SDI 1923: Hukum Mani Yang Keluar Selepas Mandi Junub

Soalan:

Saya pernah mandi wajib (mandi junub) sejurus selepas persetubuhan. Namun selepas selesai mandi, saya dapati masih keluar baki air mani dari persetubuhan sebelumnya. Adakah saya wajib mengulangi mandi wajib?

Jawapan:

Tindakan yang lebih berhati-hati (ihtiyat) ialah mandi sekali lagi apabila saki baki air mani keluar selepas mandi. Ini kerana masalah ini menimbulkan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama.

Ramai ulama berpendapat sesiapa yang keluar daripadanya air mani dengan syahwat, kemudian dia mandi, lalu keluar lagi baki air mani selepas mandi tanpa syahwat, maka dia tidak wajib mengulangi mandi. Cukup baginya berwuduk sahaja. Ini kerana air mani yang keluar hanyalah baki mani yang sama yang telah menyebabkan kewajipan mandi sebelum itu. Keluar mani tidak mewajibkan dua kali mandi bagi satu kejadian. Ini adalah mazhab Hanabilah, dan dinukilkan oleh al-Imam al-Nawawi bahawa ia juga merupakan pendapat Imam Malik.

Manakala menurut mazhab Syafi‘e, wajib mengulangi mandi dalam keadaan tersebut, dengan qiyas kepada hadas lain. Sebagai contoh, jika seseorang berwuduk kerana keluar air kencing, kemudian selepas berwuduk keluar lagi air kencing, maka secara ijma’ dia wajib mengulangi wuduk. Maka begitu juga dalam isu mani ini.

Kerana itu, langkah yang lebih berhati-hati ialah mengulangi mandi dalam keadaan tersebut, meskipun pendapat yang tidak mewajibkan pengulangan mandi juga mempunyai sandaran yang kuat.

Dalil dan Perincian Ulama

Disebut dalam Hasyiah al-Raud al-Murbi’ oleh Ibn Qasim 1/272 dari mazhab Hambali:

فإن خرج المني بعد غسله لم يعده؛ لأنه مني واحد فلا يوجب غسلين؛ لأن الخارج بعد الغسل هو ذلك المني المنتقل، فهو كبقية مني خرج بعد الغسل، والمراد بلا شهوة، فإن خرج بشهوة لزمه الغسل، وكذا إن خرج مني بعد غسله من جماع لم ينزل فيه بغير شهوة، أو خرجت بقية مني اغتسل له بغير شهوة لم يجب الغسل، لقول ابن عباس في الجنب يخرج منه الشيء بعد الغسل؟ قال: يتوضأ، ونحوه عن علي، ولأنه مني واحد فأوجب غسلا واحدا، وإن انتقل ولم يغتسل ثم خرج بعد فإنه يغتسل بلا نزاع

Jika keluar mani selepas mandi, maka tidak perlu mengulanginya, kerana ia satu mani yang sama, maka tidak mewajibkan dua kali mandi. Mani yang keluar selepas mandi itu adalah mani sama yang telah berpindah (daripada tempatnya), maka hukumnya seperti baki mani yang keluar selepas mandi. Dimaksudkan ialah jika keluarnya tanpa syahwat. Jika keluar dengan syahwat, maka wajib mandi. Begitu juga jika seseorang mandi kerana persetubuhan yang tidak keluar mani padanya, kemudian keluar mani selepas itu tanpa syahwat, atau keluar baki mani yang sebelumnya telah menyebabkan dia mandi, maka tidak wajib mandi lagi. Ini berdasarkan kata-kata Ibn ‘Abbas tentang orang junub yang keluar sesuatu daripadanya selepas mandi. Beliau berkata: “Dia hanya perlu berwuduk.” Riwayat yang sama juga datang daripada Ali رضي الله عنهما. Ini kerana ia satu mani yang sama, maka hanya mewajibkan satu mandi. Namun jika mani itu berpindah tempat dan dia belum mandi, kemudian ia keluar, maka wajib mandi tanpa khilaf.

Al-Imam al-Nawawi ketika memperincikan mazhab-mazhab ulama dalam persoalan ini dalam Syarh al-Muhazzab 2/139-140, menyebut:

إذَا أَمْنَى وَاغْتَسَلَ ثُمَّ خَرَجَ مِنْهُ مَنِيٌّ عَلَى الْقُرْبِ بَعْدَ غُسْلِهِ لَزِمَهُ الْغُسْلُ ثَانِيًا سَوَاءٌ كَانَ ذَلِكَ قَبْلَ أَنْ يَبُولَ بَعْدَ الْمَنِيِّ أَوْ بَعْدَ بَوْلِهِ هَذَا مَذْهَبُنَا نَصَّ عَلَيْهِ الشَّافِعِيُّ وَاتَّفَقَ عَلَيْهِ الْأَصْحَابُ وَبِهِ قَالَ اللَّيْثُ واحمد في رواية عنه: وقال مَالِكٌ وَسُفْيَانُ الثَّوْرِيُّ وَأَبُو يُوسُفَ وَإِسْحَاقُ بْنُ راهويه لاغسل مطلقا وهي اشهر الروايات عن احمد وَحَكَاهُ ابْنُ الْمُنْذِرِ عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ وَابْنِ عَبَّاسٍ وَعَطَاءٍ وَالزُّهْرِيِّ وَغَيْرِهِمْ رضي الله عنهم وَقَالَ أَبُو حَنِيفَةَ إنْ كَانَ مَا بَالَ قَبْلَ الْغُسْلِ ثُمَّ خَرَجَ الْمَنِيُّ فَلَا غُسْلَ عَلَيْهِ لِأَنَّهُ بَقِيَّةُ الْمَنِيِّ الَّذِي اغْتَسَلَ عَنْهُ وَإِلَّا فَيَجِبُ الْغُسْلُ ثَانِيًا وَهُوَ رواية ثالثة عن أحمد: وعن أبي حَنِيفَةَ عَكْسُ هَذَا إنْ كَانَ بَالَ لَمْ يَغْتَسِلْ لِأَنَّهُ مَنِيٌّ عَنْ غَيْرِ شَهْوَةٍ وَإِلَّا وَجَبَ الْغُسْلُ لِأَنَّهُ عَنْ شَهْوَةٍ: دَلِيلُنَا عَلَى الْجَمِيعِ قَوْلُهُ ﷺ (الْمَاءُ مِنْ الْمَاءِ) وَلَمْ يُفَرِّقْ وَلِأَنَّهُ نَوْعُ حَدَثٍ فَنَقَضَ مُطْلَقًا كَالْبَوْلِ وَالْجِمَاعِ وَسَائِرِ الْأَحْدَاثِ

“Jika seseorang keluar mani dan telah mandi, kemudian keluar lagi mani dalam tempoh yang dekat selepas mandi, maka wajib mandi sekali lagi — sama ada perkara itu berlaku sebelum dia kencing selepas mani tersebut atau selepas dia kencing. Ini adalah mazhab kami (Syafi‘i), dinaskan oleh al-Imam al-Syafi‘i dan disepakati para ashab. Ia juga pendapat al-Layth dan satu riwayat daripada Imam Ahmad. Manakala Malik, Sufyan al-Thawri, Abu Yusuf dan Ishaq bin Rahawayh berpendapat tidak wajib mandi secara mutlak. Ini juga merupakan riwayat paling masyhur daripada Ahmad. Ibn al-Mundhir menukilkan pendapat ini daripada Ali bin Abi Talib, Ibn ‘Abbas, ‘Ata’, al-Zuhri dan lain-lain رضي الله عنهم. Abu Hanifah pula berkata: “Jika dia telah kencing sebelum mandi, kemudian keluar mani, maka tidak wajib mandi kerana ia baki mani yang telah dia mandi sebelumnya. Jika tidak kencing sebelum mandi, maka wajib mandi semula (kerana keluar mani). Ini juga riwayat ketiga daripada Ahmad. Terdapat juga riwayat lain daripada Abu Hanifah yang terbalik: Jika telah kencing, tidak perlu mandi kerana mani itu keluar tanpa syahwat. Jika tidak kencing, maka wajib mandi kerana ia keluar dengan syahwat. Dalil mazhab Syafi‘i ialah sabda Nabi : “Air (mandi) itu kerana air (mani).” Baginda tidak membezakan keadaan tertentu. Selain itu, ia adalah sejenis hadas, maka ia membatalkan (keadaan bebas hadas) secara mutlak seperti air kencing, persetubuhan dan hadas-hadas lain.”


Cetak  
Wallahu a'lam