Soalan:
Kami telah berusaha untuk mendapatkan zuriat tetapi belum berhasil. Baru-baru ini, doktor mencadangkan kepada kami untuk melakukan rawatan IVF atau persenyawaan tabung uji, iaitu dengan mengambil air mani daripada suami, merangsangnya, kemudian menyuntikkannya ke dalam Rahim isteri melalui saluran faraj.
Tarikh prosedur tersebut jatuh dalam bulan Ramadan, dan tidak boleh dilakukan selepas waktu Maghrib. Sekiranya tarikh ini diubah, ia mungkin memerlukan beberapa bulan lagi, sedangkan umur saya akan memasuki 30 tahun dalam tempoh kira-kira tiga bulan lagi.
Soalan saya, adakah prosedur ini membatalkan puasa? Dan adakah dibolehkan melakukannya dalam bulan Ramadan?
Jawapan:
Pertama: Mengeluarkan air mani dengan sengaja, maka ia membatalkan puasa menurut jumhur (majoriti) ulama. Oleh itu proses mengeluarkan air mani suami hendaklah dilakukan bukan pada waktu siang hari Ramadan.
Kedua: Memasukkan air mani suami ke dalam faraj isteri, menimbulkan perbezaan pendapat yang masyhur dalam kalangan ulama, sama ada ia membatalkan puasa atau tidak. Sebahagian ulama berpendapat ia membatalkan puasa, kerana ia dianggap sesuatu yang masuk ke bahagian dalam tubuh, lalu disamakan dengan makan dan minum. Manakala sebahagian ulama yang lain pula berpendapat ia tidak membatalkan puasa.
Pendapat yang dikeluarkan oleh Majma’ al-Fiqh al-Islami ialah perkara ini tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa. Ini sebagaimana yang disebut dalam keputusan mereka:
الأمور الآتية لا تعتبر من المفطرات: ما يدخل المهبل من تحاميل ـ لبوس ـ أو غسول، أو منظار مهبلي، أو إصبع للفحص الطبي، إدخال المنظار أو اللولب ونحوهما إلى الرحم، ما يدخل الإحليل، أي مجرى البول الظاهر للذكر والأنثى، من قثطرة ـ أنبوب دقيق ـ أو منظار، أو مادة ظليلة على الأشعة، أو دواء، أو محلول لغسل المثانة.
“Perkara-perkara berikut tidak dianggap membatalkan puasa: Apa yang dimasukkan ke dalam faraj seperti suppositori (ubat peluru), pencuci, spekulum faraj atau jari untuk pemeriksaan perubatan; Memasukkan alat pemeriksaan atau alat pencegah kehamilan (IUD) dan seumpamanya ke dalam rahim; Apa yang dimasukkan ke dalam salur kencing (uretra) lelaki dan perempuan seperti kateter (tiub halus), endoskop, bahan kontras untuk sinar-X, ubat atau larutan pencuci pundi kencing.”
Selain itu, memasukkan air mani dengan cara ini tidak dianggap sebagai persetubuhan. Kerana itu, al-Imam al-Nawawi رحمه الله berkata dalam al-Raudhah 1/85:
إِذَا اسْتَدْخَلَتْ مَنِيًّا فِي قُبُلِهَا أَوْ دُبُرِهَا، لَمْ يَلْزَمْهَا الْغُسْلُ عَلَى الْمَذْهَبِ
“Sekiranya seorang wanita memasukkan air mani ke dalam faraj atau duburnya, maka dia tidak diwajibkan mandi junub.”
Berdasarkan hal ini, jika boleh diambil sampel air mani daripada suami pada waktu malam, dan prosedur suntikan dilakukan pada waktu siang, maka perbuatan tersebut tidak membatalkan puasa kedua-duanya menurut pendapat ini, dan tidak mengapa untuk beramal dengannya.
Walau bagaimanapun, langkah berhati-hati adalah dengan mengelakkan proses ini dilakukan pada siang hari bulan Ramadan, bagi selamat dari perkara yang menimbulkan perbezaan pendapat ulama.
