SDI 1364: Mohon Keampunan di Dalam Hati Apakah Dianggap Sebagai Istighfar?

Zikir dan Doa Jumlah paparan: 502

Assalamualaikum ustaz.

Barakallahufiq.

🔴 Soalan saya berkait istighfar, selain zikir dan doa adakah lintasan hati atau fikiran yang memohon pengampunan dari Allah tanpa menyuarakannya dianggap sebagai istighfar?

Jawapan:

Ya, semua itu termasuk di dalam Istighfar, termasuk di dalam doa. Seperti yang telah saya jelaskan sebelum ini, zikir itu terbahagi kepada tiga keadaan.

Pertama: Zikir yang paling afdhal atau paling utama, iaitu zikir yang diucapkan pada lidah dan disertai dengan kehadiran hati dengan memahami dan menghayati apa yang dituturkan di lidah.

Kedua: zikir yang diucapkan pada hati tanpa lidah. Zikir ini berada pada kedudukan yang kedua.

Ketiga: zikir pada lidah yang tidak disertai dengan kehadiran hati. Ini yang paling kurang pahalanya.

Ketiga-tiga keadaan ini termasuk di dalam zikir dan ia lebih baik dari seseorang yang langsung tidak berzikir.

Demikian juga Istighfar, iaitulah istighfar yang paling baik adalah yang dituturkan pada mulut dan disertai dengan kehadiran hati, pada memahami dan menghayati maksud istighfar yang dituturkan oleh lidah. Kedua istighfar yang diucapkan pada hati tanpa lidah, dan yang paling rendah adalah istighfar yang hanya dituturkan pada lidah tanpa kebersamaan hati.

Cetak
Wallahu a'lam