Berzikir Dan Berdoa Dengan Kelebihan Khusus Adalah Selepas Solat Fardhu Bukan Solat Sunat

Zikir dan Doa Jumlah paparan: 124

Wa’alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh.

Narisah Shah yang bertanya: “Setelah selesai menunaikan solat fardhu, apakah kita harus berzikir dan berdoa terlebih dahulu kemudian baru diteruskan dengan solat sunat Rawatib Ba’diah?”

Jawapan:

Berzikir dan berdoa selepas solat fardhu bukan harus tetapi hukumnya adalah sunat.

Berzikir dan berdoa selepas solat fardhu dilakukan sebaik sahaja menunaikan solat fardhu. Selepas kita habis berzikir dan berdoa kerana selepas solat fardhu baru kita tunaikan solat sunat rawatib. Inilah hukum asalnya, kalau kita nak berzikir dan berdoa selepas solat fardhu. Jadi susunannya ialah solat fardhu, berzikir selepas solat fardhu, berdoa dan solat rawatib atau solat sunat ba’diah. Inilah susunan sebenarnya.

Kemudian soalan berikutnya: “Bolehkah kita berzikir dan berdoa setelah selesai solat fardhu dan solat sunat rawatib ba’diah?”

Jawapan:

Kalau tanya boleh, maka jawapannya adalah boleh, kerana keumuman anjuran berzikir pada bila-bila masa. Tetapi bukan dengan maksud berzikir selepas solat fardhu, sebaliknya zikir itu adalah zikir selepas solat sunat ba’diah. Ia tiada sebarang penetapan dan pengkhususan dan tiada juga sebarang kelebihan khusus atau tersendiri.

Manakala bagi solat fardhu, terdapat lafaz-lafaz zikri yang ditetapkan atau yang telah dipilih dan dinyatakan oleh Rasulullah SAW. Antaranya istighfar tiga kali. Kenapa beristighfar tiga kali? Maka jawabnya kerana baru habis menunaikan solat fardhu. Zikir semacam ini dinamakan zikir muqayyad, zikir yang telah dikaitkan dengan waktu tertentu iaitulah selepas solat fardhu.

Demikian juga, antara zikir muqayyad lain selepas solat fardhu ialah dengan kita membaca اللهم أنت السلام ومنك السلام تباركت يا ذا الجلال والإكرام ini jika termasuk dalam zikir muqayyad, iaitulah zikir yang telah Nabi SAW ikatkan khas dibaca selepas solat fardhu.

Demikian juga membaca ayatul kursi, dimana kelebihan membacanya selepas solat fardhu, tidak ada yang menghalang dia dari masuk ke dalam syurga melainkan waktu menunggu kematian sahaja seperti yang disebutkan di dalam hadis.

Kalau seseorang tak baca ayatul kursi selepas solat fardhu, sebaliknya dia baca selepas solat sunat ba’diah, dia tidak mendapat kelebihan ini, kerana Nabi SAW telah kaitkan sesiapa yang membaca ayatul kursi selepas solat fardhu akan mendapat kelebihan ini.

Tetapi kalau ditanya, apakah boleh seseorang membaca ayatul kursi selepas solat sunat ba’diah dengan niat berzikir dengan membaca ayatul kursi kerana hendak beribadat dengan membaca ayatul kursi. Boleh atau tidak? maka jawabnya boleh. Tetapi dia terlepas kelebihan yang dikhabarkan oleh nabi SAW. 

Demikian juga sesiapa yang meninggalkan zikir-zikir lain yang dikaitkan dengan solat fardhu seperti tasbih, tahmid dan takbir 33 kali sebagai contoh, maka dia terlepas mendapat kelebihan seperti memberi sedekah yang banyak kepada orang-orang miskin seperti yang thabit dari Nabi SAW.  

Cetak
Wallahu a'lam