Zikir Menuju Ke Masjid

Zikir dan Doa Jumlah paparan: 560
  1. Dari ’Abdullah bin ’Abbas RA, Nabi SAW keluar menuju ke masjid untuk menunaikan solat membaca:

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ فِيْ قَلْبِيْ نُوْرًا، وَفِيْ لِسَانِيْ نُوْرًا، وَ اجْعَلْ فِيْ سَمْعِيْ نُوْرًا، وَ اجْعَلْ فِيْ بَصَرِيْ نُوْرًا، وَ اجْعَلْ مِنْ خَلْفِيْ نُوْرًا، وَمِنْ أَمَامِيْ نُوْرًا، وَ اجْعَلْ مِنْ فَوْقِيْ نُوْرًا، وَمِنْ تَحْتِيْ نُوْرًا، اَللَّهُمَّ أَعْطِنِيْ نُوْرًا.

Mafhumnya:  “Ya Allah jadikanlah cahaya di hatiku, cahaya di lidahku, dan jadikan juga cahaya di pendengaranku, dan jadikan cahaya di penglihatan-ku, dan jadikan cahaya di belakangku, dan cahaya di hadapanku, dan jadikan cahaya di atasku, dan di bawahku cahaya. Ya Allah berikan kepadaku cahaya.” (HR Muslim)

Di dalam doa ini dipenuhi dengan permohonan dikurniakan cahaya. Ia bersesuaian dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, dimana baginda SAW bersabda: ”Dan solat itu adalah cahaya.” Maka solat merupakan cahaya bagi orang yang beriman ketika di dunia, di dalam kubur dan pada hari kiamat. Dalam hadis yang lain baginda SAW bersabda: ”Sesiapa yang memeliharanya (solat), maka dia akan memperolehi cahaya, bukti dan kejayaan pada hari kiamat. Sesiapa yang tidak memeliharanya, dia tidak akan mendapati cahaya, bukti dan kejayaan di hari kiamat.” (HR Ahmad di dalam al-Musnad. Ibn Baz berkata Sanad hadis ini Hasan di dalam Majmu’ Fatawanya.)

            Bersesuai dengan solat yang merupakan cahaya bagi orang yang beriman, maka sewajarnya ia dipohon kepada Allah agar diluaskan lagi pemberiannya ke tubuh badan seluruhnya dan meliputi dari setiap sisi.

  1. Ketika masuk ke dalam masjid membaca doa yang diriwayatkan dari Anas bin Malik RA yang berkata: ”Dahulunya Rasulullah SAW, apabila masuk ke dalam masjid, baginda membaca:

بِسْمِ اللهِ، اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ

Mafhumnya: “Dengan nama Allah, Ya Allah berselawatlah ke atas (Nabi) Muhammad.” Apabila baginda keluar, baginda akan membaca (seperti bacaan di atas)[1]:

بِسْمِ اللهِ، اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ

  1. Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: ”Apabila seseorang daripada kamu memasuki masjid, hendaklah dia mengucapkan salam ke atas Nabi SAW, dan membaca:

اَللَّهُمَّ افْتَحْ لِيْ أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ

Mafhumnya: “Ya Allah, bukakanlah untukku, pintu-pintu rahmatMu.” Dan apabila keluar dari masjid, mengucapkan salam ke atas Nabi SAW dan membaca:

اَللَّهُمَّ اعْصِمْنِيْ مِنَ الشَّيْطَانِ

Mafhumnya: ”Ya Allah, peliharalah daku dari syaitan.” (HR al-Nasa’ie, Ibn Majah dan al-Hakim. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’). Dalam sebahagian lafaz lain, dibaca:

اَللَّهُمَّ بَاعِدْنِيْ مِنَ الشَّيْطَانِ

Mafhumnya: “Ya Allah, jauhkan daku dari syaitan.”

  1. Dari Abu Humaid atau dari Abu Usaid RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu memasuki masjid, maka hendaklah ia membaca:

اَللَّهُمَّ افْتَحْ لِيْ أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ

Mafhumnya: “Ya Allah, bukakanlah untukku pintu-pintu rahmatMu.”[2]

Apabila keluar dari masjid, bacalah:

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ

Mafhumnya: “Ya Allah, sesungguhnya daku memohon dariMu, limpah kurniaMu.”[3] (HR Muslim)

  1. Dari ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash RA, dari Nabi SAW, dimana baginda apabila masuk ke dalam masjid akan membaca:

أَعُوْذُ بِاللهِ الْعَظِيْمِ وَبِوَجْهِهِ اْلكَرِيْمِ، وَسُلْطَانِهِ اْلقَدِيْمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ

Mafhumnya: Daku berlindung dengan Allah yang Maha Agung dan dengan wajahNya yang Maha Mulia, dan penguasaanNya yang al-Qadim (yang tidak ada pendahuluan) dari syaitan yang direjam. Apabila dibaca ungkapan ini, syaitan berkata: Dia dipelihara dariku sepanjang hari ini.” (HR Abu Daud. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Targhib)

------------------------------------------------------- 

[1] Riwayat Ibn al-Sunniy di dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah, dengan Sanad yang Lemah. Kata al-Albani RH: “Akan tetapi bagi hadis ini ada sokongan (Syahid) dari hadis Fatimah di sisi Ibn al-Sunniy dan al-Tirmizi, dan kata al-Tirmizi: Hadis Hasan.

[2] Permohonan rahmat ketika memasuki masjid kerana seseornang yang masuk ke dalam masjid mengharapkan akhirat. Maka permohonan rahmat adalah yang lebih khusus untuk kemaslahatan di sana. Dikatakan juga permohonan rahmat ini lebih bersesuaian dengan orang yang hendak masuk ke dalam masjid, kerana sudah  tentu  mereka akan menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT, mendapatkan pahala, dan memperolehi balasan syurga. Maka permohonan rahmat adalah yang lebih sesuai.

[3] Permohonan limpah kurnia ketika keluar dari masjid pula kerana seseorang yang keluar dari masjid akan menempuh kehidupan dunia, maka dia benar-benar mengharapkan limpah kurnia daripada Allah SWT. Hal ini telah diisyaratkan di dalam firmanNya:

Mafhumnya: “kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa Yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah.” (al-Jumuaah: 10). Apabila seseorang keluar dari masjid dia akan sibuk mencari limpah kurnia daripada Allah terdiri dari rezeki yang baik lagi halal dan seumpamanya. Maka permohonan limpah kurnia di sini adalah lebih bersesuaian. (Lihat Syarh al-Azkar oleh Ibn ‘Allan)

Cetak
Wallahu a'lam