Soalan:
Ustaz. Apa hukum terlewat sebulan bayar Nazar? Contoh, Nazar nak sedekah RM 100 di bulan Syaaban, tapi terlajak ke bulan Ramadhan ..
Jawapan:
Melewatkan nazar yang telah ditentukan waktunya tanpa sebarang keuzuran adalah satu kesalahan dan pelakunya dikira berdosa. Wajib ke atasnya bertaubat serta segera menunaikan (mengqada’) nazarnya.
Selain wajib bertaubat, sebahagian ulama turut mewajibkan kaffarah sumpah.
Oleh itu, apa yang wajib ke atas anda sekarang ialah bertaubat kepada Allah dan segera menunaikan nazar tersebut. Sebagai langkah berhati-hati (ihtiyat), anda boleh juga menunaikan kaffarah sumpah bagi keluar daripada khilaf para ulama.
Huraian ringkas
Al-Imam al-Nawawi RH berkata dalam al-Majmu’8/478:
وَلَوْ عَيَّنَ فِي نَذْرِهِ يَوْمًا كَأَوَّلِ خَمِيسٍ مِنْ الشَّهْرِ أَوْ خَمِيسٍ هَذَا الْأُسْبُوعِ تَعَيَّنَ عَلَى الْمَذْهَبِ وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُورُ فَلَا يَصِحُّ الصَّوْمُ قَبْلَهُ فَإِنْ أَخَّرَهُ عَنْهُ صَامَ قَضَاءً سَوَاءٌ أَخَّرَهُ بِعُذْرٍ أَمْ لَا لَكِنْ ان أَخَّرَهُ بِغَيْرِ عُذْرٍ أَثِمَ وَإِنْ أَخَّرَهُ بِعُذْرِ سَفَرٍ أَوْ مَرَضٍ لَمْ يَأْثَمْ
“Jika seseorang menentukan dalam nazarnya satu hari tertentu seperti Khamis pertama dalam bulan itu atau Khamis minggu ini, maka hari tersebut menjadi wajib menurut al-Mazhab, dan inilah pendapat yang diputuskan oleh jumhur (majoriti) ulama — iaitu jumhur ashab dalam mazhab al-Syafi‘I - Maka tidak sah berpuasa sebelum hari yang telah ditentukan itu. Jika dia melewatkannya daripada hari tersebut, maka wajib dia berpuasa sebagai qada’, sama ada dia melewatkannya kerana uzur atau tidak. Namun, jika dia melewatkannya tanpa uzur, maka dia berdosa. Dan jika dia melewatkannya kerana uzur seperti musafir atau sakit, maka dia tidak berdosa."
Inilah pendapat yang paling hampir kepada kebenaran, insyaAllah. Hal ini sedemikian adalah kerana tidak ada nas yang sahih lagi jelas menunjukkan kewajipan kaffarah.
Adapun kewajipan qada’ adalah kerana dia telah meninggalkan puasa wajib pada waktu yang telah ditentukan, maka wajib ke atasnya menggantikannya.
Atas dasar ini, anda hendaklah bertaubat kepada Allah atas kelalaian dalam menunaikan nazar, kemudian segera mengqadha nazar anda.
