Kami (bukan negeri perlis) bila nak p umrah, kami buat baca yasin... Soalan saya ust, knp di perlis tak buat baca yasin bila nak p umrah?
 
Jawapan:
 
1) Surah Yasin boleh dibaca pada bila-bila waktu yang dikehendaki. Diberi pahala sesiapa yang membacanya jika dengan cara dan tujuan yang betul. 
2) MENETAPKAN surah Yasin sebagai sunat dibaca apabila hendak pergi umrah adalah satu amalan rekaan yang tidak diambil dari tunjuk-ajar Nabi SAW. Perbuatan PENETAPAN ini seperti cuba menyaingi ajaran Nabi SAW. Kata al-Imam alSyatibi ketika memberi takrifan kepada Bidaah:
 
هي طريقة في الدين مخترعة، تضاهي الشريعة، يقصد بالسلوك إليها المبالغة في التعبد لله سبحانه
 
Maksudnya: "Bidaah ialah jalan dalam agama (beragama) yang direka-reka, ia menyerupai ajaran agama itu sendiri. Dimaksudkan menempuh jalan rekaan itu adalah bertujuan melampau dalam beribadah kepada Allah Yang Maha Suci." 
 
Rekaan dalam agama sepert ini akan menatijahkan matinya amalan sunnah yang sebenar. Apabila masyarakat mereka-reka amalan khusus sempena nak pergi umrah atau haji. Maka ucapan selamat tinggal kepada orang yang akan bermusafir seperti yang diajar oleh Nabi SAW hilang dan ditinggalkan. 
 
Sebenarnya, baginda Nabi SAW ada mengajarkan kepada kita bacaan yang wajar dibaca sebagai ucapan selamat tinggal kepada orang yang akan bermusafir. Bacaan ini teramat asing dalam masyarakat kita disebabkan mereka sibuk dengan amalan rekaan lain. Bacaan selamat tinggal yang saya maksudkan ialah:
 
i) Berdasarkan hadis riwayat Abu Daud (2601) dan selainnya daripada Abdillah bin alKhathmi (عَبْدِ اللَّهِ الْخَطْمِيِّ) yang berkata:
 
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَسْتَوْدِعَ الْجَيْشَ قَالَ
 
Maksudnya: "Dahulunya Nabi SAW, apabila hendak ucap selamat tinggal kepada pasukan tentera baginda akan berkata:
 
أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكُمْ وَأَمَانَتَكُمْ وَخَوَاتِيمَ أَعْمَالِكُم
 
Maksudnya: "Daku tinggalkan agama, keamanan dan kesudahan kerja-buat kamu semua kepada Allah." Hadis ini dinilai Sahih oleh alAlbani.
 
ii) Diriwayatkan oleh Ibn Majah (2825) dan selainnya daripada Abu Hurairah RA yang berkata:
 
وَدَّعَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ :
 
Maksudnya: "Rasulullah SAW pernah ucapkan selamat tinggal kepadaku dengan berkata:
 
أَسْتَوْدِعُكَ اللَّهَ الَّذِي لَا تَضِيعُ وَدَائِعُهُ
 
Maksudnya: "Daku tinggalkan kamu kepada Allah yang tidak akan sia-sia tinggalan-tinggalan kepadaNya." Hadis ini dinilai Sahih oleh alAlbani. 
 
iii) Diriwayatkan oleh alTirmizi (3444) daripada Anas RA: "Pernah seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan berkata: "Wahai Rasulullah, daku akan bermusafir, berikan bekalan kepadaku." Jawab baginda:
 
زَوَّدَكَ اللَّهُ التَّقْوَى
 
Maksudnya: "Semoga Allah memberi bekal taqwa kepadamu." Kata lelaki itu lagi: "tambah lagi bekalan untuk ku wahai Rasulullah." Jawab baginda:
 
وَغَفَرَ ذَنْبَكَ
 
Maksudnya: "Semoga Allah mengampunkan dosamu." Kata lelaki itu lagi: "Demi ibu dan bapaku, tambah lagi wahai Rasulullah." Jawab baginda:
 
وَيَسَّرَ لَكَ الْخَيْرَ حَيْثُمَا كُنْتَ
 
Maksudnya: "Dan semoga Allah memudahkan kebaikan untukmu di mana sahaja kamu berada." Hadis ini dinilai Sahih oleh alAlbani. 
 
iv) Diriwayatkan oleh alTirmizi (3443), daripada Salim, bahawa Ibn 'Umar pernah berkata kepada seorang lelaki yang hendak bermusafir: "Mari dekat padaku, daku hendak ucapkan selamat tinggal kepadamu sepertimana dahulu Rasulullah ucapkan selamat tinggal kepada kami." Lalu beliau mengucapkan:
 
أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ
 
Maksudnya: "Aku tinggalkan kepada Allah akan agama, keamanan dan penyudah kerja-buatmu." Hadis ini dinilai Sahih oleh alTirmizi dan alAlbani. 
 
Demikian beberapa bacaan dari Nabi SAW kepada orang yang akan bermusafir termasuklah musafir haji mahupun umrah. Ayuh kita menghidupkan semula sunnah Nabi SAW. Sesungguhnya semua kita telah bersepakat, tunjuk-ajar yang paling baik adalah dari Nabi SAW. Mari kita buktikan pengakuan kita ini.

Cetak  
Wallahu a'lam