Soalan:
Assalamualaikum wbt ustaz. Mohon pencerahan.Sekiranya solat terawih dilakukan dirumah sorang diri, terlebih rakkat misalnya terbuat 3 rakaat. Adakah kena ulang semula. Jazakallahukhyr.
Jawapan:
Wa‘alaikumussalam warahmatullah
Di sisi ulama mazhab Syafie, Tarawih mesti dibuat dua rakaat-dua rakaat. Apabila tersedar, wajib segera turun, tahiyyat akhir dan sunat sujud sahwi di akhirnya.
Di sisi sebahagian ulama lain, yang beranggapan solat Tarawih adalah sama seperti solat malam yang lain, berpandangan Tarawih boleh dibuat empat rakaat satu salam. Oleh itu mereka berpandangan sesiapa yang terlebih rakaat Tarawih, tidak perlu duduk untuk bertahiyyat. Sebaliknya hanya perlu tambah satu rakaat lagi, menjadikan empat rakaat semuanya. Pandangan ini ditarjihkan oleh Dr. Fadhal Abdullah Murad.
Saya berpegang dengan pandangan ini, atas alasan pandangan mazhab Syafie yang tidak membenarkan Tarawih lebih dari dua rakaat adalah kerana menyamakan Tarawih dengan solat sunat hari raya yang asalnya disyariat secara berjemaah. Maka apabila solat hari raya tidak boleh dilakukan lebih dari dua rakaat, demikianlah juga Tarawih. Namun dalil seperti ini dinamakan qiyas al-Syabh (قياس الشبه), ia satu dalil yang lemah, apatah lagi ia bertentangan dengan hadis membenarkan solat malam dilakukan lebih dari dua rakaat dengan satu salam seperti solat Witir.
Jika memilih pandangan ini, maka boleh terus sempurnakan solat menjadi empat rakaat memberi salam.
