SDI 1885: Hukum Makmum Sihat Berimamkan Seorang Yang Ada Keuzuran

Soalan:

Bolehkah seorang yang uzur seperti kencing tidak lawas menjadi imam kepada jemaah yang sihat?

Jawapan:

Terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama tentang orang uzur seperti pengidap penyakit kencing tidak lawas dan seumpamanya menjadi imam kepada makmum yang sihat.

Pendapat yang rajih atau kuat ialah sah seorang yang uzur menjadi imam kepada orang yang sihat, sebagaimana mazhab Syafi‘i.

Dalam Nihayah al-Muhtaj 2/174-175 disebutkan:

(وَالْأَصَحُّ صِحَّةُ) (قُدْوَةِ) نَحْوِ (السَّلِيمِ بِالسَّلِسِ) بِكَسْرِ اللَّامِ: أَيْ سَلَسِ الْبَوْلِ وَنَحْوِهِ مِمَّنْ لَا تَلْزَمُهُ إعَادَةٌ (وَالطَّاهِرَةِ بِالْمُسْتَحَاضَةِ غَيْرِ الْمُتَحَيِّرَةِ) وَالْمَسْتُورِ بِالْعَارِي وَالْمُسْتَنْجِي بِالْمُسْتَجْمِرِ وَالصَّحِيحِ بِمَنْ بِهِ جُرْحٌ سَائِلٌ أَوْ عَلَى ثَوْبِهِ نَجَاسَةٌ مَعْفُوٌّ عَنْهَا لِصِحَّةِ صَلَاتِهِمْ مِنْ غَيْرِ إعَادَةٍ

“Pendapat Asah ialah sahnya makmum yang sihat bermakmum di belakang orang yang mengalami salis al-baul (kencing tidak lawas) dan seumpamanya, dari kalangan mereka yang tidak diwajibkan mengulangi solat. Demikian juga wanita suci bermakmum di belakang wanita mustahadah yang tidak dalam keadaan mutahayyirah (bingung tentang haid), orang yang berpakaian lengkap bermakmum di belakang orang yang solat dalam keadaan telanjang, orang yang beristinja’ bermakmum di belakang orang yang hanya beristijmar, dan orang yang sihat bermakmum di belakang orang yang mempunyai luka mengalir atau pada pakaiannya terdapat najis yang dimaafkan, kerana solat mereka sah tanpa perlu diulang.” Tamat.

 


Cetak  
Wallahu a'lam