Kaedah Dari al-Quran Ke-36

Kaedah 36

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

(Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kemampuan kamu)
(Surah al-Taghabun: 16)

Ini merupakan salah satu kaedah syarak yang sangat agung, yang sering dijadikan sandaran oleh para ulama dalam fatwa mereka.

Kaedah al-Quran yang kukuh ini datang dalam Surah al-Taghabun. Meneliti konteks ayatnya memberi kefahaman yang penting, lebih-lebih lagi kerana kaedah ini didahului oleh huruf fa’ (ف), yang disebut oleh sebahagian ulama sebagai fa’ al-fasihah atau fa’ al-tafri‘, iaitu huruf fa’ yang menunjukkan kesinambungan. Maksudnya, apa yang datang selepasnya merupakan cabang daripada apa yang disebut sebelumnya.

Allah Ta‘ala berfirman sebelum kaedah ini:

يَتَأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِنَّ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ وَأَوْلَادِكُمْ عَدُوًّا لَّكُمْ فَاحْذَرُوهُمْ وَإِن تَعْفُوا وَتَصْفَحُوا وَتَغْفِرُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمُ إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ وَاللَّهُ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya sebahagian daripada isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu adalah musuh bagi kamu, maka berhati-hatilah terhadap mereka. Dan jika kamu memaafkan, berlapang dada dan mengampuni, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya harta-harta kamu dan anak-anak kamu hanyalah ujian, dan di sisi Allah pahala yang besar.” (Surah al-Taghabun: 14–15)

Kemudian datang penegasan selepas itu:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَاسْمَعُوا وَأَطِيعُوا وَأَنفِقُوا خَيْرًا لِأَنفُسِكُمْ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ ، فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kemampuan kamu, dengarlah, taatilah, dan berinfaklah; itu lebih baik bagi diri kamu. Dan sesiapa yang dipelihara daripada sifat kedekut dirinya, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (Surah al-Taghabun: 16)

 

Huraian Makna Ayat

Maknanya: apabila kamu mengetahui perkara tersebut, maka bertakwalah kepada Allah dalam apa yang diwajibkan daripada ketakwaan ketika berinteraksi dengan anak-anak, pasangan dan dalam pengurusan harta.

Janganlah kasih sayang kepada mereka atau kesibukan dengan mereka menghalang kamu daripada menunaikan kewajipan. Jangan pula kemarahan atau emosi menyebabkan kamu keluar daripada batas keadilan yang diperintahkan. Jangan juga kecintaan kepada harta menghalang kamu daripada menunaikan hak-haknya atau daripada mencarinya melalui jalan yang halal.

Perintah bertakwa ini meliputi semua perkara yang disebut sebelumnya: peringatan agar berhati-hati, galakan untuk memaafkan, dan selainnya.

Dan oleh kerana ketakwaan dalam perkara-perkara tersebut dan selainnya kadang-kadang terdedah kepada kekurangan dalam pelaksanaannya — kerana keinginan untuk memenuhi hawa nafsu — maka dikuatkan lagi perintah bertakwa itu dengan firman-Nya:

مَا اسْتَطَعْتُمْ

“menurut kemampuan kamu.”

Perkataan ما di sini bersifat masdariyyah zharfiyyah, iaitu bermaksud sepanjang tempoh kemampuan kamu, supaya maknanya merangkumi semua waktu dan masa.

Dengan itu, ia meliputi seluruh keadaan kerana keluasan masa, dan juga meliputi semua bentuk kemampuan. Maka manusia tidak meninggalkan ketakwaan pada mana-mana waktu.

Waktu dijadikan sebagai “zharaf” (ruang masa) bagi kemampuan supaya manusia tidak cuai atau meninggalkan sesuatu yang sebenarnya mampu mereka lakukan dalam perkara yang diperintahkan berkaitan dengan ketakwaan, selagi ia tidak keluar daripada batas kemampuan kepada tahap kesukaran yang berat.

Oleh itu, firman Allah: مَا اسْتَطَعْتُمْbukanlah suatu bentuk keringanan yang melampau dan bukan juga suatu bentuk kesukaran yang membebankan.

Sebaliknya ia adalah keadilan dan keseimbangan. Di dalamnya terdapat perkara yang menjadi tanggungjawab manusia dan juga kelonggaran yang diberikan kepada mereka.

 

Selepas penjelasan ringkas tentang makna kaedah ini, jelaslah bahawa kadar ketakwaan yang wajib dilakukan oleh seorang hamba ialah bertakwa kepada Allah menurut kemampuannya.

Adapun ketakwaan yang sebenarnya layak bagi Allah Ta‘ala ialah sebagaimana yang disebut dalam firman-Nya:

يَأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَائِهِ، وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya, dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Muslim.” (Surah Ali ‘Imran: 102)

Ayat ini ditafsirkan oleh sebahagian ulama salaf dengan ungkapan:

أن يطاع فلا يعصى، ويذكر فلا ينسى، ويشكر فلا يكفر

“Allah ditaati dan tidak didurhakai, diingati dan tidak dilupakan, serta disyukuri dan tidak dikufuri.”

Dengan menggabungkan kedua-dua ayat ini, jelaslah bahawa tidak benar pendapat yang mengatakan bahawa kaedah yang sedang kita bincangkan ini, iaitu:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُم

“Bertakwalah kepada Allah menurut kemampuan kamu”

telah memansukhkan ayat dalam Surah Ali ‘Imran:

اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَائِهِ

“Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa.”

Kaedah al-Quran yang kukuh ini juga menunjukkan dengan jelas bahawa setiap kewajipan yang tidak mampu dilaksanakan oleh mukallaf maka kewajipan itu gugur daripadanya. Jika seseorang mampu melaksanakan sebahagian daripada sesuatu perintah tetapi tidak mampu melaksanakan keseluruhannya, maka dia melaksanakan apa yang dia mampu, dan gugurlah daripadanya apa yang tidak mampu.

Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim daripada hadis Abu Hurairah RA.

Sabda Nabi SAW:

إذا أمرتكم بأمر فأتوا منه ما استطعتم

“Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu perkara, maka lakukanlah daripadanya menurut yang kamu mampu.” (al-Bukhari dan Muslim)

Dengan kaedah syarak ini, banyak cabang hukum yang termasuk di bawahnya, bahkan tidak dapat dihitung jumlahnya, sebagaimana dinyatakan oleh ramai ulama. (Tafsir al-Sa’d: 141)

Kita boleh melihat beberapa contoh yang menjelaskan kaedah ini.

 

1 – Contoh Pertama: Kisah Kewajipan Haji

Antara contoh yang baik untuk dijadikan gambaran ialah peristiwa yang menyebabkan Nabi SAW mengucapkan kata-kata yang agung tadi:

“Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu perkara, maka lakukanlah daripadanya sekadar yang kamu mampu.”

Imam Muslim meriwayatkan dalam Sahihnya daripada Abu Hurairah RA bahawa beliau berkata:

خَطَبَنَا رَسُولُ اللهِ ﷺ فَقَالَ: أَيُّهَا النَّاسُ، قَدْ فَرَضَ اللهُ عَلَيْكُمُ الْحَجَّ فَحُجُّوا، فَقَالَ رَجُلٌ: أَكُلَّ عَامٍ يَا رَسُولَ اللهِ؟ فَسَكَتَ، حَتَّى قَالَهَا ثَلَاثًا، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: لَوْ قُلْتُ: نَعَمْ، لَوَجَبَتْ، وَلَمَا اسْتَطَعْتُمْ، ثُمَّ قَالَ: ذَرُونِي مَا تَرَكْتُكُمْ، فَإِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِكَثْرَةِ سُؤَالِهِمْ، وَاخْتِلَافِهِمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ، فَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَيْءٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ، وَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَيْءٍ فَدَعُوهُ

Rasulullah SAW berkhutbah kepada kami lalu bersabda: “Wahai manusia! Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas kamu ibadah haji, maka tunaikanlah haji.” Lalu seorang lelaki bertanya: “Adakah setiap tahun wahai Rasulullah?” Baginda diam, sehingga lelaki itu mengulanginya tiga kali. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Jika aku mengatakan ‘ya’, nescaya ia menjadi wajib setiap tahun, dan kamu tidak akan mampu melaksanakannya.” Kemudian baginda bersabda: “Biarkan aku dengan apa yang aku tinggalkan untuk kamu. Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu binasa kerana terlalu banyak bertanya dan kerana perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka. Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu perkara, maka lakukanlah daripadanya sekadar yang kamu mampu. Dan apabila aku melarang kamu daripada sesuatu perkara, maka tinggalkanlah ia.”

 

2 – Dalam Mengimbangi Maslahah dan Mafsadah

Antara aplikasi kaedah ini juga ialah:

Apabila berkumpul antara maslahah (kebaikan) dan mafsadah (keburukan), maka jika memungkinkan untuk mendapatkan maslahah dan menolak mafsadah, maka kita lakukan kedua-duanya sebagai mematuhi perintah Allah Ta‘ala. Hal ini berdasarkan firman Allah:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

“Maka bertakwalah kamu kepada Allah sekadar kemampuan kamu.”

Namun jika tidak dapat menghimpunkan kedua-duanya, maka jika mafsadah lebih besar daripada maslahah, kita menolak mafsadah walaupun terpaksa meninggalkan maslahah.

Allah Ta‘ala berfirman:

يَسْتَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمُ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا

“Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya terdapat dosa besar dan juga beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.” (Surah al-Baqarah: 219)

Oleh sebab mafsadahnya lebih besar daripada manfaatnya, maka kedua-duanya diharamkan.

3 – Dalam Bab Bersuci Untuk Solat

Kewajipan ketika ingin menunaikan solat ialah bersuci dengan air. Jika air tidak ada atau tidak mampu digunakan, maka seseorang berpindah kepada tayammum, sebagaimana yang telah diketahui.

4 – Dalam Cara Melaksanakan Solat

Pada asalnya solat fardu hendaklah dilakukan oleh orang yang bersolat dalam keadaan berdiri. Jika dia tidak mampu, maka dia bersolat dalam keadaan duduk. Jika tidak mampu juga, maka dia bersolat dalam keadaan mengiring atau menurut kemampuan. Hal ini sebagaimana yang ditunjukkan oleh hadis Imran bin Husain RA. Prinsip ini meliputi semua syarat, rukun dan kewajipan solat.

5 – Dalam Ibadah Puasa

Dalam ibadah puasa, seorang Muslim wajib menahan diri daripada semua perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Namun jika puasa mendatangkan kesukaran yang berat baginya, maka dia boleh berbuka dan berpindah kepada memberi makan (fidyah).

6 – Dalam Ibadah Haji

Dalam ibadah haji, seluruh asas rukun ini dibina di atas prinsip kemampuan.

Sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ

“Dan bagi Allah wajib atas manusia mengerjakan haji ke Baitullah bagi sesiapa yang mampu menuju kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (mengingkari kewajipan itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya daripada sekalian alam.” (Surah Ali ‘Imran: 97)

Sebagaimana juga disebut dalam hadis Abu Hurairah RA yang telah disebut sebelumnya.

Antara cabang kaedah ini dalam manasik haji ialah:

  • Sesiapa yang tidak mendapat tempat di Mina atau Muzdalifah, maka dia tinggal di tempat yang mampu baginya.
  • Demikian juga orang yang tidak mampu melakukan melontar jamrah kerana sebab yang diiktiraf syarak.

Boleh dikatakan bahawa ibadah haji merupakan rukun Islam yang paling banyak mempunyai cabang-cabang hukum yang berasaskan kaedah agung ini.

7 – Dalam Amar Makruf Nahi Mungkar

Antara aplikasi kaedah ini juga ialah dalam bab amar makruf dan nahi mungkar.

Seorang mukallaf wajib mencegah kemungkaran dengan tangannya jika dia mampu. Jika tidak mampu, maka dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka dengan hatinya.

Hal ini sebagaimana yang disebut dalam hadis Abu Sa‘id al-Khudri RA yang diriwayatkan dalam hadis Sahih Muslim.

8 – Dalam Bab Nafkah

Dalam bab nafkah, sesiapa yang mempunyai tanggungan nafkah wajib tetapi tidak mampu menunaikan semuanya, maka dia mendahulukan:

  1. Isterinya
  2. Hamba yang dimilikinya
  3. Anak-anaknya
  4. Kedua ibu bapanya
  5. Kemudian yang paling dekat hubungan kekeluargaannya

Begitu juga dalam zakat fitrah, ia dilaksanakan mengikut kadar kemampuan.

9 – Dalam Pelantikan Jawatan dan Kepimpinan

Antara aplikasi besar kaedah ini ialah dalam pelantikan jawatan dan kepimpinan, sama ada urusan agama atau dunia, kecil atau besar. Semua ini termasuk di bawah kaedah agung ini.

Setiap jawatan hendaklah diberikan kepada orang yang paling layak, yang dengan pelantikannya dapat dicapai tujuan jawatan tersebut. Jika tidak didapati orang yang benar-benar paling layak, maka hendaklah dilantik yang paling hampir kepada kelayakan, kemudian yang berikutnya. Perkara ini telah dijelaskan sebelum ini ketika membincangkan kaedah:

إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَعْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

“Sesungguhnya sebaik-baik orang yang engkau ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.” (Surah al-Qasas: 26)

 

Kesimpulan

Melalui contoh-contoh ini, jelaslah betapa besarnya kedudukan kaedah ini dalam syariat yang suci ini, yang dibina di atas kemudahan dan kelapangan. Kita memohon kepada Allah Ta‘ala yang telah memberi kita hidayah kepada agama yang lurus ini agar meneguhkan kita di atasnya sehingga kita bertemu dengan-Nya, serta mengurniakan kepada kita kefahaman dalam agama-Nya dan ketajaman pandangan dalam memahaminya.


Cetak  
Wallahu a'lam