Soalan:
Ustaz, benarkan dakwaan Ustaz Nazrul Nasir, bapa saudara Nabi صلى الله عليه وسلم yang bernama Abu Talib, meninggal dunia dalam keadaan Muslim? Setahu saya semua ustaz di Malaysia mengatakan Abu Talib meninggal dunia dalam keadaan kafir? Mana satu yang betul? Ustaz Nazrul Nasir juga mendakwa Mufti Mekah bernama Syeikh Zaini Dahlan menyebut perkara ini. Benarkah begitu? Saya sertakan link kenyataan beliau di sini:
https://www.facebook.com/share/v/17tbhKRApN/
Jawapan:
Bapa saudara Nabi صلى الله عليه وسلم yang bernama Abu Talib, meninggal dunia dalam keadaan kafir. Tiada khilaf yang muktabar dalam kalangan ahli ilmu mengenai perkara ini.
Al-Imam al-Bukhari, Muslim, Ahmad, al-Tirmizi dan al-Nasa’i meriwayatkan daripada Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa apabila Abu Talib hampir meninggal dunia, Rasulullah صلى الله عليه وسلم datang kepadanya lalu bersabda:
لَمَّا حَضَرَتْ وَفَاةُ أَبِي طَالِبٍ، أَتَاهُ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ، فَقَالَ: يَا عَمَّاهُ، قُلْ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، أَشْهَدُ لَكَ بِهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ. فَقَالَ: لَوْلَا أَنْ تُعَيِّرَنِي قُرَيْشٌ; يَقُولُونَ: مَا حَمَلَهُ عَلَيْهِ إِلَّا جَزَعُ الْمَوْتِ. لَأَقْرَرْتُ بِهَا عَيْنَكَ، وَلَا أَقُولُهَا إِلَّا لِأُقِرَّ بِهَا عَيْنَكَ. فَأَنْزَلَ اللَّهُ عز وجل: إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
“Apabila Abu Talib hampir meninggal dunia, Rasulullah ﷺ datang menemuinya lalu bersabda: “Wahai pakcikku, ucapkanlah: La ilaha illallah (Tiada Tuhan melainkan Allah), supaya aku dapat menjadi saksi bagimu dengannya pada hari kiamat.” Abu Talib menjawab: “Kalaulah tidak kerana aku akan dicela oleh Quraisy — mereka akan berkata: ‘Tiada yang mendorong Abu Talib melainkan ketakutan menghadapi mati’ — nescaya aku akan menggembirakan hatimu dengan mengucapkannya. Aku tidak akan mengucapkannya kecuali untuk menyejukkan matamu.” Lalu Allah AZW menurunkan firman-Nya: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak dapat memberi hidayah kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki, dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (al-Qasas: 56)
Demikian juga diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas, Ibn ‘Umar, Mujahid, al-Sya‘bi dan Qatadah bahawa ayat ini diturunkan berkenaan Abu Talib ketika Rasulullah صلى الله عليه وسلم menawarkan kepadanya agar mengucapkan La ilaha illallah, seperti yang dinukilkan oleh Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nuhayah 4/310.
Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada al-‘Abbas bin ‘Abd al-Muttalib bahawa beliau berkata:
قَلْتُ لِلنَّبِيِّ ﷺ: مَا أَغْنَيْتَ عَنْ عَمِّكَ، فَإِنَّهُ كَانَ يَحُوطُكَ وَيَغْضَبُ لَكَ. قَالَ: هُوَ فِي ضَحْضَاحٍ مِنْ نَارٍ، وَلَوْلَا أَنَا لَكَانَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ
“Aku bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم: Apakah engkau dapat memberi manfaat kepada pakcikmu, sedangkan dia dahulu melindungimu dan marah demi membelamu?” Baginda menjawab:
“Dia berada di dalam neraka yang cetek (ضحضاح من نار). Kalau bukan kerana aku, nescaya dia berada di dasar neraka yang paling bawah.”
Al-Imam Muslim meriwayatkan dalam Sahihnya daripada Abu Sa‘id bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم menyebut tentang pakciknya lalu bersabda:
لَعَلَّهُ تَنْفَعُهُ شَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُجْعَلُ فِي ضَحْضَاحٍ مِنْ النَّارِ يَبْلُغُ كَعْبَيْهِ يَغْلِي مِنْهُ دِمَاغُهُ
“Mudah-mudahan syafaatku memberi manfaat kepadanya pada hari kiamat; lalu dia ditempatkan di neraka yang cetek, yang sampai ke buku lalinya sehingga otaknya mendidih.”
Dalam riwayat lain:
تَغْلِي مِنْهُ أُمُّ دِمَاغِهِ
“Sehingga mendidih bahagian otaknya.”
Muslim juga meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:
أَهْوَنُ أَهْلِ النَّارِ عَذابًا أبو طَالِبٍ، وهو مُنْتَعِلٌ بنعْلَيْنِ يَغْلي مِنْهُما دِماغُه
“Orang yang paling ringan azabnya di neraka ialah Abu Talib; dia memakai dua sandal daripada api yang menyebabkan otaknya mendidih.”
Abu Talib mati dalam keadaan kafir diriwayatkan dari hadis-hadis yang sahih serta kisahnya masyhur dalam kitab-kitab sirah muktabar Ahli Sunnah wal Jamaah.
Adapun tentang Syeikh Ahmad Zaini Dahlan, saya sertakan perkataan al-Syeikh Muhammad Rashid Rida dalam muqaddimahnya (hal. 9) kepada kitab Siyanah al-Insan ‘an Waswasah al-Shaykh Dahlan (Pemeliharaan Manusia daripada Bisikan atau Hasutan Syeikh Dahlan.). Beliau berkata:
قال صاحب كتاب: البراهين القاطعة على ظلام الأنوار الساطعة، المطبوع بالهند: إن شيخ علماء مكة في زماننا - قريب من سنة 1303هـ - قد حكم -أي أفتى- بإيمان أبي طالب، وخالف الأحاديث الصحيحة؛ لأنه أخذ الرشوة الربابي القليلة من الرافضي البغدادي
“Penulis kitab al-Barahin al-Qati‘ah ‘ala Zalam al-Anwar al-Sati‘ah, yang dicetak di India, menyebut bahawa Syeikh para ulama Mekah pada zaman kita — sekitar tahun 1303H — telah menghukum (iaitu berfatwa) bahawa Abu Talib beriman, dan beliau menyalahi hadis-hadis sahih; kerana beliau mengambil rasuah yang sedikit dari seorang Rafidhi (Syiah) dari Baghdad.”
Setelah itu al-Syeikh Muhammad Rasyid Rida berkata:
وشيخ مكة في ذلك العهد هو الشيخ أحمد دحلان الذي توفي سنة ١٣٠٤
Syeikh Mekah pada waktu itu ialah Syeikh Ahmad Dahlan yang wafat pada tahun 1304H.
Kitab Siyanah al-Insan ‘an Waswasah al-Shaykh Dahlan (Pemeliharaan Manusia daripada Bisikan atau Hasutan Syeikh Dahlan) adalah karya al-‘Allamah, ahli hadis dan faqih, Muhammad Bashir al-Sahsawani al-Hindi. Telah memadai perkataan beliau ini untuk menjelaskan keadaan atau kedudukan dan latar belakang Ahmad Zaini Dahlan yang dijadikan rujukan oleh Ustaz Nazrul Nasir.
