Soalan:
Salam Ustaz, bagaimana pula dengan menyiram air ke atas kubur ?
i) kubur yang baru dikambus dan kubur yang dah lama - semasa ziarah kubur
ii) Hukum meletak bunga di atas kubur
Jawapan:
Pertama:
Para ulama rahimahumullah menyebut disunatkan menyiram kubur dengan air selepas pengebumian. Mereka menyatakan hikmahnya ialah air membantu memantapkan tanah kubur agar tidak ditiup angin. Mereka juga menyebut bahawa Nabi ﷺ pernah melakukan hal tersebut ketika mengebumikan anak baginda, Ibrahim.
Berkata Syeikh Zakaria al-Ansari رحمه الله:
(وَيُسْتَحَبُّ أَنْ يُرَشَّ) الْقَبْرُ (بِالْمَاءِ)؛ لِئَلَّا يَنْسِفَهُ الرِّيحُ; وَلِأَنَّهُ صلى الله عليه وسلم فَعَلَ ذَلِكَ بِقَبْرِ ابْنِهِ. رَوَاهُ الشَّافِعِيُّ
“Disunatkan menyiram kubur dengan air agar tidak diterbangkan angin, dan kerana Nabi ﷺ telah melakukan demikian pada kubur anaknya.” (Asna al-Matalib 1/329)
Menyiram kubur dengan air, pada asalnya ialah selepas pengebumian. Namun, jika ada keperluan walaupun selepas beberapa tempoh, seperti bimbang tanah kubur berselerakan, maka tidak mengapa untuk menyiram semula air ke atas kubur tersebut. Ini kerana sebab (ʿillah) yang disebut oleh para ulama masih wujud.
Sebahagian ulama juga berpendapat sunat menyiram air tidak terhad sebaik selepas pengebumian sahaja, bahkan boleh dilakukan selepas itu apabila ada keperluan.
Disebut dalam Hashiah al-Ramli al-Kabir (1/328):
قَوْلُهُ: وَيُسْتَحَبُّ أَنْ يَرُشَّ الْقَبْرُ بِالْمَاءِ، قَالَ شَيْخُنَا : وَلَوْ بَعْدَ الدَّفْنِ بِمُدَّةٍ فِيمَا يَظْهَرُ
“Perkataan penulis kitab: “Disunatkan menyiram kubur dengan air,” kata syeikh kami: “walaupun selepas pengebumian beberapa tempoh, sebagaimana yang zahir.”
Adapun menyiram air di atas kubur tanpa sebab, seperti pada setiap kali ziarah kubur, maka hal ini tidak pernah dilakukan oleh Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم. Oleh itu, ia tidak disyariatkan, bahkan lebih dekat kepada bid‘ah, khususnya jika diyakini bahawa perbuatan itu memberi manfaat kepada si mati atau meringankan azabnya, semua ini tidak ada asal-usulnya dari anjuran syara’.
Sepatutnya bagi seorang Muslim ialah berpegang kepada amalan yang warid ketika ziarah kubur, iaitu memberi salam kepada ahli kubur dan mendoakan keampunan serta rahmat untuk mereka. Inilah yang memberi manfaat kepada si mati, bukan menyiram air.
Kedua:
Demikian juga perbuatan meletakkan bunga di atas kubur tidak disyariatkan kerana tiada riwayat daripada Nabi ﷺ dan para sahabat. Bahkan ia lebih menyerupai perbuatan orang kafir dalam menghias kubur mereka.
Oleh itu, jika terdapat bunga di atas kubur, maka hendaklah ia dibuang.
Disebut dalam Fatawa Syeikh Muhammad bin Ibrahim (3/200):
أما تشجير المقبرة، فهو لا يجوز، وفيه تشبه بعمل النصارى الذين يجعلون مقابرهم أشبه ما تكون بالحدائق، فيجب إزالتها وإزالة صنابير الماء التي وضعت لسقيها، ويبقى من الصنابير ما يحتاج إليه للشرب، وتليين التربة
“Adapun menanam pokok di kawasan perkuburan, maka tidak dibolehkan kerana ia menyerupai amalan orang Nasrani yang menjadikan kubur seperti taman. Maka wajib dihilangkan, termasuk paip air yang digunakan untuk menyiramnya, kecuali yang diperlukan untuk minum dan melembutkan tanah.”
