50 Perkara Berkaitan Solat Hari Raya

بسم الله الرحمن الرحيم

PENDAHULUAN

Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memiliki segala kelebihan dan kurniaan, yang Maha Pemurah lagi Maha Mulia. Aku memuji-Nya atas nikmat-nikmat-Nya yang tidak terhitung dan tidak terhingga. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, Tuhan kami yang bersendirian dalam mencipta dan mentadbir. Daku bersaksi bahawa penghulu kami Nabi Muhammad ialah hamba-Nya dan rasul-Nya, sebaik-baik makhluk. Selawat dan salam ke atas baginda, serta ke atas ahli keluarga baginda yang telah Allah hilangkan daripada mereka segala kekotoran dan disucikan mereka sesuci-sucinya, dan ke atas para sahabat baginda yang telah mendahului dalam melakukan kebaikan—maka sebaik-baik sahabat dan golongan. Juga ke atas para tabi‘in yang mengikuti mereka dengan ihsan, selama terbit fajar dan memancar cahaya, serta salam yang sebanyak-banyaknya, amma ba’d;

Maka ini merupakan himpunan ringkas tentang hukum-hakam solat hari raya dalam beberapa helaian, menurut mazhab Imam al-Syafi‘i رحمه الله, sebagai peringatan untuk diri dan juga orang lain, dengan harapan mendapat penerimaan. Mudah-mudahan Allah memberikan manfaatnya kepada umat Islam.

SEBAB PENAMAAN ‘EID

  1. Dinamakan hari raya sebagai ‘eid (العِيْد) daripada perkataan ‘aud (العَوْد) yang bermaksud kembali atau berulang (التَكَرُّر); kerana kedua-duanya (‘eid al-Fitri dan al-Adha) berulang setiap tahun, atau kerana kegembiraan kembali dengan kedatangannya, atau kerana banyaknya kurniaan Allah—iaitu limpah pemberian-Nya—dan nikmat-Nya kepada para hamba pada kedua-dua hari tersebut, khususnya dengan pengampunan dosa.

 

  1. Hari Nahr (Aidiladha) ialah hari raya al-Akbar (العيد الأكبر) kerana banyaknya pembebasan manusia daripada neraka pada hari Arafah sebelumnya; kerana tidak dilihat pembebasan manusia yang lebih banyak daripada hari itu.

 

  1. Solat Aidiladha lebih utama (أفضل) daripada solat Aidilfitri; kerana disebut dalam al-Quran melalui firman Allah Ta‘ala:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah”

(al-Kawthar: 2).

  1. Solat hari raya adalah sunat, dan ia merupakan sebaik-baik solat sunat.

 

  1. Waktu solat hari raya bermula dari terbit matahari hingga tergelincirnya matahari. Bagi solat ‘Eid al-Adha, sunat dilaksanakan setelah matahari naik setinggi sebilah tombak, sekitar 16 minit selepas terbit matahari, dan disegerakan pelaksanaannya supaya ada keluasan waktu untuk ibadah korban. Jika dilakukan sebelum matahari naik tinggi tetapi selepas terbitnya, maka solat tersebut tetap sah.

 

  1. Manakala bagi Aidilfitri, sunat melewatkan solatnya supaya ada masa bagi mereka yang belum menunaikan zakat fitrah.

 

  1. Melaksanakan solat hari raya di masjid adalah lebih utama (أفضل) jika masjid mampu menampung jemaah, kerana ia lebih mulia dan lebih bersih.

 

  1. Wanita berhaid yang hadir untuk menyertai perhimpunan berdiri di luar masjid untuk mendengar khutbah.

 

  1. Solat hari raya boleh dilakukan secara berjemaah—sekurang-kurangnya dua orang atau lebih—dan juga boleh dilakukan secara bersendirian.

 

  1. Sunat menghidupkan malam kedua-dua hari raya dengan melakukan ibadah.

 

  1. Sunat mandi hari raya, walaupun seseorang itu tidak menghadiri solat hari raya, dan waktu mandi tersebut bermula dari tengah malam.

 

  1. Sunat memakai wangian dan berhias, sama ada bagi mereka yang akan ke tempat solat atau yang tinggal di rumah, bagi orang dewasa mahupun kanak-kanak, sama ada yang menunaikan solat hari raya atau tidak.

 

  1. Sunat memakai pakaian yang terbaik yang dimiliki. Suatu yang lebih utama ialah pakaian berwarna putih, kecuali jika selainnya lebih baik atau lebih bernilai, maka itu lebih utama.

 

  1. Sunat datang awal ke tempat solat bagi selain imam, iaitu setelah mereka selesai solat Subuh, supaya dapat mengambil tempat masing-masing.

 

  1. Imam hadir pada waktu hendak menunaikan solat hari raya.

 

  1. Sunat berjalan kaki menuju ke tempat solat, dan pulang melalui jalan yang lain, serta berjalan dengan tenang.

 

  1. Sunat menahan diri daripada makan bermula dari terbit fajar pada Hari Raya Aidiladha sehingga selesai solat hari raya, kemudian menyembelih korban dan makanan pertama yang dijamah adalah daging korban yang dilakukannya.

 

  1. Sunat makan pada Hari Raya Aidilfitri sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya, supaya berbeza dengan hari sebelumnya yang diharamkan makan kerana berpuasa Ramadan.

 

  1. Tidak makruh melakukan solat sunat sebelum solat hari raya bagi selain imam.

 

  1. Jika hari raya bertepatan dengan hari Jumaat, maka solat Jumaat tidak gugur dengan sebab solat hari raya.

 

  1. Disyariatkan melaungkan seruan untuk solat hari raya dengan lafaz:

اَلصَّلَاةُ جَامِعَة

CARA MENUNAIKANNYA SOLAT HARI RAYA

  1. Solat hari raya ialah dua rakaat berdasarkan ijma’ para ulama. Dimulakan dengan takbiratul ihram dengan niat solat hari raya.

Disunatkan padanya:

  1. Bertakbir pada rakaat pertama sebanyak tujuh kali dengan yakin, di antara doa iftitah dan ta‘awwuz, selain takbiratul ihram.
    Pada rakaat kedua pula bertakbir sebanyak lima kali takbir, selain takbir bangun (intiqal).
  • Jika seseorang telah memulakan ta‘awwuz, maka takbir-takbir itu belum terluput atau masih boleh dilakukan.
  • Jika telah memulakan bacaan al-Fatihah, yakni mula membaca basmalah, maka takbir-takbir itu telah terluput.
  • Jika imam meninggalkan takbir-takbir tersebut, maka makmum tidak perlu melakukannya, bahkan hendaklah mengikut imam, sama ada imam mengurangkan atau menambah bilangan takbir kerana tidak tahu bilangannya. Namun jika makmum mengetahui imam menambah secara sengaja, maka tidak perlu mengikutinya.
  1. Makruh menyambung takbir-takbir tanpa diselangi zikir.

 

  1. Tidak perlu diulangi zikir yang dibaca antara takbir selepas takbir ketujuh dan kelima. Tidak perlu juga dibaca sebelum memulakan tujuh kali takbir di rakaat pertama dan lima kali takbir di rakaat kedua.

 

  1. Sunat mengangkat kedua-dua tangan pada setiap takbir.

 

  1. Jika takbir-takbir itu ditinggalkan sama ada dengan sengaja atau terlupa, maka tidak perlu sujud sahwi, dan solat hari raya tetap sah. Namun makruh meninggalkan takbir tersebut, atau meninggalkan sebahagiannya. Makruh juga menambah bilangannya.

 

  1. Bagi masbuk yang sempat mendapatkan imam ketika imam sedang membaca al-Fatihah, atau ketika sebahagian takbir, maka dia tidak perlu menggantikan takbir yang telah terlepas. Jika dia mendapatkan imam pada rakaat kedua, maka dia bertakbir bersama imam sebanyak lima kali, kemudian pada rakaat keduanya (yang disempurnakan selepas salam imam), dia juga bertakbir sebanyak lima kali.

 

  1. Mengangkat kedua-dua tangan pada setiap takbir.

 

  1. Membaca secara kuat (jahar) bagi imam, makmum dan orang yang solat bersendirian.

 

  1. Disunatkan membaca di antara setiap dua takbir:

سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ

  1. Meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri di bawah dada di antara setiap dua takbir.

 

  1. Membaca dalam kedua-dua rakaat solat hari raya surah: Qaf pada rakaat pertama dan Iqtarabat pada rakaat kedua atau al-Qamar secara lengkap, atau surah al-A‘la pada rakaat pertama dan al-Ghashiyah pada rakaat kedua, dengan bacaan kuat (jahar).

KHUTBAH DAN SUNAT-SUNATNYA

  1. Disunatkan—jika solat dilakukan secara berjemaah—untuk berkhutbah selepas solat sebanyak dua khutbah, seperti khutbah Jumaat dari segi rukun dan sunatnya.

 

  1. Jika solat dilakukan secara bersendirian, maka tidak perlu berkhutbah.

 

  1. Disunatkan duduk seketika sebelum kedua-dua khutbah, sekadar tempoh duduk duduk ketika dilaungkan azan, kemudian memberi salam untuk berkhutbah.

 

  1. Disunatkan bertakbir pada permulaan khutbah pertama sebanyak sembilan kali berturut-turut, dan pada permulaan khutbah kedua sebanyak tujuh kali berturut-turut. Takbir-takbir ini bukan termasuk daripada isi khutbah, tetapi sebagai pembuka atau mukadimah khutbah.

 

  1. Disunatkan dalam khutbah tersebut disebutkan hukum-hakam korban pada Aidiladha, dan hukum zakat fitrah pada Aidilfitri, serta memberi dorongan dan galakan kepada orang ramai untuk bersedekah.

 

  1. Jika seseorang berkhutbah sebelum solat, maka dia dianggap melakukan kesalahan, dan khutbah itu tidak diambil kira menurut pendapat yang muktamad.

 

  1. Jika hanya berkhutbah satu khutbah, atau meninggalkan khutbah, atau meninggalkan sebahagian daripadanya, maka tidak perlu diulang, namun dia telah melakukan kesalahan.

SUNATKAN MENGUCAPKAN TAHNIAH SEMPENA HARI RAYA

  1. Lafaz ucapan tahniah sempena hari raya ialah:

تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ

  1. Waktu mengucapkan tahniah bagi Aidiladha bermula dari pagi hari Arafah. Bagi Aidilfitri bermula dari terbenam matahari (malam raya), disertai dengan wajah yang ceria, doa keampunan, dan berjabat tangan jika sesama jantina serta tiada unsur syubhah.

 

  1. Sunat menjawab ucapan tahniah dengan lafaz seperti:

تَقَبَّلَ اللهُ مِنْكُمْ

Semoga Allah menerima daripada kamu atau:

أَحْيَاكُمُ الله

“Semoga Allah memanjangkan umur kamu”, atau seumpamanya.

  1. Sunat bertakbir mulai terbenam matahari pada malam dua hari raya di rumah, di jalan-jalan, di masjid-masjid dan di pasar-pasar dengan suara yang kuat, dan diteruskan sehingga imam memulakan solat hari raya. Takbir ini dinamakan takbir mursal (التكبير المرسل).

 

  1. Sunat juga bertakbir selepas setiap solat pada Aidiladha, sama ada solat fardu atau sunat, tunai atau qada’, bahkan termasuk solat jenazah. Takbir ini dinamakan takbir muqayyad (النكبير المقيد).
  2. Tidak disunatkan bertakbir selepas apa-apa solat pada malam Aidilfitri.

WAKTU TAKBIR SELEPAS SOLAT (TAKBIR MUQAYYAD)

  1. Bagi selain jemaah haji: bermula dari Subuh hari Arafah hingga selepas Asar hari terakhir hari-hari Tasyriq.
  2. Adapun bagi jemaah haji, maka waktu bertakbir adalah dari Zuhur hari Nahr (10 Zulhijjah) hingga Subuh hari terakhir hari-hari Tasyriq. Jika dia telah bertahallul, maka dia bertakbir sehingga waktu Asar.
  3. Lafaz takbir yang disukai ialah:

اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ ، اَللهُ أَكْبَرُ، لَا إِلَهَ إِلَّا الله، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، ولِلَّهِ الْحَمْدُ، اَللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Sunat ditambah:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَلَا نَعْبُدُ إِلَّا إِيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينِ وَلَو كَرِهَ الْكَافِرُونَ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهَ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعزَّ جُنْدَهُ، وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلى أَصْحَابِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى أَنْصَارِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى أَزْوَاجِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ذُرِّيَّةِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَسَلِّمْ تَسْلِيْمًا كثيرًا

  1. Harus berhibur pada hari raya dengan hiburan yang dibenarkan, dengan syarat tidak mengandungi perkara haram dan tidak melalaikan daripada kewajipan.

Dan Allah سبحانه وتعالى lebih mengetahui kebenaran, dan kepada-Nya tempat kembali dan kesudahan.


Cetak  
Wallahu a'lam