Kaedah Dari al-Quran Ke-46

Kaedah 46

وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللَّهُ

“Dan apa sahaja kebaikan yang kamu lakukan, Allah mengetahuinya.”

(Surah al-Baqarah: 197)

Ini merupakan satu kaedah al-Quran yang kukuh dan sangat berkait dengan satu isu penting dalam hubungan manusia dengan Allah dan juga dengan sesama manusia.

Kaedah al-Quran ini disebut dalam konteks ayat-ayat tentang ibadah haji. Allah Ta‘ala berfirman:

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ ۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللَّهُ ۗ وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ ۚ وَاتَّقُونِ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ

“Ibadah haji itu pada bulan-bulan yang telah diketahui. Maka sesiapa yang menetapkan niat untuk mengerjakan haji pada bulan-bulan itu, maka tidak boleh melakukan rafath (hubungan suami isteri dan perkara yang membawa kepadanya), tidak boleh melakukan kefasikan, dan tidak boleh berbantah-bantahan dalam haji. Dan apa sahaja kebaikan yang kamu lakukan, Allah mengetahuinya. Dan hendaklah kamu membawa bekalan, dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah takwa. Dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal.”

(Surah al-Baqarah: 197)

Sebelum kita menjelaskan sebahagian makna kaedah ini, adalah baik untuk kita menjelaskan secara ringkas makna ayat yang mengandungi kaedah ini.

  1. Apabila kewajipan haji telah ditetapkan dan disebut beberapa hukum berkaitan dengannya sebelum ayat ini — khususnya berkaitan penyempurnaan ibadah haji dan keadaan terhalang daripada menunaikannya — maka ayat ini meneruskan perbincangan tentang beberapa adab dan hukum dalam ibadah haji. Antaranya ialah: Larangan rafath, iaitu hubungan suami isteri serta perkara-perkara yang membawa kepadanya sama ada melalui perbuatan atau percakapan, khususnya di hadapan wanita. Larangan fusuq, iaitu semua bentuk maksiat, termasuk juga perkara-perkara yang dilarang ketika ihram. Larangan jidal, iaitu perdebatan, pertengkaran dan permusuhan dilarang kerana ia boleh menimbulkan keburukan dan menyalakan api permusuhan.[1] Oleh itu, apabila Allah melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara buruk sama ada melalui perkataan atau perbuatan, Dia juga menggalakkan mereka melakukan perkara-perkara yang baik. Allah memberitahu bahawa Dia mengetahui segala kebaikan tersebut dan akan membalasnya dengan balasan yang paling sempurna pada hari kiamat.[2]

 

  1. Dalam pemberitahuan bahawa tiada satu pun kebaikan yang kita lakukan melainkan Allah mengetahuinya, terdapat petunjuk yang jelas bahawa hal itu mengandungi makna ganjaran terhadap kebaikan tersebut serta galakan untuk melakukannya.

Jika tidak demikian, maka sesungguhnya Allah memang mengetahui segala perkara sama ada baik atau buruk. Antara ayat yang seumpama dengan kaedah ini ialah firman Allah:

وَمَا أَنفَقْتُم مِّن نَّفَقَةٍ أَوْ نَذَرْتُم مِّن نَّذْرٍ فَإِنَّ اللَّهَ يَعْلَمُهُ ۗ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ

“Dan apa sahaja nafkah yang kamu belanjakan atau nazar yang kamu lakukan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

(Surah al-Baqarah: 270)

  1. Dalam firman Allah: “مِنْ خَيْرٍ” (daripada kebaikan), yang datang dalam konteks ayat syarat: “وَمَا تَفْعَلُوا”, terdapat petunjuk bahawa ayat ini meliputi semua jenis kebaikan, sama ada sedikit ataupun banyak.

 

  1. Kemudian ayat ini diakhiri dengan dua perkara penting yang terkandung dalam firman Allah:

 

 

وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ ۚ وَاتَّقُونِ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ

“Dan hendaklah kamu membawa bekalan, dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah takwa. Dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal.”

                                                                                                  (al-Baqarah: 197)

Firman Allah: “وَتَزَوَّدُوا” bermaksud: ambillah atau persiapkan bekalan untuk makanan jasad dan juga makanan hati. Bekalan hati adalah yang lebih utama daripada kedua-duanya, sebagaimana firman Allah: فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ “Sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah takwa.”

Apabila Allah menggalakkan manusia kepada takwa, Dia juga memerintahkannya demi mendapatkan kebaikan yang terkandung di dalamnya, lalu Dia berfirman: وَاتَّقُونِ يَا أُولِي الْأَلْبَابِSeruan ini ditujukan kepada orang-orang yang berakal (ulul albab) kerana merekalah yang memahami manfaat takwa dan hasilnya. Adapun orang-orang yang bodoh tidak mampu memahami hal tersebut.[3]

Sesungguhnya kaedah al-Quran yang agung ini mendidik dalam diri seorang mukmin banyak makna keimanan dan tarbiah ketika dia berjalan menuju Allah dan menuju negeri akhirat.

Barangkali makna-makna tersebut boleh diringkaskan kepada beberapa perkara berikut:

Pertama

Dalam ayat ini terdapat galakan dan dorongan supaya mengikhlaskan amal kepada Allah Ta‘ala, walaupun tiada seorang pun yang mengetahuinya. Bahkan seorang hamba yang diberi taufik oleh Allah ialah orang yang bersungguh-sungguh berusaha menyembunyikan amalannya daripada manusia sedaya mungkin. Dalam hal ini terdapat banyak faedah dan kesan yang baik kepada hati dan jiwa. Ibn al-Qayyim رحمه الله mempunyai kata-kata yang sangat berharga tentang perkara ini. Beliau berkata:

وكم من صاحب قلب وجَمْعِيَّةٍ وحال معِ الله قد تحدَّثَ بها وأخبر بها، فسلبه إيَّاها الأغيارُ، فأصبح يقلِّبُ كفَّيه، ولهذا يوصي العارفون والشيوخُ بحفظ السِّرِّ مع الله، وأن لا يُطْلِعوا عليه أحدًا، ويتكتَّمون به غايةَ التَّكَتُّم، كما أنشد بعضُهم في ذلك:

من سَارَرُوه فأبدى السِّرَّ مجتهدً...  لَمْ يَأْمَنُوهُ عَلَى الْأَسْرَارِ مَا عَاشَا

وأبعدوه فلم يظفرْ بِقُرْبِهمُ ... وأبدلوه مكانَ الأُنْسِ إيحَاشا

لا يأمنونَ مُذِيعًا بَعْضَ سِرِّهِمُ ... حاشا وِدادِهِمُ من ذلكمْ حاشا

“Betapa ramai orang yang memiliki hati yang baik, kekhusyukan dan keadaan rohani yang indah bersama Allah. Namun apabila dia menceritakan keadaan tersebut dan memberitahukannya kepada orang lain, maka keadaan itu pun dicabut daripadanya. Lalu dia menjadi orang yang menyesal dan kebingungan. Oleh sebab itu, para arif dan para guru kerohanian selalu menasihatkan agar menjaga rahsia antara diri dengan Allah, dan tidak menzahirkan perkara tersebut kepada sesiapa pun. Mereka sangat menjaga kerahsiaan itu. Sebahagian mereka mengungkapkan perkara ini melalui syair:

Sesiapa yang mereka dibisikkan rahsia, lalu dia menzahirkannya dengan bersungguh-sungguh,
maka selama dia hidup, mereka tidak lagi mempercayainya.

Mereka pun menjauhkannya sehingga dia tidak lagi memperoleh kedekatan dengan mereka,
dan mereka menggantikan keakraban dengannya dengan rasa keterasingan.

Mereka tidak akan mempercayai orang yang menyebarkan rahsia walau sebahagian daripada rahsia mereka,
jauh sekali kasih sayang dan persahabatan mereka akan menerima perbuatan seperti itu.

Golongan ini, yang paling kuat  menjaga rahsia atau keadaan mereka dengan Allah, serta nikmat yang Allah kurniakan kepada mereka berupa kecintaan kepada-Nya terdiri daripada keakraban dengan-Nya dan tumpuan hati kepada-Nya. Hal ini lebih ditekankan khususnya bagi orang yang masih di peringkat permulaan perjalanan rohani. Namun apabila seseorang telah kukuh dan kuat, serta telah teguh akar pohon yang baik itu di dalam hatinya — seperti pohon yang akarnya kukuh dan cabangnya menjulang ke langit — sehingga dia tidak lagi bimbang akan digoncang oleh badai, maka jika dia menzahirkan keadaannya bersama Allah dengan tujuan supaya orang lain mencontohinya, maka hal itu tidak mengapa. Ini merupakan satu bidang yang sangat besar manfaatnya, tetapi hanya diketahui oleh orang-orang yang benar-benar memahaminya.”

(Bada’i‘ al-Fawa’id, 3/847)

Kedua

Antara makna tarbiah yang ditanamkan oleh kaedah ini:

وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللَّهُ

“Dan apa sahaja kebaikan yang kamu lakukan, Allah mengetahuinya.”

ialah ketenangan jiwa dan ketenteraman hati. Hal ini kerana orang yang berbuat baik kepada manusia dengan ikhlas tidak menunggu pujian atau penghargaan daripada manusia. Dia mampu bersabar apabila sebahagian manusia tidak mengenang jasa yang telah dilakukan atau tidak menghargai kebaikan yang telah diberikan.

Apabila dia melakukan kebaikan dan dia yakin bahawa Tuhannya mengetahui segala amalannya dan akan memberi ganjaran kepadanya, maka ringanlah baginya menghadapi sikap tidak mengenang budi atau pengingkaran manusia akan kebaikannya, apatah lagi jika mereka tidak menunaikan haknya.

Keadaan hatinya seolah-olah berkata sebagaimana yang Allah sebut tentang penghuni syurga:

إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمْ جَزَاءً وَلَا شُكُورًا

“Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu hanyalah kerana mengharap wajah Allah. Kami tidak menghendaki daripada kamu sebarang balasan dan tidak juga ucapan terima kasih.”

(Surah al-Insan: 9)

 

Aku mengenali seorang lelaki yang sangat dermawan. Dia sering menggunakan kedudukan dan pengaruhnya untuk membantu orang ramai. Namun dia diuji dengan sebahagian manusia yang melupakan kebaikannya dan tidak mengenang jasanya. Bahkan dia merasakan bahawa sebahagian daripada mereka menikamnya dari belakang, atau berpaling daripadanya setelah menerima manfaat daripadanya.

Lalu aku menyebutkan kepadanya makna ini – yang sedang kita tekankan di sini – maka dia pun merasa sangat lega.

Walaupun telah disebutkan perkara-perkara di atas, aku ingin menghadiahkan kepada saudara-saudaraku yang telah dikurniakan oleh Allah kemampuan untuk berbuat baik kepada manusia, tetapi diuji dengan sikap kasar dan tidak menghargai daripada mereka, satu teks yang sangat berharga daripada Syeikh al-Islam Ibn Taymiyyah رحمه الله. Beliau berkata dalam satu penjelasan yang panjang tentang makna ini:

وَلَا يَحْمِلَنَّكَ هَذَا عَلَى جَفْوَةِ النَّاسِ؛ وَتَرْكِ الْإِحْسَانِ إلَيْهِمْ؛ وَاحْتِمَالِ الْأَذَى مِنْهُمْ؛ بَلْ أَحْسِنْ إلَيْهِمْ لِلَّهِ لَا لِرَجَائِهِمْ؛ وَكَمَا لَا تَخَفْهُمْ فَلَا تَرْجُهُمْ؛ وَخَفْ اللَّهَ فِي النَّاسِ وَلَا تَخَفْ النَّاسَ فِي اللَّهِ؛ وَارْجُ اللَّهَ فِي النَّاسِ وَلَا تَرْجُ النَّاسَ فِي اللَّهِ؛ وَكُنْ مِمَّنْ قَالَ اللَّهُ فِيهِ: ﴿وَسَيُجَنَّبُهَا الْأَتْقَى﴾ ﴿الَّذِي يُؤْتِي مَالَهُ يَتَزَكَّى﴾ ﴿وَمَا لِأَحَدٍ عِنْدَهُ مِنْ نِعْمَةٍ تُجْزَى﴾ ﴿إلَّا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِ الْأَعْلَى﴾ . وَقَالَ فِيهِ: ﴿إنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنْكُمْ جَزَاءً وَلَا شُكُورًا﴾

“Janganlah sama sekali perkara ini membuatkan engkau bersikap keras terhadap manusia, meninggalkan berbuat baik kepada mereka, atau enggan membantu masalah mereka. Bahkan berbuat baiklah kepada mereka kerana Allah, bukan kerana mengharapkan balasan daripada mereka. Sebagaimana engkau tidak takut kepada mereka, maka jangan pula engkau berharap kepada mereka. Takutlah kepada Allah ketika berhadapan dengan manusia, dan jangan takut kepada manusia dalam urusan Allah. Berharaplah kepada Allah dalam urusan manusia, dan jangan berharap kepada manusia dalam urusan Allah. Dan jadilah engkau termasuk orang yang disebut oleh Allah dalam firman-Nya: “Dan akan dijauh neraka daripada orang yang paling bertakwa, iaitu orang yang memberikan hartanya untuk membersihkan dirinya, sedangkan tiada seorangpun yang diberi budi olehnya, dia mengharapkan dibalas, melainkan semata-mata kerana mengharapkan keredaan Tuhannya Yang Maha Tinggi.” (Surah al-Lail: 17–20) Dan juga seperti firman-Nya: “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu hanyalah kerana mengharap wajah Allah; kami tidak menghendaki daripada kamu sebarang balasan dan tidak juga ucapan terima kasih.” (Surah al-Insan: 9)

Dalam tempat yang lain Ibn Taimiyyah berkata:  juga berkata – menasihati orang yang berusaha memberi manfaat kepada manusia:

وَإِذَا أَحْسَنَ إلَى النَّاسِ فَإِنَّمَا يُحْسِنُ إلَيْهِمْ: ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِ الْأَعْلَى. وَيَعْلَمُ أَنَّ اللَّهَ قَدْ مَنَّ عَلَيْهِ بِأَنْ جَعَلَهُ مُحْسِنًا وَلَمْ يَجْعَلْهُ مُسِيئًا فَيَرَى أَنَّ عَمَلَهُ لِلَّهِ وَأَنَّهُ بِاَللَّهِ. وَهَذَا مَذْكُورٌ فِي فَاتِحَةِ الْكِتَابِ الَّتِي ذَكَرْنَا أَنَّ جَمِيعَ الْخَلْقِ مُحْتَاجُونَ إلَيْهَا أَعْظَمَ مِنْ حَاجَتِهِمْ إلَى أَيْ شَيْءٍ. وَلِهَذَا فُرِضَتْ عَلَيْهِمْ قِرَاءَتُهَا فِي كُلِّ صَلَاةٍ دُونَ غَيْرِهَا مِنْ السُّوَرِ وَلَمْ يَنْزِلْ فِي التَّوْرَاةِ وَلَا فِي الْإِنْجِيلِ وَلَا فِي الزَّبُورِ وَلَا فِي الْقُرْآنِ مِثْلُهَا. فَإِنَّ فِيهَا ﴿إيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ﴾ . فَالْمُؤْمِنُ يَرَى: أَنَّ عَمَلَهُ لِلَّهِ لِأَنَّهُ إيَّاهُ يَعْبُدُ وَأَنَّهُ بِاَللَّهِ. لِأَنَّهُ إيَّاهُ يَسْتَعِينُ. فَلَا يَطْلُبُ مِمَّنْ أَحْسَنَ إلَيْهِ جَزَاءً وَلَا شَكُورًا. لِأَنَّهُ إنَّمَا عَمِلَ لَهُ مَا عَمِلَ لِلَّهِ كَمَا قَالَ الْأَبْرَارُ ﴿إنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنْكُمْ جَزَاءً وَلَا شُكُورًا﴾ وَلَا يَمُنُّ عَلَيْهِ بِذَلِكَ وَلَا يُؤْذِيهِ. فَإِنَّهُ قَدْ عَلِمَ أَنَّ اللَّهَ هُوَ الْمَانُّ عَلَيْهِ إذْ اسْتَعْمَلَهُ فِي الْإِحْسَانِ. وَأَنَّ الْمِنَّةَ لِلَّهِ عَلَيْهِ وَعَلَى ذَلِكَ الشَّخْصِ. فَعَلَيْهِ هُوَ: أَنْ يَشْكُرَ اللَّهَ. إذْ يَسَّرَهُ لِلْيُسْرَى. وَعَلَى ذَلِكَ: أَنْ يَشْكُرَ اللَّهَ. إذْ يَسَّرَ لَهُ مَنْ يُقَدِّمُ لَهُ مَا يَنْفَعُهُ مِنْ رِزْقٍ أَوْ عِلْمٍ أَوْ نَصْرٍ أَوْ غَيْرِ ذَلِكَ. وَمِنْ النَّاسِ: مَنْ يُحْسِنُ إلَى غَيْرِهِ لِيَمُنَّ عَلَيْهِ أَوْ يَرُدَّ الْإِحْسَانَ لَهُ بِطَاعَتِهِ إلَيْهِ وَتَعْظِيمِهِ أَوْ نَفْعِ آخَرَ. وَقَدْ يَمُنُّ عَلَيْهِ. فَيَقُولُ: أَنَا فَعَلْت بِك كَذَا. فَهَذَا لَمْ يَعْبُدْ اللَّهَ وَلَمْ يَسْتَعِنْهُ. وَلَا عَمِلَ لِلَّهِ وَلَا عَمِلَ بِاَللَّهِ. فَهُوَ الْمُرَائِي. وَقَدْ أَبْطَلَ اللَّهُ صَدَقَةَ الْمَنَّانِ وَصَدَقَةَ الْمُرَائِي

“Apabila seseorang berbuat baik kepada manusia, maka sesungguhnya dia berbuat baik kepada mereka semata-mata kerana mengharapkan wajah Tuhannya Yang Maha Tinggi. Dia juga mengetahui bahawa Allah telah mengurniakan nikmat kepadanya dengan menjadikannya seorang yang berbuat baik, dan tidak menjadikannya seorang yang melakukan kejahatan. Oleh itu, dia memandang bahawa amalnya adalah kerana Allah, dan dengan pertolongan Allah. Hal ini disebut dalam al-Fatihah, iaitu surah yang telah kami nyatakan bahawa seluruh manusia sangat memerlukannya, bahkan lebih daripada keperluan mereka terhadap apa pun yang lain. Oleh sebab itu, Allah mewajibkan mereka membacanya dalam setiap solat, tidak seperti surah-surah yang lain. Tidak pernah diturunkan dalam Taurat, Injil, Zabur atau dalam al-Quran sesuatu yang seumpamanya. Di dalamnya terdapat firman Allah: “Hanya kepada-Mu kami menyembah, dan hanya kepada-Mu kami memohon pertolongan.” Maka seorang mukmin memandang bahawa amalnya kerana Allah, kerana hanya kepada-Nya dia beribadah; dan amalnya juga dengan pertolongan Allah, kerana hanya kepada-Nya dia memohon pertolongan. Oleh itu, dia tidak menuntut daripada orang yang telah dia bantu sebarang balasan ataupun ucapan terima kasih, kerana apa yang dia lakukan itu sebenarnya dia lakukan kerana Allah, sebagaimana kata golongan al-Abrar: “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu hanyalah kerana mengharap wajah Allah; kami tidak menghendaki daripada kamu sebarang balasan dan tidak juga ucapan terima kasih.” (Surah al-Insan: 9) Dia juga tidak mengungkit kebaikannya dan tidak menyakiti orang yang dibantunya dengan perbuatannya itu. Hal ini kerana dia mengetahui bahawa Allah-lah yang sebenarnya telah mengurniakan nikmat kepadanya dengan menjadikannya orang yang melakukan kebaikan. Maka hakikatnya nikmat itu adalah daripada Allah kepada dirinya dan juga kepada orang yang dibantunya. Sesungguhnya dia mengetahui bahawa Allah yang telah mengurniakan nikmat kepadanya kerana Allah telah memudahkannya melakukan kebaikan. Dia sedar bahawa nikmat itu adalah milik Allah, dia dan orang yang dibantukan akan ditanya. Dia dan orang yang menerima kebaikan itu pula hendaklah bersyukur kepada Allah kerana Allah telah memudahkan untuknya seseorang yang memberikan manfaat kepadanya, sama ada berupa rezeki, ilmu, pertolongan atau selainnya. Sebahagian manusia pula berbuat baik kepada orang lain dengan tujuan mengungkit jasa, atau supaya orang yang dibantunya membalas kebaikannya dengan ketaatan kepadanya, penghormatan atau manfaat yang lain. Kadang-kadang dia mengungkit dengan berkata: “Aku telah melakukan ini dan itu untukmu.” Orang seperti ini sebenarnya tidak beribadah kepada Allah dan tidak memohon pertolongan kepada-Nya, tidak beramal kerana Allah dan tidak juga dengan pertolongan-Nya. Orang itu termasuk orang yang riya’, dan Allah telah membatalkan sedekah orang yang suka mengungkit jasanya serta sedekah orang yang riya’.”[4]

Kesimpulannya, sesiapa yang memahami apa yang ditunjukkan oleh kaedah al-Quran yang kukuh ini:

وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللَّهُ

“Dan apa sahaja kebaikan yang kamu lakukan, Allah mengetahuinya.”

maka dia akan terdorong untuk melakukan kebaikan dan mudah bersabar terhadap sikap manusia yang kurang menghargai atau bersikap kasar kepadanya. Hal ini kerana dia tidak mengharapkan selain daripada Allah.

Kita memohon kepada Allah dengan kurnia dan kemurahan-Nya agar mengurniakan kepada kita kemampuan melakukan kebaikan serta keikhlasan kepada-Nya dalam setiap apa yang kita lakukan dan tinggalkan.



[1] Tafsir al-Sa‘di, hlm. 91

[2] Tafsir Ibn Kathir, 1/197

[3] Lihat: Tafsir al-Quran oleh Ibn ‘Uthaymin, 2/415

[4] Majmu‘ al-Fatawa, 14/329


Cetak  
Wallahu a'lam