Fiqh Berkaitan Zakat Fitrah

FIQH BERKAITAN ZAKAT FITRAH

PENDAHULUAN

Segala puji bagi Allah al-Rahman yang menciptakan manusia dan mengajarnya kemampuan berbicara. Selawat dan salam ke atas sebaik-baik manusia dan jin, iaitu Nabi Muhammad , semoga selawat dan salam Allah tercurah ke atas Baginda, juga ke atas keluarga Baginda, para sahabat Baginda yang mulia, serta orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik hingga Hari Kiamat, Amma ba‘d:

Sesungguhnya zakat fitrah merupakan salah satu syiar agung yang disyariatkan oleh Allah Ta‘ala pada penghujung bulan Ramadan, sebagai penyucian bagi orang yang berpuasa daripada perkataan sia-sia dan kata-kata keji juga lucah, serta sebagai makanan bagi orang-orang miskin, di samping menzahirkan makna saling membantu dan kasih sayang antara sesama Muslim.

Para ulama telah memberikan perhatian besar dalam menjelaskan hukum-hakam dan permasalahan zakat fitrah, kerana kepentingannya dalam kehidupan umat Islam, serta banyaknya persoalan yang sering diajukan tentang hukum-hukumnya disebabkan ia berulang setiap tahun.

Dalam risalah ini terhimpun sebahagian daripada hukum-hakam dan permasalahan penting berkaitan zakat fitrah, disertai penjelasan beberapa pandangan para ulama mengenainya, dengan gaya penulisan yang ringkas dan mudah, supaya mudah difahami serta dapat dimanfaatkan.

Saya memohon kepada Allah Ta‘ala agar memberi manfaat melalui usaha ini, dan menjadikannya ikhlas kerana wajah-Nya yang mulia.

Semoga Allah melimpahkan selawat dan salam ke atas Nabi kita Muhammad, serta ke atas keluarga Baginda dan para sahabat Baginda seluruhnya.

 

DEFINISI

Zakat fitrah ialah satu susunan idhafah (gabungan kata) yang terdiri daripada dua perkataan: “zakah” (زكاة) dan “fitr” (الفِطر). Makna bagi setiap perkataan ini adalah seperti berikut:

Zakat atau zakah dari segi bahasa bermaksud pertambahan dan kesucian (النّماء والطّهارة)[1]. Hal ini berdasarkan firman Allah Ta‘ala:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا

“Ambillah daripada harta mereka sebagai sedekah (zakat) yang dengannya engkau membersihkan mereka dan menyucikan mereka.” (al-Taubah: 103)

Allah SWT mengangkat bala daripada harta tersebut dengan sebab dikeluarkannya zakat. Justeru penyucian itu menjadi suatu bentuk pertambahan dari segi makna, walaupun dari segi zahirnya ia kelihatan sebagai pengurangan. Hakikatnya ia merupakan pertumbuhan harta dari segi keberkatan, serta penyucian bagi harta dan juga pemiliknya.[2]

Dari segi syarak, zakat ialah:

مالٌ مخصوص يُخرجُ من مالٍ أو بدن مخصوصٍ على وجهٍ مخصوص

“Harta tertentu yang wajib dikeluarkan daripada harta atau (berkaitan dengan) badan (individu) tertentu dengan cara yang tertentu.”[3]

Al-fitr (الفِطر) pula ialah lawan kepada puasa, ungkapan bahasa ‘Arab: أفطر إفطارا bermaksud seseorang itu berbuka puasanya (أَفْطَرَ) dengan satu iftar.[4]

Para fuqaha juga menyebutnya sebagai “sedekah fitr” (صدقة الفِطر). Penyandaran zakat atau sedekah kepada fitr adalah kerana ia diwajibkan dengan masuknya waktu fitr atau berhari raya (hari larangan berpuasa), iaitu selepas terbenam matahari pada hari terakhir bulan Ramadan.[5]

Ia juga disebut “zakat al-fitrah” (زكاة الفِطْرة) iaitu zakat bagi kejadian manusia (زكاة الخِلقة)[6], kerana ia diwajibkan atas dasar kejadian seseorang manusia sebagai penyucian jiwa dan penyubur amalannya[7]. Demikian juga zakat yang dikeluarkan itu disebut sebagai fitrah.[8]

Maka zakat fitrah boleh ditakrifkan sebagai:

قدر معيّن من المال، يجب إخراجه بدخول أوّل ليلة العيد عن كل مكلّف ومن تلزمه نفقتهم

“Jumlah kadar tertentu daripada harta yang wajib dikeluarkan apabila masuk malam pertama Hari Raya, bagi setiap mukallaf dan juga bagi orang yang berada di bawah tanggungannya.”

 

HIKMAH PENSYARIATANNYA

Ibn Abbas رضي الله عنهما berkata:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ، وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ

“Rasulullah mewajibkan zakat fitrah sebagai penyucian bagi orang yang berpuasa daripada perkara sia-sia dan kata-kata keji, serta sebagai makanan bagi orang-orang miskin.”[9]

Sudut pengambilan dalil dari hadis ini yang menunjukkan Zakat fitrah adalah satu kewajipan ialah kerana ia berperanan membersihkan orang yang berpuasa daripada perbuatan lagha (perkataan sia-sia atau tidak berguna) dan rafath (kata-kata yang keji atau lucah). Di samping itu, ia membantu golongan fakir dan menyediakan makanan untuk mereka.[10]

Daripada Ibn Umar رضي الله عنهما, beliau berkata:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ، وَقَالَ: أَغْنُوهُمْ فِي هَذَا الْيَوْمِ

“Rasulullah menfardhukan zakat fitr dan bersabda: Cukupkanlah keperluan mereka pada hari ini.”[11]

Sudut pengambilan dalil: Nabi memerintahkan supaya orang-orang fakir daripada kalangan umat Islam dicukupkan keperluan mereka pada hari raya Aidilfitri, agar mereka tidak perlu berkeliling meminta-minta kepada orang kaya pada hari tersebut.[12]

 

HUKUM

Hukum zakat fitr ialah wajib. Ia wajib ke atas setiap Muslim, sama ada lelaki atau perempuan, merdeka atau hamba, dewasa atau kanak-kanak, apabila masuk malam pertama Hari Raya.[13]

Dalilnya:

Daripada Ibn Umar رضي الله عنهما, beliau berkata:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى العَبْدِ وَالحُرِّ، وَالذَّكَرِ وَالأُنْثَى، وَالصَّغِيرِ وَالكَبِيرِ مِنَ المُسْلِمِينَ، وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ

“Rasulullah mewajibkan zakat fitrah sebanyak satu ṣā’ (gantang) daripada tamar atau satu ṣā’ daripada barli ke atas hamba dan orang merdeka, lelaki dan perempuan, kecil dan besar daripada kalangan Muslimin. Baginda memerintahkan agar ia ditunaikan sebelum orang ramai keluar untuk menunaikan solat (Aidilfitri).” [14]

Sudut pengambilan dalil: Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah mewajibkan zakat fitrah, dan bahawa kewajipan ini hanya dikenakan ke atas orang Islam sahaja.

 

SYARAT-SYARAT WAJIB ZAKAT FITRAH

Terdapat tiga syarat yang mesti dipenuhi agar zakat fitrah menjadi wajib, iaitu:

1. Islam

Syarat pertama ialah Islam. Oleh itu zakat fitrah tidak wajib ke atas orang bukan Islam, berdasarkan hadis Ibn Umar yang telah disebutkan sebelum ini.

2. Masuknya waktu kewajipan

Iaitu terbenam matahari pada hari terakhir bulan Ramadan dan masuknya malam pertama Hari Raya.

Berdasarkan hal ini:

  • Zakat fitrah wajib dikeluarkan bagi orang yang meninggal dunia selepas terbenam matahari pada hari terakhir Ramadan.
  • Dan juga wajib bagi bayi yang dilahirkan sebelum terbenam matahari pada hari tersebut.

3. Kemampuan (kelapangan harta) orang yang mukallaf

Iaitu seseorang mukallaf yang memiliki lebihan harta yang dimilikinya, walaupun tidak sampai satu ṣā’, melebihi:

  • keperluan asasnya,
  • makanan dirinya,
  • makanan keluarganya,
  • dan makanan orang yang wajib ditanggung nafkahnya,

untuk hari raya dan malamnya.[15]

Jika seseorang tidak mempunyai lebihan tersebut ketika masuk waktu kewajipan, maka dia dianggap tidak mampu, dan tidak wajib ke atasnya zakat fitrah.

Namun jika selepas itu dia menjadi mampu:

  • Jika dia menjadi mampu sebelum terbenam matahari pada hari raya, maka sunat baginya mengeluarkan zakat fitrah.[16]

Berdasarkan yang zahir, kemampuan untuk bekerja atau mencari pendapatan tidak mengeluarkan seseorang daripada status tidak mampu.[17]

Jika ketiga-tiga syarat ini terdapat pada seseorang mukallaf, maka wajib baginya mengeluarkan zakat fitrah bagi:

  • dirinya sendiri
  • isterinya
  • ibu bapanya (Usulnya)
  • anak-anaknya (Furu’nya)
  • dan sesiapa sahaja yang berada di bawah tanggungan nafkah daripadanya.

Dhabithnya ialah:

أنّ من لزمه فطرة نفسه، لزمه فطرة من تلزمه نفقته

“Sesiapa yang wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya, maka wajib juga baginya mengeluarkan zakat fitrah bagi orang yang wajib tanggungan nafkah daripadanya.” [18]

Jika suami tidak mampu, tetapi isterinya yang merdeka mempunyai kemampuan, maka menurut pendapat asah yang dinaskan (الأصح المنصوص) dalam mazhab tidak wajib bagi isteri mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya, tetapi disunatkan baginya untuk mengeluarkannya.[19]

Jika seseorang mukallaf hanya mampu mengeluarkan zakat fitrah untuk sebahagian daripada orang yang wajib ditanggungnya, maka dia hendaklah mengeluarkannya mengikut turutan berikut:

  1. dirinya sendiri
  2. isterinya
  3. anaknya yang masih kecil
  4. bapanya
  5. ibunya (jika kedua-duanya fakir dan berada di bawah tanggungannya)
  6. anaknya yang sudah besar jika tidak mampu bekerja kerana sakit kronik atau gila.[20]

 

WAKTU ZAKAT FITRAH

Waktu mengeluarkan zakat fitrah boleh dibahagikan kepada lima jenis waktu, iaitu:

  • waktu harus
  • waktu wajib
  • waktu sunat
  • waktu makruh
  • waktu haram

1. Waktu harus

Bermula dari hari pertama bulan Ramadan.

Oleh itu seseorang boleh mengeluarkan zakat fitrah bermula awal Ramadan sehingga terbenam matahari pada hari raya. Maka apabila matahari terbenam pada hari terakhir Ramadan dan masuk malam raya, maka masuklah waktu wajib, yang berterusan sehingga terbenam matahari pada hari raya Aidilfitri.[21]

Faedah dari pembahagian ini ialah:

  • Jika seseorang meninggal dunia sebelum terbenam matahari pada hari terakhir Ramadan, maka tidak wajib zakat fitrah ke atasnya dan tidak dikeluarkan bagi pihaknya.
  • Begitu juga bayi yang lahir selepas masuk malam raya, maka tidak wajib zakat fitrah ke atasnya dan tidak dikeluarkan baginya.[22]

2. Waktu sunat

Sunat mengeluarkan zakat fitrah pada hari raya, bukan sebelumnya. Sunat juga ia dikeluarkan sebelum keluar menunaikan solat Aidilfitri[23], berdasarkan hadis Ibn Umar رضي الله عنهما:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الفِطْرِ ... وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ

“Rasulullah mewajibkan zakat fitrah … dan Baginda memerintahkan agar ia ditunaikan sebelum orang ramai keluar menuju solat.”[24]

Sudut pengambilan dalil: Nabi memerintahkan secara sunat agar zakat fitrah ditunaikan sebelum orang ramai keluar menunaikan solat Aidilfitri.[25]

3. Waktu makruh

Makruh melambatkan pembayaran zakat fitrah sehingga selepas solat Aidilfitri.

4. Waktu haram

Haram melambatkannya sehingga selepas hari raya (1 Syawal) tanpa keuzuran, kerana waktu menunaikannya berakhir dengan terbenam matahari pada hari raya (1 Syawal)[26].

Sesiapa yang melambatkannya tanpa sebarang keuzuran, berdosa, dan wajib menunaikannya sebagai qadha dengan segera[27] kerana dia telah melakukan kesalahan dengan melambatkannya. Adapun orang yang terlupa, maka tidak wajib segera menunaikannya, kerana dia tidak dianggap berdosa[28].

Oleh itu, dibolehkan mengeluarkan zakat fitrah selepas solat Aidilfitri selagi sebelum terbenam matahari, namun ia makruh. Manakala haram melewatkan perlaksanaanya sehingga selepas hari raya atau selepas tenggelam matahari 1 syawal.

Ini merupakan mazhab jumhur ulama terdiri daripada empat imam mazhab: Abu Hanifah, Malik, al-Syafi‘i dan Ahmad serta para pengikut mereka[29]. Bahkan ternadapt nukilan mendakwa telah berlaku ijmak dalam hal ini, walaupun ijmak nukilan tersebut tidak sahih.

Perbahasan Tentang Hadis Ibn ‘Umar dan Ibn ‘Abbas dan رضي الله عنهما

Pertama: Hadis Ibn Umar رضي الله عنهما dari sudut Riwayat dan Dirayah:

عَنْ عُمَرَ بْنِ نَافِعٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ: "فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى العَبْدِ وَالحُرِّ، وَالذَّكَرِ وَالأُنْثَى، وَالصَّغِيرِ وَالكَبِيرِ مِنَ المُسْلِمِينَ، وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ."  وفي رواية: "أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَمَرَ بِزَكَاةِ الْفِطْرِ قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلَاةِ

“Daripada ‘Umar bin Nafi‘, daripada ayahnya, daripada Ibn Umar رضي الله عنهما, beliau berkata: “Rasulullah mewajibkan zakat fitrah sebanyak satu ṣā‘ daripada tamar atau satu ṣā‘ daripada barli ke atas hamba dan orang merdeka, lelaki dan perempuan, kecil dan besar daripada kalangan Muslimin. Dan Baginda memerintahkan agar ia ditunaikan sebelum orang ramai keluar menuju solat.”[30]

Dalam satu riwayat lain disebut:

“Sesungguhnya Nabi memerintahkan agar zakat fitrah dikeluarkan sebelum orang ramai keluar menuju solat.”[31]

Cara pengambilan dalil: Hadis ini menunjukkan bahawa sunat mengeluarkan zakat fitrah sebelum orang ramai keluar menuju solat Aidilfitri, kerana Nabi memerintahkan demikian.[32]

Sebahagian ulama menggunakan hadis ini sebagai dalil bahawa tidak boleh melewatkan zakat fitrah sehingga selepas solat Aidilfitri, dan bahawa waktunya berakhir dengan selesainya solat tersebut. Namun jumhur fuqaha berpendapat bahawa perintah dalam hadis ini membawa maksud sunat, bukan wajib. Berikut adalah penjelasan terhadap dalil ini:

  1. Bentuk perintah yang terdapat dalam hadis hanya menunjukkan anjuran atau sunat, bukan satu kewajipan.

al-‘Iraqi berkata:

صيغة أمر محتملة للاستحباب كاحتمالها للإيجاب وليست ظاهرة في أحدهما بخلاف صيغة افعل، فإنها ظاهرة في الوجوب، فلما ورد هذا الحديث بصيغة الأمر اقتصرنا على الاستحباب؛ لأنه الأمر المتيقن والزيادة على ذلك مشكوك فيها، ثم قال جمهور الفقهاء: لا يجوز تأخير إخراجها عن يوم الفطر، وبه قال الشافعية والحنفية والمالكية، وهو المشهور عند الحنابلة

“Bentuk perintah (أمر) (dalam hadis ini) berkemungkinan menunjukkan sunat sebagaimana kemungkinan menunjukkan wajib. Ia tidak jelas menunjukkan salah satu daripadanya, berbeza dengan lafaz ‘if‘al’ (lakukanlah) yang lebih jelas menunjukkan kewajipan. Oleh itu apabila hadis ini datang dalam bentuk perintah (أمر), kita memahaminya sebagai sunat kerana itulah yang pasti, manakala tambahan selainnya masih diragui.”

Kemudian beliau menyatakan bahawa:

“Jumhur fuqaha berpendapat tidak boleh menangguhkan zakat fitrah selepas hari raya, dan ini adalah pendapat Syafi‘iyyah, Hanafiyyah dan Malikiyyah, serta pendapat yang masyhur dalam mazhab Hanbali.”[33]

  1. Terdapat dalam sunnah Nabi dalil bahawa waktu menunaikan zakat fitrah meliputi seluruh hari raya sehingga sebelum terbenam matahari.

Antaranya hadis Abu Sa‘id al-Khudri رضي الله عنه:

كُنَّا نُخْرِجُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ الفِطْرِ صَاعًا مِنْ طَعَامٍ

“Kami pada zaman Rasulullah mengeluarkan pada hari raya fitrah satu ṣā’ daripada makanan.”[34]

Ibn Battal berkata:

وقول أبي سعيد: كنا نخرج يوم الفطر، هو مجمل يحتمل أن يكون قبل الصلاة، ويحتمل أن يكون بعد الصلاة

“Perkataan Abu Sa‘id: ‘Kami mengeluarkannya pada hari raya’ adalah lafaz umum yang boleh bermaksud sebelum solat dan juga selepas solat.”[35]

Ibn Hajar pula berkata:

ودل حديث بن عمر على أن المراد بقوله يوم الفطر أي أوله، وهو ما بين صلاة الصبح إلى صلاة العيد، وحمل الشافعي التقييد بقبل صلاة العيد على الاستحباب لصدق اليوم على جميع النهار

“Hadis Ibn Umar menunjukkan bahawa maksud ‘hari raya’ ialah awal hari tersebut, iaitu antara solat Subuh dan solat Aidilfitri. Imam al-Syafi‘i memahami had masa sebelum solat Aidilfitri sebagai sunat, kerana perkataan ‘hari’ merangkumi seluruh waktu siang.” (Ibn Hajar al-‘Asqalani, Ahmad bin ‘Ali (w. 852H), Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari, tahqiq wa ishraf Muhibb al-Din al-Khatib, Beirut: Dar al-Ma‘rifah, 1379H, 3/375)

  1. Tujuan perintah memberikan zakat fitrah kepada fakir pada waktu tersebut ialah supaya mereka dapat memanfaatkannya pada hari itu dan dapat makan daripada zakat tersebut, sehingga mereka tidak perlu berkeliling meminta-minta kepada manusia.[36]

Ibn Battal berkata:

وإذا كانت صدقة الفطر لإغناء السؤال عن المسألة ذلك اليوم جاز إخراجها بعد الصلاة؛ لأنَّ ذلك كله يوم الفطر

“Apabila tujuan zakat fitrah ialah mencukupkan keperluan fakir daripada meminta-minta pada hari itu, maka dibolehkan mengeluarkannya selepas solat kerana semua itu masih dalam hari raya.”[37]

Hal ini juga disokong oleh riwayat tambahan daripada Ibn Umar melalui Abu Ma‘shar (أبي معشر):

اغْنُوهُمْ عَنْ طَوَافِ هَذَا الْيَوْمِ

“Cukupkanlah mereka daripada berkeliling meminta-minta pada hari ini.”[38]

Al-Bayhaqi berkata:

أبو معشر هذا نجيح السندي المديني، غيره أوثق منه

“Abu Ma‘shar ialah Najih al-Sindi al-Madini, namun perawi lain adalah lebih kuat daripadanya.”[39]

  1. Pendapat ini merupakan mazhab kebanyakan salaf dan ahli hadis, di samping mazhab para fuqaha. Antara kenyataan mereka:

 

  1. al-Tirmidhi berkata:

هذا حديث حسن صحيح غريب، وهو الذي يستحبه أهل العلم: أن يخرج الرجل صدقة الفطر قبل الغدو إلى الصلاة

“Hadis ini hasan sahih gharib, dan para ulama menyukai agar seseorang mengeluarkan zakat fitrah sebelum pergi menunaikan solat.”[40]

  1. al-Kashmiri berkata:

 

يستحب أداؤها قبل الصلاة ولو أداها بعد صلاة العيد كان أداءً لا قضاء

“Disunatkan menunaikan zakat fitrah sebelum solat. Jika seseorang menunaikannya selepas solat Aidilfitri, ia tetap dianggap sebagai pelaksanaan (ada’), bukan qadha.”[41]

  1. al-Zarqani berkata:

والأمر للندب كما قال مالك، وذلك واسع إن شاء الله أن تؤدى قبل الغدو من يوم الفطر وبعده، أي: بعد الغدو وهو العود من المصلى، فيجوز تأخيرها إلى غروب شمس يوم العيد، وحرم تأخير أدائها عنها إلا لعذر كغيبة ماله أو الأخذ؛ لأنّ القصد إغناء الفقراء عن الطلب فيه

“Perintah tersebut membawa maksud sunat sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Malik. Perkara ini luas; seseorang boleh menunaikannya sebelum keluar pada pagi hari raya atau selepasnya, iaitu selepas pulang dari tempat solat. Oleh itu dibolehkan menangguhkannya sehingga (sebelum) terbenam matahari pada hari raya. Namun haram menangguhkannya selepas waktu itu kecuali kerana keuzuran, seperti ketiadaan hartanya atau tidak dapat mengambilnya; kerana tujuan zakat fitrah ialah mencukupkan keperluan fakir miskin pada hari tersebut agar mereka tidak perlu meminta-minta.”[42]

  1. al-Khattabi berkata:

وأما وقت إخراجها، فالسنة أن تخرج قبل الصلاة، وهو قول عامة أهل العلم، وقد رخص ابن سيرين والنخعي في إخراجها بعد يوم الفطر، وقال أحمد: أرجو أن لا يكون بذلك بأس، وقال بعض أهل العلم: تأخير إخراجها عن وقتها من يوم الفطر كتأخير إخراج زكاة الأموال عن ميقاتها، فمن أخرها كان آثماً إلا من عذر

“Adapun waktu mengeluarkan zakat fitrah, maka sunnahnya ialah sebelum solat. Inilah pendapat kebanyakan ulama. Ibn Sirin dan al-Nakha‘i memberi kelonggaran untuk mengeluarkannya selepas hari raya. Ahmad berkata: aku berharap tidak mengapa dengan perkara itu. Sebahagian ulama berkata: menangguhkan zakat fitrah daripada waktunya seperti menangguhkan zakat harta daripada waktunya; sesiapa yang menangguhkannya maka dia berdosa kecuali jika ada uzur.”[43]

  1. Daripada ‘Ata’, daripada Ibn Abbas:

مِنَ السُّنَّةِ أَنْ تُخْرِجَ صَدَقَةَ الْفِطْرِ قَبْلَ الصَّلَاةِ

“Termasuk daripada sunnah ialah mengeluarkan sedekah fitrah sebelum solat.”[44]

  1. Daripada Ibn Jurayj, daripada ‘Ata’, bahawa beliau mendengar Ibn Abbas berkata:

إِنِ اسْتَطَعْتُمْ فَأَلْقُوا زَكَاتَكُمْ أَمَامَ الصَّلَاةِ أَوْ بَيْنَ يَدَيِ الصَّلَاةِ - يَعْنِي صَلَاةَ الْفِطْرِ

“Jika kamu mampu, maka keluarkanlah zakat kamu sebelum solat atau selepas solat (yakni solat Aidilfitri).”[45]

  1. Daripada Jabir, daripada al-Hakam, beliau berkata:

كَانُوا يَسْتَحِبُّونَ إِخْرَاجَهَا قَبْلَ الصَّلَاةِ"، وَقَالَ عَامِرٌ: "إِنْ شَاءَ عَجَّلَهَا وَإِنْ شَاءَ أَخَّرَهَا

“Mereka (para ulama salaf) menyukai agar zakat fitrah dikeluarkan sebelum solat.”

‘Amir pula berkata:

“Jika dia mahu, dia boleh mempercepatkannya; jika mahu, dia boleh menangguhkannya.”[46]

  1. Daripada Ibn Jurayj:

قُلْتُ لِعَطَاءٍ: هَلْ فِي ذَلِكَ حَرَجٌ إِنْ أَخَّرْتُهَا حَتَّى تَكُونَ بَعْدَ الْفِطْرِ؟ قَالَ: "لَا"

Aku berkata kepada ‘Ata’: Adakah berdosa jika aku menangguhkannya sehingga selepas hari raya? Beliau menjawab: “Tidak.”[47]

Daripada Ibn Sirin:

أَنَّهُ كَانَ "يُعَلِّمُهُمْ صَدَقَةَ الْفِطْرِ بَعْدَ الصَّلَاةِ

“Bahawa beliau mengajar mereka tentang zakat fitrah selepas solat.”[48]

  1. Daripada Mujahid:

صَدَقَةُ الْفِطْرِ يَوْمَ الْفِطْرِ زَكَاةٌ، وَمَنْ أَعْطَاهَا بَعْدَ ذَلِكَ فَهِيَ صَدَقَةٌ

“Sedekah fitrah pada hari raya adalah zakat, dan sesiapa yang memberikannya selepas itu maka ia adalah sedekah.”[49]

  1. Daripada Zuhayr:

ثنا أَبُو إِسْحَاقَ، قَالَ: كَانَ أَبُو مَيْسَرَةَ "يُطْعِمُ بَعْدَمَا يُصَلِّي

“Abu Ishak menceritakan kepada kami, katanya: Abu Maisarah memberi makan (zakat fitrah) selepas beliau menunaikan solat.”[50]

 

Kedua: Hadis Ibn Abbas رضي الله عنهما dari sudut Riwayat dan Dirayah:

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللهِ بْنُ أَحْمَدَ بْنِ بَشِيرِ بْنِ ذَكْوَانَ، وَأَحْمَدُ بْنُ الْأَزْهَرِ قَالَا: حَدَّثَنَا مَرْوَانُ بْنُ مُحَمَّدٍ، حَدَّثَنَا أَبُو يَزِيدَ الْخَوْلَانِيُّ، عَنْ سَيَّارِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ الصَّدَفِيِّ، عَنْ عِكْرِمَةَ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ:

Ibn Abbas رضي الله عنهما berkata:

فَرَضَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ، وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ، فَمَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلَاةِ، فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ، وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلَاةِ، فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنَ الصَّدَقَاتِ

“Rasulullah mewajibkan zakat fitrah sebagai penyucian bagi orang yang berpuasa daripada perkataan sia-sia dan kata-kata keji, serta sebagai makanan bagi orang miskin. Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat, maka ia adalah zakat yang diterima; dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat, maka ia hanyalah sedekah daripada sedekah-sedekah.”[51]

Cara pengambilan dalil: Hadis ini menunjukkan bahawa sebaiknya menyegerakan pembayaran zakat fitrah sebelum solat Aidilfitri. Jika tidak, ia bukan lagi zakat fitrah tetapi menjadi sedekah biasa[52].

Ibn al-Qayyim berkata:

ومقتضى هذين الحديثين أنه لا يجوز تأخيرها عن صلاة العيد، وأنها تفوت بالفراغ من الصلاة، وهذا هو الصواب، فإنه لا معارض لهذين الحديثين ولا ناسخ، ولا إجماع يدفع القول بهما

“Kedua-dua hadis ini menunjukkan bahawa tidak boleh menangguhkan zakat fitrah sehingga selepas solat Aidilfitri, dan waktunya berakhir dengan selesainya solat tersebut. Inilah pendapat yang benar kerana tiada dalil yang menentangnya dan membatalkannya, tiada ijmak juga yang dapat menolak pandangan berdasarkan dua hadis ini.”[53]

Analisis kedua-dua hadis

Apabila diperhatikan kedua-dua hadis ini, kelihatan bahawa hadis Ibn Abbas seolah-olah bertentangan dengan hadis Ibn Umar, maka ia termasuk dalam kategori hadis yang kelihatan bercanggah.

Percanggahan ini boleh diselesaikan melalui:

  • penggabungan (الجمع)
  • nasakh
  • tarjih

Sebelum itu perlu diteliti dua perkara dalam berhujah dengan hadis:

  1. Kesahihan sanadnya kepada Nabi
  2. Kesahihan dalalahnya terhadap hukum

Syarat Pertama: Kesahihan sanad hadis

Terdapat perselisihan sama ada hadis ini marfu‘ atau mauquf kepada Ibn Abbas.

Hadis ini madarnya pada perawi Bernama Marwan bin Muhammad, dan diriwayatkan oleh lima orang perawi daripadanya, iaitu:

  • Mahmud bin Khalid al-Dimashqi
  • ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman
  • ‘Abdullah bin Ahmad bin Bashir
  • Ahmad bin al-Azhar
  • Ibrahim bin ‘Atiq al-‘Ansi

Semua mereka meriwayatkan hadis ini secara mauquf kepada Ibn Abbas, kecuali Ibrahim bin ‘Atiq al-‘Ansi yang meriwayatkannya secara marfu‘ kepada Nabi seperti yang terdapat dalam Sunan al-Daraqutni.

Setelah menilai perawi-perawi tersebut, didapati bahawa riwayat mauquf lebih kuat, manakala riwayat marfu’ dianggap syaz kerana bercanggah dengan riwayat yang lebih kuat dari segi bilangan dan ketelitian.

Jika diandaikan bahawa hadis ini sahih marfu’ ia tetap tidak cukup kuat untuk menentang hadis Ibn Umar, kerana sanadnya gharib dan tidak seteguh sanad hadis Ibn Umar yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.

Oleh itu hadis Ibn Abbas paling tinggi berstatus hasan, sedangkan hadis Ibn Umar muttafaq ‘alayh, maka hadis Ibn Umar lebih kuat.

 

Syarat Kedua: Dalalah hadis terhadap hukum

Jika diambil pandangan yang mengatakan hadis ini sahih, ia tetap riwayat yang mauquf.  Ia juga tidak secara jelas menunjukkan bahawa waktu zakat fitrah berakhir dengan solat Aidilfitri.

Antara penjelasan ulama berkaitan hal ini:

  • Athar ini datang untuk menjelaskan sebab kewajipan zakat, atau sebagai penjelasan hikmah di sebalik kewajipannya. Hal ini telah dinyatakan dengan jelas oleh jumhur fuqaha dan para pensyarah hadis. Antara kenyataan mereka mengenai perkara ini adalah seperti berikut:”

al-‘Iraqi berkata:

وسبب وجوبها ما يجري في الصوم من اللغو بما ورد عن ابن عباس قال: "فرض رسول الله صلى الله عليه وسلم زكاة الفطر طهرة للصائم أو الصيام من اللغو والرفث... الخ

“Sebab kewajipan zakat fitrah ialah apa yang berlaku dalam puasa berupa perkataan sia-sia, sebagaimana hadis Ibn Abbas: ‘Zakat fitrah sebagai penyucian bagi orang berpuasa daripada lagha dan rafath…”[54]

al-Khattabi pula berkata:

وقد علّلت بأنها طهرة للصائم من الرفث واللغو، فهي واجبة على كل صائم غني ذي جدة ويسر أو فقير يجدها فضلاً عن قوته، إذ كان وجوبها عليه بعلة التطهير، وكل من الصائمين محتاجون إليها، فإذا اشتركوا في العلة اشتركوا في الوجوب

“Zakat fitrah disyariatkan kerana ia menjadi penyucian bagi orang yang berpuasa daripada kata-kata keji dan perkataan sia-sia. Oleh itu ia diwajibkan ke atas setiap orang yang berpuasa, sama ada orang kaya yang memiliki kelapangan harta atau orang miskin yang masih mempunyai lebihan daripada keperluan makanannya. Hal ini kerana kewajipannya didasarkan kepada sebab penyucian tersebut. Dan semua orang yang berpuasa memerlukan penyucian itu; maka apabila mereka sama dalam sebabnya, mereka juga sama dalam kewajipannya.”[55]

  • Riwayat-riwayat daripada Ibn Abbas dan selainnya menunjukkan bahawa mengeluarkannya sebelum solat adalah sunat, bukan wajib.

al-‘Ayni berkata:

قوله: "ومن أداهما بعد الصلاة" أي: بعد صلاة العيد. وليس فيها ما يدلّ على أنه إذا أداها بعد الصلاة أنها لا تقبل؛ بل الذي يدلّ أن إخراجها قبل الصلاة أفضل، لئلا يتشاغل الفقير بالمسألة عن الصلاة

“Perkataan Ibn ‘Abbas: “Siapa yang menunaikan zakat fitrah selepas solat..” iaitu selepas solat hari raya, di mana hadis ini tidak menunjukkan bahawa zakat yang dikeluarkan selepas solat tidak diterima, tetapi hadis ini menunjukkan bahawa mengeluarkannya sebelum solat adalah lebih utama, supaya dapat mengelak orang fakir tidak hadir solat kerana sibuk meminta dipenuhi keperluan mereka.”[56]

  • Jumhur fuqaha berpendapat:
  • Jika zakat fitrah jika diberikan sebelum atau selepas solat, ia tetap dianggap pelaksanaan ada’ (tunai).
  • Jika diberikan selepas hari raya atau selepas 1 Syawal, maka ia dianggap qadha. Kata Ibn Nujaim:

وفي أي وقتٍ أدى كان مؤدياً لا قاضياً كما في سائر الواجبات الموسعة... والتحقيق أنه بعد اليوم الأول قاضٍ لا مؤدٍ؛ لأنهُ من قبيل المقيد بالوقت بقوله صلى الله عليه وسلم: "أغنوهم في هذا اليوم عن المسألة"، ومقتضاه أنه يأثم بتأخيره عن اليوم الأول على القول بأنه مقيد، وعلى أنه مطلق فلا إثم

“Pada bila-bila masa seseorang menunaikan zakat fitrah, maka ia dianggap sebagai pelaksanaan (ada’), bukan qadha, sebagaimana dalam kewajipan-kewajipan yang waktunya luas… Namun penelitian yang lebih tepat ialah bahawa jika ditunaikan selepas hari pertama (1 Syawal) ia dianggap qadha, bukan lagi pelaksanaan ada’ (tunai); kerana ia termasuk ibadah yang terikat dengan waktu, berdasarkan sabda Nabi : “Cukupkanlah mereka daripada meminta-minta pada hari ini.” Implikasinya ialah seseorang berdosa jika melewatkan zakat fitrah sehingga melepasi hari pertama menurut pendapat yang menganggapnya terikat dengan waktu. Namun jika dianggap mutlak (tidak terikat dengan waktu tertentu), maka tidak berdosa.”[57]

 

Pandangan Yang Rajih

Perkara disepakati oleh para ulama mazhab ialah kewajipan zakat fitrah. Adapun selain itu, seperti waktu kewajipan dan waktu pengeluarannya, ia merupakan hasil ijtihad para sahabat, yang tidak terdapat dalil yang jelas menguatkan salah satu pendapat berbanding yang lain. Oleh itu, pendapat jumhur fuqaha dilihat lebih kuat dan rajih, iaitu bahawa waktu pembayaran zakat fitrah adalah luas sehingga sebelum terbenam matahari pada hari raya Aidilfitri (1 Syawal). Sesiapa yang menunaikannya selepas solat Aidilfitri, dia telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan yang lebih utama, namun tidak berdosa, zakatnya diterima dan sah. Antara alasan lain yang boleh diberikan ialah:

 

  1. Lafaz: من أدّاها بعد الصلاة maksudnya: “sesiapa yang menunaikannya selepas solat,” menunjukkan waktu selepas solat hari raya masih termasuk dalam waktu menunaikan zakat fitrah, iaitu salah satu daripada waktu yang dibenarkan untuk mengeluarkannya kerana ia dianggap ada’. Jika mengeluarkan zakat fitrah selepas solat Aidilfitri itu haram dan tidak lagi dianggap zakat kerana waktunya telah tamat, maka Ibn Abbas tidak akan menyebutnya sebagai “menunaikannya (أدّاها)

 

  1. Ibn Abbas tidak mengatakan: فهي مردودة “maka ia tertolak”, sebaliknya beliau berkata: “Ia adalah sedekah.” Maksudnya: mengeluarkan zakat fitrah selepas solat Aidilfitri diterima, tetapi kedudukannya seperti sedekah, dari sudut bukan suatu yang diberi keutamaan dan berkurangan manfaatnya, maka lebih utama mengeluarkannya sebelum solat hari raya.

 

  1. Dalam Sahih al-Bukhari hadis no. 1510, daripada Abu Sa‘id al-Khudri رضي الله عنه, beliau berkata:

 

كُنَّا نُخْرِجُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ الفِطْرِ صَاعًا مِنْ طَعَامٍ

“Kami mengeluarkan zakat fitrah pada zaman Rasulullah pada hari raya fitrah satu ṣā’ daripada makanan.”

Dalam Musannaf Ibn Abi Shaybah (no. 10332), daripada Mujahid, beliau berkata:

صَدَقَةُ الْفِطْرِ يَوْمَ الْفِطْرِ زَكَاةً، وَمَنْ أَعْطَاهَا بَعْدَ ذَلِكَ فَهِيَ صَدَقَةً

“Sedekah fitrah pada hari raya adalah zakat, dan sesiapa yang memberikannya selepas itu (selepas 1 Syawal) maka ia adalah sedekah.”[58]

Sebagaimana diketahui, ungkapan “yaum” atau hari dalam syarak berakhir dengan terbenam matahari, bukan dengan selesainya solat Aidilfitri.

  1. Kesatuan dhomir atau gantinama dalam hadis

Dalam riwayat Ibn Abbas, Nabi SAW bersabda:

“Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat… dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat…”

menunjukkan bahawa zakat yang ditunaikan sebelum solat dan selepas solat adalah dinamakan zakat yang sama. Ia hanya membezakan pahala, Dimana jika tunaikan selepas solat, pahalanya berkurang, lalu ia menjadikannya seperti sedekah biasa bukan pada waktu afdhal.

Walau bagaimanapun, yang lebih baik – sebagai langkah keluar daripada khilaf dan untuk mencapai tujuan zakat fitrah – ialah mengeluarkannya sebelum solat Aidilfitri. Hal ini kerana tujuan zakat fitrah ialah mencukupkan keperluan fakir dan orang yang memerlukan, agar mereka dapat memperoleh keperluan mereka sebelum hari raya dan tidak disibukkan mencari-carinya pada hari raya itu sendiri.

Hal ini lebih-lebih lagi pada zaman sekarang, berbeza dengan zaman Nabi dan para sahabat Baginda.

Oleh itu, yang lebih utama ialah menunaikan kewajipan ini dengan mengikuti sunnah Ibn Umar رضي الله عنهما, kerana telah diriwayatkan bahawa beliau menghantar zakat fitrah kepada orang yang mengumpulkannya dua atau tiga hari sebelum hari raya.

Imam Malik meriwayatkan:

أنَّ عبد الله بن عمر كان يبعث بزكاة الفطر إلى الذي تجمع عنده قبل الفطر، بيومين أو ثلاثة

“Sesungguhnya ‘Abdullah bin Umar menghantar zakat fitrah kepada orang yang mengumpulkannya dua atau tiga hari sebelum hari raya.”[59]

 

KADAR ZAKAT FITR

Seseorang mukallaf hendaklah mengeluarkan satu ṣā’ (satu gantang) daripada makanan asasi utama penduduk negaranya. Satu ṣā’ bersamaan kira-kira 2500 gram. Jika dalam sesebuah negara terdapat beberapa jenis makanan ruji seperti:

  • gandum
  • barli
  • beras

dan salah satunya lebih dominan, misalnya beras, maka wajib mengeluarkan beras. Jika tiada makanan yang jelas lebih dominan, maka seseorang boleh memilih mana-mana daripada makanan-makanan tersebut[60].

Dalilnya ialah hadis Ibn Umar رضي الله عنهما:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى العَبْدِ وَالحُرِّ، وَالذَّكَرِ وَالأُنْثَى، وَالصَّغِيرِ وَالكَبِيرِ مِنَ المُسْلِمِينَ، وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ

“Rasulullah mewajibkan zakat fitrah sebanyak satu ṣā’ daripada tamar atau satu ṣā’ daripada barli ke atas hamba dan orang merdeka, lelaki dan perempuan, kecil dan besar daripada kalangan Muslimin, dan Baginda memerintahkan agar ia ditunaikan sebelum orang ramai keluar menunaikan solat.”[61]

Sudut pengambilan dalil: Kadar zakat fitrah ialah satu ṣā’ daripada makanan ruji utama penduduk sesuatu tempat.

 

MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH BERDASARKAN NILAI WANG

Menurut mazhab Imam al-Syafi‘i, tidak sah mengeluarkan zakat fitrah dalam bentuk nilai wang. Namun sebahagian ulama Syafi‘iyyah mutaakhkhirin membenarkan pembayaran zakat fitrah dengan nilai wang, dengan mengikut atau taqlid kepada pendapat Imam Abu Hanifah, kerana pada zaman ini memberikan nilai wang lebih bermanfaat kepada golongan fakir.[62] Pendapat ini juga telah diambil oleh Majlis Fatwa, Penyelidikan dan Pengajian Islam di Kerajaan Jordan[63].

GOLONGAN PENERIMA ZAKAT FITRAH

Menurut mazhab al-Syafi‘i, ketika menunaikan zakat hendaklah meliputi lapan golongan yang disebut dalam ayat zakat[64]. Allah Ta‘ala berfirman:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

“Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, para amil yang mengurusnya, orang-orang yang dijinakkan hatinya, untuk memerdekakan hamba, orang-orang yang berhutang, pada jalan Allah, dan orang musafir; sebagai suatu ketetapan daripada Allah. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Tawbah: 60)

Pendapat yang muktamad menyatakan bahawa zakat fitrah mempunyai hukum yang sama seperti zakat yang lain dalam hal pembahagian kepada golongan-golongan tersebut. Namun sebahagian ulama mazhab Syafi‘i memilih pendapat bahawa harus memberikan zakat fitrah kepada tiga orang fakir atau miskin. Sebahagian yang lain pula memilih pendapat harus memberikannya kepada seorang sahaja.

Pendapat yang dipilih untuk fatwa dalam di sisi ulama mazhab Syafi‘i ialah harus diberikan kepada tiga orang daripada lapan golongan yang berhak menerima zakat. Al-Imam al-Ruyani[65] menjelaskan sebab pemilihan pendapat ini dengan katanya:

وهو الاختيار لتعذر العمل بمذهبنا، ولو كان الشافعي حيّا لأفتي به

“Inilah pendapat yang dipilih kerana sukar untuk beramal dengan pendapat asal mazhab kita. Sekiranya Imam al-Syafi‘i masih hidup, nescaya beliau akan berfatwa dengannya.”[66]

Berdasarkan hal ini, jika seseorang memberikan zakat fitrahnya kepada seorang sahaja, maka dia sebenarnya telah mengambil satu pandangan dalam mazhab Syafie’ dan dia tidak terkeluar sepenuhnya daripada mazhab[67].

 

TEMPAT MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH DAN HUKUM MEMINDAHKANNYA

Pada asalnya, seseorang hendaklah mengeluarkan zakat fitrah di tempat zakat itu diwajibkan ke atasnya. Ulama mazhab Syafi‘i menegaskan bahawa tidak boleh memindahkan zakat dari negeri tempat ia wajib kepada negeri lain, jika di tempat tersebut terdapat orang yang berhak menerimanya. Larangan ini difahami sebagai haram dan tidak sah[68]. Dalil bagi pandangan ini ialah hadis al-Bukhari dan Muslim, baginda bersabda kepada Mu‘az ketika menghantar beliau ke Yaman:

فَإِنْ أَجَابُوكَ فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ عَلَيْهِمُ الصَّدَقَةَ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ، فَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ

“Jika mereka telah mentaatimu, maka beritahulah kepada mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) yang diambil daripada orang-orang kaya mereka lalu diberikan kepada orang-orang fakir mereka.”

Sudut pengambilan dalil: hadis ini menunjukkan zakat diambil daripada orang kaya di sesuatu negeri dan diberikan kepada orang fakir di negeri yang sama, disebabkan orang-orang yang berhak menerima zakat di negeri tersebut amat memerlukan zakat tersebut.[69]

Namun sebahagian ulama Syafi‘iyyah memilih pendapat harus memindahkan zakat ke negeri lain, walaupun ia merupakan pendapat yang bertentangan dengan pendapat muktamad.[70]

Pendapat ini juga dipilih oleh al-Imam al-Bukhari, sebagaimana beliau membuat tajuk dalam Sahih-nya:

باب أخذ الصدقة من الأغنياء وترد على الفقراء حيث كانوا

“Bab: Mengambil sedekah (zakat) daripada orang-orang kaya dan mengembalikannya kepada orang-orang fakir di mana sahaja mereka berada.”[71]

Para ulama yang berpegang dengan pendapat ini mentafsirkan hadis tersebut bahawa zakat dikembalikan kepada fakir dalam kalangan kaum Muslimin, sama ada di negeri tersebut atau di negeri yang lain.

Ibn ‘Ujail al-Yamani رحمه الله berkata:

ثَلَاثَةُ مَسَائِلَ فِي الزَّكَاةِ يُفْتَى فِيهَا عَلَى خِلَافِ الْمَذْهَبِ: نَقْلُ الزَّكَاةِ وَدَفْعُ زَكَاةِ وَاحِدٍ إلَى وَاحِدٍ وَدَفْعُهَا إلَى صِنْفٍ وَاحِدٍ.

“Terdapat tiga permasalahan dalam zakat yang dikeluarkan fatwa bertentangan dengan pendapat mazhab: (1) Memindahkan zakat, (2) Memberikan zakat seorang kepada seorang penerima sahaja, dan (3) Memberikan zakat kepada satu golongan dari asnaf sahaja.”[72]

Maka diharuskan memindahkan zakat dengan bertaklid kepada pendapat yang membenarkannya, kerana menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafie, dibolehkan beramal dalam semua hukum dengan mana-mana pandangan imam mazhab yang dipercayai.[73] Pendapat ini juga telah diambil oleh Jabatan Fatwa Umum Kerajaan Jordan, yang membenarkan pemindahan zakat fitrah ke negeri selain tempat ia diwajibkan[74].

Selain itu perbezaan pendapat ini adalah bagi orang yang mengeluarkan zakatnya sendiri. Adapun pemerintah, boleh memindahkan zakat ke mana-mana tempat dalam wilayah kekuasaannya, dan dia juga boleh mengizinkan pemilik harta untuk memindahkannya.[75]

 



[1] Ibn Faris, Ahmad bin Faris bin Zakariyya (w. 395H), Mu’jam Maqayis al-Lughah, tahqiq ‘Abd al-Salam Harun, Beirut: Dar al-Fikr, 1979, 3/17.

[2] Fakhr al-Din al-Razi, Muhammad bin ‘Umar (w. 606H), Mafatih al-Ghayb, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, cet. 3, 1999, 3/486.

[3] al-Qalyubi, Ahmad Salamah (w. 1069H), Hashiyah Qalyubi ‘ala Sharh al-Minhaj li al-Mahalli, Beirut: Dar al-Fikr, 1995, 2/3.

[4] Ibn Manzur, Muhammad bin Mukarram (w. 711H), Lisan al-‘Arab, Beirut: Dar Sadir, cet. 3, 1994, 5/59.

[5] al-Khatib al-Shirbini, Muhammad bin Ahmad (w. 977H), Mughni al-Muhtaj, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1994, 2/110.

[6] Ibn Faris, Mu‘jam Maqayis al-Lughah, rujukan terdahulu, 4/510; Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab, rujukan terdahulu, 5/58.

[7] al-Khatib al-Shirbini, Mughni al-Muhtaj, rujukan terdahulu, 2/111.

[8] al-Nawawi, Yahya bin Sharaf (w. 676H), al-Majmu‘, Beirut: Dar al-Fikr, 6/103.

[9] Abu Dawud, Sulayman bin al-Ash‘ath (w. 275H), Sunan Abi Dawud, Beirut: al-Maktabah al-‘Asriyyah, Bab Zakat al-Fitr, no. 1609, 2/111.

[10] Badr al-Din al-‘Ayni, Mahmud bin Ahmad (w. 855H), Sharh Sunan Abi Dawud, Riyadh: Maktabah al-Rashid, cet. 6, 1999, 6/318.

[11] al-Daraqutni, ‘Ali bin ‘Umar (w. 385H), Sunan al-Daraqutni, Beirut: Mu’assasah al-Risalah, cet. 1, 2004, Kitab Zakat al-Fitr, no. 2133, 3/89. Hadis ini daif.

[12] Badr al-Din al-‘Ayni, Mahmud bin Ahmad (w. 855H), ‘Umdat al-Qari Sharh Sahih al-Bukhari, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 9/118.

[13] al-Khatib al-Shirbini, Mughni al-Muhtaj, rujukan terdahulu, 2/111.

[14] al-Bukhari, Muhammad bin Isma‘il (w. 256H), Sahih al-Bukhari, Beirut: Dar Tawq al-Najah, cet. 1, 2002, Bab Fard Zakat al-Fitr, no. 1503, 2/130.

[15] Ibn al-Qasim al-Ghazzi, Muhammad bin Qasim (w. 918H), Fath al-Qarib al-Mujib, Beirut: Dar Ibn Hazm, cet. 1, 2005, hlm. 131.

[16] al-Khatib al-Shirbini, Mughni al-Muhtaj, rujukan terdahulu, 2/113.

[17] Ibid.

[18] al-Khatib al-Shirbini, Muhammad bin Ahmad (w. 977H), al-Iqna‘, Beirut: Dar al-Fikr, 1/277.

[19] al-Khatib al-Shirbini, Mughni al-Muhtaj, rujukan terdahulu, 2/115.

[20] al-Khatib al-Shirbini, Mughni al-Muhtaj, rujukan terdahulu, 2/116.

[21] al-Shams al-Ramli, Muhammad bin Ahmad (w. 1004H), Nihayah al-Muhtaj, Beirut: Dar al-Fikr, 1984, 3/109.

[22] al-Khatib al-Shirbini, Mughni al-Muhtaj, rujukan terdahulu, 2/111.

[23] Ibn Hajar al-Haytami, Ahmad bin Muhammad (w. 974H), Tuhfah al-Muhtaj, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1983, 3/308.

[24] al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, rujukan terdahulu, Bab Fard Zakat al-Fitr, no. 1503, 2/130.

[25] Badr al-Din al-‘Ayni, ‘Umdat al-Qari Sharh Sahih al-Bukhari, rujukan terdahulu, 9/111.

[26] Ibn Hajar al-Haytami, Tuhfah al-Muhtaj, rujukan terdahulu, 3/309.

[27] al-Shams al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj, rujukan terdahulu, 3/112.

[28] Ibn Hajar al-Haytami, Tuhfah al-Muhtaj, rujukan terdahulu, 3/309.

[29] Pertama: Mazhab Hanafi

  1. al-Kasani berkata:

وأما وقت أدائها فجميع العمر عند عامة أصحابنا ولا تسقط بالتأخير عن يوم الفطر... غير أن المستحب أن يخرج قبل الخروج إلى المصلى؛ لأنَّ رسول الله صلى الله عليه وسلم كذا كان يفعل...

“Adapun waktu menunaikan zakat fitrah ialah sepanjang hayat menurut kebanyakan ulama dalam mazhab kami, dan ia tidak gugur dengan menangguhkannya selepas hari raya… Namun yang disunatkan ialah mengeluarkannya sebelum keluar menuju tempat solat; kerana Rasulullah melakukan demikian.” (-Kasani, ‘Ala’ al-Din Abu Bakr bin Mas‘ud (w. 587H), Bada’i‘ al-Sana’i‘, 2/74)

Kedua: Mazhab Maliki

  1. Imam Malik berkata:

رأيتُ أهل العلم يستحبون أن يخرجوا صدقة الفطر إذا طلع الفجر من يوم الفطر من قبل أن يغدوا إلى المصلى، قال مالك: وذلك واسع إن شاء أن يؤدي قبل الصلاة أو بعدها

“Aku melihat para ulama menyukai agar sedekah fitrah dikeluarkan apabila terbit fajar pada hari raya, sebelum mereka pergi ke tempat solat.”

Beliau berkata lagi:

“Perkara itu luas; seseorang boleh menunaikannya sebelum solat atau selepasnya.” (Malik bin Anas, al-Mudawwanah, 1/385; Ibn ‘Abd al-Barr, Yusuf bin ‘Abd Allah bin Muhammad (w. 463H), al-Istidhkar, tahqiq Salim Muhammad ‘Ata dan Muhammad ‘Ali Mu‘awwad, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cet. 1, 1421H/2000, 3/271.)

  1. al-Dusuqi berkata:

وندب إخراجها بعد الفجر قبل الصلاة... ولا تسقط الفطرة بمضي زمنها

“Disunatkan mengeluarkan zakat fitrah selepas terbit fajar dan sebelum solat… dan zakat fitrah tidak gugur dengan berlalu waktunya.” (al-Dasuqi, Hashiyah al-Dasuqi ‘ala al-Sharh al-Kabir, 1/507–508; al-‘Adawi, Hashiyah al-‘Adawi ‘ala Sharh Kifayat al-Talib al-Rabbani, 1/514)

Ketiga: Mazhab Syafi‘i

  1. Imam al-Nawawi berkata:

واتفقت نصوص الشافعي والأصحاب على أنَّ الأفضل أن يخرجها يوم العيد قبل الخروج إلى صلاة العيد، وأنه يجوز إخراجها في يوم العيد كله، وأنه لا يجوز تأخيرها عن يوم العيد، وأنه لو أخرها عصى ولزمه قضاؤها، وسموا إخراجها بعد يوم العيد قضاء

“Teks-teks Imam al-Syafi‘i dan para ulama mazhab sepakat bahawa yang lebih utama ialah mengeluarkan zakat fitrah pada hari raya sebelum keluar menuju solat Aidilfitri. Mereka juga sepakat bahawa harus mengeluarkannya sepanjang hari raya, dan tidak boleh menangguhkannya sehingga selepas hari raya. Jika seseorang menangguhkannya, dia berdosa dan wajib menggantikannya. Mereka menamakan pengeluaran selepas hari raya sebagai qadha.” (al-Nawawi, Abu Zakariyya Muhyi al-Din Yahya bin Sharaf (w. 676H), al-Majmu‘ Sharh al-Muhadhdhab, Beirut: Dar al-Fikr, t.t., 6/128)

  1. al-Khatib al-Shirbini berkata:

ويسنّ أن لا تؤخر عن صلاته للأمر به قبل الخروج إليها في الصحيحين...، ويحرم تأخيرها عن يومه بلا عذر...، فلو أخر بلا عذر عصى وقضى لخروج الوقت على الفور لتأخيره من غير عذر

“Disunatkan agar tidak melewatkannya sehingga selepas solat Aidilfitri kerana adanya perintah untuk menunaikannya sebelum keluar menuju solat dalam hadis sahih Bukhari dan Muslim… Dan haram menangguhkannya sehingga selepas hari raya tanpa uzur… Jika seseorang menangguhkannya tanpa uzur, dia berdosa dan wajib menunaikannya secara qadha dengan segera kerana waktunya telah berlalu.” (al-Khatib al-Shirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma‘rifah Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, 2/112; al-Ansari, Asna al-Matalib fi Sharh Rawd al-Talib, 1/388; al-Shirazi, al-Muhadhdhab fi Fiqh al-Imam al-Shafi‘i, 1/303)

Keempat: Mazhab Hanbali

  1. Ibn Qudamah berkata:

المستحب إخراج صدقة الفطر يوم الفطر قبل الصلاة؛ لأنَّ النبيّ صلى الله عليه وسلم أمر بها أن تؤدى قبل خروج الناس إلى الصلاة...، فإن أخرها عن الصلاة ترك الأفضل...، فإن أخرها عن يوم العيد أثم ولزمه القضاء

“Yang disunatkan ialah mengeluarkan zakat fitrah pada hari raya sebelum solat, kerana Nabi memerintahkan agar ia ditunaikan sebelum orang ramai keluar menuju solat… Jika seseorang menangguhkannya sehingga selepas solat, maka dia telah meninggalkan perkara yang lebih utama… Jika dia menangguhkannya sehingga selepas hari raya, dia berdosa dan wajib menggantikannya.” (Ibn Qudamah, al-Mughni, 3/89)

  1. al-Buhuti berkata:

وآخر وقتها غروب الشمس يوم الفطر...، فإن أخرها عنه أثم لتأخيره الواجب عن وقته، ولمخالفته الأمر وعليه القضاء؛ لأنها عبادة فلم تسقط بخروج الوقت، كالصلاة والأفضل: إخراجها يوم العيد قبل الصلاة أو قدرها

“Akhir waktu zakat fitrah ialah terbenam matahari pada hari raya… Jika seseorang menangguhkannya selepas itu, dia berdosa kerana menangguhkan kewajipan daripada waktunya dan kerana menyelisihi perintah, serta wajib menggantikannya; kerana ia suatu ibadah yang tidak gugur dengan keluarnya waktu, seperti solat. Yang lebih utama ialah mengeluarkannya pada hari raya sebelum solat atau pada kadar sebelum solat hari raya.” (al-Buhuti, Kashshaf al-Qina‘, 2/252; al-Maqdisi, ‘Abd al-Rahman bin Ibrahim bin Ahmad, al-‘Uddah Sharh al-‘Umdah, Kaherah: Dar al-Hadith, 1424H/2003, hlm. 152)

[30] al-Bukhari, Muhammad bin Isma‘il Abu ‘Abd Allah (w. 256H), al-Jami‘ al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar min Umur Rasul Allah wa Sunanihi wa Ayyamih, tahqiq Muhammad Zuhayr bin Nasir al-Nasir, Beirut: Dar Tawq al-Najah, cet. 1, 1422H, Kitab al-Zakah, Bab Fard Sadaqat al-Fitr, no. 1503

[31] al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Zakah, Bab al-Sadaqah qabl al-‘Id, no. 1509; Muslim bin al-Hajjaj Abu al-Hasan al-Qushayri, al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar bi Naql al-‘Adl ‘an al-‘Adl ila Rasul Allah , tahqiq Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, t.t., Kitab al-Zakah, Bab al-Amr bi Ikhraj Zakat al-Fitr qabl al-Salah, no. 986; dan diriwayatkan juga melalui jalur lain daripada Usamah bin Zayd, Musa bin ‘Uqbah dan al-Dahhak, daripada Nafi‘, daripada Ibn ‘Umar.

[32] Ibn Battal, ‘Ali bin Khalaf bin ‘Abd al-Malik, Sharh Sahih al-Bukhari, tahqiq Abu Tamim Yasir bin Ibrahim, Riyadh: Maktabah al-Rushd, cet. 2, 1423H/2003, 3/566; al-Nawawi, Abu Zakariyya Muhyi al-Din Yahya bin Sharaf, al-Minhaj Sharh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, cet. 2, 1392H, 7/63; Ibn Daqiq al-‘Id, Ihkam al-Ahkam Sharh ‘Umdat al-Ahkam, Matba‘ah al-Sunnah al-Muhammadiyyah, t.t., 1/387.

[33] al-‘Iraqi, Zayn al-Din ‘Abd al-Rahim bin al-Husayn bin ‘Abd al-Rahman (w. 806H), Tarh al-Tathrib fi Sharh al-Taqrib, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, t.t., 4/64

[34] al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Zakah, Bab al-Sadaqah qabl al-‘Id, no. 1510; Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Zakah, Bab Zakat al-Fitr ‘ala al-Muslimin min al-Tamr wa al-Sha‘ir, no. 985

[35] Ibn Battal, Sharh Sahih al-Bukhari, 3/566

[36] al-Sarakhsi, al-Mabsut, 3/102; al-Baji, Abu al-Walid Sulayman bin Khalaf bin Sa‘d bin Ayyub (w. 474H), al-Muntaqa Sharh al-Muwatta’, Mesir: Matba‘ah al-Sa‘adah, cet. 1, 1332H, 2/190; al-Khatib al-Shirbini, Mughni al-Muhtaj, 2/112.

[37] Ibn Battal, Sharh Sahih al-Bukhari, 3/575

[38] al-Bayhaqi, Ahmad bin al-Husayn bin ‘Ali (w. 458H), al-Sunan al-Kubra, tahqiq Muhammad ‘Abd al-Qadir ‘Ata, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cet. 3, 1424H/2003, Kitab al-Zakah, Bab Waqt Ikhraj Zakat al-Fitr, no. 7739

[39] Ibn Hajar dan Ibn al-Mulaqqin berpendapat hadis ini lemah. Rujuk: Ibn Hajar, Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari, 3/375; Ibn al-Mulaqqin, al-Badr al-Munir fi Takhrij al-Ahadith wa al-Athar al-Waqi‘ah fi al-Sharh al-Kabir, tahqiq Mustafa Abu al-Ghayt, ‘Abd Allah bin Sulayman dan Yasir bin Kamal, Riyadh: Dar al-Hijrah li al-Nashr wa al-Tawzi‘, cet. 1, 1425H/2004, 5/621.

Al-Dhahabi juga menukilkan penilaian para ulama yang melemahkannya, beliau berkata:

قال أحمد صدوق لا يقيم الاسناد وقال بن معين ليس بالقوي وقال بن عدي يكتب حديثه مع ضعفه مات 4 17ه

“Ahmad berkata: Dia seorang yang ṣaduq tetapi tidak kuat dalam menjaga sanad. Ibn Ma‘in berkata: Dia tidak kuat. Ibn ‘Adi berkata: Hadisnya ditulis walaupun terdapat kelemahan padanya. Dia wafat pada tahun 417H.”

Rujuk: al-Dhahabi, Shams al-Din Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Ahmad, al-Kashif fi Ma‘rifah Man Lahu Riwayah fi al-Kutub al-Sittah, tahqiq Muhammad ‘Awwamah dan Ahmad Muhammad Namar al-Khatib, Jeddah: Dar al-Qiblah li al-Thaqafah al-Islamiyyah, cet. 1, 1413H/1992, 2/317.

[40] al-Tirmidhi, Muhammad bin ‘Isa bin Sawrah (w. 279H), Sunan al-Tirmidhi, tahqiq Bashshar ‘Awwad Ma‘ruf, Beirut: Dar al-Gharb al-Islami, 1998, Kitab al-Zakah, Bab ma ja’a fi taqdimihā qabl al-Salah, no. 677

[41] al-Kashmiri, Muhammad Anwar Shah bin Mu‘azzam Shah (w. 1352H), al-‘Urf al-Shadhi Sharh Sunan al-Tirmidhi, tashih Mahmud Shakir, Beirut: Dar al-Turath al-‘Arabi, cet. 1, 1425H/2004, 2/138.

[42] al-Zurqani, Muhammad bin ‘Abd al-Baqi bin Yusuf (w. 1122H), Sharh al-Zurqani ‘ala Muwatta’ al-Imam Malik, tahqiq Taha ‘Abd al-Ra’uf Sa‘d, Kaherah: Maktabah al-Thaqafah al-Diniyyah, cet. 1, 1424H/2003, 2/223.

[43] al-Khattabi, Abu Sulayman Hamd bin Muhammad bin Ibrahim (w. 388H), Ma‘alim al-Sunan, Halab: al-Matba‘ah al-‘Ilmiyyah, cet. 1, 1351H/1932, 2/48.

[44] Ibn Abi Shaybah, ‘Abd Allah bin Muhammad bin Ibrahim bin ‘Uthman (w. 235H), al-Musannaf fi al-Ahadith wa al-Athar, tahqiq Kamal Yusuf al-Hut, Riyadh: Maktabah al-Rushd, cet. 1, 1409H, Kitab al-Zakah – Zakat al-Fitr tukhraj qabl al-Salah, 2/395, no. 10324.

[45] ‘Abd al-Razzaq al-San‘ani, ‘Abd al-Razzaq bin Hammam bin Nafi‘ (w. 211H), al-Musannaf, tahqiq Habib al-Rahman al-A‘zami, India: al-Majlis al-‘Ilmi, cet. 2, 1403H, Kitab Salat al-‘Idayn – Bab Mata Tulqa al-Zakah, 3/328, no. 5834

[46] Ibn Abi Shaybah, al-Musannaf fi al-Ahadith wa al-Athar, Kitab al-Zakah – Zakat al-Fitr tukhraj qabl al-Salah, 2/395, no. 10330.

[47] ‘Abd al-Razzaq al-San‘ani, al-Musannaf, Kitab Salat al-‘Idayn – Bab Mata Tulqa al-Zakah, 3/329, no. 5842.

[48] Ibn Abi Shaybah, al-Musannaf fi al-Ahadith wa al-Athar, Kitab al-Zakah – Zakat al-Fitr tukhraj qabl al-Salah, 2/395, no. 10331.

[49] Ibn Abi Shaybah, al-Musannaf fi al-Ahadith wa al-Athar, Kitab al-Zakah – Zakat al-Fitr tukhraj qabl al-Salah, 2/395, no. 10332.

[50] Ibn Abi Shaybah, al-Musannaf fi al-Ahadith wa al-Athar, Kitab al-Zakah – Zakat al-Fitr tukhraj qabl al-Salah, 2/395, no. 10333.

[51] Abu Dawud, Sulayman bin al-Ash‘ath al-Azdi (w. 275H), Sunan Abi Dawud, tahqiq Shu‘ayb al-Arna’ut dan Muhammad Kamil Qarrah Billi, Beirut: Dar al-Risalah al-‘Alamiyyah, t.t., Kitab al-Zakah, Bab Zakat al-Fitr, no. 1609 (Shu‘ayb al-Arna’ut: sanadnya hasan; Abu Yazid al-Khawlani dan gurunya Sayyar bin ‘Abd al-Rahman adalah perawi yang saduq); Ibn Majah, Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Yazid (w. 273H), Sunan Ibn Majah, tahqiq Shu‘ayb al-Arna’ut et al., Beirut: Dar al-Risalah al-‘Alamiyyah, t.t., Abwab al-Zakah, Bab Sadaqat al-Fitr, no. 1827; al-Daraqutni, ‘Ali bin ‘Umar bin Ahmad (w. 385H), Sunan al-Daraqutni, tahqiq Shu‘ayb al-Arna’ut et al., Beirut: Mu’assasah al-Risalah, cet. 1, 1424H/2004, Kitab Zakat al-Fitr, 3/61, no. 2067 (al-Daraqutni berkata: tidak ada dalam kalangan mereka perawi yang majruh); al-Hakim, Muhammad bin ‘Abd Allah bin Muhammad bin Hamduwayh (w. 405H), al-Mustadrak ‘ala al-Sahihayn, tahqiq Mustafa ‘Abd al-Qadir ‘Ata, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cet. 1, 1411H/1990, 1/568, no. 1488 (al-Hakim berkata: hadis ini sahih menurut syarat al-Bukhari, namun tidak diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini diriwayatkan melalui beberapa jalur daripada Mahmud bin Khalid al-Dimashqi, ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Rahman, ‘Abd Allah bin Ahmad bin Bashir, Ahmad bin al-Azhar dan Ibrahim bin ‘Atiq al-‘Ansi, daripada Marwan bin Muhammad, daripada Abu Yazid al-Khawlani, daripada Sayyar bin ‘Abd al-Rahman al-Sadafi, daripada ‘Ikrimah, daripada Ibn ‘Abbas.

[52] al-Shawkani, Nayl al-Awtar, 4/546; al-San‘ani, Subul al-Salam, 1/540.

[53] Ibn al-Qayyim, Zad al-Ma‘ad fi Hady Khayr al-‘Ibad, 2/21.

[54] al-‘Iraqi, Tarh al-Tathrib fi Sharh al-Taqrib, 4/48

[55] al-Khattabi, Ma‘alim al-Sunan, 2/47.

[56] al-‘Ayni, Mahmud bin Ahmad bin Musa (w. 855H), Sharh Sunan Abi Dawud, tahqiq Khalid bin Ibrahim al-Misri, Riyadh: Maktabah al-Rushd, cet. 1, 1420H/1999, 6/319.

[57] Ibn Nujaym, Zayn al-Din bin Ibrahim bin Muhammad (w. 970H), al-Bahr al-Ra’iq Sharh Kanz al-Daqa’iq, Beirut: Dar al-Kitab al-Islami, cet. 2, t.t., 2/275; lihat juga: al-Dasuqi, Hashiyah al-Dasuqi ‘ala al-Sharh al-Kabir, 1/507; al-Nawawi, al-Majmu‘, 6/128

[58] Ibn Abi Shaybah, ‘Abd Allah bin Muhammad (w. 235H), al-Musannaf fi al-Ahadith wa al-Athar, Kitab al-Zakah – Zakat al-Fitr Tukhraj Qabl al-Salah, 2/395, no. 10332

[59] Malik bin Anas al-Asbahi al-Madani (w. 179H), al-Muwatta’, tahqiq Muhammad Mustafa al-A‘zami, Abu Dhabi: Mu’assasah Zayid bin Sultan Al Nahyan li al-A‘mal al-Khayriyyah wa al-Insaniyyah, cet. 1, 1425H/2004, Kitab al-Zakah – Waqt Irsal Zakat al-Fitr, 2/405, no. 994.

[60] al-Khatib al-Shirbini, Mughni al-Muhtaj, rujukan terdahulu, 2/118.

[61] al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, rujukan terdahulu, Bab Fard Zakat al-Fitr, no. 1503, 2/130.

[62] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Sharbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Madhhab al-Imam al-Shafi‘i, Damsyik: Dar al-Qalam, 1992, 1/230

[63] Majlis al-Ifta’ wa al-Buhuth wa al-Dirasat al-Islamiyyah, Qarār raqm (286) li sanah 2020M, (https://www.aliftaa.jo/Decision.aspx?DecisionId=639#.YAicLejXLIU: Lihat keputusan rasmi)

[64] Ibn Hajar al-Haytami, Tuhfah al-Muhtaj, rujukan terdahulu, 7/169

[65] ‘Abd al-Wahid bin Isma‘il bin Ahmad, dikenali dengan kunyah Abu al-Mahasin, dan digelar Fakhr al-Islam al-Ruyani: seorang faqih mazhab al-Syafi‘i, berasal dari Ruyan (di kawasan Tabaristan). Beliau mempunyai kedudukan yang baik di sisi para pemerintah. Beliau mencapai tahap penguasaan yang sangat tinggi dalam ilmu fiqh sehingga pernah berkata:

لو احترقت كتب الشافعيّ لأمليتها من حفظي

“Sekiranya kitab-kitab Imam al-Syafi‘i terbakar, nescaya aku mampu mengimlakkan semuanya semula daripada hafalanku.” (Lihat: al-Zirikli, Khayr al-Din bin Mahmud (w. 1396H), al-A‘lam, Beirut: Dar al-‘Ilm li al-Malayin, cet. 15, 2002, 4/175)

[66] Ibn Hajar al-Haytami, Tuhfah al-Muhtaj, rujukan terdahulu, 7/169; al-Shams al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj, rujukan terdahulu, 6/164.

[67] al-Suyuti, ‘Abd al-Rahman bin Abi Bakr (w. 911H), al-Hawi li al-Fatawi, Beirut: Dar al-Fikr, 2004, 1/102

[68] Jalal al-Din al-Mahalli, Muhammad bin Shihab al-Din (w. 864H), Kanz al-Raghibin, Beirut: Dar al-Fikr, 1995, 3/204.

[69] Namun demikian, pengambilan dalil daripada hadis tersebut untuk menunjukkan larangan masih boleh dipertikaikan. Ini kerana orang yang mengambil zakat dalam hadis itu ialah amil yang dilantik oleh pemerintah. Maka pemindahan zakat dalam lingkungan wilayah kekuasaan pemerintah pada ketika itu adalah dibenarkan, dan keharusan dalam keadaan tersebut menunjukkan adanya keharusan dalam keadaan selainnya. (Lihat Arij al-‘Ithr bi Muhammat Masa’il Zakah al-Fitr oleh Dr. Labib Najib ‘Abdullah, nota kaki hal. 17

[70] al-Qalyubi, Ahmad Salamah (w. 1069H), Hashiyah Qalyubi ‘ala Sharh al-Mahalli, Beirut: Dar al-Fikr, 1995, 3/204.

[71] Rujuk: Irshad al-Sari, 6/516)

[72] Dalam I‘ānah al-Ṭālibīn 2/212 dinyatakan:

)قوله: قال ابن عجيل إلخ) سئل شيخنا وأستاذنا - أطال الله بقاءه - عن نقل زكاة المال من أرض الجاوة إلى مكة والميدينة رجاء ثواب التصدق على فقراء الحرمين، هل يوجد في مذهب الشافعي قول بجواز نقلها في ذ؟ فأجاب - بما صورته. (اعلم) - رحمك الله - إن مسألة نقل الزكاة فيها اختلاف كثير بين العلماء، والمشهور في مذهب الشافعي امتناع نقلها إذا وجد المستحقون لها في بلدها. ومقابل المشهور جواز النقل، وهو مذهب الإمام أبي حنيفة - رضي الله عنه - وكثير من المجتهدين، منهم الامام البخاري، فإنه ترجم المسألة بقوله: باب أخذ الصدقة من الاغنياء - وترد على الفقراء حيث كانوا. قال شارحه القسطلانى: ظاهره أن المولف يختار جواز نقل الزكاة من بلد المال. وهو أيضا مذهب الحنفية والاصح عند الشافعية والمالكية عدم الجواز: انتهى. وفى المنهاج والتحفة للعلامة ابن حجر: والأظهر منع نقل الزكاة. وإن نقل مقبله أكثر العلماء، وانتصر له. انتهى. إذا تأملت ذلكء علمت أن القول بالنقل يوجد في مذهب الإمام الشافعي، ويجوز تقليده، والعمل بمقتضاه. والله أعلم

(Kenyataannya: “Ibn ‘Ajīl berkata” dan seterusnya): Guru dan juga ustaz kami – semoga Allah memanjangkan usia beliau – telah ditanya tentang memindahkan zakat harta dari negeri Jawa ke Mekah dan Madinah dengan harapan memperoleh pahala bersedekah kepada fakir miskin di Tanah Haram. Adakah terdapat dalam mazhab al-Syafi‘i suatu pendapat yang membolehkan pemindahan tersebut? Beliau menjawab – yang ringkasnya seperti berikut: Ketahuilah – semoga Allah merahmatimu – bahawa masalah memindahkan zakat merupakan perkara yang banyak diperselisihkan oleh para ulama. Pendapat yang masyhur dalam mazhab al-Syafi‘i ialah tidak boleh memindahkannya jika di negeri asal harta itu terdapat orang yang berhak menerimanya. Namun berlawanan dengan pendapat masyhur itu ialah pendapat yang membolehkan pemindahan zakat. Ini juga mazhab Imam Abu Hanifah – رضي الله عنه – dan juga ramai daripada para mujtahid, antaranya Imam al-Bukhari. Hal ini dapat difahami daripada cara beliau meletakkan tajuk bab: “Bab mengambil sedekah daripada orang-orang kaya dan mengembalikannya kepada orang-orang fakir di mana sahaja mereka berada.” Pensyarahnya iaitu al-Qastallani berkata: “Zahirnya menunjukkan bahawa pengarang (Imam al-Bukhari) memilih pendapat yang membolehkan memindahkan zakat dari negeri tempat harta itu berada.” Pendapat ini juga merupakan mazhab ulama Hanafi, manakala pendapat yang lebih sahih di sisi ulama Syafi‘iyyah dan Malikiyyah ialah tidak harus memindahkannya. Selesai nukilan. Dalam kitab al-Minhaj dan al-Tuhfah karya al-‘Allamah Ibn Hajar, disebut: “Pendapat al-Azhar ialah tidak dibenarkan pemindahan zakat.” Namun jika zakat itu dipindahkan, ramai ulama menerimanya (menganggapnya sah) dan mempertahankan pandangan tersebut. Selesai nukilan. Apabila engkau meneliti perkara ini, engkau akan mengetahui bahawa pendapat yang membolehkan pemindahan zakat memang wujud dalam mazhab Imam al-Syafi‘i, dan boleh bertaklid dengannya serta beramal menurutnya. Wallahu a’lam.”

[73] al-Qalyubi, Ahmad Salamah (w. 1069H), Hashiyah Qalyubi ‘ala Sharh al-Mahalli, Beirut: Dar al-Fikr, 1995, 3/204.

[74] Dairah al-Ifta’ al-‘Ammah fi al-Mamlakah al-Urduniyyah al-Hashimiyyah, Fatwa no. 2658, 23 Ogos 2012, ( https://www.aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=2658#.YAicIujXLIU) Lihat fatwa penuh.

[75] Lihat Busyra Karim 2/341


Cetak  
Wallahu a'lam