Kaedah Dari al-Quran Ke-23

KAEDAH KE-23

﴿وَأْتُوا الْبُيُوتَ مِنْ أَبْوَابِهَا﴾

(Dan masuklah ke rumah-rumah itu melalui pintu-pintunya) (al-Baqarah: 189)

Kaedah al-Quran ini datang dalam konteks membetulkan satu adat masyarakat Jahiliah. Mereka apabila berihram, tidak masuk ke rumah melalui pintu, sebaliknya melalui bahagian belakang rumah sebagai satu bentuk ibadah, dengan sangkaan bahawa perbuatan itu suatu kebaikan.

Lalu Allah menjelaskan bahawa perbuatan itu bukanlah suatu kebaikan, kerana Allah tidak pernah mensyariatkannya. Sebab turun ayat ini telah disebut dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim melalui hadis al-Bara’ RA.[1]

Allah Ta‘ala berfirman:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ ۖ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ ۗ وَلَيْسَ الْبِرُّ بِأَن تَأْتُوا الْبُيُوتَ مِن ظُهُورِهَا وَلَٰكِنَّ الْبِرَّ مَنِ اتَّقَىٰ ۗ وَأْتُوا الْبُيُوتَ مِنْ أَبْوَابِهَا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Mereka bertanya kepadamu tentang anak-anak bulan. Katakanlah: Ia adalah penentu waktu bagi manusia dan bagi ibadah haji. Dan bukanlah suatu kebaikan kamu memasuki rumah dari belakangnya, tetapi kebaikan itu ialah orang yang bertakwa. Dan masuklah ke rumah-rumah itu melalui pintu-pintunya, serta bertakwalah kepada Allah agar kamu berjaya.” (al-Baqarah: 189)

Aplikasi Kaedah Ini

Walaupun sebab turun ayat ini berkaitan dengan kesalahan adat Jahiliah tersebut dan itulah gambaran paling jelas yang diperbetulkan oleh kaedah ini, namun kaedah al-Quran yang agung ini mempunyai aplikasi yang luas. Ungkapan: “Masuklah ke dalam rumah-rumah melalui pintu-pintunya,” di mana sesiapa yang meneliti kata-kata para ulama atau melihat aplikasi mereka terhadap ayat ini, akan mendapati keluasan maknanya dalam pelbagai bidang kehidupan, antaranya:

1 – Ibadah Kepada Allah

Antara aplikasi kaedah “Masuklah ke rumah melalui pintu-pintunya” ialah dalam bab beribadah kepada Allah Ta‘ala.

Ibadah kepada Allah ialah jalan yang menyampaikan kepada-Nya. Sesiapa yang ingin sampai kepada Allah, maka hendaklah dia melalui jalan yang membawa kepadaNya. Jalan itu tidak lain melainkan jalan yang telah ditetapkan oleh Rasulullah SAW.

Al-‘Allamah Ibn al-Qayyim رحمه الله berkata:

فالوصول إلى الله وإلى رضوانه بدونه محال، وطلب الهدى من غيره هو عين الضلال، وكيف يوصل إلى الله من غير الطريق التي جعلها هو سبحانه موصلة إليه، ودالة لمن سلك فيها عليه بعث رسوله بها مناديا، وأقامه على أعلامها داعيا، وإليها هاديا، فالباب عن السالك في غيرها مسدود، وهو عن طريق هداه وسعادته مصدود بل كلما ازداد كدحًا واجتهادا ازداد من الله طردًا وإبعادا

“Sampai kepada Allah dan kepada keredaan-Nya tanpa (mengikuti Rasul) adalah mustahil. Mencari petunjuk selain daripada petunjuk baginda adalah kesesatan yang nyata. Bagaimana mungkin seseorang sampai kepada Allah tanpa melalui jalan yang Allah sendiri jadikan sebagai jalan yang menyampaikan seseorang kepada-Nya, dan sebagai petunjuk bagi sesiapa yang menempuhnya? Allah mengutus Rasul-Nya sebagai penyeru kepada jalan itu, Dan Allah menegakkannya (Rasul itu) di atas tanda-tanda jalan tersebut sebagai seorang penyeru kepadanya, dan sebagai pemberi petunjuk ke arahnya. Maka pintu selain jalan itu tertutup bagi orang yang menempuhnya. Bahkan semakin dia bersungguh-sungguh dan berusaha (di jalan selain itu), semakin dia dijauhkan dan dihalau daripada Allah.” (Muqaddimah kitab Tahdhib al-Sunan, 1/3)

Al-‘Allamah al-Sa‘di juga menegaskan perkara ini ketika mengulas kaedah yang sedang kita bincangkan. Beliau berkata:

وكل من تعبد بعبادة لم يشرعها الله ولا رسوله، فهو متعبد ببدعة، وأمرهم أن يأتوا البيوت من أبوابها لما فيه من السهولة عليهم، التي هي قاعدة من قواعد الشرع

“Sesiapa yang beribadah dengan suatu ibadah yang tidak disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya, maka dia sebenarnya beribadah dengan bid‘ah. Dan Allah memerintahkan mereka supaya memasuki rumah melalui pintu-pintunya kerana pada hal itu terdapat kemudahan bagi mereka, dan kemudahan itu merupakan salah satu kaedah syariat.” (Tafsir al-Sa‘di, hlm. 88)

2 – Prinsip Umum Dalam Mencapai Matlamat

Antara aplikasi kaedah ini juga ialah daripada keumuman lafaz dan maknanya dapat difahami bahawa, setiap matlamat penting hendaklah dicapai melalui pintunya, iaitu jalan yang paling hampir dan paling tepat untuk sampai kepadanya.

Hal ini menuntut agar seseorang mengenal sebab-sebab dan wasilah (cara-cara) dengan pengetahuan yang sempurna, supaya dia dapat memilih yang terbaik, yang paling dekat, yang paling mudah dan yang paling berpotensi untuk berjaya. Prinsip ini meliputi; Perkara ilmiah dan amali, Urusan agama dan urusan dunia, Perkara yang manfaatnya meluas dan yang terbatas. Perkara Ini termasuk dalam hikmah. (Lihat Taysir al-Latif al-Mannan, hlm. 45)

3 – Menutup Pintu Helah Terhadap Hukum Syarak

Antara aplikasi kaedah ini ialah menutup pintu helah (muslihat) terhadap hukum-hakam syarak, kecuali dalam perkara yang diizinkan oleh syariat. Ini kerana orang yang berhelah terhadap syariat sebenarnya tidak mendatangi sesuatu urusan melalui pintunya yang sebenar. Maka dia telah menyelisihi kaedah al-Quran yang kukuh ini.

Ibn al-Qayyim رحمه الله menjelaskan betapa buruknya perbuatan golongan yang berhelah ini, yang begitu kreatif dalam mereka-reka helah:

فاستبيحت بحيلهم الفروج، وأخذت بها الأموال من أربابها فأعطيت لغير أهلها، وعطلت بها الواجبات، وضيعت بها الحقوق، وعجت الفروج والأموال والحقوق إلى ربها عجيجًا، وضجت مما حل بها إليه ضجيجًا، ولا يختلف المسلمون أن تعليم هذه الحيل حرام، والإفتاء بها حرام، والشهادة على مضمونها حرام، والحكم بها مع العلم بحالها حرام

“Dengan helah-helah mereka, dihalalkan perkara-perkara yang berkaitan kehormatan (faraj), diambil harta daripada pemiliknya lalu diberikan kepada yang bukan berhak, digugurkan kewajipan, disia-siakan hak-hak, sehingga kehormatan, harta dan hak-hak itu mengadu kepada Tuhan mereka dengan jeritan yang kuat dan keluhan yang menyayat hati atas apa yang menimpa mereka. Tidak ada khilaf dalam kalangan kaum Muslimin bahawa mengajarkan helah-helah ini adalah haram, memberi fatwa dengannya adalah haram, menjadi saksi atas kandungannya adalah haram, dan berhukum dengannya sedangkan mengetahui hakikatnya juga adalah haram.” (I‘lam al-Muwaqqi‘in, 3/372)

Apabila perkara ini jelas, maka bandingkanlah berapa ramai yang telah terjatuh ke dalam “padang ragut yang berbahaya” (المرتع الوخيم) ini dalam kalangan mereka yang meletakkan diri sebagai pemberi fatwa di sebahagian media atau laman sesawang. Lebih parah lagi apabila ramai manusia berlari mendapatkan mereka dalam hal ini. Sekadar melihat realiti sudah cukup untuk menunjukkan bahawa perkara ini sangat serius. Hanya kepada Allah kita memohon pertolongan.

4 – Dalam Bab Menuntut Ilmu dan Mencari Rezeki

Antara aplikasi kaedah ini juga ialah dalam menuntut ilmu, sama ada ilmu syarak atau selainnya dan juga dalam mencari rezeki. Sesiapa yang menempuh jalan yang betul, melakukan sesuatu kerja dengan cara yang sah dan mendatanginya melalui pintu-pintunya yang membawa kepadanya, maka pasti dia akan berjaya dan sampai kepada tujuannya.

Sebagaimana firman Allah:

وَأْتُوا الْبُيُوتَ مِنْ أَبْوَابِهَا ۚ

“Dan masuklah ke rumah-rumah itu melalui pintu-pintunya.” (Surah al-Baqarah: 189)

Semakin besar sesuatu matlamat, semakin dituntut untuk mencari jalan yang paling tepat, paling lurus dan paling sesuai untuk mencapainya.[2]

Alangkah indahnya kata-kata Qais bin al-Khatim (قيس بن الخطيم):

إِذا مَا أتيت الْعِزّ من غير بَابه ... ضللت وَإِن تقصد من الْبَاب تهتد

“Jika engkau mendatangi kemuliaan bukan melalui pintunya - engkau akan tersesat; dan jika engkau menuju melalui pintunya, engkau akan mendapat petunjuk.”

5 – Dalam Cara Berbicara Dengan Manusia

Antara aplikasi kaedah al-Quran ini ialah dalam berbicara dengan manusia. Ayat ini membimbing seorang mukmin hendaklah menempuh cara yang sesuai ketika berbicara. Dia perlu mengetahui topik yang sesuai untuk disentuh, waktu yang tepat, serta memahami sifat dan keadaan orang yang diajak berbicara.

فإن لكُلِّ مقامٍ مقالا، ولكل مجال جدالًا، ولكل حادثة مقاما

Setiap situasi ada ucapannya, setiap medan ada cara perbahasannya, dan setiap peristiwa ada pendekatannya.

Jika seseorang ingin berbicara dengan individu yang tinggi kedudukannya dalam ilmu atau kemuliaan, tidak wajar dia bercakap dengannya sebagaimana dia bercakap dengan orang biasa. Hikmah adalah asas dalam perkara ini. Dan sesiapa yang dikurniakan hikmah, maka sungguh dia telah diberi kebaikan yang banyak.

 

6 – Dalam Menangani Masalah Rumah Tangga

Antara aplikasi kaedah ini juga ialah apa yang disebut oleh Ibn al-Jawzi dalam kitabnya yang indah Sayd al-Khatir. Beliau berkata:

شكا لي رجل من بغضه لزوجته ثم قال: ما أقدر على فراقها لأمور: منها كثرة دينها علي، وصبري قليل، ولا أكاد أسلم من فلتات لساني في الشكوى، وفي كلمات تعلم بغضي لها . فقلت له: هذا لا ينفع وإنما تؤتى البيوت من أبوابها، فينبغي أن تخلو بنفسك، فتعلم أنها إنما سلطت عليك بذنوبك، فتبالغ في الاعتذار والتوبة، فأما الضجر والأذى لها فما ينفع، كما قال الحسن البصري عن الحجاج بن يوسف: عقوبة من الله لكم، فلا تقابلوا عقوبته بالسيف، وقابلوها بالاستغفار. واعلم أنك في مقام مبتلى، ولك أجر بالصبر وعسى أن تكرهوا شيئًا، وهو خير لكم، فعامل الله سبحانه بالصبر على ما قضى واسأله الفرج، فإذا جمعت بين الاستغفار وبين التوبة من الذنوب، والصبر على القضاء، وسؤال الفرج، حصلت ثلاثة فنون من العبادة تثاب على كل منها ، ولا تُضَيّع الزمان بشيء لا ينفع، ولا تحتل ظانًا منك أنك تدفع ما قدر ... وأما أذاك للمرأة فلا وجه له؛ لأنها مسلطة فليكن شغلك بغير هذا. وقد روي عن بعض السلف أن رجلا شتمه فوضع خده على الأرض وقال: اللهم اغفر لي الذنب الذي سَلَّطتَ هذا به علي

“Seorang lelaki mengadu kepadaku tentang kebenciannya terhadap isterinya. Dia berkata: Aku tidak mampu menceraikannya kerana beberapa sebab, antaranya hutangku yang banyak kepadanya, dan kesabaranku yang sedikit. Aku juga hampir tidak mampu menahan lidahku daripada meluahkan keluhan dan kata-kata yang menunjukkan kebencianku kepadanya. Aku (Ibn al-Jauzi) berkata kepadanya: Cara ini tidak bermanfaat. Sesungguhnya sesuatu itu mesti didatangi melalui pintunya. Engkau hendaklah menyendiri dan menyedari bahawa wanita itu hanya dijadikan dapat menguasaimu kerana dosa-dosamu. Maka perbanyakkanlah istighfar dan taubat. Adapun rasa jemu dan menyakitinya, itu tidak memberi manfaat. Sebagaimana al-Hasan al-Basri berkata tentang al-Hajjaj bin Yusuf: “Dia adalah hukuman daripada Allah ke atas kamu semua. Maka jangan kamu lawan hukuman Allah dengan pedang, tetapi lawanlah ia dengan istighfar.” Ketahuilah bahawa engkau berada dalam kedudukan orang yang diuji. Engkau mendapat pahala dengan kesabaran. Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik untuk kamu. Maka bermuamalah dengan Allah dengan kesabaran terhadap ketentuan-Nya dan mohonlah jalan keluar daripada-Nya. Jika engkau menghimpunkan antara istighfar, taubat daripada dosa, sabar terhadap takdir, dan memohon kelapangan, maka engkau telah menghimpunkan tiga bentuk ibadah, dan setiap satunya ada pahala. Jangan sia-siakan masa dengan perkara yang tidak bermanfaat, dan jangan berhelah dengan sangkaan bahawa engkau boleh menolak takdir yang telah ditentukan… Adapun menyakiti isteri, itu tidak ada alasannya kerana dia hanyalah alat ujian yang dijadikan dapat menguasaimu. Maka sibukkan dirimu dengan perkara selain daripada itu. Diriwayatkan bahawa seorang lelaki dalam kalangan salaf telah dimaki oleh seseorang. Lalu dia meletakkan pipinya ke tanah dan berkata: “Ya Allah, ampunilah dosaku yang menyebabkan Engkau menjadikan orang ini dapat menguasaiku.”[3] Tamat kata-kata Ibn al-Jawzi.

Tujuan saya menyebut kisah ini ialah untuk menunjukkan bagaimana seorang imam (ikutan) dan pendakwah ini menggunakan kaedah al-Quran:

وَأْتُوا الْبُيُوتَ مِنْ أَبْوَابِهَا ۚ

“Dan masuklah ke rumah-rumah itu melalui pintu-pintunya”

dalam merawat masalah sosial lelaki tersebut. Betapa banyak masalah seperti ini dalam masyarakat. Namun betapa sedikit orang yang menggunakan kaedah dan petunjuk al-Quran dalam menyelesaikan masalah sosial manusia, sama ada kerana kurang memahami petunjuknya atau kerana kelemahan dalam mengaplikasikannya.

Kewajipan kita ialah memulakan usaha memperbaiki semua masalah kita, walau dalam bidang apa pun, daripada Kitab Tuhan kita dan Sunnah Nabi kita. Hendaklah kita meyakini hal itu dengan penuh keyakinan, kerana Allah Ta‘ala berfirman:

﴿إِنَّ هَذَا الْقُرْءَانَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ﴾

“Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk kepada jalan yang paling lurus.”

Al-Quran memberi petunjuk dalam segala perkara; dalam akidah, hukum halal dan haram, isu sosial, ekonomi dan politik. Namun persoalannya ialah pada diri kita sendiri, dan pada kelalaian kita dalam mencari penyelesaian masalah kita daripada Kitab Tuhan kita. Kita memohon kepada Allah agar Dia membantu kita memahami Kitab-Nya, mengambil petunjuk daripadanya dan bercahaya dengan nur-Nya.

 



[1] Riwayat al-Bukhari, hadis no. 1803; dan Muslim, hadis no. 3026.

[2] Al-Qawa’id al-Hassan Li tafsir al-Quran, hal. 9, oleh al-‘Allamah al-Sa’di RA

[3] Sayd al-Khatir, hlm. 399–400, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.


Cetak  
Wallahu a'lam