SDI 1887: Nilai Nisab Mata Wang Berdasarkan Emas Atau Perak?

Soalan:

Adakah nilai nisab bagi mata wang kertas diukur berdasarkan emas atau perak?

Jawapan:

Oleh al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Penterjemah: Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

 

Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah , wa ba’d:

Suatu yang lebih utama dalam penentuan nisab zakat pada zaman kita sekarang ialah berdasarkan emas, bukan perak. Sesungguhnya Rasulullah ketika menentukan nisab zakat dengan perak dan emas, Baginda tidak bermaksud untuk menjadikan dua nisab yang berbeza, tetapi ia hanyalah satu nisab sahaja yang diukur dengan dua mata wang. Ini kerana nisab dalam istilah syarak bermaksud: “Had minimum bagi kekayaan.”

Zakat dalam Islam diwajibkan ke atas golongan kaya untuk diberikan kepada golongan fakir. Maka siapakah yang dianggap kaya? Atau dalam kata lain: bilakah seseorang dianggap kaya? Syarak telah menjadikan tanda kekayaan itu dengan memiliki nisab.

Penentuan nisab berbeza mengikut jenis harta. Dalam bentuk wang, ia ditentukan dengan dua perkara:

  • Dengan Emas: nisab-nya dua puluh (20) mithqal.
  • Dengan Perak: nisab-nya dua ratus (200) dirham.

Kenapa Rasulullah menentukan nisab dengan dua ukuran ini? Kerana pada zaman Baginda, orang Arab memiliki dua mata wang:

  • Mata wang daripada Parsi: dirham perak.
  • Mata wang daripada Rom: dinar emas.

Orang Arab pada ketika itu tidak mempunyai mata wang sendiri. Oleh itu, Rasulullah menetapkan nisab kekayaan pada waktu itu sebanyak dua puluh dinar emas atau dua ratus dirham perak, kerana ketika itu satu dinar emas bernilai sepuluh dirham perak di pasaran.

Kemudian selepas itu, harga perak menurun. Pada zaman Khulafa’ ar-Rasyidin, satu dinar bernilai 12 dirham, kemudian 15 dirham, kemudian 20 dirham, kemudian 30 dirham… Sehinggalah pada zaman moden, nilai perak jatuh terlalu rendah berbanding emas. Maka wujud perbezaan besar antara nisab emas dan nisab perak. Atas sebab itu, tidak lagi wajar menjadikan had kekayaan hanya 50 riyal Saudi atau Qatar contohnya (berdasarkan perak), sedangkan jika diukur dengan emas, had kekayaan adalah sekitar 1,500 riyal atau lebih.

Jika mata wang kertas diukur dengan perak, nisabnya tidak lebih daripada 50 riyal. Namun jika diukur dengan emas, perbezaan antara keduanya sangat besar. Diketahui bahawa dua puluh mithqal bersamaan 85 gram emas. Dalam beberapa muzium, terdapat dinar dari zaman Abd al-Malik ibn Marwan, ia adalah dinar Islam pertama yang dicetak secara rasmi dan meluas penggunaannya. Ternyata berat purata satu dinar ialah 4.25 gram. Maka dua puluh dinar bersamaan 85 gram emas.

Oleh itu, jika kita ingin mengetahui nisab dalam mata wang kertas, kita hanya perlu bertanya kepada penjual emas (tukang emas) tentang harga semasa 85 gram emas dalam mata wang tempatan. Jumlah itu ialah nisab syari‘e, iaitu had minimum kekayaan yang wajib dizakatkan.

Adapun nisab perak terlalu kecil dan tidak patut dijadikan ukuran, kerana seseorang yang hanya memiliki 50 riyal tidak boleh dianggap kaya.

Realitinya, ukuran nisab dengan emas lebih menenangkan hati. Ia juga hampir menyamai ukuran nisab syari‘e (zakat) lain seperti lima ekor unta, empat puluh ekor kambing, tiga puluh ekor lembu dan sebagainya.

Kesimpulan:
Jika ingin mengetahui sama ada zakat wajib ke atas seseorang atau tidak, maka dilihat: jika jumlah wang yang dimilikinya menyamai nilai 85 gram emas, maka wajib ke atasnya zakat sebanyak 2.5% (1/4 daripada 1/10) seperti yang ditetapkan oleh syariat. Memadai jika emas yang diambil kira ialah emas biasa seperti emas 18 karat. Wallahu a’lam

----------------------- teks asal fatwa ---------------

السؤال: هل يقدر نصاب العملة الورقية بالذهب أم بالفضة؟

جواب فضيلة الشيخ:

بسم الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وبعد:

الأولى في تقدير نصاب زكاة في عصرنا أن يكون بالذهب، لا بالفضة، فإن النبي صلى الله عليه وسلم حينما قدر نصاب الزكاة بالفضة وبالذهب، لم يقصد أن يجعل هناك نصابين. وإنما هو نصاب واحد، قدر بعملتين؛ لأن النصاب معناه في الشرع: الحد الأدنى للغنى.
الزكاة في الإسلام فرضت على الأغنياء لترد على الفقراء، فمن هو الغني؟ أو بكلمة أخرى: متى نعتبر الشخص غنياً؟ لقد جعل الشرع علامة للغنى، وهي ملك النصاب.
وقد اختلف تقدير النصاب باختلاف الأموال، ففي النقود قدر بأمرين:
بالذهب ونصابه عشرون مثقالاً.
وبالفضة ونصابها مائتا درهم.
ولكن لماذا قدر النبي صلى الله عليه وسلم النصاب بهذين التقديرين؟ ذلك لأن العرب في عهد البعثة كانت لهم عملتان: عملة تأتي من فارس، وهي الدراهم الفضية، وعملة تأتي من الروم وهي الدنانير الذهبية، وما كان للعرب عملة خاصة يضربونها.
ولذا، قدر النبي صلى الله عليه وسلم نصاب الغنى في هذا الوقت فجعله عشرين ديناراً من الذهب، أو مائتي درهم من الفضة، حيث كان الدينار يساوي عشرة دراهم في السوق يومئذ.
ثم بعد ذلك هبط سعر الفضة، فصار في عصر الراشدين الدينار يصرف باثني عشر درهماً، ثم بخمسة عشر، ثم بعشرين، ثم بثلاثين.. حتى جاءت العصور الحديثة فرخصت الفضة بالنسبة للذهب رخصاً كبيراً، وأصبح هناك تفاوت بين نصاب الذهب ونصاب الفضة، ولهذا لم يعد من المقبول جعل حد الغنى خمسين من الريالات السعودية أو القطرية مثلاً، في حين من الذهب يجعل حد الغنى ما يساوي ألفاً وخمسمائة ريال أو أكثر.
إذا قدرنا العملة الورقية بالفضة فإنها لن يزيد نصابها عن خمسين ريالاً.. وإذا قدرناها بالذهب فسوف يكون الفرق بين النصابين كبيراً علماً بأن العشرين مثقالاً تساوي 85 غراماً، وقد وجد في أكثر من متحف بعض دنانير من عهد عبدالملك بن مروان وهي أول دنانير إسلامية ضربت وانتشرت، وقد تبين أن وزن الدينار بالمتوسط يساوي 4.25 غراماً.. فعشرون ديناراً تساوي 85 غراماً؛ ولذا، إذا أردنا أن نعرف قيمة النصاب بالعملة الورقية، علينا أن نسأل الصاغة، ونعرف منهم كم هي قيمة 85 غراماً من الذهب بالعملة الورقية، ويكون ذلك المبلغ هو النصاب الشرعي، أو الحد الأدنى للغنى، الذي يجب فيه الزكاة.
أما نصاب الفضة فهو قليل جداً، ولا ينبغي اعتباره؛ لأن من يحوز خمسين ريالاً لا يعتبر غنياً.
الواقع، أن الذي يطمئن إليه النفس هو النصاب الذهبي.. هو مقارب نوعًا ما للأنصبة الشرعية الأخرى، وهي خمسة من الإبل، أو أربعين من الغنم، أو ثلاثين من البقر.. وغير ذلك من الأنصبة.
الخلاصة، أننا إذا أردنا أن نعرف، هل تجب الزكاة على شخص ما أم لا تجب؟ ننظر، فإن كان لديه من النقود ما تساوي قيمته قيمة 85 غراماً من الذهب وجب عليه أن يدفع الزكاة بنسبة 2.5% أو ربع العشر كما هو معروف في الشرع الحنيف. ويكفي أن يكون الذهب غالباً، أي عيار 18 مثلاً. والله أعلم.


Cetak  
Wallahu a'lam