SDI 1943: Raya Hari Jumaat, Apakah Gugur Kewajipan Jumaat Dengan Hadir Solat Hari Raya?

Soalan:

Ustaz bagaimana pandangan ulama mazhab Syafie dan lainnya berkaitan isu hari raya jatuh hari Jumaat? Apakah mereka juga mengatakan solat Jumaat tidak wajib lagi bagi sesiapa yang telah hadir solat hari raya? Apakah hujah mereka? Benarkah ada pandangan yang mengatakan solot zohor juga gugur?

Jawapan:

Para ulama sepakat, solat Jumaat adalah fardu ‘ain ke atas setiap Muslim yang memenuhi syarat wajib Jumaat. Oleh itu, ulama mazhab Syafie berpandangan apabila hari pertama Aidilfitri atau Aidiladha bertepatan dengan hari Jumaat, maka wajib mendirikan solat Jumaat. Kewajipan solat Jumaat tidak gugur hanya dengan menunaikan solat Hari Raya. Ini kerana solat Jumaat adalah fardu, manakala solat Hari Raya ialah sunat muakkadah. Sesuatu yang sunat tidak boleh menggugurkan kewajipan fardu dan tidak boleh menggantikannya.

Solat Jumaat Jumaat telah diperintahkan oleh Allah Taala dalam firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkan jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” (Surah al-Jumu‘ah: 9)

Telah berlaku pada zaman Rasulullah hari raya bertepatan dengan hari Jumaat. Maka petunjuk Nabi ketika itu ialah Baginda menunaikan kedua-dua solat (solat Hari Raya dan solat Jumaat) serta menyampaikan kedua-dua khutbah, dan Baginda tidak meninggalkan salah satu daripadanya.

Perkara ini masyhur dalam kitab-kitab hadis dan sunnah, dan inilah pendapat jumhur fuqaha daripada mazhab: Hanafi, Maliki, Syafi‘i, serta satu riwayat dalam mazhab Hanbali.

Adapun riwayat-riwayat yang menunjukkan terdapat keringanan (rukhsah) yang diberikan oleh Rasulullah untuk meninggalkan solat Jumaat pada hari tersebut adalah khusus bagi penduduk al-‘Awali (العوالي) atau kawasan luar Madinah yang jauh dari Masjid Nabawi, yang menghadapi kesukaran untuk pergi dan balik dua kali bagi kedua-dua solat. Lalu Baginda memberi rukhsah kepada mereka yang jauh untuk tidak menghadiri solat Jumaat dan cukup dengan solat Zuhur di tempat mereka.

Dalil pandangan majoriti ini antaranya berdasarkan hadis dalam Sahih al-Bukhari, di mana Uthman ibn Affan رضي الله عنه pernah berkata dalam khutbahnya:

أيها الناسُ قد اجتمع عِيدَانِ في يَوْمِكُمْ، فَمَنْ أراد من أهلِ العاليةِ أن يُصلِّي معَنا الجمعةِ فلْيُصَلِّ، ومَنْ أرادَ أن يَنْصَرِفَ فلْينصَرِفْ

“Wahai manusia, sesungguhnya telah berhimpun dua hari raya pada hari kamu ini. Maka sesiapa dari penduduk ‘Awali (kawasan luar Madinah) yang ingin menunaikan solat Jumaat bersama kami, maka hendaklah dia menunaikannya; dan sesiapa yang ingin pulang, maka bolehlah dia pulang.”

Perkataan Uthman ibn Affan رضي الله عنه ini difahami mentafsirkan riwayat-riwayat yang menunjukkan ada keringanan seperti hadis Zayd ibn Arqam رضي الله عنه yang berkata:

ﺷﻬﺪﺕ ﻣﻊ اﻟﻨﺒﻲ ﺻﻠﻰ اﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﻋﻴﺪﻳﻦ اﺟﺘﻤﻌﺎ ﻓﺼﻠﻰ اﻟﻌﻴﺪ ﺛﻢ ﺭﺧﺺ ﻓﻲ اﻟﺠﻤﻌﺔ ﻭﻗﺎﻝ: ﻣﻦ ﺷﺎء ﺃﻥ ﻳﺼﻠﻲ ﻓﻠﻴﺼﻞ

“Aku menyaksikan bersama Nabi dua hari raya yang berhimpun. Maka Baginda menunaikan solat hari raya, kemudian memberikan rukhsah (keringanan) pada solat Jumaat dan bersabda: ‘Sesiapa yang mahu, maka bolehlah dia menunaikannya.’” (Diriwayatkan oleh Abu Dawud, al-Nasa’i dan Ibn Majah dengan sanad yang baik. Abu Daud juga tidak menilainya sebagai lemah)

Demikian juga sabda Nabi :

قَدْ اجْتَمَعَ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ؛ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنْ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ

“Telah berhimpun pada hari ini dua hari raya. Maka sesiapa yang mahu, memadailah baginya (solat Hari Raya) daripada (kewajipan) Jumaat. Dan sesungguhnya kami tetap akan mendirikan solat Jumaat.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Kedua-dua hadis rukhsah ini dan riwayat-riwayat lain ditafsirkan sebagai keringanan yang dinyatakan adalah khusus untuk penduduk luar bandar seperti أهل العالية dan yang seumpamanya dari penduduk kampung-kampung yang jauh.

Inilah pandangan majoriti ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi‘i. Mereka memahami hadis ini sebagai khusus kepada orang luar bandar atau luar kota Madinah, yang pada asalnya tidak wajib ke atas mereka solat Jumaat, disebabkan mereka tinggal di luar kawasan bandar dan penempatan, maka jika mereka menunggu sehingga solat Jumaat didirikan, hal itu akan menyusahkan mereka. Begitu juga jika mereka pulang ke keluarga mereka kemudian datang semula untuk solat Jumaat, ia juga menyulitkan. Oleh itu, pada ketika itu diberikan keringanan kepada mereka untuk meninggalkan solat Jumaat. Maka dalam keadaan ini, diberikan rukhsah untuk meninggalkan Jumaat.

Disebut dalam Mughni al-Muhtaj (1/539):

ولو وافق العيد يوم جمعة فحضر أهل القرية الذين يبلغهم النداء لصلاة العيد ولو رجعوا إلى أهلهم فاتتهم الجمعة فلهم الرجوع وترك الجمعة يومئذ على الأصح، فتستثنى هذه من إطلاق المصنف، نعم لو دخل وقتها قبل انصرافهم كأن دخل عقب سلامهم من العيد فالظاهر كما قال شيخنا أنه ليس لهم تركها

“Jika hari raya bertepatan dengan hari Jumaat, lalu penduduk kampung yang mendengar azan hadir untuk solat Hari Raya, dan jika mereka pulang ke tempat mereka akan terlepas solat Jumaat, maka mereka boleh pulang dan meninggalkan Jumaat pada hari itu menurut pendapat asah. Maka keadaan ini dikecualikan daripada keumuman kata-kata pengarang. Namun, jika waktu Jumaat telah masuk sebelum mereka beredar — seperti masuk sejurus selepas salam solat Hari Raya — maka zahirnya, sebagaimana disebut oleh guru kami, tidak dibolehkan bagi mereka meninggalkan Jumaat.”

Dan disebut dalam al-Binayah Sharh al-Hidayah (3/97):

ثم المراد من اجتماع العيدين هاهنا اتفاق كون يوم الفطر أو يوم الأضحى في يوم الجمعة...، ولا يترك بواحد منهما: أي من العيد والجمعة، أما الجمعة فلأنها فريضة، وأما العيد فلأن تركها بدعة وضلال...، قوله: وإنما مجمعون، دليل على أن تركها لا يجوز، وإنما أطلق لهم رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وخيرهم عثمان، لأنهم كانوا أهل أبعد قرى المدينة، وإذا رجع أهل القرى قبل صلاة الجمعة لا بأس به

“Yang dimaksudkan dengan pertemuan dua hari raya di sini ialah bertepatan Hari Raya Fitri atau Aidiladha dengan hari Jumaat…Dan tidak ditinggalkan salah satu daripadanya, iaitu Hari Raya dan Jumaat. Adapun Jumaat kerana ia fardu, dan Hari Raya kerana meninggalkannya adalah bid‘ah dan kesesatan… Sabda baginda: “Dan kami tetap mendirikan Jumaat”, menunjukkan bahawa meninggalkannya tidak dibenarkan. Adapun keringanan yang diberikan oleh Rasulullah dan pilihan yang diberikan oleh Uthman, adalah kerana mereka merupakan penduduk kampung yang jauh dari Madinah. Jika mereka pulang sebelum solat Jumaat, maka tidak mengapa.”

Ibn Abd al-Barr رحمه الله berkata dalam al-Tamhid 10/274:

وَهَذَا تَأْوِيلٌ تُعَضِّدُهُ الْأُصُولُ وَتَقُومُ عَلَيْهِ الدَّلَائِلُ وَمَنْ خَالَفَهُ فَلَا دَلِيلَ مَعَهُ وَلَا حُجَّةَ لَهُ.

“Ini adalah takwilan yang disokong oleh usul dan ditegakkan oleh dalil-dalil. Sesiapa yang menyelisihinya, maka tiada dalil bersamanya dan tiada hujah baginya.”

Pada halaman lain 10/277, beliau menyambung dan menolak pandangan yang mengatakan gugur Jumaat dan Zohor dengan berkata:

وَإِذَا احْتَمَلَتْ هَذِهِ الْآثَارُ مِنَ التَّأْوِيلِ مَا ذَكَرْنَا لَمْ يَجُزْ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَذْهَبَ إِلَى سُقُوطِ فَرْضِ الْجُمُعَةِ عَمَّنْ وَجَبَتْ عَلَيْهِ لِأَنَّ اللَّهَ ﷿ يَقُولُ يا أيها الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَلَمْ يَخُصَّ اللَّهُ وَرَسُولُهُ يَوْمَ عِيدٍ مِنْ غَيْرِهِ مِنْ وَجْهٍ تَجِبُ حُجَّتُهُ: فَكَيْفَ بِمَنْ ذَهَبَ إِلَى سُقُوطِ الْجُمُعَةِ وَالظُّهْرِ الْمُجْتَمَعِ عَلَيْهِمَا فِي الْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ وَالْإِجْمَاعِ بِأَحَادِيثَ لَيْسَ مِنْهَا حَدِيثٌ إِلَّا وَفِيهِ مَطْعَنٌ لِأَهْلِ الْعِلْمِ بِالْحَدِيثِ

“Apabila riwayat-riwayat ini boleh ditakwilkan seperti yang kami sebutkan, maka tidak boleh bagi seorang Muslim berpendapat gugurnya kewajipan Jumaat ke atas sesiapa yang wajib ke atasnya. Ini kerana Allah Ta‘ala berfirman: ‘Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah…’ (al-Jumu‘ah: 9) Demikian juga Allah serta Rasul-Nya tidak pernah mengkhususkan hari raya daripada hari-hari lain (dalam perkara ini dengan pengecualian) yang boleh dijadikan hujah. Maka bagaimana pula dengan orang yang berpendapat bahawa gugur kedua-duanya sekali — iaitu solat Jumaat dan Zuhur — sedangkan kedua-duanya telah disepakati kewajibannya dalam al-Quran, al-Sunnah dan ijmak, hanya dengan bersandarkan kepada hadis-hadis yang tidak ada satu pun daripadanya melainkan terdapat kritikan padanya menurut para ulama hadis.”

Namun tidak dinafikan terdapat pandangan sebahagian fuqaha mazhab Hanbali yang mengatakan bahawa orang yang telah menunaikan solat Hari Raya tidak lagi dituntut untuk menghadiri solat Jumaat secara mutlak, tetapi hendaklah menunaikan solat Zuhur, manakala imam tetap wajib mendirikan solat Jumaat. Disebut dalam al-Mubdi’ (2/180):

وإذا وقع العيد يوم الجمعة فاجتزى بالعيد، وصلى ظهراً، جاز؛ لأنه عليه السلام صلى العيد، وقال: (من شاء أن يجمع فليجمع) رواه أحمد من حديث زيد بن أرقم، وحينئذ تسقط الجمعة إسقاط حضور لا وجوب، فيكون حكمه كمريض، لا كمسافر ونحوه، عمن حضر العيد مع الإمام عند الاجتماع، ويصلي الظهر كصلاة أهل الأعذار، وعنه: لا تسقط الجمعة للعموم، كالإمام... هذا المذهب لما روى أبو داود، وابن ماجه من حديث أبي هريرة عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: (قد اجتمع في يومكم هذا عيدان، فمن شاء أجزأه من الجمعة، وإنا مجمعون) ورواته ثقات

“Jika hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka memadai dengan solat Hari Raya dan dia menunaikan Zuhur, maka harus. Ini kerana Nabi menunaikan solat Hari Raya dan bersabda: “Sesiapa yang mahu menghadiri Jumaat, maka hendaklah dia hadir.” Riwayat Ahmad dari hadis Zaid bin Arqam.  Maka gugurnya Jumaat di sini adalah dari sudut gugurnya kewajipan hadir, bukan gugur kewajipan asalnya. Maka keadaannya seperti orang sakit, bukan seperti musafir. Ia berlaku bagi orang yang menghadiri solat Hari Raya bersama imam. Dia menunaikan Zuhur sebagaimana orang yang uzur. Dan terdapat riwayat lain bahawa Jumaat tidak gugur kerana keumuman dalil, seperti imam… pandangan Ini berdasarkan hadis Abu Daud dan Ibn Majah, hadis Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW yang bersabda: “Telah berhimpun pada hari ini dua hari raya, maka sesiapa yang mahu, memadailah baginya daripada Jumaat, dan sesungguhnya kami tetap mendirikan Jumaat.” Para perawinya adalah thiqah.”

Oleh itu pendapat yang mengatakan gugur juga solat Zuhur bagi orang yang telah solat Hari Raya apabila bertepatan dengan hari Jumaat, maka pendapat ini tidak boleh diambil, kerana:

  • ia bercanggah dengan mazhab-mazhab muktabar Ahli Sunnah,
  • bercanggah dengan dalil-dalil yang mewajibkan lima waktu solat sehari semalam,
  • tidak boleh diamalkan, ditaklid, atau difatwakan.

Apa yang diriwayatkan daripada sebahagian sahabat yang seolah-olah menunjukkan gugurnya Zuhur dalam keadaan tersebut, ia sama ada;

  • riwayat itu tidak sahih dari segi sanad,
  • matannya tidak menunjukkan maksud tersebut secara jelas,
  • bahkan jika sahih sekalipun, ia bertentangan dengan dalil-dalil qat‘i dan ijmak umat Islam tentang kewajipan lima waktu solat, maka ia ditolak menurut neraca ilmu.

Cetak  
Wallahu a'lam