SDI 1928: Solat Dalam Train Di Bahagian Laluan

Soalan:

Assalamualaikum ustaz.

Apa kaedah terbaik dalam situasi macam ni ? Adakah perlu solat juga kat laluan orang ramai ? Atau boleh tunggu sampai dulu ke pejabat/ destinasi ?

Terima Kasih

Jawapan:

Tidak boleh menunaikan solat di laluan orang ramai, kerana perbuatan tersebut pasti mengganggu kekhusyukan dan menyusahkan orang ramai.

Terdapat hadis larangan solat di tengah jalan, iaitu hadis Ibn Umar رضي الله عنهما, yang berkata:

نَهَى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَنْ يُصَلَّى فِي سَبْعِ مَوَاطِنَ: الْمَزْبَلَةِ، وَالْمَجْزَرَةِ، وَالْمَقْبَرَةِ، وَقَارِعَةِ الطَّرِيقِ، وَالْحَمَّامِ، وَمَعَاطِنِ الْإِبِل، وَفَوْقَ ظَهْرِ بَيْتِ اللَّهِ

“Nabi melarang solat di tujuh tempat: tempat pembuangan sampah, tempat penyembelihan, tanah perkuburan, tengah jalan, bilik mandi, tempat duduk unta, dan di atas bumbung Baitullah." Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi.

Al-Mubarakfuri berkata:

والمراد ها هنا نَفْسُ الطَّرِيقِ، وَإِنَّمَا يُكْرَهُ الصَّلَاةُ فِيهَا؛ لِاشْتِغَالِ الْقَلْبِ بِمُرُورِ النَّاسِ، وَتَضْيِيقِ الْمَكَانِ عَلَيْهِمْ

"Dimaksudkan di sini ialah jalan itu sendiri. Solat di situ dimakruhkan kerana hati akan terganggu dengan lalu-lalang manusia dan kerana menyempitkan ruang untuk mereka." Tamat petikan.

Dalam al-Mawsu‘ah al-Fiqhiyyah disebutkan:

وَالْعِلَّةُ فِي النَّهْيِ عَنِ الصَّلاَةِ فِي قَارِعَةِ الطَّرِيقِ هِيَ لِشَغْلِهِ حَقَّ الْعَامَّةِ، وَمَنْعِهِمْ مِنَ الْمُرُورِ؛ وَلِشَغْل الْبَال عَنِ الْخُشُوعِ، فَيَشْتَغِل بِالْخَلْقِ عَنِ الْحَقِّ. اهــ

“‘Illah (sebab) larangan solat di tengah jalan ialah kerana ia mengganggu hak orang ramai dan menghalang mereka daripada lalu-lalang; serta menyebabkan fikiran terganggu daripada khusyuk, lalu seseorang itu sibuk dengan makhluk sehingga lalai daripada al-Haqq (Allah)”. Tamat petikan.

Jika berlaku kerosakan pengangkutan awam, pilihlah kawasan yang tidak mengganggu laluan. Jika tiada juga, maka solat secara duduk di kerusi. Hal ini berdasarkan kenyataan beberapa ulama yang menyebut antara sebab membolehkan solat fardhu secara duduk ialah apabila dengan cara berdiri akan menghilangkan keseluruhan khusu' solat.

Al-‘Allamah Taqiyuddin al-Hisni al-Syafi‘i berkata dalam Kifayah al-Akhyar (hlm. 122) menyatakan:

وقال الإمام: ضابط العجز أن تلحقه مشقة تُذهب خشوعه

“Berkata al-Imam: Ukuran ketidakmampuan ialah apabila seseorang itu ditimpa kesukaran yang menghilangkan kekhusyukannya.” (Tamat petikan)

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Syarbini pula berkata dalam Hasyiyah ‘ala al-Ghurar al-Bahiyyah (1/409, cet. al-Maimaniyyah):

[(قوله: حدًّا يسقط القيام) هو ما لم يحصل معه شيء من الخشوع وما هنا يكفي فيه ذهاب كمال الخشوع. اهـ. ع ش، لكن في "الإيعاب": وأدنى مراتب المشقة في المرض أن تشغله عن الخشوع أي: أصله لا كماله كما هو ظاهر في الصلاة

“(Katanya: had yang menggugurkan kewajipan berdiri) ialah apabila tidak lagi terhasil sedikit pun kekhusyukan. Dan yang dimaksudkan di sini memadai dengan hilangnya kesempurnaan khusyuk.” Tamat petikan daripada al-Syabramilsi (ع ش) Namun dalam al-I‘ab disebutkan: “Sekurang-kurangnya tahap kesukaran dalam penyakit ialah apabila ia menyibukkan seseorang daripada khusyuk — iaitu daripada asal khusyuk itu sendiri, bukan sekadar kesempurnaannya — sebagaimana yang zahir dalam bab solat.” (Tamat petikan)

Ini juga pandangan Imam al-Haramain berdasarkan nukilan al-Imam alNawawi dalam al-Majmu':

وقال إمام الحرمين في باب التيمم: الذى أراه في ضبط العجز أن يلحقه بالقيام مشقة تذهب خشوعه لأن الخشوع مقصود الصلاة.

“Imam al-Haramayn berkata dalam bab tayammum: "Pandangan yang aku pilih dalam menentukan had ketidakmampuan berdiri ialah apabila berdiri itu menyebabkan kesukaran yang menghilangkan kekhusyukannya; kerana sesungguhnya khusyuk itu adalah tujuan (utama) solat.”

Kesimpulannya:

1. Solat di jalan atau laluan orang ramai pada asalnya adalah dilarang. Namun, jika ada keperluan, tidak mengapa melakukannya, khususnya jika dapat dipastikan tiada orang menggunakan laluan tersebut.

3. Tanggungjawab persaudaraan Islam ialah saling tegur-menegur dan nasihat-menasihati sesama muslim. Tak wajar kita aibkan seorang muslim yang tersalah dalam sesuatu tindakan kerana kesungguhannya hendak mentaati perintah tuhannya. Kesilapan terdedah kepada semua orang, oleh itu, nasihat dengan baik saudara seislam kita yang tersilap langkah dan tindakan dalam mengamalkan agama.

 


Cetak  
Wallahu a'lam