Soalan:
Adakah boleh mengeluarkan fidyah puasa bagi seorang tua yang tidak mampu berpuasa secara sekaligus pada awal bulan (Ramadan), atau mesti dibayar setiap hari mengikut hari-hari Ramadan?
Jawapan:
Orang tua yang tidak mampu berpuasa wajib ke atasnya fidyah, termasuk juga mereka yang sakit dan tiada harapan sembuh sehingga akhir hayat. Fidyah ialah memberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkannya. Kadar fidyah ialah satu mud makanan, dianggarkan sebanyak lebih kurang 600 gram beras bagi setiap hari yang ditinggalkan. Hal ini berdasarkan firman Allah تعالى:
وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ
“Dan wajib atas orang-orang yang tidak mampu berpuasa (membayar) fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin.” (Surah al-Baqarah: 184)
Adapun cara pembayaran fidyah sama ada menyegerakannya atau melewatkannya, para fuqaha berbeza pendapat kepada dua pandangan:
Pandangan Pertama
Boleh bagi orang tua dan orang sakit yang tiada harapan sembuh untuk mengeluarkan fidyah bagi sebulan penuh pada awal bulan Ramadan. Juga harus melewatkannya hingga akhir bulan. Inilah mazhab para ulama Hanafiyyah. Disebut dalam al-Bahr al-Ra’iq Syarh Kanz al-Daqa’iq (2/308):
في فتاوى أبي حفص الكبير: إن شاء أعطى الفدية في أول رمضان بمرة، وإن شاء أعطاها في آخره بمرة
“Dalam Fatawa Abu Hafs al-Kabir: Jika seseorang (yang wajib fidyah) mahu, dia boleh memberi fidyah pada awal Ramadan sekaligus; dan jika mahu, dia boleh memberinya pada akhir Ramadan sekaligus.”
Dan dalam al-Durr al-Mukhtar wa Hasyiyah Ibn ‘Abidin (2/427):
للشيخ الفاني العاجز عن الصوم الفطر، ويفدي وجوباً ولو في أول الشهر، أي يخير بين دفعها في أوله وآخره
“Bagi orang tua renta (sangat tua) yang tidak mampu berpuasa, dia boleh berbuka dan wajib membayar fidyah, walaupun pada awal bulan; yakni dia diberi pilihan antara membayarnya pada awal atau akhir bulan.”
Pandangan Kedua
Ulama Syafi‘iyyah berpendapat bahawa fidyah hendaklah dibayar setiap hari mengikut harinya. Ia dibayar bagi hari semasa selepas terbit fajar. Boleh juga didahulukan sebelum terbit fajar, iaitu dibayar pada waktu malam, atau dibayar pada akhir bulan Ramadan. Namun tidak boleh membayarnya sekaligus pada awal bulan bagi semua hari yang akan datang.
Disebut dalam al-Majmu‘ karya al-Nawawi (6/260):
اتفق أصحابنا على أنه لا يجوز للشيخ العاجز والمريض الذي لا يُرجى برؤه تعجيل الفدية قبل دخول رمضان، ويجوز بعد طلوع فجر كل يوم، وهل يجوز قبل الفجر في رمضان؟ قطع الدارمي بالجواز، وهو الصواب
“Para ashab kami bersepakat bahawa tidak boleh bagi orang tua yang tidak mampu berpuasa dan orang sakit yang tiada harapan sembuh untuk menyegerakan fidyah sebelum masuk Ramadan. Dan boleh (membayar) selepas terbit fajar setiap hari. Adakah harus sebelum (terbit) fajar (bagi setiap hari) dalam Ramadan? Al-Darimi memutuskan harus, dan itulah pendapat yang benar.”
Dan dalam Mughni al-Muhtaj (2/176):
وليس لهم -أي الهرم والمريض- ولا للحامل ولا للمرضع تعجيل فدية يومين فأكثر، كما لا يجوز تعجيل الزكاة لعامين، بخلاف ما لو عجل من ذكر فدية يوم فيه أو في ليلته فإنه جائز
“Tidak boleh bagi mereka – yakni orang tua dan orang sakit – dan juga bagi wanita hamil dan menyusukan anak, menyegerakan fidyah bagi dua hari atau lebih; sebagaimana tidak boleh menyegerakan zakat bagi dua tahun. Berbeza jika dia menyegerakan fidyah bagi satu hari pada hari itu atau malamnya, maka itu harus.”
Dalam Syarh al-Muqaddimah al-Hadramiyyah (hlm. 578):
لو أخر نحو الهرم الفدية عن السنة الأولى، لم يجب شيء للتأخير؛ لأنّ وجوبها على التراخي
“Jika orang seperti yang tua renta melewatkan fidyah daripada tahun pertama, tidak wajib apa-apa tambahan kerana kelewatan itu; kerana kewajipannya adalah secara bertangguh (tidak segera).”
Dan dalam Fatawa al-Ramli al-Syafi‘i رحمه الله:
يتخير –أي الشيخ الهرم- في إخراجها بين تأخيرها، وبين إخراج فدية كل يوم فيه أو بعد فراغه، ولا يجوز تعجيل شيء منها لما فيه من تقديمها على وجوبه؛ لأنه فطرة
“Orang tua renta diberi pilihan sama ada melewatkannya, atau mengeluarkan fidyah setiap hari pada hari tersebut atau selepas selesai hari itu. Dan tidak boleh menyegerakan apa-apa daripadanya kerana itu mendahulukannya sebelum wajibnya; kerana ia seperti (zakat) fitrah.”
Oleh itu, sesiapa yang mengambil pendapat Imam Abu Hanifah tentang keharusan membayar fidyah sekaligus pada awal bulan bagi sebulan penuh, maka tiada masalah baginya insya-Allah. Namun yang lebih utama ialah keluar daripada khilaf dengan membayarnya hari demi hari atau pada akhir bulan Ramadan seperti pendapat dalam mazhab Syafi’e.
