Soalan:
Ustaz apakah kita dituntut juga takbir selepas solat Maghrib, Isyak dan Subuh 1 Syawal?
Jawapan:
Tiada Takbir Muqayyad untuk hari raya ‘Eidul Fitri. Inilah pandangan asah dalam mazhab Syafie. Kata al-Imam al-Nawawi RH dalam al-Majmu’ 5/32-33:
وَأَمَّا التَّكْبِيرُ الْمُقَيَّدُ فَيُشْرَعُ فِي عِيدِ الْأَضْحَى بِلَا خِلَافٍ لِإِجْمَاعِ الْأُمَّةِ وَهَلْ يُشْرَعُ فِي عِيدِ الْفِطْرِ فِيهِ وَجْهَانِ مَشْهُورَانِ حَكَاهُمَا الْمُصَنِّفُ وَالْأَصْحَابُ وَحَكَاهُمَا صَاحِبُ التَّتِمَّةِ وَجَمَاعَةٌ قَوْلَيْنِ (أَصَحُّهُمَا) عِنْدَ الْجُمْهُورِ لَا يُشْرَعُ وَنَقَلُوهُ عَنْ نَصِّهِ فِي الْجَدِيدِ وَقَطَعَ بِهِ الْمَاوَرْدِيُّ وَالْجُرْجَانِيُّ وَالْبَغَوِيُّ وَغَيْرُهُمْ وَصَحَّحَهُ صَاحِبَا الشَّامِلِ وَالْمُعْتَمَدِ وَاسْتَدَلَّ لَهُ الْمُصَنِّفُ وَالْأَصْحَابُ بِأَنَّهُ لَمْ يُنْقَلْ عَنْ النَّبِيِّ ﷺ وَلَوْ كَانَ مَشْرُوعًا لَفَعَلَهُ وَلَنُقِلَ (وَالثَّانِي) يُسْتَحَبُّ وَرَجَّحَهُ الْمَحَامِلِيُّ وَالْبَنْدَنِيجِيّ وَالشَّيْخُ أَبُو حَامِدٍ، وَاحْتَجَّ لَهُ الْمُصَنِّفُ وَالْأَصْحَابُ بِأَنَّهُ عِيدٌ يُسَنُّ فِيهِ التَّكْبِيرُ الْمُرْسَلُ فَسُنَّ الْمُقَيَّدُ كَالْأَضْحَى فَعَلَى هَذَا قَالُوا يُكَبِّرُ خَلْفَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ وَالصُّبْحِ وَنَقَلَهُ الْمُتَوَلِّي عَنْ نَصِّهِ في القديم وَحُكْمُ النَّوَافِلِ وَالْفَوَائِتِ فِي هَذِهِ الْمُدَّةِ عَلَى هذا الوجه يقاس بما سنذ كره إنْ شَاءَ اللَّهُ تَعَالَى فِي الْأَضْحَى
Adapun takbir muqayyad, maka ia disyariatkan pada Hari Raya Aidiladha tanpa khilaf, berdasarkan ijmak umat. Adapun sama ada ia disyariatkan pada Hari Raya Aidilfitri, terdapat dua wajh (pendapat) yang masyhur, sebagaimana disebut oleh penulis dan para ashab. Pemilik kitab al-Tatimmah dan selainnya juga meriwayatkannya sebagai dua qaul. Pendapat asah menurut jumhur ialah: tidak disyariatkan. Mereka menukilkannya daripada nas al-Imam al-Syafi‘i dalam qaul jadid. Pendapat ini juga diputuskan oleh al-Mawardi, al-Jurjani, al-Baghawi dan selain mereka. Ia turut dinilai sahih oleh penulis al-Shamil dan inilah pandangan al-Mu‘tamad. Mereka berhujah bahawa perkara ini tidak dinukilkan daripada Nabi ﷺ. Sekiranya ia disyariatkan, pasti Baginda melakukannya dan akan dinukilkan (kepada kita). Pendapat kedua: disunatkan. Pendapat ini ditarjih oleh al-Mahamili, al-Bandaniji dan Syeikh Abu Hamid. Penulis (al-Syirazi) dan al-Ashab berhujah bahawa ia merupakan hari raya yang disunatkan padanya takbir mutlak (takbir mursal), maka disunatkan juga takbir muqayyad sebagaimana Eiduladha. Berdasarkan pendapat ini, mereka mengatakan: seseorang bertakbir selepas solat Maghrib, Isyak dan Subuh (1 Syawal). Pendapat ini juga dinukilkan oleh al-Mutawalli daripada nas Imam al-Syafi‘i dalam qaul qadim. Hukum bagi solat-solat sunat dan solat qada’ dalam tempoh ini, menurut pendapat ini, diqiyaskan dengan apa yang akan disebut—insya-Allah—dalam perbahasan Aidiladha.”
