SDI 1945: Pandangan Rajih Dalam Masalah Hukum Solat Jumaat Jika Hari Raya Jatuh Hari Jumaat

Soalan:

Saya telah membaca dua tulisan ustaz dalam web binsahak.com. Satunya terjemahan fatwa Saudi tentang gugur solat Jumaat bagi mereka yang telah hadir solat hari Raya. Kedua jawapan ustaz tentang pandangan mazhab Syafi‘e dalam isu ini. Soalan saya pandangan mana satu yang menjadi pilihan ustaz?

Jawapan:

Di bawah ini penjelasan saya.

Masalah ini termasuk dalam isu khilaf dalam kalangan ulama, di mana mereka berbeza pendapat kepada tiga pandangan:

  • Pandangan yang ganjil dan ditinggalkan (syaz)
  • Pandangan yang kuat (rajih)
  • Pandangan yang lemah (marjuh)

Saya akan jelaskan pandangan-pandangan ini beserta dalilnya secara ringkas, beserta diterangkan pandangan yang paling kuat dan yang menjadi pilihan.

Pandangan Pertama: Pandangan Syaz (ditinggalkan)

Pandangan ini diriwayatkan daripada Ibn Abbas dan Ibn al-Zubayr رضي الله عنهما. Riwayat al-Nasa’i (no. 1592) daripada Wahb bin Kaysan (وهب بن كيسان), beliau berkata:

اجتمع عيدان على عهد ابن الزبير، فأخر الخُروج حتى تعالى النهار، ثم خرج فخطب، فأطال الخُطبة، ثم نزل فصَلَّى ولم يُصلِّ للناس يومئذٍ الجمعة، فذُكر ذلك لابن عباس، فقال: أصاب السُّنة

“Telah berhimpun dua hari raya (iaitu Hari Raya dan hari Jumaat) pada zaman Ibn al-Zubayr. Maka beliau melewatkan keluar sehingga hari sudah tinggi (matahari meninggi), kemudian beliau keluar lalu berkhutbah dan memanjangkan khutbahnya. Kemudian beliau turun dan menunaikan solat, dan pada hari itu beliau tidak menunaikan solat Jumaat bersama orang ramai. Perkara itu disebut kepada Ibn Abbas, lalu beliau berkata: “Dia telah menepati sunnah.”

Dalam riwayat Abu Dawud (no. 1071) daripada ‘Aṭā’, beliau berkata:

صَلَّى بنا ابن الزبير في يوم عيد في يوم جُمعة أول النهار، ثم رحنا إلى الجمعة، فلم يخرج إلينا، فصلينا وُحدانًا، وكان ابن عباس في الطائف، فلماقدم ذكرنا ذلك له، فقال: أصاب السُّنة

“Ibn al-Zubayr telah mengimamkan kami solat Hari Raya pada waktu awal pagi, pada hari yang juga merupakan hari Jumaat. Kemudian kami pergi (untuk menunaikan) solat Jumaat, tetapi beliau tidak keluar kepada kami. Lalu kami pun menunaikan solat (Zuhur) secara bersendirian. Ketika itu Ibn Abbas berada di Taif. Apabila beliau kembali, kami menceritakan perkara tersebut kepadanya, lalu beliau berkata: “Dia telah menepati sunnah.’

Perkara ini dikritik oleh al-San‘ani رحمه الله dalam Subul al-Salam (1/409), beliau berkata:

ولا يَخفى أن عطاء أخبر أنه لم يخرج ابن الزبير لصلاة الجمعة، وليس ذلك بنصٍّ قاطعٍ أنه لم يُصلِّ الظهر في منزله... فالجزم بأن مذهب ابن الزبير سُقوط صلاة الظهر في يوم الجمعة يكون عيدًا على من صَلَّى صلاة العيد لهذه الرواية - غير صحيح؛ لاحتمال أنه صَلَّى الظهر في منزله، بل في قول عطاء أنهم صَلُّوا وحدانًا - أي الظهر - ما يشعر بأنه لا قائل بسُقوطه ولا يُقال: إن مُراده صَلَّوا الجمعة وحدانًا، فإنها لا تصح إلا جماعة إجماعًا

“Tidak tersembunyi bahawa ‘Aṭā’ hanya memberitahu bahawa Ibn al-Zubayr tidak keluar untuk solat Jumaat. Namun itu bukanlah dalil yang jelas bahawa beliau tidak menunaikan solat Zuhur di rumahnya. Maka, memastikan bahawa mazhab Ibn al-Zubayr ialah gugurnya solat Zuhur pada hari Jumaat yang bertepatan dengan Hari Raya bagi orang yang telah menunaikan solat Hari Raya — berdasarkan riwayat ini — adalah tidak tepat. Ini kerana berkemungkinan beliau telah menunaikan solat Zuhur di rumahnya. Bahkan, dalam kata-kata ‘Aṭā’ bahawa “mereka menunaikan solat secara bersendirian”, ia memberi isyarat bahawa yang dimaksudkan ialah solat Zuhur, dan ini menunjukkan bahawa tidak ada sesiapa pun yang berpendapat gugurnya solat tersebut. Tidak boleh ditafsirkan bahawa maksudnya mereka menunaikan solat Jumaat secara bersendirian, kerana solat Jumaat tidak sah melainkan secara berjemaah berdasarkan ijmak.”

Ibn Abd al-Barr رحمه الله berkata dalam al-Tamhid lima fi al-Muwatta’ min al-Ma‘ani wa al-Asanid (10/271):

وأما القول الأول أن الجمعة تسقط بالعيد، ولا تُصَلَّى ظُهرًا ولا جُمعة، فقول بَيِّن الفساد وظاهر الخطأ، متروك مهجور، لا يُعرَّج عليه؛ لأن الله عز وجل يقول: ﴿ إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الجمعة ﴾ [الجمعة: 9]، ولم يَخُصَّ يومَ عيدٍ من غيره

“Adapun pendapat pertama yang mengatakan bahawa solat Jumaat gugur kerana Hari Raya, dan tidak ditunaikan sama ada solat Zuhur mahupun Jumaat, maka ia adalah satu pendapat yang jelas rosak dan nyata kesalahannya. Ia adalah pendapat yang ditinggalkan dan tidak diambil kira. Ini kerana Allah عز وجل berfirman: ‘Apabila diseru untuk solat pada hari Jumaat…’ [al-Jumu‘ah: 9], dan Allah tidak mengkhususkan hari raya daripada hari-hari yang lain.”

Kesimpulannya, pandangan ini adalah jauh menyimpang dan syaz, serta tidak boleh diamalkan, kerana ia bercanggah dengan dalil-dalil yang qat‘i dan sahih yang mewajibkan solat Jumaat dan solat Zuhur, yang tidak boleh ditakwilkan.

Pandangan Kedua: Pandangan Rajih (yang kuat)

Majoriti ulama berpendapat bahawa solat Jumaat tidak gugur bagi sesiapa yang telah menunaikan solat Hari Raya, bahkan ia tetap wajib ke atasnya. Mereka berdalilkan beberapa dalil, antaranya:

Firman Allah SWT:

﴿ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الجمعة فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ﴾

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkan jual-beli." (al-Jumu‘ah: 9)

Begitu juga sabda Nabi SAW dari pada Tariq bin Syihab:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلَّا عَلَى أَرْبَعَةٍ: عَبْدٍ مَمْلُوكٍ أَوِ امْرَأَةٍ أَوْ صَبِيٍّ أَوْ مَرِيضٍ

"Solat Jumaat itu adalah kewajipan ke atas setiap Muslim secara berjemaah, kecuali empat golongan. Hamba yang dimiliki, orang wanita, bayi dan orang sakit.”[1]

Dalam hadis ini, Nabi SAW tidak menyebut orang yang telah menunaikan solat Hari Raya sebagai termasuk dalam golongan yang dikecualikan. Maka jelas bahawa mereka tetap wajib menunaikan solat Jumaat.

Selain itu, terdapat banyak hadis yang memberi amaran keras terhadap meninggalkan solat Jumaat, antaranya:

Ibn ‘Umar dan Ibn ‘Abbas berkata:

أنَّهما سَمِعا رَسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم يقولُ على أعوادِ مِنبَرِه: لَيَنتَهينَّ أقوامٌ عن وَدْعِهمُ الجُمُعاتِ، أو لَيَختِمَنَّ اللهُ على قُلوبِهم، ثُمَّ لَيَكونُنَّ مِنَ الغافِلينَ

"Mereka berdua pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika berada di atas mimbar: hendaklah berhenti beberapa kaum daripada meninggalkan solat Jumaat, atau Allah akan mengunci hati mereka, kemudian mereka akan tergolong kumpulan yang lalai." (Sahih Muslim, 865)

Sabda Baginda lagi:

مَن ترَكَ الجمعةَ ثلاثَ مرَّاتٍ تهاونًا بها، طبَعَ اللهُ على قلْبِه

"Sesiapa yang meninggalkan tiga kali solat Jumaat, kerana mengimbil ringan akan kewajipannya, akan dicap pada hatinya (dengan cap kemunafikan)." (Hadis sahih riwayat al-Tirmizi 1052, al-Nasa’ie 1369, Ibn Majah 1125 dan Ahmad 15498)

Semua ini menunjukkan bahawa solat Jumaat adalah suatu kewajipan yang sangat dituntut. Oleh itu, majoriti ulama menyatakan solat Jumaat tidak gugur bagi orang yang telah menunaikan solat Hari Raya, bahkan dia tetap wajib menunaikannya. Pandangan ini juga merupakan pegangan ramai dalam kalangan sahabat رضي الله عنهم. Kata al-Nawawi dalam al-Majmu’ 4/492:

قَدْ ذَكَرْنَا أَنَّ مَذْهَبَنَا وُجُوبُ الجمعة علي اهل البلد وسقوطها عن عن اهل القرى وبه قال عثمان ابن عَفَّانَ وَعُمَرُ بْنُ عَبْدِ الْعَزِيزِ وَجُمْهُورُ الْعُلَمَاءِ

“Sesungguhnya kami telah menyebut bahawa mazhab kami ialah wajibnya solat Jumaat ke atas penduduk bandar, dan gugurnya kewajipan tersebut daripada penduduk kampung. Pendapat ini juga dipegang oleh ‘Uthman bin ‘Affan, ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz, serta jumhur (majoriti) ulama.”

Atsar Sahabat

Diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari bahawa Saidina Uthman bin Affan رضي الله عنه pernah berkhutbah ketika Hari Raya bertepatan dengan hari Jumaat, lalu beliau berkata:

أيها الناسُ قد اجتمع عِيدَانِ في يَوْمِكُمْ، فَمَنْ أراد من أهلِ العاليةِ أن يُصلِّي معَنا الجمعةِ فلْيُصَلِّ، ومَنْ أرادَ أن يَنْصَرِفَ فلْينصَرِفْ

“Wahai manusia, sesungguhnya telah berhimpun dua hari raya pada hari kamu ini. Maka sesiapa dari penduduk ‘Aliah[2] (kawasan luar Madinah) yang ingin menunaikan solat Jumaat bersama kami, maka hendaklah dia menunaikannya; dan sesiapa yang ingin pulang, maka bolehlah dia pulang.”

Penduduk al-‘Aliah ialah al-‘Awali iaitu mereka yang tinggal di kawasan luar Madinah, yang jauh dari pusat bandar. Dalam al-Muhazzab bersama syarahnya al-Majmu’ 4/491, setelah mendatangkan riwayat ini, al-Syirazi menyatakan tiada seorang pun daripada sahabat yang mengingkari tindakan beliau.

Seterusnya beliau berkata:

ولأنهم إذا قعدوا في البلد لم يتهيؤا بالعيد فان خرجوا ثم رجعوا للجمعة كان عليهم في ذلك مشقة والجمعة تسقط بالمشقة

“Kerana sesungguhnya mereka apabila tetap tinggal di kampung (atau tempat mereka), mereka tidak dapat membuat persiapan dengan sempurna untuk hari raya. Maka jika mereka keluar (untuk solat hari raya) kemudian kembali semula untuk menunaikan solat Jumaat, suatu kesukaran ke atas mereka dalam hal tersebut. Sedangkan kewajipan Jumaat boleh gugur dengan adanya kesukaran.”

Kata al-Syeikh Zakaria al-Ansary dalam al-Ghurar al-Bahiyyah 2/59:

وَلِأَنَّهُمْ لَوْ كُلِّفُوا بِعَدَمِ الرُّجُوعِ، أَوْ بِالْعَوْدِ إلَى الْجُمُعَةِ لَشَقَّ عَلَيْهِمْ، وَالْجُمُعَةُ تَسْقُطُ بِالْمَشَاقِّ

“Kerana sesungguhnya jika mereka dibebankan sama ada untuk tidak pulang (ke tempat mereka kekal berada di Madinah), atau untuk kembali semula (jika pulang ke kampung mereka) bagi menunaikan solat Jumaat, nescaya hal itu akan menyukarkan mereka. Sedangkan kewajipan Jumaat boleh gugur dengan adanya kesukaran.”

Penjelasan Hadis Rukhsah

Terdapat hadis Nabi SAW:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ: إِنَّكُمْ قَدْ أَصبْتُمْ خَيْرًا -أَوْ أَجْرًا- وَإنَّا مُجَمِّعُونَ، فَمَنْ أَرَادَ أنْ يُجَمِّعَ مَعَنَا فَلْيُجَمِّعْ، وَمَنْ أرَادَ أَنَّ يَرْجع إِلى أَهْلِهِ فَليَرجعْ

"Wahai sekelian manusia, kamu semua telah memperolehi kebaikan atau pahala. Adapun aku akan melaksanakan Jumaat. Maka sesiapa yang mahu menunaikan Jumaat, silakan; dan sesiapa yang mahu pulang kepada keluarganya, maka silakan."[3]

Jumhur ulama memahami bahawa keringanan ini bukan umum untuk semua orang, tetapi khusus untuk penduduk luar (ahl al-‘Awali).

Ini kerana:

  1. Maksud "pulang kepada keluarganya" bukan merujuk kepada penduduk Madinah yang sudah tentu akan pulang ke rumah mereka. Sebaliknya hadis ini merujuk kepada mereka yang akan kembali ke tempat tinggal yang jauh di luar bandar dari kalangan penduduk al-‘Awaliy di luar Madinah.  
  2. Solat Hari Raya dilakukan pada awal pagi, manakala solat Jumaat pada waktu tengah hari. Maka sukar bagi mereka yang tinggal jauh untuk kembali semula.

Perkara ini juga disokong dengan ucapan Saidina Uthman رضي الله عنه dalam khutbah beliau. Ucapan beliau itu pula tidak dibantah oleh mana-mana sahabat.

Pandangan Ketiga: Pandangan Marjuh (lemah)

Imam Ahmad dan sebahagian ulama salaf berpendapat bahawa sesiapa yang telah menunaikan solat Hari Raya, maka gugurlah kewajipan solat Jumaat daripadanya, tetapi dia wajib menunaikan solat Zuhur sebagai gantinya.

Mereka berdalilkan beberapa hadis yang memberi keringanan meninggalkan solat Jumaat.

Namun, pandangan ini dijawab dengan dua hujah:

  1. Sebahagian besar hadis tersebut adalah lemah dan diperselisihkan kesahihannya.
  2. Sekalipun sahih, ia ditakwil sebagai khusus untuk penduduk luar (ahl al-‘Awali).

Malah Ibn Hazm رحمه الله menolak pandangan ini dan memilih pendapat jumhur.

Kesimpulan dan Tarjih

Kesimpulannya, pendapat yang kuat ialah:

Solat Jumaat tidak gugur bagi mereka yang telah menunaikan solat Hari Raya, khususnya bagi penduduk bandar. Tidak boleh seorang Muslim meninggalkan sesuatu yang wajib secara pasti, hanya kerana perkara yang diperselisihkan. Seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abd al-Barr رحمه الله, bahawa dalil kewajipan solat Jumaat adalah jelas dan qat‘i.

Oleh itu, seorang Muslim hendaklah:

  • Tetap menunaikan solat Jumaat
  • Sekurang-kurangnya sebagai langkah berhati-hati dalam agama

Berdasarkan sabda Nabi SAW: "Sesiapa yang menjauhi perkara syubhah, maka dia telah membersihkan agama dan maruahnya."

 



[1] Hadis riwayat Abu Daud dalam al-Sunan no. (1067). Ia juga diriwayatkan oleh al-Daraqutni (2/3 no. 2), al-Bayhaqi dalam al-Sunan (3/172), dan al-Hakim (1/288), dan hadis ini adalah sahih. Perkataan: “daripada Tariq bin Shihab رضي الله عنه, beliau ialah Tariq bin Shihab bin ‘Abd Shams al-Bajali al-Ahmasi, Abu ‘Abdullah al-Kufi (طارق بن شهاب بن عبد شمس البَجَلي الأحمسي، أبو عبد الله الكوفي). Abu Dawud berkata dalam al-Sunan (1/644):

رأى النبي - ﷺ - ولم يسمع منه، مات سنة (٨٢ هـ)، أو سنة (٨٣ هـ).

“Beliau pernah melihat Nabi , tetapi tidak mendengar (hadis) daripadanya.”
Beliau wafat pada tahun 82H atau 83H. (Rujuk: al-Taqrib 1/376 no. 5)

Hadis ini dijadikan dalil bahawa solat Jumaat termasuk dalam fardu ‘ain. Sabda Nabi : “hamba yang dimiliki” menunjukkan bahawa solat Jumaat tidak wajib ke atas hamba. Sabda Baginda: “atau wanita” menunjukkan bahawa solat Jumaat tidak wajib ke atas wanita. Sabda Baginda: “atau kanak-kanak” menunjukkan bahawa solat Jumaat tidak wajib ke atas kanak-kanak, dan ini adalah perkara yang disepakati (ijmak). Sabda Baginda: “atau orang sakit” menunjukkan bahawa orang sakit tidak wajib menunaikan solat Jumaat, jika kehadirannya menyebabkan kesukaran.

[2] Kata al-Imam al-Nawawi RH dalam al-Majmu’ 4/491:

وَالْعَالِيَةُ بِالْعَيْنِ الْمُهْمَلَةِ هِيَ قَرْيَةٌ بِالْمَدِينَةِ مِنْ جِهَةِ الشَّرْقِ وَأَهْلُ السَّوَادِ هُمْ أَهْلُ الْقُرَى وَالْمُرَادُ هُنَا اهل القرى الذين يبلغهم النداء ويلزمهم حُضُورُ الْجُمُعَةِ فِي الْبَلَدِ فِي غَيْرِ الْعِيدِ

“Al-‘Āliyah (dengan huruf ‘ain tanpa titik) ialah sebuah kampung di Madinah dari arah timur. Manakala ‘ahl al-sawād’ ialah penduduk kampung-kampung. Dimaksudkan di sini ialah penduduk kampung yang sampai kepada mereka seruan azan dan diwajibkan ke atas mereka menghadiri solat Jumaat di bandar pada hari-hari selain hari raya.”

[3] Hadis ini terdapat dalam al-Mu‘jam al-Kabir karya al-Tabarani, dalam riwayat (daripada ‘Ata’ bin Abi Rabah daripada Ibn ‘Umar), jilid 12, halaman 435, nombor 13591. Beliau berkata:

اجتمع عيدان على عهد رسول الله - ﷺ - يوم فطر وجمعة، فصلى بهم رسول الله - ﷺ - صلاة العيد، ثم أقبل عليهم بوجهه فقال: «يا أيها الناس: إنكم قد أصبتم خيرًا وأجرًا، وإنا مجمعون، فمن أراد أن يجمع معنا فليجمع، ومن أراد أن يرجع إلى أهله فليرجع

“Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Yusuf al-Turki, berkata: telah menceritakan kepada kami ‘Isa bin Ibrahim al-Barki, berkata: telah menceritakan kepada kami Sa‘id bin Rashid al-Sammak, berkata: telah menceritakan kepada kami ‘Ata’ bin Abi Rabah, daripada Ibn ‘Umar, beliau berkata: Telah berhimpun dua hari raya pada zaman Rasulullah , iaitu hari raya Fitri dan hari Jumaat. Maka Rasulullah mengimami mereka solat hari raya, kemudian Baginda menghadap kepada mereka lalu bersabda: ‘Wahai sekalian manusia, sesungguhnya kamu telah memperoleh kebaikan dan ganjaran. Dan sesungguhnya kami akan mendirikan solat Jumaat. Maka sesiapa yang ingin menunaikan Jumaat bersama kami, hendaklah dia menunaikannya. Dan sesiapa yang ingin kembali kepada keluarganya, maka bolehlah dia kembali.’”

Berkata pentahqiq kepada Jam‘ul Jawami’ atau al-Jami’ al-Kabir oleh al-Sayuti, nota kaki no.1 12/405:

قال في «المجمع (٢/ ١٩٥): رواه الطبراني في الكبير من رواية إسماعيل بن إبراهيم التركى، عن زياد بن راشد أبى محمَّد السماك، ولم أجد من ترجمهما، كذا في نسخة المجمع المطبوعة، وقال: حُرِّف (سعيد) إلى (زياد) و(عيسى) إلى (إسماعيل)، وسعيد ضعيف كما تقدم

“Disebut dalam al-Majma‘ (2/195): Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Kabir melalui riwayat Isma‘il bin Ibrahim al-Turki, daripada Ziyad bin Rashid Abu Muhammad al-Sammak, dan aku (al-Haithami) tidak menemui biografi bagi kedua-duanya — demikian dalam naskhah al-Majma’ yang dicetak. Beliau berkata: telah berlaku kesilapan, di mana ‘Sa‘id’ ditukar kepada ‘Ziyad’, dan ‘Isa’ ditukar kepada ‘Isma‘il’. Sa‘id pula adalah dha‘if sebagaimana telah disebut sebelum ini.”

Al-Kattani dalam Risalah al-Musalsalat hal. 45-46 menyebut:

قلت: وقد أورد السيوطي في جامعه الكبير الحديث من عند الطبراني في الكبير، عن ابْن عمر رضي الله عنهما، ولفظه عنده: «يا أيها الناس، إنكم قد أصبتم خيرا وأجرا، وإنا مجمعون، فمن أراد أن يجمع معنا فليجمع ومن أراد أن يرجع إلى أهله فليرجع» .وأورده أيضا من حديث ابْن ماجه، وابْن الجارود، وابْن خزيمة، والطبراني في الكبير، والحاكم في المستدرك، والضياء المقدسي في المختارة، عن عَبْد اللَّهِ بْن السائب بلفظه: «قد قضينا الصلاة، فمن أحب أن يجلس للخطبة فليجلس، ومن أحب أن يذهب فليذهب» . ومن هَذَا العزو تعلم أنه حديث صحيح، إذ أخرجه أهل الصحيح كابْن خزيمة، والحاكم، والضياء

Aku berkata: al-Suyuti telah meriwayatkan hadis ini dalam al-Jami’ al-Kabir daripada al-Tabarani dalam al-Kabir, daripada Ibn ‘Umar r.a., dengan lafaz di sisinya: ‘Wahai sekalian manusia, sesungguhnya kamu telah memperoleh kebaikan dan ganjaran. Dan sesungguhnya kami akan mendirikan solat Jumaat. Maka sesiapa yang ingin menunaikan Jumaat bersama kami, hendaklah dia menunaikannya; dan sesiapa yang ingin kembali kepada keluarganya, maka bolehlah dia kembali.’ Beliau juga meriwayatkannya daripada hadis Ibn Majah, Ibn al-Jarud, Ibn Khuzaymah, al-Tabarani dalam al-Kabir, al-Hakim dalam al-Mustadrak, dan al-Diya’ al-Maqdisi dalam al-Mukhtarah, daripada ‘Abdullah bin al-Sa’ib dengan lafaz: ‘Sesungguhnya kami telah selesai menunaikan solat. Maka sesiapa yang suka untuk duduk mendengar khutbah, hendaklah dia duduk; dan sesiapa yang suka untuk pergi, maka bolehlah dia pergi.’ Daripada sandaran riwayat ini, dapat diketahui bahawa hadis tersebut adalah sahih, kerana ia telah diriwayatkan oleh para imam hadis yang mensyaratkan kesahihan seperti Ibn Khuzaymah, al-Hakim dan al-Diya’.”


Cetak  
Wallahu a'lam