SDI 1392: Kedudukan Zikir "Allahumma Ajirni Minannar" Selepas Maghrib Dan Subuh

Zikir dan Doa Jumlah paparan: 10169

Soalan: > Izham Basri:

Assalamualaikum ustaz..

Ada asatizah yg berkata:

1. Fadilat amalan membaca Allahumma Ajirni Minanaar selepas solat subuh dan magrib dapat hindarkan kita dari api neraka.

2. Fadilat amalan ayat kursi selepas solat, membuatkan seolah jarak dengan syurga seperti kita meninggal.

Adakah sahih ustaz?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh

Bacaan yang ditanya, menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan ulama. Hadis yang diriwayatkan berkaitan zikir itu dibaca sebanyak tujuh kali selepas solat Maghrib dan Subuh dinilah sebagai lemah oleh sebahagian ulama, dan dinilai sebagai hasan oleh sebahagian ulama lain. Hadis yang dimaksudkan ialah:

إِذَا صَلَّيْتَ الصُّبْحَ فَقُلْ قَبْلَ أَنْ تُكَلِّمَ أَحَدًا مِنْ النَّاسِ اللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنْ النَّارِ سَبْعَ مَرَّاتٍ، فَإِنَّكَ إِنْ مِتَّ مِنْ يَوْمِكَ ذَلِكَ كَتَبَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَكَ جِوَارًا مِنْ النَّارِ، وَإِذَا صَلَّيْتَ الْمَغْرِبَ فَقُلْ قَبْلَ أَنْ تُكَلِّمَ أَحَدًا مِنْ النَّاسِ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ، اللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنْ النَّارِ. سَبْعَ مَرَّاتٍ. فَإِنَّكَ إِنْ مِتَّ مِنْ لَيْلَتِكَ تِلْكَ كَتَبَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَكَ جِوَارًا مِنْ النَّارِ

Maksudnya: “Apabila kamu selesai menunaikan solat Subuh, maka ucapkanlah sebelum kamu berkata-kata dengan seorang lain: اللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنْ النَّارِ tujuh kali, maka sesungguhnya jika kamu mati pada hari tersebut, Allah telah tetapkan untuk kamu pemeliharaan dari neraka. Apabila kamu selesai menunaikan solat Maghrib maka ucapkanlah sebelum kamu berkata-kata dengan seorang lain: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ، اللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنْ النَّار tujuh kali. Maka sesunguhnya jika kamu mati pada malam tersebut, Allah telah tetapkan untuk kamu pemeliharaan dari neraka.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud. Lafaz di atas berdasarkan lafaz Ahmad)

Hadis ini dinilai lemah oleh al-Syeikh al-Albani. Manakala al-Hafidz Ibn Hajar al-’Asqalani menilainya sebagai hadis yang hasan seperti yang dinukilkan oleh al-ALbani sendiri di dalam al-Silsilah al-Dha’ifah.

Oleh kerana itu Sayyid Sabiq di dalam Fiqh al-Sunnah menyenaraikan zikir ini dalam senarai zikir selepas solat Subuh dan Maghrib.

Jika ditanya tentang kelebihan zikir tersebut dapat hindarkan kita dari neraka, maka demikianlah yang dinyatakan di dalam hadis yang menimbulkan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama akan statusnya. Namun urusan zikir selepas solat ini ada keluasan. Apatah lagi zikir ini tidak disepakati kelemahannya. Oleh itu, boleh mengamalkan zikir ini, sekurang-kurangnya atas anjuran memperbanyakkan zikir selepas solat, sesuai dan bertepatan dengan kedudukan selepas solat itu yang merupakan kedudukan digalakkan memperbanyakkan zikir dan doa.

Manakala tentang soalan yang kedua:  “Fadilat amalan ayat kursi selepas solat, membuatkan seolah jarak dengan syurga seperti kita meninggal”

Jawapan: Ya, sememangnya ada hadis tentang perkara ini dan hadis tersebut adalah hadis sahih. Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ إِلَّا أَنْ يَمُوتَ

Maksudnya: “Siapa yang  membaca ayat al-Kursi pada setiap kali penghujung solat fardhu, tiada yang menghalangnya dari masuk ke dalam syurga melainkan dia (perlu menunggu) kematiannya.”

Jadi yang dimaksudkan di dalam hadis ialah, tiada yang menghalang dia dari masuk ke dalam syurga melainkan dia terlebih dahulu kena menunggu kematian atau ajalnya.

Cetak
Wallahu a'lam