Kaedah Dari al-Quran Ke-22

KAEDAH KE-22

 

إِنَّهُ مَن يَتَّقِ وَيَصْبِرْ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ

“…Sesungguhnya sesiapa yang bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang berbuat baik.” (Surah Yusuf: 90)

Ini merupakan salah satu kaedah al-Quran yang kukuh dalam bab hubungan dengan Allah dan juga dalam hubungan sesama manusia. Ia adalah satu prinsip dan tempat bergantung bagi mereka yang amalannya tidak dihargai atau tidak mendapat pengiktirafan.

 

Konteks Ayat

Kaedah ini datang dalam kisah Nabi Yusuf عليه السلام.

Ketika saudara-saudaranya masuk menemuinya, mereka berkata:

 يَا أَيُّهَا الْعَزِيزُ مَسَّنَا وَأَهْلَنَا الضُّرُّ وَجِئْنَا بِبِضَاعَةٍ مُّزْجَاةٍ فَأَوْفِ لَنَا الْكَيْلَ وَتَصَدَّقْ عَلَيْنَا ۖ إِنَّ اللَّهَ يَجْزِي الْمُتَصَدِّقِينَ (88) قَالَ هَلْ عَلِمْتُم مَّا فَعَلْتُم بِيُوسُفَ وَأَخِيهِ إِذْ أَنتُمْ جَاهِلُونَ (89) قَالُوا أَإِنَّكَ لَأَنتَ يُوسُفُ ۖ قَالَ أَنَا يُوسُفُ وَهَٰذَا أَخِي ۖ قَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَيْنَا ۖ إِنَّهُ مَن يَتَّقِ وَيَصْبِرْ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ

“Wahai al-‘Aziz! Kami dan keluarga kami telah ditimpa kesusahan, dan kami datang dengan barang yang sedikit nilainya. Maka sempurnakanlah sukatan untuk kami dan bersedekahlah kepada kami. Sesungguhnya Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bersedekah.” Yusuf menjawab: “Apakah kamu mengetahui apa yang telah kamu lakukan terhadap Yusuf dan saudaranya ketika kamu dalam keadaan jahil?” Mereka berkata: “Adakah benar engkau ini Yusuf?” Yusuf menjawab: “Aku Yusuf dan ini saudaraku. Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat kepada kami. Sesungguhnya sesiapa yang bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang berbuat baik.” (Surah Yusuf: 88–90)

 

 

Apa Itu Taqwa? Apa Itu Sabar?

Betapa sering kita menghafal definisi taqwa. Bahkan ada antara kita yang mampu menyebut beberapa takrif taqwa dan sabar, serta menghafal pembahagian-pembahagian sabar. Namun, tidak sedikit daripada kita yang gagal dalam ujian pertama kesabaran, atau berlaku kekurangan yang nyata dalam mengamalkan makna-makna syarak ini ketika datang sebab yang menuntutnya.

Saya tidak bermaksud dengan itu bahawa seseorang mesti maksum daripada dosa — itu sama sekali bukan maksudnya. Tetapi yang dimaksudkan ialah kita kadang-kadang — kecuali orang yang dirahmati Allah — gagal merealisasikan taqwa dan sabar apabila datang saat yang genting dan hadir sebab yang menuntut kedua-duanya.

Kita semua menghafal taqwa ialah: فعل أوامر الله، واجتناب نواهيه: “Melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.”

Kita juga sedar bahawa hal itu memerlukan kesabaran dan ketabahan, serta menahan diri agar sentiasa berada di atas kehendak Allah dan Rasul-Nya. Namun persoalannya ialah sejauh mana kita berjaya mengamalkan dua makna besar ini tepat pada waktunya.

 

Mengapa Digabungkan Taqwa dan Sabar?

Kita boleh bertanya: apakah rahsia penggabungan antara taqwa dan sabar dalam kaedah al-Quran yang kukuh ini:

إِنَّهُ مَن يَتَّقِ وَيَصْبِرْ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ

“…Sesungguhnya sesiapa yang bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang berbuat baik.” (Surah Yusuf: 90)

Jawapannya — والله أعلم — ialah kerana:

Kesan taqwa lazimnya terlihat dalam melaksanakan perintah (فعل المأمور), manakala kesan sabar pula kebanyakannya terlihat dalam meninggalkan larangan (ترك المنهي). (Jami‘ al-Rasa’il, Ibn Taymiyyah, jilid 1, hlm. 38)

 

 

 

Antara Aplikasi Kaedah Ini

Kaedah al-Quran yang agung ini mempunyai banyak aplikasi dalam kehidupan seorang mukmin, bahkan banyak juga terdapat dalam al-Quran.

Antaranya:

1 – Penjelasan Sheikh al-Islam Ibn Taymiyyah

Sheikh al-Islam Ibn Taymiyyah ketika mengulas kaedah ini dalam Surah Yusuf menyatakan;

ثم إن يوسف ابتلي بعد أن ظلم بمن يدعوه إلى الفاحشة، ويراوده عليها، ويستعين عليه بمن يعينه على ذلك، فاستعصم واختار السجن على الفاحشة، وآثر عذاب الدنيا على سخط الله، فكان مظلومًا من جهة من أحبه لهواه، وغرضه الفاسد...

“Sesungguhnya Yusuf diuji setelah dizalimi, dengan ujian seorang wanita yang mengajaknya melakukan perbuatan keji, merayunya, dan meminta bantuan orang lain untuk menekan Yusuf agar tunduk kepada keinginannya. Namun Yusuf tetap memelihara diri dan memilih penjara daripada melakukan maksiat. Dia lebih mengutamakan kesusahan dunia daripada kemurkaan Allah. Maka baginda menjadi orang yang dizalimi — dari sudut orang yang mencintainya kerana hawa nafsu dan tujuan yang rosak.”

Kemudian Ibn Taymiyyah menjelaskan tentang ujian Yusuf bersama saudara-saudaranya, dan bagaimana beliau menghadapi dua bentuk gangguan dan kezaliman, lalu membalasnya dengan taqwa dan kesabaran.

Adapun gangguan pertama ialah kezaliman saudara-saudaranya terhadapnya, yang mengeluarkannya daripada kebebasan kepada perhambaan yang batil tanpa pilihannya.

Adapun gangguan kedua ialah kezaliman isteri al-‘Aziz, yang menyebabkan baginda memilih untuk dipenjarakan dengan kehendaknya sendiri.

Kemudian Sheikh al-Islam membezakan antara kesabaran Nabi Yusuf terhadap gangguan saudara-saudaranya dan kesabarannya terhadap gangguan isteri al-‘Aziz. Beliau menegaskan bahawa kesabaran baginda terhadap ujian isteri al-‘Aziz adalah lebih besar daripada kesabarannya terhadap ujian saudara-saudaranya.

Ini kerana kesabaran baginda terhadap perbuatan saudara-saudaranya termasuk dalam kategori sabar terhadap musibah yang hampir tidak dapat dielakkan oleh sesiapa pun.

Manakala kesabarannya terhadap ujian isteri al-‘Aziz adalah sabar yang bersifat pilihan (ikhtiari), dan ia disertai dengan taqwa. Oleh sebab itulah Yusuf berkata:

إِنَّهُ مَن يَتَّقِ وَيَصْبِرْ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ

“…Sesungguhnya sesiapa yang bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang berbuat baik.” (Surah Yusuf: 90)

Kemudian Sheikh al-Islam menjelaskan bahawa kaedah al-Quran ini berlaku berterusan:

وهكذا إذا أوذي المؤمن على إيمانه، وطلب منه الكفر أو الفسوق أو العصيان وإن لم يفعل أوذي وعوقب - اختار الأذى والعقوبة على فراق دينه: إما الحبس وإما الخروج من بلده، كما جرى للمهاجرين حين اختاروا فراق الأوطان على فراق الدين، وكانوا يعذبون ويؤذون. وقد أوذي النبي ﷺ بأنواع من الأذى فكان يصبر عليها صبرا اختياريا، فإنه إنما يؤذى لئلا يفعل ما يفعله باختياره، وكان هذا أعظم من صبر يوسف؛ لأن يوسف إنما طلب منه الفاحشة، وإنما عوقب - إذ لم يفعل - بالحبس، والنبي ﷺ وأصحابه طلب منهم الكفر، وإذا لم يفعلوا طلبت عقوبتهم بالقتل فما دونه، وأهون ما عوقب به الحبس

“Demikian itu apabila seorang mukmin disakiti kerana imannya, dan diminta supaya melakukan kekufuran, kefasikan atau maksiat — jika dia tidak melakukannya, dia akan disakiti dan dihukum — lalu dia memilih kesakitan dan hukuman itu daripada meninggalkan agamanya. Sama ada hukuman itu berupa penjara atau diusir dari negerinya, sebagaimana yang berlaku kepada para muhajirin yang memilih meninggalkan tanah air daripada meninggalkan agama mereka, sedangkan mereka diseksa dan disakiti. Nabi SAW juga disakiti dengan pelbagai bentuk gangguan, dan baginda bersabar dengan sabar yang bersifat pilihan. Baginda disakiti supaya tidak melakukan perkara yang dilakukan secara pilihan (iaitu dakwah dan tauhid). Kesabaran baginda bahkan lebih besar daripada kesabaran Yusuf, kerana Yusuf hanya diminta melakukan perbuatan keji, dan apabila enggan, hukumannya hanyalah penjara. Adapun Nabi SAW dan para sahabat, mereka diminta melakukan kekufuran. Jika enggan, hukuman yang diminta ke atas mereka ialah pembunuhan atau selainnya, dan yang paling ringan ialah penjara.”

Sehinggalah Ibn Taimiyyah berkata:

فكان ما حصل للمؤمنين من الأذى والمصائب هو باختيارهم طاعة الله ورسوله لم يكن من المصائب السماوية التي تجري بدون اختيار العبد، من جنس حبس يوسف، لا من جنس التفريق بينه وبين أبيه، وهذا أشرف النوعين، وأهلها أعظم بدرجة، وإن كان صاحب المصائب يثاب على صبره ورضاه، وتكفر عنه الذنوب بمصائبه

“Apa yang menimpa orang-orang beriman berupa gangguan dan musibah itu berlaku kerana pilihan mereka untuk taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Ia bukan sekadar musibah yang berlaku tanpa pilihan hamba, seperti musibah Nabi Yusuf dipenjarakan, dan bukan seperti perpisahannya dengan ayahnya. Jenis ini lebih mulia, dan pelakunya lebih tinggi darjatnya, walaupun orang yang ditimpa musibah tetap mendapat pahala atas kesabaran dan keredaannya serta dihapuskan dosa-dosanya melalui musibah tersebut.” (Majmu‘ al-Fatawa 10/121–123, dengan ringkasan)

2 – Aplikasi Kaedah Ini Dalam Isu عِشْق الصُّوَرِ “Cinta Gambar-gambar”

Antara aplikasi kaedah ini ialah mendidik diri dengan taqwa dan sabar dalam menghadapi apa yang disebut sebagai: عِشْق الصُّوَرِ “ketagihan terhadap gambar”, yang telah merosakkan hati sebahagian manusia akibat keterikatan hati mereka kepada gambar-gambar tersebut, sama ada gambar hidup atau gambar tetap.

Fitnah gambar pada zaman kita ini sangat besar. Dunia belum pernah menyaksikan zaman yang lebih dahsyat dalam penyebaran gambar, kepakaran dalam merakamnya, kepelbagaian dalam mengubah suai rupanya, serta kemudahan untuk mengakses gambar yang haram dan yang tidak haram melalui internet, telefon pintar dan pelbagai medium lain.

Seorang mukmin yang nasih terhadap dirinya hendaklah bertakwa kepada Allah, dan berusaha bersungguh-sungguh (mujahadah) menjauhkan diri daripada tempat yang berbahaya ini (المُرتَع الوخيم) — iaitu membolak-balikkan pandangan terhadap gambar-gambar yang haram.

Hendaklah dia yakin bahawa cahaya iman, ketenangan dan kelapangan hati yang Allah campakkan ke dalam hatinya jauh lebih besar daripada kenikmatan sementara yang diperoleh daripada gambar-gambar tersebut.

Sesiapa yang ingin mengetahui kerosakan dalam bab ini — iaitu ketagihan terhadap gambar — hendaklah dia membaca bahagian akhir kitab al-‘Allamah Ibn al-Qayyim, “Al-Jawab al-Kafi”, kerana beliau telah menghuraikan dengan sangat baik dan bermanfaat.

Orang yang diuji dengan cinta yang terlarang hendaklah mengingati:

أنه إذا عف عن المحرمات نظرًا وقولا وعملا، وكتم ذلك، فلم يتكلم به حتى لا يكون في ذلك كلام محرم : إما شكوى إلى المخلوق، وإما إظهار فاحشة، وإما نوع طلب للمعشوق، وصَبَرَ على طاعة الله، وعن معصيته، وعلى ما في قلبه من ألم العشق، كما يصبر المصاب عن ألم المصيبة؛ فإن هذا يكون ممن اتقى الله وصبر، وإِنَّهُ مَن يَتَّقِ وَيَصْبِرْ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ

“Bahawa apabila dia menjaga diri daripada yang haram — sama ada dalam pandangan, perkataan dan perbuatan — serta menyembunyikan ujian itu dan tidak meluahkannya dengan cara yang haram (sama ada mengadu kepada makhluk dengan keluhan yang tercela, atau menzahirkan perbuatan keji, atau berusaha mendapatkan orang yang dicintai secara terlarang), dan dia bersabar dalam ketaatan kepada Allah, bersabar menjauhi maksiat, serta bersabar menanggung kesakitan dalam hatinya sebagaimana orang yang sabar menanggung kesakitan musibah — maka dia termasuk dalam kalangan orang yang bertakwa dan bersabar. Dan: “Sesungguhnya sesiapa yang bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang berbuat baik.” (Majmu‘ al-Fatawa 10/133, secara ringkasan)

3 - Antara aplikasi kaedah al-Quran yang agung ini ialah seseorang itu mungkin diuji dengan orang-orang yang hasad dengki terhadapnya.

Mereka dengki terhadap apa yang Allah kurniakan kepadanya daripada limpah kurnia-Nya. Kesan hasad ini kadang-kadang muncul dalam bentuk gangguan lisan atau perbuatan.

Hal ini pernah berlaku kepada salah seorang anak Adam, apabila dia dengki terhadap saudaranya kerana Allah menerima korban saudaranya dan tidak menerima korbannya. Demikian juga yang berlaku kepada Nabi Yusuf bersama saudara-saudaranya. Ia juga boleh berlaku antara seorang isteri dengan madunya, atau antara rakan sekerja sesama mereka.

Jenis hasad ini biasanya berlaku dalam kalangan orang yang berkongsi kedudukan, harta atau pekerjaan, apabila salah seorang mendapat bahagian tertentu dan yang lain terlepas. Ia sering berlaku antara orang yang setaraf, kerana salah seorang tidak suka melihat yang lain lebih daripadanya. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa (10/125–126)

Maka sesiapa yang diuji dengan keadaan ini hendaklah dia mengingati kaedah al-Quran ini:

إِنَّهُ مَن يَتَّقِ وَيَصْبِرْ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ

“…Sesungguhnya sesiapa yang bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang berbuat baik.” (Surah Yusuf: 90)

Dan hendaklah dia juga mengingati firman Allah:

وَإِنْ تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا

“Dan jika kamu bersabar dan bertakwa, nescaya tipu daya mereka tidak akan memudaratkan kamu sedikit pun.” (Ali Imran: 120)

4  - Pengulangan Dalam Surah Ali ‘Imran

Antara aplikasi kaedah ini juga ialah pengulangan makna sabar dan taqwa dalam Surah Ali ‘Imran pada tiga tempat, semuanya dengan lafaz:

وَإِنْ تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا

“Dan jika kamu bersabar dan bertakwa…”

Pertama & kedua; Dalam konteks Perang Uhud, firman Allah:

وَإِنْ تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا

“Dan jika kamu bersabar dan bertakwa, nescaya tipu daya mereka tidak akan memudaratkan kamu sedikit pun.” (Ali ‘Imran: 120)

Dan kedua dalam firman-Nya:

إِذْ تَقُولُ لِلْمُؤْمِنِينَ أَلَن يَكْفِيَكُمْ أَن يُمِدَّكُمْ رَبُّكُم بِثَلَاثَةِ آلَافٍ مِّنَ الْمَلَائِكَةِ مُنزَلِينَ،  بَلَىٰ ۚ إِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا وَيَأْتُوكُم مِّن فَوْرِهِمْ هَٰذَا يُمْدِدْكُمْ رَبُّكُم بِخَمْسَةِ آلَافٍ مِّنَ الْمَلَائِكَةِ مُسَوِّمِينَ

“(Ingatlah) ketika engkau berkata kepada orang-orang beriman: Tidakkah cukup bagi kamu bahawa Tuhanmu membantu kamu dengan tiga ribu malaikat yang diturunkan? Bahkan (cukup), jika kamu bersabar dan bertakwa, dan mereka datang menyerang kamu dengan segera, nescaya Tuhanmu membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang mempunyai tanda.” (Ali ‘Imran: 124–125)

Ketiga; Di akhir Surah Ali ‘Imran, dalam konteks manhaj al-Quran dalam menghadapi gangguan musuh daripada kalangan musyrikin dan Ahli Kitab, Allah berfirman:

 لَتُبْلَوُنَّ فِي أَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ وَلَتَسْمَعُنَّ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلِكُمْ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا أَذًى كَثِيرًا ۚ وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

“Kamu pasti akan diuji pada harta dan diri kamu, dan kamu pasti akan mendengar daripada orang-orang yang diberi Kitab sebelum kamu dan daripada orang-orang musyrik gangguan yang banyak. Dan jika kamu bersabar dan bertakwa, maka sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang memerlukan keazaman yang tinggi.” (Ali ‘Imran: 186)

 


Cetak  
Wallahu a'lam