Benarkah Berselawat Kepada Nabi SAW Tidak Perlu Ikhlas dan Boleh Riak?

Zikir dan Doa Jumlah paparan: 2559

Soalan:

Ustaz, benarkan kenyataan seorang tok sheikh yang kata selawat mesti ditunjukkan dgn riak? Berbeza dengan amalan lain.
 
Jawapan: 
 
Ada beberapa ulama yang berpandangan sedemikian. Namun pandangan itu lemah. Antara sandaran mereka untuk dakwaan ini ialah:
 
  1. Hadis yang memberitahu selawat ke atas Nabi SAW pasti akan diterima oleh Allah SWT.  Dalam hadis tersebut dikatakan baginda SAW bersabda:

عُرِضَتْ عَلَيَّ أَعْمَالُ أُمَّتِيْ فَوَجَدْتُ مِنْهَا الْمَقْبُوْلَ وَالْمَرْدُوْدَ إِلَّا الصَّلَاةَ عَلَيَّ

Maksudnya: “Dibentangkan kepadaku amalan-amalan umatku dan aku mendapati di antara amalan-amalan itu ada yang diterima dan ada pula yang ditolak melainkan selawat ke atasku.”

Namun hadis ini tidak Sahih. Kata al-Suyuti: “Daku belum mendapati hadis ini memiliki sanad.” (al-Durar al-Muntathirah Fi al-Ahadith al-Musytahirah oleh al-Imam Jalal al-Din bin Abd al-Rahman bin Abi Bakr al-Suyuti, hal: 149)

Al-‘Allamah Muhammad Amir al-Kabir berkata “Tidak sahih.” (al-Nukhbah al-Bahayyah Fi al-Ahadith al-Makzubah ‘Ala Khair al-Bariyyah, oleh al-‘Allamah Muhammad al-Amir al-Kabir al-Maliki, hal: 82)

  1. Perkataan al-Qalyyubi di dalam Hasyiahnya

ومَعْنى صَلاتِنا عَلَيْهِ - ﷺ - طَلَبُ الصَّلاةِ مِن اللَّهِ عَلَيْهِ إمّا لِزِيادَةِ المَراتِبِ لَهُ - ﷺ - فَإنَّها لا نِهايَةَ لَها، وإمّا لِحُصُولِ الثَّوابِ لَنا بِها، وإمّا لِكَمالِ الطّالِبِ وتَعْظِيمِ المَطْلُوبِ لَهُ فَهِيَ لَيْسَ مِنّا، ولِذَلِكَ لا يَدْخُلُها الرِّياءُ بِخِلافِ سائِرِ الأعْمالِ

Maksudnya:  “Dan selawat kita kepada baginda SAW ialah permohonan selawat dari Allah ke atas baginda, sama ada untuk Allah menambahkan kedudukan kepada baginda, maka ia suatu yang tiada penghujungnya, atau sama ada untuk mendapatkan pahala kepada kita dengan permohonan selawat tersebut, atau sama ada untuk kesempurnaan orang yang meminta dan mengagungkan pihak yang diminta untuknya (Nabi SAW). Maka ia bukan daripada kita. Kerana itu tidak masuk padanya (selawat itu) riya’, berbeza dengan amalan-amalan yang lain.”

Komentar

  1. Pentahkik kitab Hasyiata al-Qalyubi wa ‘Umairah, Abdul Hamid Handawi memberi komentar dengan katanya:

“Perkara ini tidak boleh diterima, kerana selawat ke atas Nabi SAW adalah satu kelebihan dan untuk diri (orang yang berselawat) ada habuan pada perbuatan menzahirkannya dari sudut memperolehi pujian dan sanjungan atas selawat yang dilakukan tersebut. Kerana itu, ia juga boleh dimasuki riak.”     

  1. Beberapa tokoh sufi juga ada yang membantah perkara ini. Antara mereka[1]:
  1. al-‘Allamah al-Syeikh Muhammad ‘Ala’ al-Din al-Hashkafi di dalam Syarh al-Dur al-Mukhtar yang menyatakan tidak mustahil selawat itu juga ditolak dan tidak diterima sama seperti kalimah tauhid, sedangkan kalimah tauhid itu lebih agung dan lebih utama berbanding ucapan selawat. Hal ini berdasarkan hadis daripada Anas RA:

من صلى على مرة واحدة، فتقبلت منه محا الله عنه ذنوب ثمانين سنة

Maksudnya: “Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, lalu diterima selawatnya itu, Allah akan memadamkan daripada dosanya selama 80 tahun.”[2]

Di dalam hadis ini, dikaitkan amalan (berselawat ke atas Nabi SAW) jika diterima oleh Allah SWT. Ibn ‘Abidin di dalam Hasyiahnya ketika mengulas berkaitan perkara ini menyatakan, kesimpulannya kadang-kala amalan selawat ke atas Nabi SAW itu juga terdedah kepada penolakan, iaitulah tidak diterima kerana penerimaan menurut tujuan yang diharapkan dari seseorang atas sesuatu yang dilakukannya. Syarat penerimaan itu pula suatu yang sukar. Allah SWT berfirman: “Hanyasanya yang diterima oleh Allah adalah dari amalan orang-orang yang bertaqwa.” Iaitulah ia bergantung sejauh mana kebenaran niat. Setelah itu Allah mengurniakan pahala kepada sesiapa yang dikehendaki. Pemberian pahala bukan suatu kemestian bagi Allah. Ini kerana seseorang hamba beramal untuk kebaikan dirinya sendiri, sedangkan Allah tidak memerlukan kepada sekalian makhluk-Nya.

Tidak dinafikan, dari sudut janji dari Allah pengurniaan pahala atas sesuatu ketaatan yang dilakukan, sehinggakan sakit seorang beriman yang terkena duri, dengan anugerah kelebihan dari Allah akan dikurniakan pahala berdasarkan janji Allah yang Maha Benar seperti firman-Nya: “Sesungguhnya Daku tidak akan mensia-siakan amalan seorang yang beramal dari kalangan kamu semua.”. Oleh kerana itu, jika sesuatu amalan yang tidak diterima oleh Allah adalah kerana ia dilakukan dalam keadaan tidak memenuhi syarat penerimaan seperti tidak khusu’ ketika menunaikan solat, tidak menjaga anggota ketika berpuasa, tidak menggunakan harta yang halal untuk mengeluarkan zakat dan melaksanakan haji, demikian juga ketiadaan ikhlas dan seumpamanya.

Atas dasar ini, maka selawat ke atas Nabi SAW boleh ditolak dan pelakunya tidak berhak mendapat pahala disebabkan terdapat halangan seperti melakukannya atas perkara yang haram atau melakukannya dalam keadaan hati yang lalai atau riya’ (menunjuk-nunjuk) dan sum‘ah (hendakkan kemasyhuran).

Ia sama seperti kalimah tauhid yang lebih utama berbanding selawat, jika diucapkan secara nifaq (berpura-pura), atau secara riak, tidak akan diterima.

ii. al-‘Allamah al-Amir di dalam Hasyiahnya menukilkan daripada beberapa para pentahkik berkaitan selawat yang diucapkan sama ada secara ikhlas atau riya’ mengatakan, perkara ini perlu dilihat dari dua sudut. Satunya dari sudut sampainya selawat itu kepada Nabi SAW. Maka ia suatu yang tidak diragukan lagi. Manakala satu lagi adalah dari sudut hasil diperolehi oleh orang yang berselawat. Maka sudut yang kedua ini adalah sama dengan amalan yang lain. Tiada pahala melainkan jika dilakukan dengan ikhlas. Inilah yang benar berdasarkan keumuman tuntutan ikhlas dalam melakukan setiap ibadah dan celaan terhadap setiap amalan yang dilakukan menyalahi ikhlas.

iii. Ketika menghuraikan maksud perkataan Abu al-‘Abbas al-Tijani, penulis Sa‘adah al-Darain menyatakan:

“dan perkataannya (Abu al-‘Abbas al-Tijani): dan yang kami katakan adalah selawat itu diterima secara pasti.” Iaitulah jika ia bebas dari ujub, riya’ dan seumpamanya berdasarkan dalil perkataan beliau (Abu al-‘Abbas al-Tijani) pada penutup Jawahir al-Ma‘aniy ketika mensyarahkan ayat: “Ya Allah jadikanlah selawat kami ini ke atas baginda, selawat yang diterima bukan ditolak” maknanya, permohonan dari seorang yang berselawat kepada Allah taala agar menjadikan selawatnya ke atas Nabi SAW diterima tidak ditolak. Sesuatu yang diterima adalah apa-apa yang bertepatan dengan perintah syarak pada zahir mahupun batin. Jika tujuan pelakunya adalah untuk mendapatkan pahala, maka amalannya diterima. Apa-apa amalan yang bersalahan tujuan pelakunya dari yang dikehendaki oleh syarak, maka ianya tertolak. Melakukan amalan bertepatan dengan kehendak syarak ini adalah yang dituntut. Termasuk dalam tuntutan ini adalah selawat ke atas Nabi SAW. Apa yang dituntut dari selawat yang dibaca oleh seorang hamba ke atas Nabi SAW, ialah memastikan selawatnya itu keluar dari dirinya kerana mematuhi perintah Tuhan kita Jalla wa ‘Ula, bagi mengagungkan-Nya dan mengagungkan Rasul-Nya SAW. Selawat itu dilakukan bebas dari ujub dan riya’, demikian juga bebas dari melakukannya dalam keadaan berjunub dan bergelumang dengan najis sedangkan dia memiliki air dan mampu menghilangkan janabah juga najis tersebut. Setelah itu, bersama dengan perkara-perkara ini, ia suatu yang benar jika ia mengucapkan selawat kerana menghendaki pahala, melainkan jika dia melakukannya sebagai mengagungkan Allah dan Rasul-Nya SAW, juga kerana cinta dan rindu, bukan kerana semata-mata mengharapkan pahala, maka ia lebih sempurna dan lebih tinggi kedudukannya.”

------------------------------------------------- 

[1] Lihat Sa ‘adah al-Darain oleh Yusuf bin ismail al-Nabhani 35-37)

[2] Namun hadis ini seorang rawinya bernama Muhammad bin Rizam al-Basri (محمد بن رِزام البصري) dihukum sebagai seorang yang متهم بوضع الحديث ، يكنى أبا عبدالملك oleh al-Zahabi di dalam al-Mizan 3/545, al-Azdi berkata: “Para ulama hadis meninggalkannya.” Kata al-Daraqutni: “Dia menyampaikan hadis-hadis batil.”

Cetak
Wallahu a'lam